Pages

Tuesday, July 10, 2012

Bergantung pada-Nya





"Don't depend too much on anyone in this world because even your own shadow leaves you when you are in darkness."
(Imam Ibn Taymiyyah)


Kalam ibn Taimiyyah ini mengingatkan saya kepada perjalanan hidup kita yang memerlukan pergantungan. Saat kita terkapai-kapai mencari sesuatu, atau meminta pertolongan kadang-kadang kita lupa untuk meminta dan bergantung harap hanya kepada Allah semata.


Kita lupa akan firman Allah swt yang bermaksud: 
"Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang aku, maka sesungguhnya aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku." (Surah al-Baqarah:ayat186)


Sangat Baiknya Allah itu




MasyaAllah. Sungguh baiknya Allah itu, suka apabila kita selaku hamba-Nya ini meminta-minta kepada-Nya. Allah beritahu "Aku dekat.. mintalah apa sahaja". Tetapi berapa banyakkah keyakinan hati kita kepada janji Allah? Janji Allah untuk memakbulkan setiap permintaan kita.


Cuma terkadang apa yang kita minta tidak dapat dalam bentuk yang kita mahu. Tapi Allah beri dalam bentuk lain. Sebagai contoh manusia berdoa kepada Tuhannya: "Ya Allah, aku mahu kaya, banyak harta". Tetapi Allah tidak beri dia banyak harta, tapi Allah beri dia rasa bahagia kerana Allah tahu sebenarnya dia bukan mahukan kekayaan tetapi kebahagiaan. 


Kadang-kadang manusia berdoa kepada Tuhannya: "Ya Allah, aku mahukan dia. Izinkan aku untuk hidup bersama dengan dia". Tetapi Allah tidak berikan kita orang yang kita mahu, kita sangka dia itu baik dan sesuai untuk kita, tetapi Allah tahu dia itu tidak sesuai untuk kita, maka Allah tidak berikan orang itu tetapi Allah berikan ganti yang lain, yang lebih baik lagi. 


Dan begitulah sekian banyak perkara yang kita minta lewat doa kita tetapi kita sangka Allah tidak makbulkan. Sesungguhnya Allah itu Pencipta kita, mustahil Allah tidak sayangkan kita. Mustahil Alah sengaja mahu membuat hati kita derita. 

Derita yang kita sangka, rupanya penawar di kemudian hari. Dan itulah kita, manusia yang penuh dengan sangka. 

Allah sudah beritahu kita: "Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah". Tetapi kita ini selalu sahaja bersangka buruk kepada Allah. Kita rasa bila Allah tidak beri, maksudnya Allah memang tidak peduli pada kita.

Jangan putus asa. Jangan berhenti usaha. 
Allah mahu naikkan darjat kita, menjadi hamba yang sabar, hamba yang penuh syukur. 

Saya dan anda



Saya kira bukan saya seorang mengalami dan merasai kasih sayang Allah, tetapi anda juga. Kita masing-masing melalui jalan menuju ke satu tujuan, cuma mungkin jalan yang kita lalui punyai cabaran dan duri-duri ujian yang berbeza. 

Apabila Allah tidak beri apa yang kita mahu, muhasabahlah kembali bagaimana hubungan kita dengan Allah. Adakah kita ini hanya mengingati Allah ketika susah, ataupun langsung tidak ingat kebaikan Allah kepada kita hatta ketika masa susah dan ditimpa ujian? Lebih teruk dari itu, kita bersangka buruk dan menyalahkan Allah atas apa yang berlaku. 

Muhasabahlah.. kembali kepada Allah, kembali kepada al-Quran, kalam-Nya pasti kembali memujuk kita daripada perkara yang membuat jiwa kita tersiat-siat kepedihan. Al-Qur'an melegakan jiwa kita, memberikan kita ketenangan. 


Kata Sayyidina Umar: Jika kamu mahu Allah berkata-kata denganmu, bacalah al-Qur'an. Jika kamu mahu berkata-kata dengan Allah, solatlah.  

Kemudian, bergantunglah sebanyak-banyaknya kepada Allah, bukan kepada manusia. 
Sekiranya kamu berpisah dengan orang yang kamu sayang, isteri kamu, suami kamu, anak-anak kamu dan seumpama dengannya, itu petanda bahawa Allah mahu kamu bergantung hanya kepada-Nya. Menyandarkan hubungan dan kasih sayang itu hanya kepada-Nya. Bukan kepada manusia. 

Ketika kamu hilang pekerjaan, hilang sumber pendapatan dengan pelbagai sebab, bergantunglah kepada Allah. Kerana itu petanda Allah mahu berikan kepadamu keyakinan bahawa rezeki itu bukan dari manusia, tapi dari Allah. Dia akan beri dengan syarat kita berusaha. 


Penutup

Mudah-mudahan hati kita hanya ada Allah, terikat dengan kasih-Nya, rahmat-Nya, cinta-Nya. Tidak tergantung walaupun kepada diri kita sendiri. 


Ya Allah, jangan serahkan urusan kami kepada diri kami sendiri.. Ameen




No comments:

Post a Comment