Pages

Showing posts with label feeling. Show all posts
Showing posts with label feeling. Show all posts

Friday, November 6, 2009

KEMUDI HATI seorang TEMAN

“ Wa, macam mana nak kuatkan hati bila difitnah”

Satu SMS saya terima dari seorang teman. Panggilan ‘Wa’ itu sudah cukup buat saya terimbau kenangan dengan teman yang seorang ini. ‘Wa’, hanya dia yang memanggil saya dengan nama begitu. Terasa janggal jika ada teman lain yang cuba ‘meniru-niru’ panggilan tersebut.

Saya menggaru kepala yang tidak gatal. Terasa gadis yang baru mendirikan ‘masjid cinta’nya seperti punya masalah. Dia membalas lagi,

“Bukan apa, maklumlah hidup ni penuh dengan persoalan yang tidak dijangka”. Dia menjawab ringkas.

Saya fikir orang yang sudah berkahwin pastinya terhindar dari fitnah ‘ANDARTU’ dan ‘ANDALUSIA’ dan sebagainya hasil dari penggabungkata yang sangat memilukan hati nurani wanita yang ingin mencari ‘afifat’ dalam kehidupan.



Allahu Akbar.
Saya termenung. Tentu banyak masalah teman saya ini. Dia seorang yang gembira dan periang. Mendengarkan suaranya di corong telefon sahaja mampu mengembalikan riak senyuman di wajah saya. Dia teman yang pernah sudi berjalan ke kelas, kantin dan ke mana sahaja ketika saya masih baru mengenal erti ‘asrama’ di tingkatan 1 dahulu. Walaupun sudah hampir 10tahun berlalu, saya masih mengingati jasa dan kebaikannya. Walaupun dia ada kelemahan dari sudut lain, bagi saya dia antara teman yang sangat baik yang Allah izinkan buat saya.

Saya tidak tahu ‘api fitnah’ apa yang menyambar hidupnya. Adakah ia hanya sekadar andaiannya ataupun sebagai persediaan menghadapi api fitnah yang bila-bila masa sahaja akan menghujam.

Saya teringat Firman Allah s.w.t yang bermaksud:


“ Dan Kami jadikan sebahagian kamu sebagai ujian bagi sebahagian yang lain,
mahukah kamu bersabar”-surah al-Furqan: ayat 20.

Saya selalu ingat ayat ini apabila diri sendiri mengalami ujian. FITNAH itu bagi saya juga adalah ujian. Mungkin dengan fitnah itu akan menjadikan diri kita mula memuhasabah kembali apa yang telah kita lakukan. Jika berlaku kekurangan dalam ‘ta’abbud’ kita kepada Allah, maka seharusnya kita perbaiki. Inilah cara Allah menegur kesalahan kita.

Dan juga ganjaran terbesar adalah keSABARan. Sukar untuk meiliki sifat SABAR. Kerana itu, apabila Allah berikan ujian, sesungnya DIA mahu memberikan kita ganjaran yang hebat.
Sekali lagi, “mahukah kamu bersabar?”




Saya berhati-hati menaip. Saya tidak layak memberi nasihat kerana saya bukanlah ‘advisor’ ataupun ‘kaunselor’. Namun, disebabkan ia adalah hak saudara seislam yang perlu dipenuhi apabila diminta nasihat, saya membalas sekadarnya dengan harapan mendung dan kusut hatinya mungkin akan reda.

“ Fitnah itu kadang-kadang ujian untuk kita memuhasabah kekurangan dan kesilapan kita. Mohonlah semoga Allah padamkan dan bersihkan diri kita dari api fitnah”.

Itu lebih kurang balasan saya untuk teman ini. Hanya dia dan Allah sahaja yang tahu apa sebenarnya yang sedang dia lalui dan saya memohon andai memang dia melalui saat-saat dihambur api fitnah, semoga Allah membersihkan dirinya dari semua itu.

“ Ya Allah, Aku memohon perlindungan-Mu dari fitnah kehidupan dan juga fitnah kematian”.

