Pages

Saturday, July 7, 2012

Warna Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim


 Hari ini terasa angin damai, sejuk seperti selalu. Setiap kali sahabat-sahabat berkunjung ke bilik, masing-masing berkata: "hari ini sejuk kan?". Bukan hari ini sahaja, hari-hari semalam juga sama. Atas semua itu, alhamdulillah 'ala kulli hal.


Dihujani banyak perkara yang membebani fikiran, saya takut untuk berbicara lebih. Berbicara soal kehidupan, berbicara soal peribadi, kerana itu semua seharusnya kita simpan dan luahkan pada yang berhak. Tetapi, kadang-kadang jiwa mendesak untuk meluah, Allah.. lemahnya jiwa sendiri.

Sudah hampir 26 tahun Allah pinjamkan jasad dan nyawa ini, untuk terus menjalani jalan-jalan kehidupan. Sudah beberapa kali saya jatuh dalam rasa lemah, rasa kecewa dan tentunya rasa yang terlalu hina di depan Allah swt.




Dosa

Apabila kita merasai diri kita bersih, tidak langsung pernah berbuat satu kesilapan pun kepada Allah, maka ada sesuatu yang tidak kena tentang diri kita.
Takut-takut kita ini tidak sedar bahawa kita ini manusia biasa. Dihinggap dosa selalu.
Walau ia hanya sekecil dosa janganlah diremehkan.
Saya teringat satu kata-kata yang saya dapati dari usrah:
"Jangan meremehkan dosa kecil, kerana gunung-ganang itu terbina dari batu kerikil"

Begitu banyak daripada kita meremehkan dosa-dosa kecil. Dari dosa kecil itu, jika tidak dihapus dengan taubat dan istighfar, maka ia akan menjadi besar dan besar. Lalu akhirnya diri manusia menjadi hamba kepada nafsunya.

Itulah adalah saya juga, manusia biasa yang banyak dosa. Dosa yang saya tanggung terlalu menghimpit jiwa, membuatkan langkahan kaki sendiri melemah menuju Ilahi. Dan sesungguhnya saya syukur punya sahabat-sahabat yang selalu datang, memimpin tangan saya dan mengingatkan tentang ini. Lalu mengajak saya kepada kebaikan.

Moga kita tidak lengah dengan taubat, tidak kering dari istighfar dan selalu memuhasabah diri sendiri.

Jodoh


Dahulu ketika di sekolah menengah saya selalu melihat kawan-kawan ada yang ber'couple' walaupun dalam suasana sekolah agama. Sesungguhnya saya bersyukur kerana saya yang tidak ada 'rupa' ini Allah selamatkan dari semua itu, membuatkan jiwa rasa tenang untuk tumpu pada pelajaran, tidak perlu untuk 'cover-cover' di depan lelaki yang tertentu dan yang paling penting Allah selamatkan saya dari rasa kecewa dengan 'cinta monyet'.

Tidaklah saya katakan saya baik ketika zaman remaja. Lumrah zaman remaja zaman yang mencari identiti. Juga sedang dilanda rasa inginkan ada 'seseorang'. Namun, hanya ucapan syukur sahaja yang mampu saya ungkapkan atas hikmah ini. 

Namun kita, tidak selamanya berada di air yang tenang. Kadang-kadang ditimpa bah, menyebabkan jiwa kita bergoncang dengan pelbagai masalah melibatkan kehidupan. Dan ketika umur saya sudah meningkat, saya juga dilanda perkara berkaitan jodoh. Sudah pelbagai perkara yang dilalui, kecewa, menangis, sedih, serba salah malah saya sungguh takut sekali apabila menolak orang lain. 

Tetapi hidup ini harus membuat pilihan, pilihan yang membuat kita tenang. Menolak dan ditolak dalam soal jodoh itu adalah asam garam dalam sebuah usaha. Apabila dikatakan jodoh itu daripada Allah, ia membutuhkan usaha yang tidak pernah kenal erti putus asa.

Jika Allah beri apa yang kita mahu itu, maka syukur. Bermakna dialah yang terbaik untuk kita.
Tetapi jika Allah sudah beri lalu tidak diizinkan untuk meneruskan perjalanan bersama 'dia' untuk ke syurga-Nya, maka mungkin 'dia' bukan yang baik untuk kita. Juga tidaklah bermakna 'dia' itu tidak baik. Mungkin dia baik untuk orang lain, dan kita pula baik untuk orang lain.
Dan jika Allah tidak beri langsung apa yang kita hajat dan harapkan, percayalah bahawa Allah akan berikan apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Apa yang kita perlukan itu pasti Allah akan beri pada masa dan ketikanya.

Dan ketika saya menjawab tentang soal jodoh, hanya termampu saya katakan:
"Kadang-kadang kita mahu tapi Allah tidak izin. InsyaAllah jika sampai masa pasti Allah datangkan 'dia".

Hanya itu yang termampu saya fikir, dan saya katakan.

Apa-apa yang berlalu dalam kehidupan masa lalu, saya bersyukur kerana Allah telah keluarkan saya daripada ujian tersebut. Dan yang terpenting sekali, saya belajar erti sebuah kesabaran, ketabahan, kekuatan selepas sejak pertama kali saya mengenal erti kecewa.

