Pages

Showing posts with label article. Show all posts
Showing posts with label article. Show all posts

Tuesday, March 30, 2010

Semua Boleh Dicuri Kecuali...



“Semua perkara boleh dicuri melainkan cinta”

Itulah muqaddimah ustaz Fawwaz dalam usrah rasa hati di IKIM. Terasa rugi kerana itu adalah episod terakhir. Simboliknya kerana usrah ini ke udara dan mudah-mudahan ramai yang dapat mengambil manfaatnya. Hanya beberapa kali sahaja saya sempat mendengar. Dikeranakan terkadang mengejar waktu petang membuat itu dan ini. Terkadang terlena kepenatan. Alhamdulillah, masih diberi kesempatan menadah telinga dan mengutip mutiara-mutiara ilmu yang bertaburan.

Saya tersenyum mendengar semangat suara anak arwah ustaz Fadzil Noor, juga adik kepada pensyarah saya, Ustaz Ammar. Lenggok suara seperti ustaz Ammar juga.

Menurut ustaz Fawwaz harta, isteri, suami boleh dicuri. Tapi cinta tak boleh dicuri. Kerana itu ia merupakan sesuatu yang amat berharga, yang boleh membentuk peribadi kita, membentuk masyarakat yang kasih antara satu sama lain. Dan sebab itulah kita kena pupuk rasa cinta sejak dari kanak-kanak lagi. Ajar anak-anak rasa cinta. Bukan cinta yang dusta, tapi cinta yang hakiki. Cinta yang membawa kepada erti rasa bertuhan.

Cinta Dalam Islam




Dalam islam cinta adalah sesuatu yang boleh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ia menghidupkan benda yang mati. Dan ia adalah merupakan rahsia dalam kehidupan kita.

Ulamak berkata: cinta ialah cenderung pada sesuatu yang lazat dan indah.

Bila kita sukakan yang indah, kita suka untuk berlama-lamaan dengannya. Kerana fitrahnya insan begitu. Bila indahnya sesuatu yang sementara pun kita merasa gembira dan bahagia, apalagi jika rasa cinta itu kita serahkan kepada Tuhan. Merasa cinta kepada Allah yang bersifat Jamal. Allah itu Yang Maha Cantik, tiada satupun yang indah dan Cantik selain daripada Allah.

Imam Junaid berkata: Aku tidak pernah melihat sesuatu melainkan aku melihat Allah padanya.

Maknanya beliau melihat keindahan yang ada pada Allah. Allah itu bersifat Jamal (cantik dan indah). Dan cintakan Allah merupakan tahap cinta yang paling agung dan tertinggi. Rugilah andai tiada rasa cinta kepada-Nya. Matilah hati orang yang tidak merasa cinta kepada Allah. Kerana Allah itu menghidupkan dan mematikan.

Cinta Itu Menyembuhkan

Kalau kekasih cintakan kekasihnya, dia takkan menyakitinya. Takkan merosakkannya.

Dan bukti cinta Allah ialah Dia tidakkan pernah menyeksa dan mengazab dahi hamba yang sujud kepada-Nya. Kerana apa? Kerana cintanya kepada hambanya. Subhanallah. Inilah cinta suci.
Begitulah hakikatnya, seseorang jika menyayangi seseorang dia tidakkan menyakitinya. Tidak akan melukakan hatinya, sepenuh rasa menjaga tingkah dan kata. Sepenuh menjaga maruah kekasihnya.

Adakah patut orang yang mengucap kata cinta pada isteri, lalu tanpa sebab dipukul dan didera isteri tersebut. Adakah cinta itu suci apabila seorang lelaki merosakkan maruah gadis yang belum halal baginya. Adakah bukti cinta suci itu nanti lahirnya anak luar nikah yang dibuang tanpa rasa belas.

Astaghfirullahal azhim.

Dimana sifat manusia yang diberikan akal untuk menimbang mana yang baik dan mana yang buruk. Tidak keterlaluan jika dikatakan haiwan itu lebih bijak dari manusia yang tidak berperikemanusiaan jika haiwan yang tiada akal itupun boleh menyanyangi, membelai, menyusukan dan menjaga anak yang dilahirkan. Inikan pula manusia yang diberi akal namun perilaku lebih teruk dari haiwan.

Ya Allah, lindungi dan pelihara iman kami. Tuntuni nafsu kami, jangan jadikan diri kami menjadi hamba kepada nafsu. Ampuni kami ya Allah.

Cinta Yang Menyembuhkan



Sesungguhnya cinta itu menyembuhkan bukan menyakitkan. Akibat cinta yang mungkar menatijahkan sesuatu yang menyakitkan. Namun, jika paksinya redha Allah, semuanya mengikut telunjuk dan panduan-Nya. Jika cinta itu menuju kepada cintakan Allah, tenanglah hati dengan rasa redha. Redha pada ketentuannya walaupun terkadang ia bertentangan apa yang sebenarnya dimahukan dan diharapkan.

Allah s.w.t menyeru jiwa-jiwa yang tenang, “kembalilah kepada Tuhanmu, dalam keadaan kamu redha kepada Allah dan Allah redha kepadamu” (surah al-Balad: ayat 28)

Bermakna, jika seseorang mahu kembali kepada Allah dengan jiwa yang tenang dia perlu merasa redha dengan semua takdir dan ketentuan yang Allah berikan padanya. Dan dengan itu, maka Allah juga akan redha kepadanya.

Semoga kita menjadi orang yang redha kepada takdir Allah dan menjadi orang yang Allah redhai insyaAllah. Terpupuk rasa cinta suci bila semuanya kerana Allah ~Pemilik cinta yang hakiki.

Wallahu a’lam

almisk

Wednesday, January 27, 2010

Hanya Berkongsi: Semanis Krim, Surat Cinta & Menjadi Pilihan

Kering sudah fikiran dari memancarkan idea. Kesibukan bukan alasan yang bagus untuk melarikan diri daripada kekurangan dan kelemahan diri dalam mengatur masa. Setiap orang punyai waktu 24jam, tidak ada yang terkurang satu jam, tiada yang lebih satu jam. Namun, cabaran setiap manusia berbeza. Dan itu kekurangan yang saya akui sendiri. Mudah-mudahan berubah.

Semanis Krim


Berbuka puasa bersama sahabat-sahabat dalam satu talam cukup sekali mengimbau kehebatan ukhuwwah. Manisnya ibarat merasa kemanisan ‘krim coklat’. Seorang kakak pernah beritahu, rasalah ukhuwwah itu sampai kita rasakan manisnya semanis krim.

Lucu bila manis ukhuwwah itu disamakan dengan krim coklat, tapi itulah hakikatnya. Kemanisan itu tidak dapat digambarkan, melainkan apabila seseorang itu merasainya sendiri. Moga dapat terus merasai dan mengecapi kemanisan ini sehingga akhir hayat. Biiznillah..

Sebelum berkumandangnya azan, seorang adik memberikan tazkirah berkenaan sepuluh amalan Rasulullah s.a.w. Disebabkan masa yang singkat, beliau hanya sempat menyentuh 2 amalan sahaja. Yang pertama tahajjud, dan kedua sentiasa membaca al-Quran. Dari petah bicaranya, saya menangkap banyak perkara baru. Mungkin selama ini buta sendiri, mata hakiki dan mata hati. Gelap entah kenapa.

Beliau menceritakan pengalaman bertanya seorang pensyarah yang menghafaz al-Quran sejak berumur 12 tahun. Mereka bertanya, bagaimana beliau boleh merasai pentingnya membaca al-Quran serta boleh mendalami ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran.

Menarik untuk dikongsi. Katanya, ibaratkan membaca al-Quran itu seperti makanan. Setiap hari kita perlu makan, bila lapar pasti secara automatik kita akan mencari makanan. Oleh itu, saya disiplinkan diri saya untuk membaca al-Quran satu hari satu juzuk. Selagi belum habis saya tidak akan makan. Selepas daripada itu, saya cuba fikirkan perkara yang lain pula. Jadi, saya ingin cuba mengkaji dan memahami isi kandungan al-Quran. Rupa-rupanya terlalu banyak ilmu dalam al-Quran yang selama ini saya tidak tahu. Dengan membaca, memahami dan mengkaji al-Quran saya dapat belajar banyak perkara, bukan hanya hukum-hakam, tetapi kejadian alam semesta, langit ,bumi dan sebagainya.

Begitu lebih kurang bunyi kisah mengenai seorang pensyarah mengenai kehebatan al-Quran. Bila dibandingkan dengan diri sendiri, terasa benar kekurangan dan kelemahan ini. Benar kata adik tersebut, kita sekarang membaca hanya mengharap pahala sahaja tanpa mahu mengkaji dan memahami kandungannya. Allahul musta’an. Moga sedikit-sedikit mahu berusaha ke arah itu.


Surat Cinta dari Allah



Saya teringat Dr Radwan Jamal pernah beritahu, “Al-Quran ni ibarat seperti surat cinta dari Allah s.w.t untuk hamba-Nya. Allah beri al-Quran ini untuk membuktikan yang Dia cintakan kita. Apa perasaan kamu bila dapat surat dari ibuayah? Mesti gembira kan? Kamu mesti akan baca dan menghayatinya. Begitulah juga al-Quran. Ia merupakan surat cinta yang Allah sampaikan untuk hamba-Nya sebagai panduan dan peraturan dalam kita menjalani kehidupan”.

Mari kita bertanya sendiri, tidak gembirakah kita menerima surat cinta. Ini bukan surat dari calang-calang orang, surat cinta ini daripada Pencipta kita, Yang amat mengasihi kita. Surat cinta ini daripada Allah s.w.t buat kita. Buat yang mahu menjadi hamba-Nya sahaja.