Doa yang seharusnya mengiringi kehidupan kita. Memohon perlindungan hanya kepada Allah s.w.t. Dia Maha Menjaga kerana Dia Yang Mencipta dan hanya dia Yang Maha Menyayangi kita.
wallahu a'lam

© Laman asal: jalan-sehala.blogspot.com

Thursday, October 29, 2009

IMTIHAN: NUANSA Hati


Bismillahhirrahmanirrahim..
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kutuliskan nuansa hati yang sedikit berkecamuk sebelum menghadapi imtihan niha'ie -esok (30hb October 2009).. Mengharapkan diberi keampunan atas segala dosa dan perlakuan sama ada zahiriah atau batiniah..

Kesalahan zahiriah mudah dilihat dan diperbetulkan, namun kesalahan batiniah terlalu sukar.. Lantas diajarkan kita untuk selalu beristighfar agar dibersihkan kembali hati kita yang diselaputi noda-noda. Dan 'taubat' adalah pencabut noda tersebut.

Allahu Akbar.. Maha Pengampun Allah itu. Setelah diri menyakiti dan melakukan kesilapan, diampunkan sekian dosa yang banyak. Tidak cukup itu, diberikan pula hadiah berupa nikmat yang terlalu banyak.. Kalau saya bagaimana?? cukuplah sekali disakiti, sampai bila-bila ia akan teringat.. Itulah lumrah dan kurangnya manusia. apalagi sukar dilupakan, malah mahukah memberi lagi hadiah buat orang yang pernah menyakiti.. kerdilnya diri ini.

IMTIHAN NIHA'IE
Dr Iman menyelusurkan kata-kata terakhir buat kami di kelas ADILLAT AHKAM II, bahawa imtihan niha'ie (ujian akhir) yang sebenar adalah di akhirat nanti. Hakikatnya, ujian adalah setiap hari. setiap hari kita diuji dengan pelbagai dugaan, nikmat, kesenangan, kesedihan dan kegembiraan. Semoga kita diberi kekuatan oleh Allah s.w.t menghadapi ujian dunia dalam perjalanan panjang menuju kehidupan abadi.

Semoga, kita sama-sama dapat melepasi ujian di akhirat nanti untuk menghuni syurga-Nya yang diidam-idamkan oleh orang-orang beriman..

Impian hati dalam teduh rahmat dan kasih-sayang-Nya, simpulan doa setia meniti di bibir:

"YA ALLAH, MATIKANLAH AKU DALAM KEADAAN HUSNUL KHOTIMAH.. YA ALLAH, LINDUNGILAH AKU DARI AZAB KUBUR, LINDUNGILAH AKU DARI FITNAH KEHIDUPAN DAN JUGA KEMATIAN.. YA ALLAH, KURNIAKAN AKU JIWA YANG BERTAQWA, DAN BERSIHKANLAH IA, SESUNGGUHNYA ENGKAU SAHAJA YANG MEMILIKINYA.. amin"

wallahu a'lam
wardah

Sunday, October 25, 2009

Rindukan...




Bismillahirrahmanirrahim

Beberapa hari sudah hati tidak tenang entah kenapa. Menunggu waktu solat maghrib di masjid, saya menaip kata-kata di handset:
“ rindukan ketenangan, kesejahteraan dan keampunan”
Namun saya tidak tahu mahu tujukan buat siapa. Tidak tahu mahu mengadu dengan siapa.

Ya, ia memang sebahagian lirik lagu ‘Rindu’ oleh Hijjaz. Tiba-tiba ia meluncur deras dalam relung hati saya. Mungkin saya rindukan untuk memiliki hati yang bersih, tenang dan merindukan keampunan Allah lantaran merasa sudah terlalu berat hati menanggung.

Allahu akbar..
Tiba-tiba Dia menghantar sebuah ketenangan apabila seorang teman menelefon dan bertanya khabar saya. Menganggap seolah-olah ia adalah keajaiban dalam hidup dan hari-hari kesedihan, saya menangis seusai mahu mengakhiri perbualan dengannya. Rupa-rupanya saya rindukan buah nasihat dari seseorang. Dan malam itu saya memperolehinya.


Alhamdulillah, syukur atas kurniaan Allah berupa seorang sahabat yang sudi mendengar segala keluh-kesah dan bersikap sangat baik dengan saya. seorang teman yang tidak jemu-jemu membasahkan lidah untuk menasihati saya. Walaupun kiranya saya akui, diri ini bukanlah di antara teman yang baik buat mereka.


