Sebatas JahiliyyahLantas iman yang senipis bawang kian melayang
Lalu aku bertanya
Dan memiliki cinta-Mu
Dan setelah batas jahiliyyah ini
~almisk
Untuk melewati badai kita harus terus berjalan, bukannya berhenti.. Dan untuk terus berjalan hanya ada dua hal yang harus kita terus bawa: Keyakinan dan Cinta..
Sebatas Jahiliyyah
‘Jodohku, aku tidak tahu dirimu siapa dan entah di mana. Aku cuma tahu engkau ada, di dunia atau di syurga. Akan kusimpan perasaan ajaib ini. Akan kuluapkan untukmu setelah akad menghalalkan kita.’~ Kata2 Qani'ah Syumaila (Petikan dari novel yang bakal muncul)
“Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik).” (HR al-Tarmizi).


Kerana "kita dapat apa yang kita lihat, apa yang kita baca dan apa yang kita dengar serta fikir”. Justeru yang penting kita hendaklah memilih bahan bacaan dan sesuatu yang kita mahu tonton supaya ia memberi manfaat serta membantu menambah amal kita.
Antara sekian banyak filem yang menambat hati saya adalah ‘Sang Murabbi’. Kisah perjuangan dan tarbiyyah ustaz Rahmat di Indonesia, masyaAllah banyak yang saya perolehi. Saya faham apa itu dakwah dan kepentingannya. Namun saya kira, saya tidaklah sekuat sepertimana aktivis lain. Saya hanya pegang pada satu perkara, dakwah itu bukan hanya bercakap tetapi akhlak, tutur bicara dan pergaulan kita dengan manusia juga dikira dakwah (dakwah bilhal). Kerana tidak semua orang diberi kelebihan bercakap, maka setiap sekecil2 amalpun insyaAllah dikira sebagai amal.biiznillah.
Filem "Ketika Cinta Bertasbih"
Filem kedua ada ‘Ketika Cinta Bertasbih’. Bukan kisah cintanya, tetapi saya cukup terkesan dengan penyusunan dan ketentuan takdir Allah. Sungguh manusia itu tidak tahu apa yang terbaik untuknya. Hanya jika namanya jodoh, apa sekalipun yang menghalang jika memang seseorang itu sudah tertulis jodohnya dengan kita, maka dia akan bertemu dengan kita juga.
Diteruskan dengan drama ketika cinta bertasbih Ramadhan, terlalu banyak hikmah yang dinukilkan oleh Habiburrahman as-syeirazi. Antara yang saya sangat sukai adalah, banyaknya pergantungan setiap watak kepada Allah swt.
Hatta dalam soal diuji dengan ujian diminta oleh ayah mertua untuk berkahwin dengan seorang ustazah di pesantren, sangat menguji jiwa seorang isteri. Hanya memikirkan soal dakwah dan keberterusan dakwah di pesantren, Anna sanggup dimadukan walaupun hatinya sedih dan disayat sembilu. Namun dia mengukir senyum malah dia sendiri mengumumkan pernikahan suaminya.
Walaupun Azzam punya peluang begitu, dia tidak menunjukkan kesenangan hatinya. Malah dia menerima apa jua keputusan isterinya kerana baginya anak itu bukanlah utama untuknya. Diuji dan diuji sehingga semua merasa redha, lalu Allah buka jalan dan hikmahnya apabila Anna hamil. subhanAllah, dan dengan itu perancangan perkahwinan dengan ustazah Qanitah dibatalkan dan diberi ganti yang lebih baik lagi buatnya iaitu ustaz Furqan.
Saya enggan mengulas lanjut bagaimana isi ceritanya, Cuma dalam sekian banyak kehidupan perlunya kita kuatkan hati pada ketentuan Tuhan. Banyakkan berdoa. Tidak putus-putus doa dilantunkan di dalam watak kisah ini.
Sesungguhnya benarlah, apabila kita mengingati Allah, Allahpun akan ingat pada kita.
Allah berfirman:
" Maka ingatlah kepada-Ku, Aku-pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku"~ surah al-Baqarah: ayat 152.
Saya ingin menjadi seperti itu, menjadi yang selalu ingat pada Yang Maha Mengasihi, ingin menjadi orang yang kuat bergantung pada-Nya kerana hanya itulah sumber kekuatan ketika semua makhluk dirasakan meninggalkan kita.
Dan sesungguhnya sekian banyak keperitan dan kesakitan di masa lalu saya belajar satu perkara bahawa Allah itu tidak pernah meninggalkan saya. Allah itu mahukan yang terbaik buat saya. Dan jika memang saya pernah melakukan dosa dan terjatuh ke lembah jahiliyyah, itu atas pilihan saya sendiri yang tersalah memilih arah. Allhamdulilah ‘ala kulli hal atas nikmat iman.