Saya dapat bayangkan, jika saya dalam perjalanan menuju ke suatu tempat tanpa diberitahu bagaimana untuk pergi dan ke mana arah yang sepatutnya saya pergi. Tentu saya buntu sendiri. Namun jika ada yang kasihankan saya, tentu dia akan memberitahu dan menunjukkan jalan ke sana supaya saya tidak sesat lalu nantinya berputus asa sendiri.

Ya, itu manusia. Kerana kasihan dan rasa ambil berat, dia akan membantu menunjukkan jalan. Tapi bila Allah yang memiliki jiwa dan jasad kita, lebih-lebih lagilah Dia sayangkan kita. Kerana itu Dia tidak biarkan kita keseorangan, melalui kehidupan dunia bersendirian tanpa menunjukkan jalan menuju ke akhirat-Nya. Kerana tanda sayang-Nya itu, Dia berikan kita panduan yang terkandung dalam surat cinta-Nya (al-Quran).

Menjadi Pilihan


Sepatutnya kita perlu merasa bertuah kerana dipilih oleh Allah untuk dipimpin. Saya teringat satu taujih dari seseorang, kalamnya cukup indah.

“ Bukanlah suatu yang pelik jika seorang bos disayangi oleh semua anak buahnya. Bukan suatu yang pelik jika seorang pemimpin disayangi rakyatnya. Dan bukan suatu yang pelik jika seorang wanita digilai ramai lelaki..

Tetapi suatu yang pelik jika seorang bos hanya menyukai seorang anak buahnya. Suatu yang pelik jika seorang pemimpin hanya menyukai seorang daripada rakyatnya. Dan suatu yang pelik apabila seorang wanita hanya menyintai seorang lelaki..

Dan suatu yang pelikkah bila Allah hanya mencintai beberapa orangdi kalangan hamba-Nya yang terpilih. Jadi, tidak mahukah kita menjadi orang yang terpilih di kalangan hamba-Nya itu?”

Subhanallah. Buta lagi mata hati sendiri.

Bagaimanakah agaknya bila hati mula menilai kelebihan dan kecintaan pada manusia lebih daripada cinta Allah. Memang begitu sukar menafsirkan cinta-Nya kerana hanya yang menginginkannya akan cuba mencari dan memahaminya. Walaupun dengan kesusahan dan kepayahan, dia akan mencari juga walau kadang-kadang tersungkur di pertengahan jalan. Ketika itu, Allah akan pimpinnya perlahan-lahan sehingga hati mula merasai bahawa itulah kasih dan cinta Allah. Dia yang menyembuhkan luka, Dia yang membungakan harapan dalam kehidupan dan menghilangkan keresahan akibat luputnya sesuatu dalam kehidupan dunia.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu” (surah al-Hadid: 20)

“Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhan-mu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar” (surah al-Hadidi:21)

Wallahu a’lam

@ wardah al-misk ~

Monday, January 11, 2010

Wanita Menawarkan Diri



Mata meliar mencari-cari tajuk berkaitan ‘gadaian’. Seusai kepenatan mendongak ke rak buku, kaki laju melangkah menuju kaunter untuk meminjam buku. Sedang deras melangkah, mata sempat menangkap sebuah buku berkulit pink keunguan. Seolah menarik saya untuk mendekatinya, tangan ini dengan senang memegang, menarik dan menyelitnya diantara buku-buku yang sedia saya sisipkan di tangan.

“Mausu’ah ahkam al-mar’ah muslimah” (Ensiklopedia Hukum Berkaitan Wanita Islam), Jilid 2.

Menarik tajuknya kerana saya sendiri seorang wanita. Hampir seminggu buku ini setia di meja belajar. Hanya sempat untuk dijeling. Kelapangan selepas solat maghrib lalu mendetikkan hati memujuk buku yang sudah merajuk. Adakah buku merajuk dengan saya?? Ya, mungkin. Sengaja merasa begitu. Buku juga boleh merajuk…

Saya menyelak helaian-helaian muqaddimah. Tertancap mata pada tajuk yang ringkas.

“Wanita menawarkan diri kepada lelaki untuk menjadi isteri”

Subhanallah.
Tiba-tiba teringat seseorang berkisah tentang perkara ini tidak berapa lama dulu.

Salahkah?? Beliau mengakui merasa terlalu malu bila mengingatkan. Saya terfikir semula dan bertanya sekali lagi. Salahkah?? Bukankah wanita juga punyai perasaan. Fitrah yang merupakan hadiah tanda kasih sayang Allah s.w.t buat hamba-hamba-Nya. Cuma terkadang malu mengatasi segalanya. Benar itu. Suatu yang tidak dapat disangkal. Dan terkadang pula, ego lelaki yang tidak mudah menerima kerana kononnya ‘keterbalikan’ ini merendahkan martabat wanita, lalu mencantas hasrat murni tersebut. Syukur andai ada hati-hati lelaki yang melihat dan menilai dari sudut pandangan akal, ilmu dan hikmah. Andai menerima tentu menggembirakan hati. Namun jika menolak pula, ia tidak mengguriskan hati. Senang hati merasai.

Diri kemudian bertanya sendiri, apakah pandangan lelaki jika wanita yang menawarkan diri menjadi isteri untuk lelaki yang dikira soleh?? Soalan yang berputar ligat setelah mendengar kisah beberapa teman.


Saya tersenyum senang membaca tulisan Dr. Nasywah al-Ulwani ini. Bijak beliau mengulas perkara yang melibatkan fitrah dan perasaan wanita. Saya nukilkan sedikit apa yang beliau tuliskan di sini.

Menurutnya, terdapat sebuah hadith riwayat Anas r.hu, beliau menceritakan bahawa suatu hari telah datang seorang wanita kepada Rasulullah s.a.w menawarkan dirinya. Wanita itu berkata: ( Wahai Rasulullah, adakah kamu berhajat kepadaku?). Lalu anak perempuan Anas pun menyampuk ketika Anas sedang menceritakan hadith ini : (Sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya). Lalu dijawab oleh Anas r.a: (Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik daripadamu kerana dia mencintai Nabi s.a.w dan menawar dirinya demi kebaikan). (Sahih Bukhari, kitab nikah, hadith no. 4828).


Sepertimana dikira sunnah perbuatan seorang wanita menawarkan diri kepada lelaki soleh untuk kebaikan, menawarkan anak perempuan atau saudara perempuan sendiri kepada seseorang yang baik pekertinya juga dianggap sunnah. Sebagaimana Saidina Umar r.hu yang pernah menawarkan Hafsah (anaknya) untuk dikahwinkan dengan dua orang sahabatnya iaitu Abu Bakar as-siddiq dan Uthman r.huma.

Ibn Hajar berkata: Hadith tersebut menunjukkan pengharusan menawarkan diri kepada seorang lelaki yang dikenalinya dan disenanginya. Dan lelaki mempunyai pilihan sama ada menerima ataupun menolak. Tetapi, lelaki tersebut sebaiknya janganlah memberitahu secara berterus-terang jika dia menolak, bahkan cukup hanya diam kerana perbuatan diam itu lebih halus untuk mengalihkan pandangan wanita serta lebih beradab daripada menolak dengan kata-kata. Dan perbuatan ini bukanlah sesuatu yang mengaibkan bahkan ia merupakan tanda kelebihan yang ada pada wanita kerana perbuatan menawarkan dirinya adalah untuk lelaki yang soleh dan dia kenali serta senangi disebabkan kelebihannya (lelaki tersebut), ilmunya dan kemuliannya. Adapun jika kerana tujuan keduniaan maka perbuatan inilah yang dipandang buruk. (Syarah Sahih Bukhari, 8/44)

Dan asas kepada perbuatan menawarkan diri adalah hanya dengan tujuan menginginkan kebaikan. Ibn A’bidin mengatakan: Wanita hendaklah memilih suami yang punyai agama, baik akhlaknya, dan janganlah mengahwini lelaki fasik.



Subhanallah..
Bungkamkanlah rasa ‘junun’ bagi yang pernah menawarkan diri untuk lelaki yang dikenali soleh serta baik pekertinya kerana Islam tiada pernah memandang anda begitu. Percayalah, Islam itu indah. Ia tidakkan sekali-kali mencerca dan merendahkan suatu perbuatan yang menginginkan kebaikan.

Pandanglah dengan ilmu dan akal serta hikmah. Sungguh diri mengerti, malu wanita mengatasi segala-galanya kerana malu itu sebahagian emosi yang kuat bagi wanita. Bukankah dengan emosi itu wanita mampu menjadi wanita yang berjiwa kuat? Menjadi ibu yang hebat? Menjadi isteri yang tabah? Lihatlah teladan Rasulullah s.a.w dan para sahabiyyat.

Sungguh, bila mengenangkan semula kata-kata Anas r.hu hati ini menjadi begitu terharu. Pandangan Anas r.hu terhadap wanita tersebut cukup membuatkan diri merasai mulia benar wanita itu. Menawar diri untuk yang dirindu. Buat insan yang agung, bukan semua punyai peluang bertemu.

Indahnya jika diri kita semua boleh mencintai Baginda Sallallahu a’laihi wa sallam sebegitu . Namun, syukur kerana diri masih berpeluang untuk menjadi ikhwan yang Baginda Sallallahu a’laihi wa sallam rindui dan kasihi. Menyimpul harap yang berpanjangan agar diri menjadi salah seorang ikhwannya. Selawat dan salam buat Baginda Sallallahu a’laihi wa sallam..