Pagi ini, saya membaca sebuah artikel tulisan ustaz Pahrol Mohd Juoi. Saya menyenangi tulisan beliau yang santai dan bersahaja.
Nikmatnya Syurga Dunia

Baru saya memahami apa itu syurga dunia, ia adalah ketenangan hati. Sepertimana kata ahli sufi:

“Carilah syurga yang disegerakan di dunia (aljannatul Ajilah) yang berupa
ketenangan hati kerana barangsiapa yang tidak mendapat syurga di dunia lagi,
maka sukarlah ia mendapat syurga di akhirat nanti!”

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda:
“Tidaklah orang itu kaya lantaran banyak harta. Sesungguhnya orang kaya itu ialah orang yang kaya jiwa.”

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda lagi:
“Bukanlah dinamakan kaya itu kerana berlimpah ruahnya harta, tetapi yang dinamakan kaya itu ialah kaya jiwa.”

Kayakah saya dengan jiwa yang penuh redho, sabar, syukur dan berlapang dada tanpa menyalahkan diri sendiri, orang lain ataupun takdir sejurus menerima musibah. Kerana takdir itu mengatasi tadbir, ia membuktikan lemahnya manusia dan perlunya menyerahkan segala urusan kepada Allah s.w.t setelah berusaha dengan sedaya kudrat yang ada.

Jika ditimpa musibah, dengan mudah lidah mengucapkan “innalillah wa inna ilahirajiun…” – ertinya kami datang dari Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan.

Sebuah ucapan istirja’ yang mendidik kita menjadi hamba yang patuh, tabah dan berlapang dada dengan ketentuan. Sebagai hamba, bukanlah kemahuan kita menentukan apa yang kita akan perolehi, tetapi apa yang kita perolehi adalah kemahuan Allah untuk kita.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“ Boleh jadi kamu tidak menyenagi sesuatu, padahal itu baik bagi kamu.
Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagi kamu. Allah
lebih mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (al-Baqarah: 216)



Subhanallah.. bukankah ayat ini menenangkan hati ketika kita tidak memperolehi apa yang kita mahu dan impikan. Allah tidak akan memberi apa yang kita minta, tetapi pasti memperkenankan apa yang kita pinta.




Memberi dan memperkenankan itu berbeza:
Jika ‘memberi’ bermakna apabila kita meminta, maka segala yang kita minta akan diberikan sama ada ia baik ataupun buruk.

Namun jika ‘memperkenankan’ bermakna kita akan dikurniakan apa yang baik untuk kehidupan kita dunia akhirat walaupun ia bukan sesuatu yang pernah kita pinta.
Hakikatnya, kita hanya hamba. Sangat lemah, faqir, memerlukan dan meminta hanya kepada ar-Razzaq, ar- rahman dan ar-Rahim.

Wallahu a’lam

© Laman asal: jalan-sehala.blogspot.com

“Haza min fadli rabbi”

Saturday, October 10, 2009

Matang: Belajar Dari Yang Muda

Kali ini adalah kali kedua atau ketiga menjadi naqibah dan bertemu dengan adik-adik dari SBPI (Sekolah Berasrama Penuh Integrasi) Gombak. Pertemuan demi pertemuan begitu mematangkan saya. Saya rasa bersyukur kerana diizinkan Allah bertemu dengan adik-adik yang juga naqibah sekolah. Mereka adalah dikalangan pelajar yang bijak dan sangat petah berbicara.

Lagi sekali hari ini saya bersua dengan mereka. kali ini saya mengenali 6orang pelajar tingkatan 4, ada diantaranya saya kenali melalui program Insaniah Camp bulan Februari lalu, dan usrah yang lalu. Pertemuan tersebut meninggalkan bekas-bekas rindu yang saya tidak dapat gambarkan dengan kata-kata. Agaknya inilah manisnya ukhuwwah. Alhamdulillah..

Mereka sudi berkongsi cerita pengalaman pahit manis kepada saya walaupun hanya baru 30minit berjumpa. Entah, saya sendiri tidak tahu mengapa mereka selesa berbicara dalam kumpulan sebegitu walaupun baru mengenali saya.

Terlalu banyak yang saya belajar dari mereka. Airmata saya hampir mengalir dan saya kagum kerana hati mereka yang begitu lembut dan tabah sehingga mata-mata mereka mengalirkan air jernih seusai mendengar kisah teman-teman lain.