Dan atas kesedihan dan kepedihan itu, mudah-mudahan saya belajar erti menghargai orang yang hadir dalam hidup saya, terutama ibuayah saya. Moga saya dan kita semua dapat bersama orang yang kita kasihi, ibuayah, serta saudara seiman kita bersama di syurga kelak. Allahumma ameen.
wallahu a'lam
~almisk

Hakikatnya bukan mudah untuk membuat pilihan, lebih-lebih lagi apabila ia bersangkutan dengan akhirat. Saya terlalu mengagumi seorang pendakwah, penulis dan seorang ukhti yang sangat lemah-lembut dan sopan dalam bicara. Kak Fatimah Syarha.
Membaca buku beliau berjudul “Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul” membuatkan saya teruja dengan pendirian seorang muslimah.
Kisah seorang muslimah yang teguh dengan pendirian mengejar cita-cita dikuatkan lagi dengan menepis cinta yang murahan. Cinta remaja sekarang sama ada agamawan atau tidak kadang-kadang dicemari nafsu. Pilihan untuk bercinta tanpa pengetahuan wali dan keizinan mereka mengundang terbukanya jalan menghampiri zina.
"Cinta itu adalah apabila kita mahu bersamanya hingga ke syurga”..ini definisi Hilal Asyraf berkenaan cinta.
Ya, Cinta itu tidak murah. ia mahal sebenarnya kerana cinta yang fitrah itu datangnya dari Allah, perlu diuruskan dengan sebaiknya dan di atas batasan dan landasannya.
Bila cinta jadi murah? Murah apabila ajak pasangan mengundang murka Allah.
Kata cinta, tapi ajak buat maksiat. Kata cinta, tapi kenapa tolak pasangan masuk ke neraka. Jika benar cinta, usahakan jalan syar’ie untuk segera bernikah, jumpa ibubapa, jaga hubungan atas dasar urusan sahaja. Rata-rata ada yang mendapat izin ibuayah, tetapi tidak menjaga hubungan sebaiknya. Dating, chatting yang melalaikan, bergayut di telefon berjam-jam, sms perkara yang melampau dan tanpa urusan, itu yang selalu menjadi punca utama terjebaknya kepada cinta murahan.
Bila cinta murahan melanda, semua kerja jadi tak kena, ingatan hanya tertuju kepada si dia, jiwa terganggu menilai yang baik dan yang buruk, hati terseksa dengan barah rindu.. Semuanya memalingkan diri dari cinta-Nya.
Justeru dalam memilih teman bersama untuk ke akhirat, jagalah hubungan sejak dari awal perkenalan. Jangan diselitkan dengan unsur yang tidak syar’ie. Berkenalan sekadarnya, tahu orangnya, tahu agamanya.. kerana sebagai manusia kita tidak dapat kenal dengan bakal pasangan kita dengan sebenar-benarnya sehingga kita sudah halal dan duduk serumah bersamanya. Itu yang pernah pensyarah saya katakan.
Hakikatnya, soal pilihan ini berkait rapat dengan soleh/solehah atau tidaknya kita. insyaAllah, Allah beri apa yang sesuai untuk kita. Baiki diri untuk jadi lebih baik, tetapi jangan pula menjadi baik kerana untuk mendapat pasangan baik. Jadilah baik untuk kehidupan akhirat nanti, berubah hanya kerana Allah.
Mintalah Allah pilihkan untuk kita, andai dia baik untuk kehidupan kita, agama kita, untuk dunia dan akhirat kita, mintalah didekatkan dan dipermudahkan sepertimana kita selalu tutur dalam doa istikharah.
Akhirnya, ingin saya petik sebuah sajak dari Aminah Qutb, adik kepada tokoh terkenal Sayyid Qutb:

Sekiranya
Kita cinta kepada manusia
Tak semestinya manusia cinta kepada kita.
Tetapi sekiranya
Kita cinta kepada Allah
Nescaya cinta Allah tiada penghujungnya.
Sekiranya
Kita cinta kepada manusia
Kita akan cemburu kepada orang yang
Mencintai orang yang kita cintai.
Tetapi sekiranya
Kita cinta kepada Allah
Kita akan turut mencintai orang yang
Melabuhkan cintanya kepada Allah juga.