Wallahu a’lam

“Haza min Fadli Rabbi”
wardah al-misk

Monday, January 4, 2010

Menangis di Atas Tulisan


Dia menangis lagi di atas tulisannya. Mata yang membaca turut merasai. Hati sesaat bertukar menjadi hiba. Sekilas teringat bahawa diri belum sempat lagi bertemu dengannya.

“Maaf adik, belum sempat bertemu. Jangan bungkam di hati masalah tu.”

“ Takpe kak, akak sudi reply pun saya dah bersyukur”.

Entah kenapa saya rasakan beban yang dia lalui begitu besar. Sementelah dia seorang wanita, hati diuji seseorang. Mungkin pertama kali.

Ya, Alhamdulillah hatinya mengaku akhirnya tentang hikmah dan pengajaran. Hakikatnya apa yang kita mahukan, kadang-kadang tidak sama dengan apa yang Allah mahukan. Apa yang Allah mahukan adalah yang terbaik untuk kita. Tetapi apa yang kita mahukan, tidak semestinya terbaik untuk kita.

Saya titipkan untuknya pujukan Allah melalui firman-Nya agar hati dapat melihat ujian dengan pandangan hati, supaya emosi dapat berjalan seiring dengannya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:



“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan
bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku. Hai
Orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu,
sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. (al-Baqarah: 152-156)

Subhanallah.. Ingatlah Allah selalu yang terlalu dekat dengan kita. Janganlah rasa diri keseorangan. Apabila diuji, bersyukurlah kerana Allah mahu kembali mengambil hati kita, mengambil diri kita dari dunia. Kerana itu solat dan sabar itu jalan-Nya. Jalan yang terlalu tinggi mujahadahnya. Bukankah sukar untuk khusyuk dalam solat ketika kesedihan melanda, ketika kesakitan menerpa dan ketika kesusahan berselimut kehidupan? Kerana kesusahan-kesusahan inilah yang akan membuahkan kesabaran, dan kesabaran tersebut merupakan darjat yang sangat tinggi.



“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan,
kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”. (al-Baqarah: 155-157)

Ya, Allah sudah memberitahu kita bahawa setiap kita akan diberi ujian berupa ‘sedikit’ ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan sebagainya. Jika kita rasakan ujian kita besar, ingatlah ada yang lebih berat lagi ujiannya. Kita hanya lalui ‘sedikit’ sahaja. Bukankah ini merupakan nikmat dan bukti kasih sayang Allah. Allah mahu berikan rahmat dan petunjuknya buat hamba-hambanya yang diuji.

Tidak tergambar dalam hati sendiri betapa mendalamnya kasih Allah s.w.t. Apabila kita bebas dari masalah, selalu sahaja lupa mengingat Allah. Lupa bersyukur dengan nikmat-Nya. Selalu jauh dari-Nya. Ya, kita berubah menjadi seorang yang lupa diri.

Kerana itu, Allah berikan kita sebuah ujian untuk kita merasai nikmatNya, kembali mengadu kepada Allah. Merasai manisnya meminta dan mengharap hanya kepada Allah. Di bawah teduhan rahmatnya, saya meminta Allah tenangkan hati sesiapa yang resah, membantu saya meredakan hati sesiapa yang mahu saya menjadi pendengar hati dengan bantuan dan pujukan kalam Allah.

“ Sudah tenang sedikit, saya bersyukur sebab perkara yang tidak baik luput dari hidup saya. Cuma saya sedih sebab saya nakkan benda yang baik.”

“kebaikan perlu dicari. InsyaAllah akan dating nantinya. Kuatkan semangat.”

Hanya itu yang terakhir. Mungkin diam memujuk hati sendiri. Semoga dia tenang.

__________

Nota hati:

“ Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik hati kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia”~ Nota Hati ustaz Pahrol Mohd Juoi


Ya Muqollibal Qulub, Thabbit Qulubana ‘ala Deenik..
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati manusia, tetapkanlah (teguhkanlah) hati kami dalam agama-Mu.

Wallahu a’lam
wardah al-misk


Tuesday, December 15, 2009

Belajar Dari "Sang Murabbi"

Kematian hati
Banyak orang tertawa sedang maut mengintainya
Banyak org yang cepat datang ke sof solat
Tapi ternyata cepat pula dia pergi
Dingin tanpa penghayatan

Banyak orang yang sedikit beramal
Tapi disebut-sebutnya banyak sekali

Merendahlah
Engkau kan seperti bintang gemintang
Berkilau dipandang orang di atas riak air
Dan sang bintangpun jauh tinggi

Janganlah seperti asap
Yang mengangkat diri tinggi di langit
Padahal dirinya rendah hina ~ Ustaz Rahmat (Filem Sang Murabbi)

Mutiara
Sungguh, pertama kali saya menonton filem Sang Murabbi, saya sukakan pengisiannya. Pengisian dan mutiara nasihat dari Ustaz Rahmat yang saya kira cukup memberikan semangat buat aktivis dakwah.

Monolog hati Ustaz Rahmat di atas ini saya tuliskan kembali. Tersentuh saya membacanya. Adakah saya seperti bintang ataupun saya seperti asap? Adakah saya di kalangan orang yang masih tertawa dan lupa akan kematian? Adakah saya di kalangan orang yang dingin penghayatan solatnya?
Nauzhubillahi min zalik.. Ya muqollibal qulub thabbit qalbi a’la deenik..

Di mana satu tempat kita, itulah yang seharusnya kita muhasabah kembali.



Dengan Hikmah
Saya pernah mendengar, menasihati ahli keluarga lebih sukar berbanding rakan sendiri. Di dalam filem ini, ustaz Rahmat juga menghadapi situasi yang sama, punyai seorang adik yang dirisaukan oleh ibunya. Adik ustaz Rahmat bergelut dan memukul teman-teman sabungan ayamnya. Lalu kata-kata inilah yang keluar darinya,

“ Luka tamparan kau semalam mungkin esok boleh hilang, tapi luka di hati tidak boleh hilang. Dia kata engkau sudah minta maaf, mungkin di depan dia maafkan kerana dia takut. Dua orang yang kau tampar semalam akan sakit hati selama-lamanya. Itu yang diminta amalan kau di akhirat. Ya, kalau amalanmu banyak”

“Ini kandang ayammu, jangan ayam sahaja yang kau kandangi, kandangi juga nafsumu”.

Luka luar boleh sembuh, tapi luka di hati susah untuk sembuh. Atau juga ia akan membekas sehingga bila-bila. Sebab itu kita perlu menjaga kata-kata. Orang kata, lidah lebih tajam dari mata pedang. Disebabkan lidah itu lebih tajam dan kuatnya orang merasai sakit hati, kita perlu menjaga kata-kata dari kata nista dan tohmahan keji. Begitu juga jangan terlalu bermudah-mudah menyakiti hati manusia lain kerana luka yang digilis oleh mata lidah terlalu sukar untuk dibuang parutnya. Subhanallah, semoga kita menjadi orang yang sabar dan saling memaafi.

Ingati dua, lupakan dua
“ Ada dua hal yang harus kau ingat; kebaikan orang lain kepadamu dan keburukan kamu kepada orang lain. Dan dua hal yang harus kau lupakan; kebaikanmu kepada orang lain dan keburukan orang lain kepadamu”.

Begitulah hikmahnya nasihat seorang abang buat adiknya. Kesabaran dan kelembutan dalam memberi nasihat, jangan sehingga boleh memutuskan silaturrahim antara ahli keluarga. Sungguh kita perlu belajar lagi.

Antara tanggungjawab dan kesenangan
“Sakit memang sakit. Siapa yang tidak sakit bila perlu berkongsi dengan orang lain. Saya yakin setiap perempuan pasti ada yang dia rasa”.

“ Ummahat tidak mampu jika tiada bantuan dari para ayah. Jika abi berdakwah dari pagi sampai ke pagi insyaAllah, para ummi redha. Tapi bukankah syeikh al-Banna juga menyiapkan makanan pagi untuk anak-anaknya, waktu dan memperhatikan keperluan anak-anaknya. Bukankah harusnya seperti itu. Sekarang bagaimana para abi hari ini?”.

Saya dua kali memikirkan dialog ini, dialog seorang ummi yang datang ke rumah bertemu isteri dan ustaz Rahmat. Seusai dialog ini, Ustaz rahmat bermonolog:
“ Kalau hanya berdakwah kita memang boleh, tapi adakah kita boleh cinta kepada dakwah? Cinta itu perlukan pengorbanan waktu, tenaga dan harta. Allah telah menggiring kita pada keimanan dan dakwah itu adalah suatu kebahagiaan yang besar. Apakah perlu kita mengharap balasan yang lebih dari itu, apalagi bila berupa jabatan, kesenangan dan kemewahan."

Masya Allah.. Dakwah memang memerlukan pengorbanan. Pengorbanan diri sendiri dan ahlul bait. Kesefahaman dalam menggalas tanggungjawab bersama. Bagaimana pula jika dalam keadaan seseorang diuji dengan kesemua situasi serentak.

Seorang ummi bertanya, “ Bagaimana keadaan isteri yang diuji dalam keadaan satu sisi dia perlu berkorban dan satu sisi pula dia perlu bersabar”.

“Kita diuji Allah dengan hal yang sama. Jika kita belum terlepas dari ujian itu, Allah akan uji lagi. Bagaimana kita perlu selesaikan perkara ini?
Ya, kita perlukan kesabaran, pengorbanan dan keikhlasan”.

Analogi monyet
“Ada seekor monyet naik ke puncak pokok kelapa. Lalu datang 3jenis angin yang kencang. Semakin kencang semakin kuat tangan monyet tersebut mencengkam.
Lalu datang satu jenis angin yang sepoi-sepoi datang menyelinap ubun-ubun, monyetpun menggeliat dan mata mengantuk kemudian jatuh dari pokok”.

