Pages

Monday, July 16, 2012

Cemburu: Mertua VS Menantu

Saya hairan bagaimana ada seorang menantu perempuan boleh cemburu dengan ibu mertua, iaitu ibu kandung kepada suaminya sendiri. Saya hairan dan hairan. Bukankah ibu itu tetap ibu, kasih anak kepada ibu tidak sama dengan kasih anak atau suaminya kepada isterinya/dirinya. 

Saya menggeleng kepala memikirkan betapa kita ini sebagai manusia hanya memikirkan emosi dan perasaan kita sahaja, tanpa memikir dan merasai perasaan orang lain. Ya, Imam as-Syafei pernah berkata: "kepuasan hati semua orang adalah tujuan yang kita takkan dapat capai". Tetapi adalah menjadi keutamaan kita untuk menjaga hati orang yang dekat dengan kita, apatah lagi dia adalah ibu kita.

Saya teringat ustaz Pahrol Mohd Juoi pernah menulis tentang susunan dan aturan tanggunjawab kita terhadap mereka. Jika aturan ini kita fahami dan kita ikuti maka tidak akan ada istilah cemburu, iri hati, melebihkan yang di sana atau sebagainya. 

Seorang anak tidak kiralah dia itu lelaki atau perempuan aturan tanggungjawabnya mengikut keutamaan adalah: Pertama Allah, kedua Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam, ketiga ibu dan bapa. 

Tetapi apabila anak itu sudah berkahwin, susunan tanggungjawab mengikut keutamaan sudah berbeza. Jika dia anak lelaki dia perlu mendahulukan Allah swt, Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam, kemudian ibubapa dan yang terakhir sekali adalah isterinya sendiri. 

Adapun perempuan, susunan tanggungjawab mengikut keutamaan adalah mendahulukan Allah swt, Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam, kemudian suami yang terakhir adalah ibubapa.





Seharusnya seorang wanita dan lelaki sebelum berkahwin ataupun sudah berkahwin tahu akan hakikat ini. Seorang isteri setelah berkahwin tempat ketaatannya adalah kepada suami selagimana ketaatan itu bukan pada perkara maksiat kerana Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam bersabda: Tiada ketaatan kepada makhluk atas kemaksiatan kepada Pencipta. 

Ibubapanya sudah tidak menjadi keutamaan di dalam soal ketaatan dan tanggungjawab. Tetapi bagi anak lelaki ibubapa tetap perlu didahulukan. Tanggungjawab tetap tanggungjawab. Itu yang perlu difahami. Janganlah terlalu mengikut emosi dan kata hati sehingga akhirnya mengguriskan hati ibu kepada suami sendiri. 

Saya hairan sendiri sebenarnya, bagaimana seorang isteri boleh rasa cemburu ketika suaminya menjenguk ibunya sedangkan bukanlah suaminya tidak balik ke rumah sendiri langsung. Tidak tahu hendak berkata apa lagi. Saya tahu saya bercakap atas dasar kondisi diri sendiri belum berkahwin, tetapi saya rasa itu bukan alasan untun orang-orang yang iri hati terhadap ibu mertuanya mengatakan bahawa saya selaku orang belum berkahwin tidak layak untuk mengatakan ini. Emosi perempuan memang begitu. 

Allah.. Takkanlah emosi itu perlu mendahului rasa menjaga hati suami dan ibu sendiri? Adakah bila emosi tidak boleh berfikir secara waras. Dia itu ibu suami kamu, bukan ibu kekasih kamu. Suami kamu, yang menjadi ibu kamu juga. 

Hairan sungguh. Saya tahu saya pasti diuji apa yang saya katakan, tetapi untuk itu saya memohon moga Allah berikan saya rasa sangka baik kepada ibu mertua jika saya berada di situasi yang sama kelak. 

Bukan niat membuka masalah tetapi saya kira ramai yang takutkan suaminya menjadi anak emak, hanya emak sahaja, tidak langsung memikirkan isteri. Jika suami itu memang tidak beri isteri nafkah langsung, tidak balik rumah langsung, tidak bercakap baik-baik langsung, tidak cinta langsung dengan isteri itu, memang patutlah jika si isteri hendak kata suaminya itu melebihkan emak sahaja. Tetapi jika suami itu laksanakan tanggungjawab cukup, kasih sayang cukup, ambil berat cukup, apa lagi yang ditagih sebenarnya.

Saya memahami sukar menjadi seorang suami. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Serba salah. Isteri merajuk, emak terasa hati. 

Usahalah sedaya mungkin untuk mengharmonikan keadaan. Saya tidak tahu bagaimana rasanya ada ibu mertua. Jika ibu mertua itu layan kita dengan baik, tidak kasar-kasar dengan kita, mengapa pula kita hendak cemburukannya hanya kerana suami kita menjalankan tanggungjawabnya kepada ibunya. 

Moga Allah ampuni khilaf sendiri. Saya tidur semalam dalam keadaan sedih dan kasihan. Saya hanya mendoakan kesejahteraan yang dimaksud. Mudah-mudahan saya tidak begitu, dilindungi Allah dari rasa dan berkata-kata begitu di depan suami atau dibelakangnya kelak hatta dalam keadaan emosi yang kuat sekalipun. 

Biiznillah. 

2 comments:

  1. Saya tidur semalam dengan air mata mengalir kerana memikirkan kenapa saya harus cemburu dengan keluarga mertua. Dan berdoa supaya Allah buangkan perasaan itu.

    ReplyDelete
  2. cemburu itu lumrah, tetapi jangan sehingga cemburu itu diturutkan dengan perbuatan menyakiti hati mereka (ibubapa). Kita ini baru masuk dalam keluarga suami, sedangkan ibubapa suami kita sudah hidup dengannya sejak kecil.

    moga Allah lapangkan hatimu..

    ReplyDelete