Kisah 1:
Saya belajar bahawa sesungguhnya saya bersyukur kerana saya punyai baju raya, dan malam hari raya baru-baru ini, saya boleh memasak ketupat, rendang dan kuih raya. Sedangkan ada anak usrah saya tidak punyai baju raya dan kuih raya ketika malam hari raya baru-baru ini.

Dia menangis melihat ada yang sanggup menipu ayahnya dalam perniagaan, sedangkan ayahnya tidak pernah melakukan sebegitu rupa kepada orang lain. Malah jika terdapat orang susah, ayahnya sanggup menolong dan membantu orang tersebut.

Sebagai anak sulung, dia menenangkan adik-adiknya dan ayahnya mengatakan “Tak mengapalah, rezeki itu dari Allah”.

Anda tahu, apa yang terjadi pada malam yang sama??
Ya, Allah menghantar seseorang untuk membantu keluarganya. Ada orang datang ke rumahnya membayar payment dan orang tersebut meminta maaf kerana terlambat membayar.

Subhanallah.. sesungguhnya hanya Allah s.w.t yang memberi rezeki.
Saya tersentuh benar melihat kesungguhan dan pengorbanan ibu ayahnya dan apa yang dilakukan ibu ayahnya memberi kesan didikan kepada anaknya tersebut. Anaknya mempunyai azam untuk belajar bersungguh-sungguh dan membantu ibuayahnya suatu hari nanti.



Keindahan bertawakkal kepada Allah s.w.t


Kisah2:
Pada suatu hari, adik ini diminta ayahnya untuk urut belakang badan. Adik ini mengatakan, “Ayah, malam ni boleh tak sebabnya adik rasa penat sikit”.
Ibunya pun mengatakan, “Ha’ah adik, kesian ayah. Tolonglah picitkan belakang ayah tu. Ibu picitkan tadi tapi katanya tak sedap”.
Adik tadi pun menjawab, “Malam ni ye ayah”.

Anda tahu apa jadi malam itu?
Ketika adik tadi lalu untuk masuk ke dalam bilik air di bilik ibuayahnya, dia melihat ayahnya baring dan seperti menarik nafas dalam. Rupa-rupanya nyawa ayahnya sedang dicabut oleh malaikat maut. Dan itulah kali terakhir dia bertemu ayahnya, dan ingatkah anda tentang apa yang ayahnya minta siang tadi?
Itulah permintaan ayahnya yang terakhir, dan adik tadi tidak sempat memnuhi permintaan ayahnya..


Allahuakbar. Adik tadi terlalu terkesan dengan semua itu dan pesannya kepada sesiapa, tunaikanlah apa juga permintaan ibuayah walaupun kita dalam keadaan penat dan susah sebab kita tidak tahu bilakah permintaan terakhir mereka.


* * *


Ini antara kisah yang dikongsikan oleh adik-adik. Ada kisah-kisah lain, namun cukuplah dua kisah yang menjadi pedoman dan pengajaran buat diri saya sendiri.

Setelah mendengar semua kisah hidup mereka, saya belajar bahawa setiap orang ada ujiannya masing-masing. Saya bersyukur kerana saya boleh mendapat apa yang saya mahukan jika saya minta dari ibubapa saya walaupun saya bukanlah dari keluarga yang senang. Namun, ada antara insan lain yang kurang bertuah daripada saya.

Saya bersyukur kerana saya masih punyai ibuayah. Saya masih boleh memenuhi permintaan mereka jika mereka minta. Saya masih boleh menyalami dan memeluk serta mencium tangan mereka. saya masih boleh bertanya khabar dan bertanya itu ini kepada ibuayah saya.

Namun ada insan lain yang telah dijemput ibuayah mereka, tidak berkesempatan lagi untuk mencium, menyalami dan memeluk ibuayah kerana mereka sudah tiada. Tiada lagi insan bernama ibuayah untuk ditanyakan khabar dan ditanyakan itu ini melalui telefon. Hanya yang tinggal kenangan dan kubur yang menjadi ingatan kita kepada kematian yang bakal menjemput.


Subhanallah
Tiba-tiba saya teringatkan ibuayah saya di kampung. Sudah lama saya tidak bertanya khabar mereka berdua. Saya kagum dengan adik-adik tadi kerana mereka lebih matang dari saya. Sesungguhnya ujianlah yang mematangkan mereka. Alhamdulillah.

