Pages

Tuesday, July 31, 2012

Kenangan

Sedang menunggu kuih masak untuk berbuka, saya duduk di kerusi meja makan. Emak juga duduk di kerusi kecil. Entah petang selasa ini hati saya dirundung rindu. Rindu pada susuk tubuh seorang lelaki yang bernama ayah.

Allahu Allah.. Emak kata:
"Teringat-ingat arwah sebelum-sebelum ini. Beli makanan kesukaan kamu dengan zaidi. Murtabak sebulan itu sebulanlah dia belikan".

Sungguh airmata saya bergenang. Itulah almarhum ayah tika masih hidup dahulu. Tidak tersangka tahun ini hanya berpuasa berdua dengan emak. Jika saya tiada, hari-hari biasa emak hanya berbuka sendiri. Kasihan emak. Sunyi. Jika saya rindu pada almarhum ayah, emak sudah tentu lebih rindu.

Walaupun gaduh, tersalah kata, tersalah faham... Tetapi begitulah suami isteri. Hidup sebagai suami isteri yang perlu banyak bersabar terhadap pasangan. Perlu banyak meminta maaf dan memberi maaf.

Sebagai anak bongsu, saya membesar di rumah ini sendiri tika kakak dan abang-abang sudah berhijrah ke bandar dan negeri lain. Melihat hari-hari kehidupan almarhum ayah dan emak. Hidup tidak mewah, tetapi almarhum ayah seorang yang sangat bertanggungjawab.

Walau pergi kerja hanya berbasikal, alhamdulillah rezeki cukup. Tiap hari selasa pasti akan ke pasar untuk beli buah, kuih-kuih dan apa-apa sahaja. Sebab itu bila hari ini datang, hati ini sebak. Terbayang-bayang susuk tubuh itu pulang dari pasar di petang hari dengan 'jajan-jajan' yang diletak atas meja makan.

"Mudah-mudahan Allah membalas dengan pahala kepadanya disebabkan dia menyediakan makanan untuk berbuka sebelum-sebelum ini". Emak berkata, saya lihat seperti hendak berkaca-kaca mata emak. Saya tidak tahu hendak berkata apa, hanya diam dan senyum. Di dalam hati saya mengaminkan.

Hanya kini yang tinggal banyak kenangan. Sungguh benarlah apabila sesuatu itu telah pergi, pasti kita akan sangat teringat padanya, teringat kebaikan-kebaikannya.

Satu yang terlalu membekas di jiwa saya adalah tentang putaran hidup kita sebagai hamba.
Dari sendiri kepada berpasangan
Dari berpasangan kepada sendiri

Dan selama mana kita tidak mahukan perpisahan dengan orang yang kita sayang terjadi, ia pasti akan terjadi kerana yang kekal itu hanyalah milik Allah. Hanya Dia yang kekal.

Untuk almarhum ayah, insyaAllah doa untukmu akan selalu ku titipkan. Buat emak juga. Moga kesejahteraan buat kalian di dunia dan akhirat. Allahumma ameen.

:: Jiwa ini, kuatkanlah ya Allah...

No comments:

Post a Comment