Ibaratnya begitulah lapangan dakwah. Jika kita diuji dengan kesempitan, kesedihan dan kemiskinan, maka kita akan jadi kuat. Tapi jika kita diuji dengan kesenangan, dalam sekelip mata jatuh kita”.

Subhanallah.. analogi yang saya kira cukup untuk kita teladani dalam setiap jejak kehidupan kita. Kehidupan yang perjalanannya sangat panjang. Kesempitan, kesedihan dan kemiskinan menjadikan kita kuat. Alhamdulillah.

______________

Jika dikumpulkan, banyak benar yang diri sendiri terlepas pandang. Filem sang Murabbi cukup buat diri sendiri belajar bahawa masih kurang sumbangan diri sendiri terhadap Islam.

Banyak perkara yang menggugurkan kita dari jalan ini. Kesenanganlah yang paling mudah menjatuhkan kita seperti analogi monyet tadi. Jika kita berada di lapangan dakwah, adakah kita sanggup mencintai dakwah itu. Jika kita menjadi murabbi kepada anak-anak, adakah kita boleh menjadi murabbi yang sanggup berkorban dan bersabar dengan segala kerenah dan ujian yang diberikan Allah s.w.t buat kita. Subhanallah, diri sendiri lemah, kerana itu kita perlu sentiasa memohon kekuatan dari Allah s.w.t dalam setiap langkahan kaki kita.

Wallahu a’lam

almisk IIUM

Monday, December 14, 2009

Gagahkan Diri


Sudah beberapa hari tidak menjenguk di sini, hanya lalu meninggal jejak sahaja sejak seminggu lalu. Sudah pulang ke uia lewat sehari dari biasa. Seusai sampai, terasa penat letih dan semuanya berbaur menjadi satu. Semester baru dan terakhir insyaAllah, mawad yang perlu diambil sedikit tetapi kepenatannya yang sama. Itu sahaja yang mampu saya katakan.

Beginilah apabila nikmat sihat ditarik. Gagahkan juga diri untuk melakukan kerja-kerja biasa. Nikmat yang sehari-harian, yang mungkin saya sendiri lupa mahu bersyukur dan menghargainya. Allah.. ingatkan diriku ini.

Sukar untuk melakar dalam keadaan tiada punya apa-apa di fikiran ini. Taraddud yang bermacam-macam jenis datang menyerbu. Entah yang mana satu perlu diutamakan. Hanya memohon inayah dan petunjuk Allah s.w.t hendaknya.

Seorang teman mengadu merasa sedih. Atas sebab apa saya tidak tahu. Teman menilai diri yang kerdil ini seorang yang kuat semangat. Entah.. saya sendiri gerutu. Kuat semangat bagaimana? Adakah kerana saya nampak biasa dan tidak bersedih-sedih. Sungguh saya juga manusia biasa, bersedih terkadang. Namun, janganlah jadikan kesedihan sebagai kunci untuk menutup pintu kebahagiaan.

Jika berseorangan itu mampu meraih kembali ketenangan rasa, bersendirilah. Daripada dikelilingi ramainya orang yang sibuk dengan ‘akhbar berjalan’ serta gosip-gosip yang tiada faedah.

Ya, kita harus belajar berjalan di atas kaki sendiri. Hingga kita yakin bahawa kita tidak berseorangan. Ingatkah satu kisah yang tersebut dalam firman-Nya yang bermaksud:


Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah
menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita." Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana (at-Taubah:40)

“Sesungguhnya Allah berserta kita..”

Saya amat suka kalimah ini. Ia boleh melunturkan rasa putus asa apabila kita rasa berseorangan. Berkali-kali diulang ia semakin meredakan kesedihan sendiri. Ingatlah selalu ayat ini apabila ditimpa kesedihan. Allah masih ada bersama kita.

Ketaatan dan kemaksiatan
Suatu pagi, saya mendengar kulliyyah tafsir ustaz Zahazan di radio IKIM. Saya menancap satu kata-kata yang saya kira begitu terkesan untuk diri saya sendiri yang selalu mengadu penat.

“ Ketaatan itu memang payah, tetapi kepayahan itu hanya sekejap sahaja. Tapi nantinya di akhirat ganjarannya lebih hebat dan kekal. Adapun, kemaksiatan pula seronok dilakukan. Tetapi keseronokan itupun hanya seketika, nanti di akhirat pembalasannya lebih dahsyat”.

Menyorot kembali hari-hari yang berlalu, sudah terlalu banyak lubang yang tidak terisi dengan kebaikan. Maksiat yang sentiasa memburu terlalu mudah diikuti. Saya teringat kata-kata ustaz Pahrol mengatakan bahawa:

“ Nafsu adalah hamba yang baik, tetapi tuan yang sangat buruk”.

Saya bertanya diri sendiri, adakah nafsu saya menjadi tuan atau adakah nafsu saya menjadi hamba kepada diri saya? Sebolehnya, setiap masa kita sendiri perlu bertanya dan menjawab. Menjawab dengan ketaatan yang amat payah untuk dilaksanakan.

Sukar bukan untuk bangun solat subuh sedang orang lain masih berdengkur, berselimut dan melayan tidur dan mimpi yang indah-indah. Kita pula perlu bangun dalam sejuk pagi menuju ke tempat wudu’, membersihkan diri dan mengambil wudhu’ lalu melaksanakan solat fardhu subuh dua raka’at. Memang payah... Namun ingatlah, kepayahan itu hanya seketika. Dunia ini bukanlah lama mana. Janganlah mengira bahawa sehari di sini sama dengan sehari di sana. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:


“Sesungguhnya sehari disisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut
perhitunganmu” (surah al-Hajj: 47)

Begitu pula dengan kemaksiatan. Seronok melakukan kemaksiatan, tetapi keseronokan itu hanya sekejap. Sejam dua jam. Selepas itu hilang. Tetapi pembalasan di akhirat nanti menanti dalam kiraan hari yang lebih lama. Allahu a’lam. Segala yang gha’ib kita imani bersandarkan kepada nas al-Quran dan as-sunnah as-sohihah, dengan keimanan bahawa semua ada dalam ilmu Allah.

Semoga dapat memuhasabah diri sendiri setiap hari. Agar tidak selalu mengeluh kepenatan dalam ketaatan serta bermujahadah dalam menahan diri dari melakukan kemaksiatan.

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia)." (ali Imran:8)

"Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."(ali Imran: 147)

Wallahu a’lam
almisk iium

Tuesday, December 1, 2009

Bercinta Dengan al-Quran

“ Novel tu saya dah baca kak. Pinjam dengan kawan. Akak ada novel lain?”

Saya mencadangkan beberapa buah novel islami dan meminjamkan kepadanya. Saya bukanlah seorang peminat novel, teramat memilih jika berkesempatan untuk membelek.

Mengumpul buku satu hobi yang memuaskan hati saya. Melihat susunan buku yang tidaklah berapa banyak sungguh menyedapkan mata saya sendiri. setiap kali habis membaca, saya akan letak dan susun semula di rak buku meja belajar.



Untuk membacanya kali kedua, saya hanya membuka bahagian-bahagian yang menarik sahaja. Entah kenapa 'mood' untuk kembali mengulang bacaan menghilang dan tiada rasa teruja seperti ketika buku masih berbalut kemas dengan plastik. Mengapa begitu ye?

Pernahkah anda lalui sebagaimana yang saya rasakan. Berbeza sungguh apabila kita membaca al-Quran al Karim. Sejak umur mengenal muqaddam, saya kemudian mula belajar al-Quran ketika umur 7tahun dan khatam ketika umur 12 tahun. Dan sehingga kini entah berapa kali sudah diulang-ulang bacaan al-Quran itu, saya tidak pernah kenal satu perasaan bernama bosan.

Anda pula bagaimana? Bolehkah berkongsi dengan saya.

Sungguh saya katakan ini. Bukan pandai-pandai, tetapi itulah hakikat dan istimewanya al-Quran. Apabila saya merasa sedih, kemudian saya membaca al-Quran kerap kali saya bertemu dengan ayat yang seakan memujuk saya.

Apabila saya tidak memperolehi apa yang saya rasakan baik untuk saya, dan hati seperti mahu menolak hakikat, Allah datangkan pujukan dan nasihat dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”. (al-Baqarah: ayat 216)


Apabila saya ditimpa musibah, Allah memujuk lagi dengan janji-janji-Nya:

"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: ayat 155)

(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" (al-Baqarah: ayat 156)


Subhanallah.. hati saya menjadi tenang. Airmata mula mengalir kerana terharu dengan hakikat yang Allah berikan kepada saya. Inilah al-Quran, sebuah kitab yang diturunkan untuk kita sebagai hidayah dan petunjuk.

Apabila diamati mengenai kesan bacaan al-Quran terhadap jiwa manusia, rupa-rupanya ia merupakan salah satu bentuk mukjizat al-Quran. Mukjizat yang tiada pada kitab-kitab dan buku-buku lain.

Dua Golongan
Memetik dari tamhid di bawah tajuk "al'i'jaz at-ta'thiri wa annafsi fi al-Quran" di dalam kitab Risalah fi i’jaz al-Quran oleh Dr Radwan Jamal (pensyarah di jabatan al-Quran dan as-sunnah uiam), di antara bentuk mukjizat al-Quran adalah kesan yang sampai ke dalam jiwa manusia sama ada kepada orang yang kafir ataupun mukmin. Terdapat dua golongan manusia apabila dibacakan kepadanya al-Quran:

1- orang mukmin yang khusyu’ maka bertambahlah iman dan keyakinan kepada Tuhan mereka, lalu melaksanakan perintah Tuhannya.