Saya berharap saya boleh belajar lebih lagi dari mereka tentang erti hidup. Walaupun mereka lebih muda dari saya, sesungguhnya selayaknya saya belajar dari sesiapa selagimana ianya boleh membawa saya kepada kebaikan.

Semoga mereka dan saya kuat menghadapi ujian-ujian hidup. Terima kasih ya Allah di atas segala kurniaan ujian dan kesabaran dari-Mu.. Bantuan-Mu dalam meneguhkan hati hamba-hamba-Mu terlalu didambakan. Sungguh aku sendiri tidak kuat jika Engkau tidak sudi mendampingiku ya Allah. Ruginya aku jika Engkau jauh dariku.. Allahu Rabbi..



يا مقلب القلوب ثبت قلبوبنا على دينك
Maksudnya: wahai Tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkan hati kami dalam agama-Mu





© Laman asal: jalan-sehala.blogspot.com
NorWardatun Razali

Sunday, October 4, 2009

Menulis: Antara keinginan dan Keikhlasan


Sudah dua kali saya diajukan di laman facebook tentang idea menghasilkan buku. Sungguh dan sebenar-benarnya saya malu dengan kecacatan dan kekurangan penulisan saya. Terlalu banyak kesilapan dan kelemahan. Saya memang gemar menulis, tidak tahu sejak bila ia bermula. Tetapi disebabkan ilmu saya yang terbatas, saya kerap mengulang-ngulang apa yang saya tahu.

Kebanyakan idea penulisan saya ambil dari apa yang saya dapat dari kelas dan saya olah kembali dengan bahasa saya yang dhaif ini untuk dikongsi bersama. Mengharapkan ada yang menegur di atas kekurangan diri dan penulisan, saya juga mengalukan komen yang membina. Sukar untuk menghentikan keinginan menulis, malah walaupun sesibuk mana, apabila buka sahaja laptop, tangan saya pasti akan menaip sesuatu yang terlakar di minda.

Saya pernah mempunyai impian untuk memiliki buku, malah saya pernah cuba menulis novel dan sudah hampir beberapa bab terhasil. Namun, keinginan untuk meneruskan jalan cerita novel tersebut terhenti begitu sahaja.

Di sebalik semua ini, saya selalu memikirkan satu perkara dan terlalu susah untuk saya sendiri miliki. Saya masih memburunya walaupun sukar untuk dimiliki. Saya percaya setiap orang mahukan juga apa yang saya mahu ini, ianya menjadi rebutan ramai orang. Namun hanya yang benar-benar berusaha akan memilikinya.


Memburu
Saya memburu ikhlas. Setiap kali saya selesai menaip, saya selalu bertanya adakah saya ikhlas dalam semua ini?

Saya memiliki sebuah buku berbahasa melayu, kitab al-Hikam yang disyarahkan oleh Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, terbitan telaga biru.

Saya petik sebuah kata hikmah oleh Ibn Ataillah as-sakandari:


الأعمال صور قائمة، وأرواحها وجود سر الإخلاص فيها

Maksudnya: “Amalan-amalan itu merupakan gambaran-gambaran yang zahir manakala roh-rohnya ialah rahsia ikhlas yang wujud padanya"

Anda perlu membaca berkali-kali kerana ia adalah kalam seorang ahli tasawwuf.

Mafhum dari hikmah tersebut:
Segala amal kebajikan diibaratkan seperti potret gambar yang berdiri dan untuk hidup gambar-gambar (potret) itu memerlukan roh. Begitulah juga amalan memerlukan keikhlasan.

Apabila saya membaca kata hikmah dan mafhumnya, saya banyak berfikir apakah setiap amalan saya dihidupkan dengan ikhlas? Ataukah ia hanya sekadar potret gambar yang tidak mempunyai roh untuk bergerak?

Hakikat Ikhlas
Ikhlas itu terlalu rahsia, tiada siapa yang tahu melainkan Allah s.w.t. Untuk memiliki sifat ikhlas terlalu sukar dan ia memerlukan mujahadah (kesungguhan). Betapa halusnya sifat ikhlas sehingga para ulama menyatakan:

“orang yang ikhlas pada amalan ialah yang tidak diketahui oleh malaikat untuk mencatat amalannya, dan tidak diketahui oleh musuh untuk merosakkannya. Sesungguhnya jiwa yang ujub akan berasa letih”.