Alhamdulillah a'la kulli hal

Pelajaran

Dalam hati sejak dahulu terlalu ingin ke timur tengah. Selepas STAM, mengisi borang untuk sambung ke Mesir, tetapi apakan daya sebagai anak perlu mendapat izin ibu dan ayah. Emak kata: "Sambung kat sini je lah".

Saya menangis sendiri, tidak mahu emak tahu. Tapi sebenarnya emak tahu saya kecewa dan sedih dengan keputusan ini. Bukan kerana apa-apa, tetapi emak ayah bukan orang senang.

Saya memahami, dan cuba untuk terima. Dan alhamdulillah dengan keputusan 'MUMTAZ' saya diterima di Universiti islam Antarabangsa. Alhamdulillah, itu yang saya minta dan mohon sungguh-sungguh dari Allah. Kerana sejak dari sekolah menengah lagi saya terlalu teruja untuk ke uia, belajar di sana, malah selalu membelek-belek buku permohonan UPU milik abang saya.

Setahun sebelum habis pengajian di UIA, saya merancang untuk sambung pengajian MASTER di negara arab, Jordan. Namun mungkin kerana masalah kewangan dan tidak mendapat tajaan, saya meneruskan pangajian MASTER di UIA sahaja. Alhamdulillah atas hikmah yang sangat banyak.

Dengan izin Allah dan sepenuh harap, hati ini sudah terbang dan memikirkan untuk menyambung pengajian PHD di bumi Urdun. Moga Allah izinkan dan perkenankan andai inilah yang terbaik untuk kehidupan diri dunia dan akhirat. Ameen

Master

Tanggal 23 June 2010, Hari Rabu saya dengan beberapa orang sahabat mendaftar untuk menjadi pelajar sarjana di UIAM. Tidak ditemani keluarga seperti ketika mula-mula di peringkat ijazah dahulu, kami sendiri. Hanya kawan-kawan yang ada untuk saling menguatkan. Kerana kami sudah kenal uia, maka kami bergerak sendiri.

Alhamdulillah sudah 2tahun ia berlalu, dan bermacam-macam perkara berlaku. Master yang sangat berlainan daripada ketika ijazah, cara belajar, cara membuat asignment, cara presentation, semuanya lain. Sehingga selalu ada dalam fikiran sendiri bahawa saya tidak belajar banyak seperti ketika ijazah dahulu.

Namun apabila sudah hampir ke akhir pengajian, saya sedar bahawa tahap pengajina sekarang sudah berbeza. Dahulu adalah masa untuk disuap dengan ilmu dan sillibus yang sangat banyak. Tetapi di tahap ini, kita sendiri mencari, kita sendiri mengolah, dan kita sendiri mempraktikkan apa yang sudah kita dapati dahulu.

Ketika ini, marhalah thesis sudah sampai ke peringkat membuatk pembetulan selepas diperiksa oleh pemeriksa. Alhamdulillah, banyak yang saya dapati dari kedua-dua pensyarah saya. Jazakumullahu khayr Dr Sofiah dan Dr Laith Su'u Jaseem atas tunjuk ajar dan penambah baikan untuk tulisan thesis saya.

Saya merasa terlalu lemah dalam bahasa arab.
Semalam ketika bertemu Dr Laith Su'ud untuk berbincang berkaitan thesis, ustaz bertanya: "Kaifa". (Bagaimana)
Dan saya pelik: "Kaifa ma za ustaz?". (Bagaimana apa ya ustaz?)

"Kaifa Lughatuki?" (Bagaimana dengan bahasa kamu?)

Saya tersengih dan menjawab: "Ana uhawil an atakallam ya ustaz". (Saya cuba untuk bercakap ustaz)

Dan ustaz tidak meremehkan saya malah memberikan nasihat membina untuk terus berusaha memperbaiki bahasa arab :) walaupun sebenarnya saya sangat kaku untuk berbicara dalam bahasa lain. Kerana itu, saya ingin ke urdun, mengalami situasi belajar di keliling orang arab dan mengasah bahasa arab sendiri. Moga Allah izinkan. Ameen

Mohon doakan saya dan sahabat-sahabat dipermudahkan urusan menyiapkan thesis dan melalui proses yang agak banyak selepas ini.
Rabbi Yassir wa la tu'assir.. ameen ya Rabb

Akhirnya

Sesungguhnya walaupun ia hanya sebuah kisah hidup, saya terlalu banyak belajar sepanjang perjalanan ini. Jalan yang diiringi dengan bantuan Allah SWT
Disulami dengan kasih sayang Allah SWT
Juga dipayungi teduh rahmat-Nya

Jujur saya menginginkan sebuah kehidupan yang indah, tetapi hidup ini tidak selalunya indah. Yang termampu adalah menjadikan yang tidak indah pada nilaian kita itu menjadi sebuah lakaran yang indah. Mudah-mudahan apa yang kita lalui di dunia ini, kesusahan-kesusahan yang dijalani merupakan sebuah permulaan untuk menyemai benih amal untuk ke syurga-Nya.

Biiznillah

No comments:

Post a Comment