2- Golongan yang hatinya berkocak, bertambah kedegilan mereka dan enggan tunduk dan patuh kepada kebenaran, dan mereka kekal dengan keadaan sebegitu sehingga mati.


Lalu kita dari golongan yang mana? mudah-mudahan kita di golongan yang apabila membaca dan mendengar al-Quran lalu bertambahlah iman, keyakina dan kepatuhan kepada perintah Allah s.w.t.


Peringkat at-Ta'thir bil Quran (Merasai kesan bacaan al-Quran)
Apabila kita membaca al-Quran, bagaimana untuk kita sampai kepada kesan yang disebut sebagai mukjizat al-Quran ini, kesan kepada jiwa manusia. Digariskan di dalam kitab yang sama (Risalah fi i’jaz al-Quran) beberapa tahap untuk sampai kepada at’ta’thir bil Quran:

1- Menghadirkan iman untuk memahami dan mentadabbur al-Quran dengan mengambil kira adab-adab membaca al-Quran.

2- Membaca al-Quran dengan khusyu’, kemudian mentadabbur setiap kali berhenti dari setiap ayat.

3- Saling menghubungkaitkan antara bacaan dan juga makna ayat.

4- Sekiranya ada perkataan yang gharibah (pelik atau jarang digunakan), maka hendaklah merujuk kepada tafsir ringkas yang menjelaskan maknanya.

5- Cuba mempraktikkan setiap ayat yang dibaca dalam kehidupan serta mengeluarkan pengajaran dari kisah-kisah umat terdahulu, menulisnya dan merujuk kepadanya selepas merujuk kitab tafsir salaf.

6- Menghafaz ayat-ayat al-Quran sebagaimana yang dilakukan oleh salafuna soleh seperti Abdullah Ibn mas’ud Radhiyallahu anhu yang menghafaz 10 ayat al-Quran dan dia tidak berpindah kepada ayat berikutnya sehinggalah beliau mengamalkannya di dalam kehidupan.

7- Mendalami tafsir ayat-ayat tersebut melalui kitab-kitab tafsir mu’tabar seperti tafsir attabari, tafsir Ibn Kathir, tafsir Fi Zilal al-Quran dan sebagainya.

Sungguh hairan jika al-Quran dibiarkan suci dalam debu. Bagaimanakah hatinya boleh tenang apabila tidak dilalukan bibirnya dengan bacaan al-Quran setiap hari. Pastikah dia tenang?


Subhanallah... Marilah berdamping dengan al-Quran. Jika boleh kita bercinta dengannya, bercintalah. Tiada yang kurang padanya. Kalam suci Allah s.w.t menjanjikan pelbagai nikmat kepada kita. Ia bukan hanya kitab ilmu yang khusus, ia bukan hanya buku cerita, ia bukan hanya buku undang-undang, Ia adalah segala-galanya.


Kisah al-Fudhail bin Iyyad
Mari kita lihat apa yang pernah berlaku terhadap al-Fudhail bin Iyyad, (lahir 107H dan wafat 187H). Beliau hidup sezaman dengan Sufiyan bin Uyainah, seorang muhaddis.

Al-Fudhail dahulunya seorang perompak jalanan, lalu membunuh orang yang musafir dan merampas harta mereka. Kemudian Allah mengurniakan hidayah kepadanya lalu dia bertaubat. Sebab taubatnya bermula apabila beliau merasa ingin bertemu dengan kekasihnya. Ketika mana dia sedang memanjat tembok untuk menemui kekasihnya, dia mendengar seseorang membaca sepotong ayat al-Quran:

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ (الحديد:16)

Maksudnya: Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik" (al-Hadid:16)


Selepas mendengar ayat tersebut, diapun berkata “sekaranglah masanya”, maka jadilah dia orang yang bertaubat disebabkan ayat tersebut. (Rujuk tafsir al Jami' li Ahkam al-Quran: Imam al-Qurthubi)


Kita Bagaimana
Subhanallah.. Sehingga begitu sekali kesan ayat al-Quran terhadap hati seorang al-Fudhail bin Iyyad yang awal hidupnya sering melakukan maksiat. Lalu kita bagaimana? Saya sendiri bagaimana? Alangkah tidak tahunya saya, sementelah setiap hari membuka dan membaca al-Quran, terkadang masih ternoda juga hati sendiri.


Di hari-hari yang berlalu dan akan berlalu, andai bercinta dengan al-Quran boleh membahagiakan kita, apalah salahnya kita luangkan masa kita dalam sehari untuk membaca dan mentadabburnya.Semoga kita akan menjadi salah seorang yang disebut di dalam Firman Allah s.w.t:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal” (al-Anfal: 2)

Wallahu a’lam


Al-misk IIUM
“Haza min Fadli Rabbi”

Thursday, November 26, 2009

Golongan 'TL' Sombong??

Sedang membelek buku di meja belajar, telefon bimbit bergetar. 1 mesej diterima.

Saya membaca soalan yang diajukan. Seorang teman meminta pandangan tentang perkara ini: ‘sister tudung labuh (TL) tak nak kawan dengan sister tudung biasa?’

Seusai membaca mesej, soalan itu saya tujukan pula buat diri saya.

Oh, bagaimanakah idea soalan seperti ini boleh terkeluar? Mengapa ada yang boleh berfikir begitu. Astaghfirullahal azhim.. Apakah ini ujian buat muslimah yang memilih untuk bertudung labuh?

Saya gerutu memikir jawapan. Benarkah begitu?
Saya bertanya balik pandangan orang yang menghastar sms tersebut memandangkan dia juga pernah bermuamalah dengan golongan TL. Respon yang positif darinya. Namun, ada cakap-cakap belakang yang kurang enak tentang golongan tudung laduh (TL) mengundang persoalan ini lalu ditujukan buat saya tentang kebenarannya.


Apabila saya memikirkannya semula, memang tidak wajar golongan TL dihukum sebegitu rupa, mengapa menilai dari jauh tanpa mendekati dan meneliti sebelum membuat kesimpulan.

Analogi
Seperti sebuah kapal di tengah lautan, seorang pemerhati yang tidak pernah menaiki kapal tersebut hanya memerhati dari tepian pantai sambil membuat kesimpulan bahawa tentu nakhodanya seorang yang kurang bijak ketika mengemudi kapal. Penumpang-penumpang pula sudah tentu tidak senang dengan pengurusan kapal tersebut kerana yang mengemudi kapal tidak cekap.

Nah.. ini kesimpulan dari pemerhatian secara rawak. Adakah natijahnya betul?

seingat saya jika belajar sains ketika UPSR dahulu ada istilah pemerhatian, kebarangkalian, hipotesis dan beberapa lagi yang saya sudah kurang ingat. Selepas itu semua baru kita sampai kepada kesimpulan. Apabila hanya pemerhatian sahaja dilaksanakan tanpa menjalankan ujikaji, maka kesahihan kesimpulan yang dibuat mungkin betul dan mungkin tidak.

Kebarangkalian lain untuk pemerhatian tadi juga adalah nakhoda kapal tersebut sangat bagus mengendalikan kapal, dan para penumpang pula sangat senang dan selesa sepanjang pelayaran. Jika jawapan untuk kebarangkalian ini benar maka kesimpulan pemerhati tadi sudah tidak tepat. Maka, apakah kesannya? Anda boleh tolong fikirkan untuk saya bukan?

Analogi ini perlu juga dilakukan pada apa-apa perkara lain termasuklah isu yang sedang saya lalui ini. Pada fikiran saya, seseorang tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan pemerhatian semata-mata. Memerhatikan dari jauh sebelum mendekati, beramah mesra dan bertegur sapa dengan golongan TL lalu membuat andaian yang menyalahi hakikat.

Saya tidak menyalahkan mereka yang berfikiran begitu. Mungkin itu kesilapan mereka. Ataupun mungkin mereka hanya memerhati sebahagian dan membuat kesimpulan untuk majoriti.

Terkadang hati sendiri terguris mengapa ‘mereka kata apa yang mereka tidak tahu’... ini tidak adil bagi golongan TL. Dipersalahkan disebabkan hanya berkawan di lingkungan ‘tudung labuh’ sahaja menyebabkan orang yang ‘bertudung biasa’ segan mahu mendekati.



Wahai saudari sekalian,
Bukankah paksi kita Al-Quran dan as-Sunnah, yang menyatukan kita adalah Iman kepada Allah s.w.t . Tiada ukuran pada besar mana saiz tudung, apa yang paling penting ialah memenuhi perintah Allah s.w.t iaitu menutup ‘aurat dengan sempurna’. ‘Sempurna’ itu adalah asas dan tujuan akhirnya, manakala ‘labuh’ itu adalah cara. Cara boleh berubah, namun yang tetap dan perlu dijaga adalah ke’sempurnaan’nya.

Perbezaan antara tujuan (hadaf) dan cara (wasilah)
Begitu juga apabila kita beramal dengan hadith Rasulullah s.a.w, kita perlu membezakan antara tujuan akhir (hadaf) dan cara (wasilah). Tujuan itu tidak berubah, namun cara boleh diubah.

Contohnya apabila Rasulullah s.a.w menggalakkan kita bersiwak menggunakan kayu ‘arak’(sugi), adakah jika menggunakan berus gigi dan ‘ubat gigi’ tidak termasuk di dalam sunnah?

Rasulullah s.a.w menyambung dengan sabdanya yang bermaksud: “... sesungguhnya siwak itu membersihkan mulut, membawa kepada keredhoan Allah”.