Sahl bin Abdullah ditanya:
“Apakah perkara yang paling susah ke atas diri seseorang?”. Jawabnya:




الإخلاص لأنها ليس لها فيه نصيب
Maksudnya: “Ikhlas kerana nafsu tidak mempunyai apa-apa keuntungan di dalamnya”




Ikhlas adalah neraca kepada mujahadah seorang hamba. Ia akan memimpin para murid di dalam mujahadahnya sehingga berjaya, sesungguhnya Allah telah memerintahkan kita supaya memelihara sifat ikhlas dalam setiap amalan, sepertimana firman Allah s.w.t yang bermaksud:





“ Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan lepada-Nya dalam (menjalankan) agama” (surah
al-Bayyinah:5)



Ikhlas menurut Syeikh Zarruq ialah menafikan riyak sedangkan membenarkan penafian itu adalah ujub. Dengan sebab itu, kata sebahagian tuan guru:


“Betulkan amalan kamu dengan ikhlas dan betulkan ikhlas kamu dengan melepaskan diri daripada kuasa dan kekuatan”.



Sebahagian ulama salafussoleh selalu berkata tentang ikhlas dan kesusahan untuk mendapatkannya. Antaranya memetik kata-kata Fudhail bin I’yad :


“Kalaulah aku bersumpah bahawa aku riyak, ia lebih aku sukai daripada aku
bersumpah bahawa aku tidak riyak”.



Yusuf bin Husin berkata:


“ Perkara yang paling berat di dunia adalah ikhlas. Berapa banyak aku cuba
bersungguh-sungguh untuk menghapuskan sifat riyak di hatiku, namun ianya
seolah-olah tumbuh padanya (hati) dalam bentuk lain”.




Membenamkan kemasyhuran
Merenungi kata-kata Yusuf bin Husin mengingatkan diri tentang keihlasan hati. Riyak yang selalu menghapuskan ikhlas. Astaghfirullahal azhim.

Berapa kali hati saya pernah dilintasi keinginan untuk dikenali, masyhur di kalangan manusia? Berapa kali ujub mengatasi ikhlas? Tidak terkira saya sendiri. Astaghfirullahal azhim.

Saya menitipkan lagi di sini kata hikmah seterusnya, Kata imam ibn Ata’illah as-Sakandari:



ادفن وجودك في أرض الخمول، فما نبت مما لم يدفن لا يتم نتاجه
Maksudnya: “Tanamlah kewujudanmu (kemasyhuranmu) di bumi yang tidak terkenal (di sisi manusia) kerana sesuatu yang tumbuh sendiri tanpa ditanam tentu hasilnya tidak sempurna”




Mafhum: Sembunyikanlah kemasyhuranmu kerana ia akan membawa kepada kebaikan (keikhlasan). Sebaliknya keikhlasan yang wujud bersama-sama kemasyhuran berkemungkinan tidak sempurna.

Pujangga arab berkata:


“ Hiduplah berkeadaan biasa antara manusia dan redhalah, yang demikian itu lebih selamat di dunia dan juga di akhirat. Siapa yang tamakkan urusan manusia tidak
akan selamat, dan dia akan berserah ikut haluan orang lain”.



Apa yang dapat saya fahami dari kata pujangga tersebut bahawa apabila hidup kita hanya berasaskan rasa mahu dikenali dan masyhur di kalangan manusia, maka hidupnya hanya mengikut telunjuk dan kesukaan manusia. Sehingga dengan itu membawa kepada hilangnya agama. Keinginan untuk menjadi masyhur akan menerbitkan hasil dan natijah yang tidak sempurna (hilang agamanya) kerana ia hanya berserah mengikut arah haluan perancangan manusia, bukan kerana Allah dan agamanya.

Akhirnya
Merumuskan apa yang terkandung di dalam buku syarah al-Hikam tersebut membawa saya kepada erti kepentingan ikhlas. Saya akui tersangat sukar untuk memilikinya. Tentu anda juga merasakan apa yang saya fikirkan. Setiap kali mahu beribadah dan melakukan amalan-amalan, setiap kali itu jugalah sifat riyak dan mahu dikenali datang.