Ya Allah,
Andainya dia adalah jodoh
Yang ditetapkan oleh-Mu kepadaku
Maka,
Campakkanlah ke dalam hatiku
Cinta kepadanya adalah kerana-Mu
Namun,
Andainya dia bukanlah jodoh
Yang ditetapkan oleh-Mu kepadaku
Berikanlah aku kekuatan agar pasrah
Dalam mengharungi ujian
Yang Kau berikan kepadaku
أحبك الذي أحببتني فيه
~ almisk



Hampir 3tahun dalam dunia tarbiyyah, saya mula kenal apa itu usrah, dakwah fardi, kerja dalam jemaah dan banyak term yang tak pernah saya kenal sebelum menjejak dunia ini. Alhamdulillah, bila jatuh, ada yang mengingatkan. Bila kecewa ada yang menguatkan. Dunia tarbiyyah ini paling mengajar saya erti bagaiman untuk menjadi hamba-Nya yang boleh memberi sumbangan, mengajak orang lain pada kebaikan dan berusaha untuk jadi lebih baik dari semalam.
Nun jauh di sanubari saya, saya bukanlah manusia yang tiada dosa. Dosa-dosa yang berselirat pada jiwa dan jasad saya sangatlah banyak. Hingga malu pada Pencipta diri ini, apalah yang akan dibawa pulang ke sana nanti.
Sungguh saya akui, makin kita faham agama, makin kita cuba menjaga agama, kita akan diuji Allah swt dengan apa yang kita fahami, jagai. Dan yang paling hebat adalah apabila kita diuji dengan apa yang kita pernah sampaikan.
Saya percaya semua akan bersetuju dengan anggapan ini. Paling tidakpun kita akan diuji antara kehendak kita dan pilihan Allah. Kita mahu tapi Allah tidak takdirkan. Ataupun kita dapat apa yang kita mahu tetapi akibat berlama-lamaan dengannya membuat kita lalai dan makin jauh dari-Nya.
Sungguh sebenarnya dosa itu amat mencederakan hati. Itu yang saya alami dan semua manusia yang punya iman alami. Namun di sebalik semua itu bersyukurlah kerana itu tandanya Allah masih mahu kita ingat pada-Nya, Allah masih mahu kita bersihkan diri kita, bersihkan hati kita dari karat-karat jahiliyyah.
Sungguh saya juga tewas bila lalui ujian, apa yang mahu tak didapat. Tapi sebenarnya banyak lagi yang kita harap Allah sudah berikan. Hanya kita melihat yang satu itu sahaja yang kita amat harap-harapkan, yang kita sanjung-sanjungkan tak dapat lalu mula merasa kecewa dan bertanya kepada Allah.. kenapa aku tidak dapat apa yang aku mahu?
Mari muhasabah bersama kerana saya juga selalu tewas dan lupa hakikat sebenar ujian ini. Ia untuk jadikan kita sabar.
Sabarlah.. apa yang luput itu jika ia berupa manusia yang meninggalkan kita atau cinta yang disia-sia, kembalilah mencari cinta yang hakiki, cintai Dia, hanya Dia yang selayaknya kita letakkan kasih, pengharapan dan cinta yang menggunung. Sampai suatu saat kita akan rasa, bila cinta manusia menjauh, kita makin dekat dengan cinta Allah.
Jika yang luput itu harta, maka bersangka baiklah dengan-Nya. Mungkin ada sebab mengapa Allah luputkan harta dari kita. Ataupun mungkin kita tidak diberikan kekayaan untuk membeli rumah besar, kereta mewah adalah supaya kita merasa cukup dengan apa yang ada. Jika ada syukur, jika tiada pun syukur. Usaha mengikut apa dayanya.
Dan begitulah sebenarnya perjalanan hidup ini. Kita selamanya akan diekori dengan ujian, tapi jangan cuba melawan takdir, berusaha menghadapinya dengan sabar dan doa. Selalu fikirkan bahawa bukan kamu seorang melaluinya, malah ada yang lebih sukar diuji dengan kesusahan dan kesakitan tetapi mereka mampu bersabar.
Disebalik semua inilah bagaimana Allah sedang mentarbiyyah kita, mendidik kita menjadi manusia yang sangat kuat pergantungannya kepada Allah. Justeru, orang yang ditarbiyyah oleh Allah hidupnya tidak akan dirugikan dengan berkurung di bilik, tidak makan, bunuh diri.. malah dia akan cuba bangkit menjadikan ujian itu sebagai batu loncatan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah.
Akhirnya, percayalah Allah itu sayangkan kita. Sayang dengan sangat-sangat sayang. Lalu kita ini, adakah kita membalasnya?
Mari kembali kepada-Nya, biar dosa dan maksiat itu di selatan nun menjauh ke sana kerana kita sedang melangkah mendekati Tuhan Kita menjauh ke utara.
Moga Allah redha..
wardah almisk