Tujuan akhir (hadaf) daripada sabda Rasulullah s.a.w adalah membersihkan mulut serta mendapat redho Allah. Dan tujuan ini kekal dan tetap sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi sehingga bila-bila. Namun cara bagaimana bersiwak itu boleh berubah mengikut zaman.

Disebut siwak di dalam hadith kerana hanya kayu ‘arak’ sahaja wujud ketika zaman Rasulullah s.a.w. Adapun apabila zaman semakin berubah, maka cara pun boleh berubah. Sekiranya kita menggunakan berus gigi dan ubat gigi juga masih dikira mengikut sunnah kerana ia tetap menuju kepada tujuan yang satu iaitu membersihkan mulut. (Boleh rujuk kitab tulisan Dr Yusuf al-Qardhawi- Mabadi' at-ta'mul ma'a as-sunnah)


Kesimpulan

Mengharap benar ramai yang memahami situasi golongan TL ini. Belajarlah untuk tidak menghukum orang lain secara membuta tuli kerana tanpa sedar ia boleh mengguriskan hati orang yang tertuju. Apa yang diharapkan adalah bersangka baiklah kita sentiasa walau dengan sesiapa pun. Elakkan bercakap sebelum membuat penilaian. Bukankah husnu zon itu dituntut.


Golongan TL juga manusia biasa. Semoga kita semua berusaha mentaati perintah, suruhannya yang utama dan asas untuk muslimah agar menutup aurat ‘dengan sempurna’.

Cukuplah sekadar ini. Kita serahkan segala urusan kepada Allah s.w.t untuk menilai. Semoga dibukakan hidayah dan taufiq untuk kita semua..Amin.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
(Dia) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun [ al-Mulk : 2 ]

Wallahu a’lam...

al-misk
'Haza Min Fadli Rabbi'

© Laman asal: jalan-sehala.blogspot.com


Wednesday, November 25, 2009

RINDU: Faktor dan Solusi


"Hati-hatilah dengan perasaan rindu kerana ia boleh menimbulkan kecemasan dan kesedihan yang berlanjutan”

Demikianlah sebuah rasa bernama ‘RINDU’ yang diungkapkan kebarangkalian kesannya terhadap jiwa-jiwa manusia yang kosong dari dzikir dan jauh dari taqwa kepada Allah s.w.t. Tulisan ini dipetik dari sebuah buku karangan Dr Aidh Abdullah al-Qarni di dalam buku beliau yang masyhur iaitu “La Tahzan”.

Majoritinya pernah dihambat rasa rindu, tidak kiralah kepada siapapun ianya ditujukan. Jika rindu itu tertuju pada yang hak, indahlah ia. Memekarkan kuntuman taat dan taqwa kepada Allah s.w.t. Namun, apabila rindu yang mengalir melalui relung-relung jiwa yang kosong dari dzikir, sementelah ditujukan kepada yang tiada disisi dan tiada berasas pasti, inilah yang perlu diberi perhatian. Silap langkah rindu yang mengalir itu secara tiba-tiba bertukar menjadi kecemasan dan kesedihan.

Apakah faktor dan solusi terhadap sebuah perasaan yang dikurniakan buat manusia yang normal, dikurniakan pula akal fikiran untuk memandunya.

Dikongsikan solusi terhadap masalah yang datang menyelirati hati secara tiba-tiba melalui rujukan dari karya Ibnul Qayyim di dalam karyanya “Ad-Daa’ wa ad-dawaa’”. Penulis bukan mengambil dari kitab asal tetapi hanya menaqal dari buku “La Tahzan” juga. Bagaimana menghadapi suatu rasa bernama ‘rindu’ jika tiba-tiba ia mengalir dalam relung hati dan jiwa, lalu cuba merosakkan kekhusyukan ibadah.

FAKTOR penyebab kerinduan yang membara:

1- Kosongnya hati dari rasa cinta kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, zikir kepada-Nya, syukur atas nikmat-Nya dan dari ibadah kepada-Nya.

2- Sikap meliarkan pandangan mata. Kerana mata yang liar boleh menimbulkan kesedihan dan kecemasan dalam hati.

Firman Allah s.w.t dalam surah an-Nur ayat 30:
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ
“Katakanlah kepada orang-orang yang beriman agar mereka menundukkan pandangan mereka”.

Rasulullah s.a.w bersabda :
النظرة سهم من سهام إبليس
“Pandangan mata merupakan panah dari panah-panah iblis”-al-Hadith

3- Sedikitnya bahagian Ibadah, berdzikir, berdoa dan solat sunat.
Firman Allah s.w.t:
إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ
…..Sesungguhnya solat itu akan mencegah dari perbuatan keji dan mungkar (surah al-ankabut: 45)


PENAWAR kerinduan yang membara:
1- Menyibukkan diri dengan beribadah kepada Allah s.w.t dan memohon kesembuhan dan kesihatan kepada-Nya.

2- Menjaga pandangan mata dan kemaluan.
Firman Allah s.w.t:
وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ
“…dan agar menjaga kemaluan mereka” (an-Nur:30)

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ
“Dan orang yang menjaga kemaluan mereka”(al-Mukminun:5)

3- Meninggalkan tempat di mana orang yang dirindukan berada dan menghindarkan diri dari mengingatnya.

4- Menyibukkan diri dengan amal soleh.

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا

“ Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yangs elalu bersegera dalam mengerjakan kebaikan dan mereka berdoa kepada kami dengan harap-harap cemas”
(al-Anbiya’:90)

5- Menikah secara syar’ie:
Firman Allah s.w.t:
فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ
“.......dan nikahilah wanita yang engkau sukai....(an-Nisa’:3)
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

يا معشر الشباب من استطاع منكم الباءة فليتزوج

“Wahai para pemuda, barangsiapa di antara kalian yang sudah memiliki kemampuan zahir dan batin hendaklah ia menikah”

________

Demikianlah sedikit perkongsian. Setiap sesuatu yang Allah ciptakan pastinya disertakan sekali panduan kerana Dia tidak akan membiarkan kita sesat tanpa petunjuk melainkan kita yang membiarkan diri kita sesat dan lari dari petunjuk.

Apabila hati dipenuhi taqwa, dzikir dan jiwa adalah jiwa yang dekat kepada Allah s.w.t, nescaya kebenaran akan menghiasinya sehingga tak terhirau lagi debu-debu palsu dunia.

“ Jika kamu ditimpa suatu godaan dari syaitan, maka mohonlah perlindungan kepada Allah..” (al-A’raf:200)
Wallahu a’lam

Sunday, October 25, 2009

Rindukan...




Bismillahirrahmanirrahim

Beberapa hari sudah hati tidak tenang entah kenapa. Menunggu waktu solat maghrib di masjid, saya menaip kata-kata di handset:
“ rindukan ketenangan, kesejahteraan dan keampunan”
Namun saya tidak tahu mahu tujukan buat siapa. Tidak tahu mahu mengadu dengan siapa.

Ya, ia memang sebahagian lirik lagu ‘Rindu’ oleh Hijjaz. Tiba-tiba ia meluncur deras dalam relung hati saya. Mungkin saya rindukan untuk memiliki hati yang bersih, tenang dan merindukan keampunan Allah lantaran merasa sudah terlalu berat hati menanggung.

Allahu akbar..
Tiba-tiba Dia menghantar sebuah ketenangan apabila seorang teman menelefon dan bertanya khabar saya. Menganggap seolah-olah ia adalah keajaiban dalam hidup dan hari-hari kesedihan, saya menangis seusai mahu mengakhiri perbualan dengannya. Rupa-rupanya saya rindukan buah nasihat dari seseorang. Dan malam itu saya memperolehinya.


Alhamdulillah, syukur atas kurniaan Allah berupa seorang sahabat yang sudi mendengar segala keluh-kesah dan bersikap sangat baik dengan saya. seorang teman yang tidak jemu-jemu membasahkan lidah untuk menasihati saya. Walaupun kiranya saya akui, diri ini bukanlah di antara teman yang baik buat mereka.


Pagi ini, saya membaca sebuah artikel tulisan ustaz Pahrol Mohd Juoi. Saya menyenangi tulisan beliau yang santai dan bersahaja.
Nikmatnya Syurga Dunia

Baru saya memahami apa itu syurga dunia, ia adalah ketenangan hati. Sepertimana kata ahli sufi:

“Carilah syurga yang disegerakan di dunia (aljannatul Ajilah) yang berupa
ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi,
maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!”

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
“Tidaklah orang itu kaya lantaran banyak harta. Sesungguhnya orang kaya itu ialah orang yang kaya jiwa.”

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda lagi:
“Bukanlah dinamakan kaya itu kerana berlimpah ruahnya harta, tetapi yang dinamakan kaya itu ialah kaya jiwa.”

Kayakah saya dengan jiwa yang penuh redho, sabar, syukur dan berlapang dada tanpa menyalahkan diri sendiri, orang lain ataupun takdir sejurus menerima musibah. Kerana takdir itu mengatasi tadbir, ia membuktikan lemahnya manusia dan perlunya menyerahkan segala urusan kepada Allah s.w.t setelah berusaha dengan sedaya kudrat yang ada.

Jika ditimpa musibah, dengan mudah lidah mengucapkan “innalillah wa inna ilahirajiun…” – ertinya kami datang dari Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan.