Setiap kali menanam benih ikhlas di tanah yang tidak masyhur, setiap kali itulah perasaan inginkan kemasyhuran datang. Sifat mahu dikenali inilah yang merosakkan benih ikhlas yang ditanam dalam hati.

Walalupun ikhlas sukar untuk dimiliki, namun kita boleh mendidiknya. Kerana itu, mujahadah dan pembaharuan niat perlu selalu dilakukan.

Saya kagum dengan penulis-penulis buku dan motivasi yang muncul ketika ini. Amat beruntung jika saya boleh menjadi seperti mereka, menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Tentu mujahadah mereka untuk mendapatkan rasa ikhlas tersangat tinggi. Ia memang sukar, lagi sekali saya katakan ia memang sukar. Justeru itu, kadang-kadang saya merasai kembali apakah timbal-balik terhadap semua yang saya lakukan. Kemasyhuran, pujian dan sebutan manusiakah? Sungguh jika saya kuat melawan perasaan-perasaan itu saya akan cuba mencapai impian tersebut.

Terima kasih kepada yang bertanya tentang rancangan untuk membuat buku. Serasanya memang masih tidak layak. Jika di blog ini juga boleh menjadi tempat perkongsian, mungkin saya akan teruskan menulis di sini sahaja. Jika diizinkan Allah s.w.t, saya juga mengimpikan untuk memiliki buku sendiri. (wa bi iznillah). Semoga apa sahaja yang kita lakukan dimulakan dengan niat kerana Allah dan diterima hendaknya. Amin..

Mari tashihkan dan sentiasa tajdid (perbaharui) niat kita bersama-sama.

Wallahu a’lam

______________________

Rujukan:
Buku :Syarah kitab al-Hikam Jilid 1
Penulis asal kitab al-Hikam : Imam Ibn Ata’illah as-sakandari
Disyarahkan : Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri (USIM)
Terbitan : Telaga Biru


al-misk uiam


© Laman asal : jalan-sehala.blogspot.com

Friday, September 11, 2009

Qalam Hati

Dari Qalam hati seorang hamba yang tercoret di atas kertas hati, beliau berkata:

Aku masih cuba menjejak diri-Nya. Entah mengapa hati ini selalu benar sengaja menjauh dari-Nya. Apakah yang membuatku jadi begini. Ya Tuhanku, bagaimana aku mahu lakukan lagi. Aku hanya seorang insan, mempunyai naluri manusiawi. Berselirat nafsu di penjara hati, takut sekali hati ini mati. Malu aku sekali di hadapanmu ketika memintanya dari-Mu, sedangkan aku lupa meminta dari-Mu. Jika aku pinta, pasti akan Engkau berikan. Allahu akbar.



“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan neraka Jahanam dalam keadaan hina.”-Al-Mukmin : 60


Aku mahu meminta sesuatu yang aku tidak tahu apakah ia baik untukku. Adakah ia hanya membahagiakan hatiku tetapi memberikan kesengsaraan kepada yang lain. Hanya dengan harapan itu aku selalu meminta darimu. Dan dengan kerana harapan dan pintaan itu, aku selalu berusaha mencari dan mahu semakin mendekati-Mu. Lalu, jika aku memperolehnya nanti adakah aku akan masih begini, masih mahu mendekati-Mu.

Ya Tuhan, tetapi mengapa jejak kembara hatiku sering menemui fatamorgana ilusi. Yang akhirnya menyampaikan aku kepada kesesalan kerana tersimpang dari jalan untuk terus mencari-Mu. Aku mahu terus mencari-Mu. Sungguh aku tidak kuat. Mataku ini selalu menggenangkan tangis, menzahirkan hiba. Hati ini terlalu kosong. Apakah aku ini sudah berpaling dari-Mu ya Allah. Aku tidak mahu begitu. Astaghfirullah

Aku selalu bertanya itu dan ini, menyoal apa yang aku mahukan dan apa yang aku harapkan tanpa aku mahu bersabar. Namun Engkau terus mendidikku dengan sifat sabar dengan ujian-ujian yang hadir. Engkau selalu membisikkan di hatiku bahwa suatu saat nanti pasti aku tahu mengapa dan untuk apa dilengahkan terhadap pintaan-pintaanku yang masih belum kunjung tiba. Dan sudah pasti saat itu aku akan selalu bersyukur di atas anugerah yang tidak terhingga tersebut.

Terhadap ujian-ujian ilahi,
Andai ia mengugurkan tangis, aku belajar bahawa dunia ini bukan tempat yang selalunya membahagiakan. Petanda pada fananya dunia.
Andai ia mengguriskan hati yang menerbitkan luka-luka, aku belajar bahawa luka hati ini suatu yang lumrah menjadi manusia. Baru aku tahu betapa kasihnya Allah padaku kerana Dia tidak pernah menyakitiku, malah menyayangiku dengan sepenuh kecintaan. Subhanallah.
Andai pula aku gembira, aku belajar bersyukur dan andai aku peroleh apa yang aku cita-citakan, semuanya mengukuhkan tali kepercayaanku kepada-Nya.




Hadis Qudsi:


Allah swt berfirman: “Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.” (Sahih Bukhari)


Walaupun seandainya aku selalu meminta, tetapi masih tidak kunjung tiba, sesungguhnya aku patut tahu selayaknya aku perlu meneguhkan roja’, roghbah dan rohbah. Mungkin apa yang aku pinta tidak baik untukku dan dikeranakan jahil tentang ketentuan dan pemberian memungkinkan diri melakar khayalan yang indah dan terus meminta dari-Mu.

Kini,
Aku masih meminta dalam doaku, kerna ia menguatkan tiang seriku. Tetapi pintaanku kali ini untuk meminta hatiku kembali. Hatiku yang sekian lama kosong dan sunyi dari halwa tarbiyyah. Aku mahukan hati yang selalu tenang serta pintaanku untuk bertapak di atas jambatan ketaqwaan impianku. Namun mampukah aku gapai semua itu. Selalu sahaja diuji dengan fatamorgana ketika sudah memulakan kembara.

Ya Tuhanku, bersihkan hatiku. Janganlah matikan hatiku dengan maksiat dan berseliratnya dosa di penjara hatiku. Jangan biarkan aku terus terpenjara di dalam kesepian menanti cinta-Mu.



Rasulullah SAW bersabda:“Sesungguhnya ALLAH tidak melihat gambaran lahir amalan kamu dan rupa kamu tapi ALLAH melihat hati kamu”.(Riwayat Muslim)


Di jejak gerbang penghapusan dosa Ramadhan ini, aku masih terus meminta dengan penuh malu dan hinanya rasa diriku. Aku meminta agar ketenangan hati itu kembali bersama dengan impian-impian dan harapan yang pasti dari janji-janji yang Kau paterikan di dalam al-Quran. Semoga di akhir kembara ini, aku akan menemui cinta-Mu yang tersedia di sebalik pintu syurgawi. Amin ya rabbal a’lamin..


_________________________

Siapa Dia??


“Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi.”-Al-A’raf : 172
Kerna Dia Tuhanku aku akan terus meminta apa yang baik buat diriku untuk kehidupan dunia juga akhirat.


“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (Al-Mukmin : 60)


MENCARI CINTA-MU
Bingkisan: al-misk

Tersesat aku
Di latar jumantara
Di gersang sepi sahara
Di gelap lorong yang merekah

Tersesat aku lagi
Dicengkam nafsu sendiri
Dijerat di penjara hati
Tenggelam di lautan mimpi
Mengapa begini
Tewaskah aku lagi
Pada bicara nafsu sendiri

Dalam menjejak cinta--Mu
Bagaimanakah lagi perlu kucari
Dalam perjalanan menuju-Mu
Bagaimanakah lagi perlu ku kukuhi

Cinta-Mu padaku
Selalu aku angankan
Selalu menguatkan
Walau aku sendiri
Walau jejak berduri

Dalam mencari cinta-Mu
Aku tersesat sendiri
Aku terjelepok lagi
Aku tertipu lagi
Pada fatamorgana
Ilusi cinta sementara
Yang melalaikan
Yang menyeksakan
Yang menghalangkan
Sebuah keindahan mujahadah
Dalam mencari cinta-Mu

Cintaku pada-mu
Walau jauh tersimpan kukuh
Dalam abdiku pada-Mu
Cinta-Mu padaku
Tunjukkanku jalan pulang
Berteman lembayung rahmat-Mu



Wardah Razali
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
21Ramadhan 1430H