Sebuah ucapan istirja’ yang mendidik kita menjadi hamba yang patuh, tabah dan berlapang dada dengan ketentuan. Sebagai hamba, bukanlah kemahuan kita menentukan apa yang kita akan perolehi, tetapi apa yang kita perolehi adalah kemahuan Allah untuk kita.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“ Boleh jadi kamu tidak menyenagi sesuatu, padahal itu baik bagi kamu.
Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagi kamu. Allah
lebih mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah: 216)



Subhanallah.. bukankah ayat ini menenangkan hati ketika kita tidak memperolehi apa yang kita mahu dan impikan. Allah tidak akan memberi apa yang kita minta, tetapi pasti memperkenankan apa yang kita pinta.




Memberi dan memperkenankan itu berbeza:
Jika ‘memberi’ bermakna apabila kita meminta, maka segala yang kita minta akan diberikan sama ada ia baik ataupun buruk.

Namun jika ‘memperkenankan’ bermakna kita akan dikurniakan apa yang baik untuk kehidupan kita dunia akhirat walaupun ia bukan sesuatu yang pernah kita pinta.
Hakikatnya, kita hanya hamba. Sangat lemah, faqir, memerlukan dan meminta hanya kepada ar-Razzaq, ar- rahman dan ar-Rahim.

Wallahu a’lam

© Laman asal: jalan-sehala.blogspot.com

“Haza min fadli rabbi”

Saturday, October 17, 2009

CINTA: Remaja Bertanya

“ Kak wardah, boleh nak tanya satu soalan”. Seorang adik dari sebuah sekolah bertanya.
“ Boleh”.
Adik tersebut menyambung:
“ Bila kita dalam suasana yang faham bahawa bercouple itu haram, macam mana kita nak terangkan kat kawan kita yang bukan berada dalam suasana tarbiyyah seperti kami sekarang. Bila saya cakap tentang itu, mesti dia akan menyoal semula,“ Takkan la nanti nak kahwin dengan orang yang tak kenal. Apa salahnya bercinta sekarang. Nanti kalau tak kenal, dapat suami yang teruk macam mana?”.


Opss.. saya terjebak dengan soalan sebegini lagi. Sungguh saya tidak tahu untuk menjawab. Berhadapan denga pelajar sekolah menengah atau remaja memang mencabar jiwa. Dahulu, daya pernah ditanya. Namun sebelum ini saya ditanya sebagai seorang guru. Tetapi kali ini, seorang kakak pula.

Seperti biasa, saya relate kan dengan ayat pengharaman zina dan janji Allah untuk pasangan yang baik. (Boleh rujuk surah al-Isra’:ayat 32, dan surah an-Nur ayat 26). Memang adik-adik ini bijak dan luas pemikiran, kerana itu mereka terus bertanya,
“ Tapi kan kak, mesti mereka dah biasa dengan alasan-alasan macam itu. Ada tak cara lain?”.



RAWAT AKAR
Seperti mana yang saya pernah terbaca dalam artikel ustaz Hasrizal (saya sendiri tidak ingat apa tajuknya), kita kena rawat dan cari punca melalui akar umbi.

“ Bagi sayalah kak, tak ada cara lain melainkan dia perlu berada dalam suasana tarbiyyah. Apabila dia sudah ada dalam suasana tarbiyyah, tentulah mudah untuk dia memahami macam mana yang kita faham sekarang”.

PERANAN RAKAN SEBAYA
Benar juga apa yang adik itu katakan. Saya mengiyakan. Jauh di sudut hati saya, bertuah sungguh jika ada ramai lagi generasi muda seperti mereka. Semoga kesan tarbiyyah itu, mereka boleh menarik teman-teman mereka di luar sana untuk berada bersama-sama dalam tarbiyyah. Bersama-sama memahami konsep halal dalam perhubungan dan tidak tertipu dengan ‘cinta monyet’ (marah si monyet, dia juga mendapat nama).

“ Betul tak, rakan sebaya memainkan peranan”. Ulas seorang adik lagi.
Saya mengangguk.




Dakwah itu ada peringkatnya. Cuba bayangkan andaikata hendak membentuk besi yang sedia keras, bolehkah kita membengkok hanya dengan menggunakan tangan? Mengetuk dengan tukul. Tentu natijahnya tidak menjadi, malah bukan akhirnya menjadi apa yang kita mahukan, tetapi bertukar menjadi lebih teruk. Sama ada besi itu buruk membengkok ataupun tangan kita sakit. Tapi cuba nyalakan api, dan bakarlah besi itu di nyalaan api sehingga nampak nyalaan merah membara. Setelah itu, tempalah ia mengikut apa yang mahu dibentuk. Untuk jadikan pisau, pedang atau apa-apa sahajalah. Rumit dan payah kan, tapi kerjanya tersusun. Hasilnya pun kita dapat.

“ Macam itu juga rakan-rakan adik yang di luar sana. Mereka sudah jadi seperti besi yang keras. Untuk membentuk mereka, adik-adik perlu mempunyai perancangan dan persediaan yang terancang.

Kita mesti ingat bahawa mereka tidak berada dalam suasana tarbiyyah seperti adik-adik, dan kefahaman mereka sudah kelam akibat dikuasai oleh kefahaman sebegitu sejak bertahun-tahun. Bercouple hanya untuk bersuka-suka. Ada yang memberi alasan mencari dari sekarang, takkan nak berkahwin dengan orang tak kenal.

Harus diingat, Islam tidak langsung menganggap bahawa berkenalan sebelum berkahwin adalah sesuatu yang haram. Berkenal-kenalan dahulu mengikut batasan yang ditentukan. Yang menjadi kesalahan adalah apabila jalan dan cara yang digunakan itu bertentangan dengan kehendak Islam sehingga membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t. Wali'yazubillah..

Teringat suatu ketika seorang sahabat memberitahu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa dia akan berkahwin, lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bertanya : “kamu sudah lihat atau belum wanita itu”. Sahabat menjawab: Belum. Lalu Baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam menyuruhnya untuk melihat dahulu.

Apa yang diperintahkan oleh baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam adalah sebagai tanda bahawa tiada salahnya berkenalan sebelum berkahwin. Malah diharuskan melihat wajah calon isteri sebelum bersetuju untuk berkahwin.

Apa yang terpesong dalam fahaman sekarang adalah, mahu bercinta seusia remaja dan kenal hati budi sehingga tidak ada rahsia lagi antara keduanya. Sanggup keluar berdua-duaan atas kerana cintakan pasangan yang belum halal lagi.

Satu persoalan, pastikah boleh dikenali hati budi bakal pasangan yang menyembunyikan kerahsiaan diri dan penuh kepura-puraan. Adakah semuanya dilihat perfect di mata seorang wanita ataupun lelaki kepada kekasihnya. Sempurnakah? Entahlah, semoga saya tidak tertipu nantinya.

Pensyarah saya pernah berkata, lebih kurang begini:

‘Betulkah bercinta dulu boleh kenal hati budi sebab saya rasa masa bercinta ni
semuanya manis-manis belaka. Pijak semut pun tak mati. Semua benda nak bagitahu sampai tak ada rahsia lagi. Lepas kahwin nanti, baru tahu baik buruk suami atau isteri itu. Masa itu mulalah rasa menyesal dan pelbagai lagi. Kamu kena ingat, kamu takkan boleh kenal sikap sebenar lelaki itu kecuali bila kamu dah duduk serumah dengannya. ’.

Betul juga bila difikir-fikirkan. Rumit benar soal ini. Saya tidak pandai-pandai. Memang lah saya belum berkahwin, tapi yang beri saya nasihat itu adalah seorang yang sudah berkahwin. Dan ia memang benar-benar pernah berlaku dan diceritakan kepada saya tentang berbezanya sikap pesangannya sebelum dan sesudah kahwin. Jika dahulu romantik, selepas berkahwin sebaliknya pula. Menyesal... sungguh, jangan sesekali begitu. Berdoalah selalu semoga mahligai itu kembali menjadi seperti kebun syurga’.


HATI REMAJA

Menurut Ustaz Pahrol, cinta itu adalah gabungan perasaan, komitmen dan matlamat. Tentu sahaja apa yang remaja sekolah hadapi ketika ini hanya perasaan semata-mata yang boleh dan senang berubah. Ia sesuatu yang biasa, ‘suka’ kepada sesuatu yang indah. Namun, di tahap ini mereka masih belum ada matlamat dan komitmen untuk merealisasikan makna cinta.Merelisasikan makna cinta yang berlandaskan cinta kepada Allah adalah melalui ikatan pernikahan. Di tahap ini, tentu mereka belum sampai kepada tahap memahami dan bersungguh-sungguh mahu dan mampu melaksanakan tanggungjawab.

Secara ringkasnya, mengapa cinta di tahap ini dikatakan ‘cinta monyet’? (maaflah monyet, terpaksa menggunakan nama ini sekali lagi). Kerana mereka hanya ‘perasan’, bukan perasaan, malah masih tiada matlamat dan komitmen.

Baiklah, berbalik kepada soal cinta remaja, tentu sahaja pemikiran sebegini kita tidak boleh buang terus, tetapi perlu digilap dan dibersihkan perlahan-lahan. Dekatilah mereka, tunjukkan peribadi dan keprihatinan kita kepadanya. Jemput dia datang ke rumah. Ajak makan bersama-sama, sehingga dia rasakan kita ini temannya yang rapat dan boleh berkongsi apa juga cerita.

Ketika ini, barulah adik-adik boleh memberi sedikit pandangan dan buah nasihat kepada mereka. Mungkin mereka tidak dapat menerima, namun percayalah mereka akan mula memikirkan rasionalnya. Kita tidak boleh berkasar kerana ia akan membuatkan kekeliruan yang bertimpa-timpa”.

STRATEGI BERDAKWAH
Itu stategi dakwah yang saya faham. Dahulu, saya selalu bertanya kepada diri sendiri tentang cara berdakwah. Saya tidak punya kelebihan bercakap dan berdebat tentang agama. Bagaimana saya mahu berdakwah dengan orang bukan Islam tentang keindahan Islam.

Jika saya terus katakan “masuklah Islam” di saat kali pertama berjumpa, apakah yang anda fikirkan akan berlaku pada saya dan ‘si fulan’ yang bukan beragama Islam itu?

Aduh.. sudah tentu dia akan memaki hamun saya dan tidak mahu terus berjumpa dengan saya. Namun, apa kata jika saya berkenal-kenalan dengannya. Menjemput untuk makan bersama, memberinya hadiah dan menghadiahkan senyuman. Berakhlak dengan akhlak yang baik, sudah tentu ia akan menggambarkan di hatinya bahawa indahnya Islam itu.

Subhanallah.
Saya teringat sebuah kisah yang diceritakan oleh ustaz Pahrol Mohd Juoi tentang strategi berdakwah.
Ketika beliau menaiki teksi, beliau ditanya oleh seorang pemandu teksi.
“ Bagaimana saya mahu berdakwah sedangkan saya hanya pemandu teksi”.
Ustaz Pahrol bertanya semula, “ Apa yang saudara fikirkan untuk itu”.
Pemandu teksi itu menjawab, “Perlukah saya memasang bacaan al-Quran, menampal poster yang baik-baik”.
Ustaz pahrol memberi respon, “ Apakata, kalau saudara membawa teksi dengan cermat. Meminta bayaran mengikut sepertimana harga di meter. Berbudi bahasa dan menunjukkan akhlak yang baik”.

Kisah ustaz Pahrol inilah yang saya jadikan sebagai buah fikiran dalam strategi berdakwah. Berdakwah bukan hanya bercakap, namun berdakwah dengan perbuatan dan juga perlakuan. Tunjukkan akhlak yang mulia, terserlahlah keindahan islam. Tentu ada yang terpikat dengan kelembutan dan ketulusan orang yang benar-benar ikhlas.

BICARA CINTA
Jawapan saya terhadap adik-adik tersebut mungkin tidak jelas kerana pertemuan kami yang terlalu singkat. Jika saya diberi peluang, saya ingin sekali hadiahkan mereka sebuah buku tulisan ustaz Pahrol Mohd Juoi berjudul “Tentang Cinta”. Tentu mengurai permasalahan dan kebuntuan mereka. Sepertimana ia pernah mengurai kebuntuan saya dan sekian ramai teman saya sebelum ini.

Buku 'Tentang Cinta'- Ustaz Pahrol Mohd Juoi


Alhamdulillah, dibukakan hati untuk memahami apa itu Cinta yang sebenar. Bukan semata bertutur ‘aku cintakan Allah’, tetapi turut merasai dan melaksanakan apa itu makna cinta yang sejati. CINTA adalah perasaan, matlamat dan komitmen. Jika anda mahu lebih tahu, bacalah buku ini atau jika mahu, saya dengan senang hati bersedia meminjamkannya.

Semoga kita diberi taufiq dan hidayah-Nya. Amin..

Wallahu a’lam

__________
Sebahagiannya perbualan di atas tidak termasuk dalam perbincangan bersama adik-adik sekolah menengah tersebut, saya mengulas sedikit di sini dalam bentuk dialog sambil merujuk buku 'tentang cinta'.

© Lama asal: jalan-sehala.blogspot.com

Thursday, October 15, 2009

Cerita Tentang Buku

Seusai membaca artikel di SaifulIslam.com, saya teruja dengan tulisan ustaz ini. Apa-apa yang mengulas tentang minat terhadap buku pasti saya akan baca.

Saya suka melihat perpustakaan peribadi yang cantik tersusun dengan kitab-kitab yang berjilid-jilid. Subhanallah, saya menginginkan perpustakaan seperti itu. Saya selalu berangan, jika saya ada duit banyak, saya akan membeli semua kitab-kitab dan buku yang saya inginkan.

Pernah saya terbaca di majalah I tentang perpustakaan Kapten Hafiz. Terlalu kagum dengan susunan di perpustakaannya. Beliau mengatakan, modal utnuk membeli kitab-kitab tersebut menyamai dengan harga sebuah kereta ‘sport’.. masyaAllah..

PENYAKIT YANG PERLU DIUBATI
Tetapi, ada penyakit yang perlu diubati. Saya tidak katakan kepada orang lain kerana ia penyalit yang ada pada diri saya sendiri.

"Penyakit suka membeli tapi tidak dibaca"

Saya cuba mengubah sikap saya. Dek kerana kesibukan ataupun mempunyai medium elektronik lain menjadikan pembacaan terhadap buku merupakan pilihan yang terkemudian.

Secara peribadi, walaupun sudah terdapat kitab-kitab elektronik seperti Maktabah Syamilah yang menghimpunkan beribu-ribu kitab, bagi saya membaca buku yang boleh diselak dan disentuh lebih mudah dan lebih faham. Walaupun penat, saya boleh melipat ataupun menanda dibahagian muka surat tersebut dan memilih masa lain utnuk sambung membaca. Itu sisi kelebihan yang saya nampak.

Di sisi kekurangan pula, ia memerlukan modal yang banyak dan bagi orang yang benar-benar mempunyai wang ataupun setelah mengikat perut untuk membeli kitab-kitab pilihan sahaja yang akan memiliki buku-buku yang banyak.

Adapun, bahan bacaan elektronik mempunyai kesan yang sebaliknya. Saya amat dan terlalu cepat penat membaca e-book ataupun bahan bacaan elektronik. Lagi pula, ia tidak boleh dilipat seperti buku. Jika perlu ditangguhkan masa membacanya, saya terpaksa mengingat mukasurat. Jika terlupa, maka jangan berharaplah untuk saya membukanya kembali.

Kelebihan lain membaca buku yang asli, saya boleh membuat catatan atau sedikit tulisan di halaman tersebut. Oleh itu, rujukan menjadi lebih mudah. Dan saya pasti ia tidak saya dapati melalui pembacaan elektronik.

Apapun kelebihan dan kekurangan sama ada ianya buku asli ataupun elektronik, pada saya yang penting adalah keinginan membaca.

BANYAK MANA MANFAAT
Saya memetik sedikit dari artikel ustaz Hasrizal, katanya:


“Buku, biar sehebat dan sepenting mana pun ia, dan sedalam mana pun cinta kita
kepadanya, ia tetap sekadar alat. ‘Orang tengah’ pada menyampaikan kita kepada ilmu. Namun akhirnya, berbalik kepada persoalan berapa banyak ilmu itu berjaya
diadun menjadi manfaat untuk diberikan kepada umat dan mengisi keperluan
mereka?”

Terkena batang hidung sendiri. Banyak mana pun buku saya, adakah saya berjaya mengadun ilmu-ilmu tersebut untuk menjadi manfaat buat saya dan orang lain. Allahu akbar.

KREATIFNYA ULAMA’ KITA
Terasa kagum dengan peranan dan usaha ulama’-ulama’ terdahulu. MerekA bukan sahaja ilmuan, malah kreatif dalam penyususunan bab di dalam sesebuah buku. Semuanya untuk memudahkan saya dan anda untuk membaca dan memahami apa yang cuba disampaikan kepada kita.Semoga diganjari semua usaha dan keikhlasan mereka. insyaAllah.

Teringat ketika ditanya apa hobi saya? Tentu saya akan katakan saya suka membeli buku. Jika ke kedai buku dan ada sedikit wang, saya akan mencapai beberapa buku yang menarik. Tidak kisahlah sama ada ianya novel, motivasi ataupun apa jenis bacaan. Yang pasti insyaAllah memilih yang bermanfaat.

Secara jujurnya, saya selalu berfikir, baguskah mempunyai hobi seperti itu? Kerana di sisi lain, saya selalu jarang dapat menghabiskan bacaan buku-buku saya. sehingga ibu saya pernah bertanya kepada saya, “Kitab-kitab ni bila nak baca?”. Sambil melirik kepada kitab-kitab yang saya kirim melalui seorang teman di Mesir.

Saya suka koleksi tersebut kerana ia mnegingatkan saya kepada sahabat baik saya (Nur Sazrina) yang menuntut di Iskandariah, Mesir. Alhamdulillah, beliau akan pulang ke tanah air bulan ini. Kitab-kitab di sana menurut teman saya murah. Setelah dia menawarkan diri untuk membelikan kitab-kitab dari sana, saya mengirim beberapa buah kitab yang saya inginkan.

Saya menjawab, “insyaAllah, akan jadi sebagai rujukan nanti”.
Itu jawapan untuk setiap yang bertanya kepada saya seusai melewati bilik dan melihat himpunan kitab yang pelbagai. Tidaklah banyak, saya masih mengumpul dan membeli jika ada sedikit peruntukan.

Saya berharap, kitab-kitab tersebut dapat saya manfaatkan untuk diri sendiri dan umat Islam pada masa akan datang insyaAllah.

Benar kata ustaz hasrizal, setiap buku mempunyai cerita tersendiri. Saya juga begitu. Dan tidak perlulah saya merungkaikan kisah-kisah tersebut di sini kerana memanjangkan lagi tulisan ini.
Begitulah sedikit kisah tentang buku. Bukan cerita tentang orang, haiwan ataupun gossip. Hanya sekadar berkongsi perasaan tentang buku.

Bercerita untuk sesiapa yang sukakan buku juga. semoga jika tiada harta untuk ditinggalkan, saya punya buku untuk diwariskan dan berharap ada yang menngambil manfaat darinya.
Wallahu a’lam

© Lama asal: jalan-sehala.blogspot.com