Pages

Thursday, December 15, 2011

Tarbiyyah Pencipta


Hampir 3tahun dalam dunia tarbiyyah, saya mula kenal apa itu usrah, dakwah fardi, kerja dalam jemaah dan banyak term yang tak pernah saya kenal sebelum menjejak dunia ini. Alhamdulillah, bila jatuh, ada yang mengingatkan. Bila kecewa ada yang menguatkan. Dunia tarbiyyah ini paling mengajar saya erti bagaiman untuk menjadi hamba-Nya yang boleh memberi sumbangan, mengajak orang lain pada kebaikan dan berusaha untuk jadi lebih baik dari semalam.

Nun jauh di sanubari saya, saya bukanlah manusia yang tiada dosa. Dosa-dosa yang berselirat pada jiwa dan jasad saya sangatlah banyak. Hingga malu pada Pencipta diri ini, apalah yang akan dibawa pulang ke sana nanti.

Sungguh saya akui, makin kita faham agama, makin kita cuba menjaga agama, kita akan diuji Allah swt dengan apa yang kita fahami, jagai. Dan yang paling hebat adalah apabila kita diuji dengan apa yang kita pernah sampaikan.

Saya percaya semua akan bersetuju dengan anggapan ini. Paling tidakpun kita akan diuji antara kehendak kita dan pilihan Allah. Kita mahu tapi Allah tidak takdirkan. Ataupun kita dapat apa yang kita mahu tetapi akibat berlama-lamaan dengannya membuat kita lalai dan makin jauh dari-Nya.

Sungguh sebenarnya dosa itu amat mencederakan hati. Itu yang saya alami dan semua manusia yang punya iman alami. Namun di sebalik semua itu bersyukurlah kerana itu tandanya Allah masih mahu kita ingat pada-Nya, Allah masih mahu kita bersihkan diri kita, bersihkan hati kita dari karat-karat jahiliyyah.

Sungguh saya juga tewas bila lalui ujian, apa yang mahu tak didapat. Tapi sebenarnya banyak lagi yang kita harap Allah sudah berikan. Hanya kita melihat yang satu itu sahaja yang kita amat harap-harapkan, yang kita sanjung-sanjungkan tak dapat lalu mula merasa kecewa dan bertanya kepada Allah.. kenapa aku tidak dapat apa yang aku mahu?

Mari muhasabah bersama kerana saya juga selalu tewas dan lupa hakikat sebenar ujian ini. Ia untuk jadikan kita sabar.

Sabarlah.. apa yang luput itu jika ia berupa manusia yang meninggalkan kita atau cinta yang disia-sia, kembalilah mencari cinta yang hakiki, cintai Dia, hanya Dia yang selayaknya kita letakkan kasih, pengharapan dan cinta yang menggunung. Sampai suatu saat kita akan rasa, bila cinta manusia menjauh, kita makin dekat dengan cinta Allah.

Jika yang luput itu harta, maka bersangka baiklah dengan-Nya. Mungkin ada sebab mengapa Allah luputkan harta dari kita. Ataupun mungkin kita tidak diberikan kekayaan untuk membeli rumah besar, kereta mewah adalah supaya kita merasa cukup dengan apa yang ada. Jika ada syukur, jika tiada pun syukur. Usaha mengikut apa dayanya.

Dan begitulah sebenarnya perjalanan hidup ini. Kita selamanya akan diekori dengan ujian, tapi jangan cuba melawan takdir, berusaha menghadapinya dengan sabar dan doa. Selalu fikirkan bahawa bukan kamu seorang melaluinya, malah ada yang lebih sukar diuji dengan kesusahan dan kesakitan tetapi mereka mampu bersabar.

Disebalik semua inilah bagaimana Allah sedang mentarbiyyah kita, mendidik kita menjadi manusia yang sangat kuat pergantungannya kepada Allah. Justeru, orang yang ditarbiyyah oleh Allah hidupnya tidak akan dirugikan dengan berkurung di bilik, tidak makan, bunuh diri.. malah dia akan cuba bangkit menjadikan ujian itu sebagai batu loncatan untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah.

Akhirnya, percayalah Allah itu sayangkan kita. Sayang dengan sangat-sangat sayang. Lalu kita ini, adakah kita membalasnya?

Mari kembali kepada-Nya, biar dosa dan maksiat itu di selatan nun menjauh ke sana kerana kita sedang melangkah mendekati Tuhan Kita menjauh ke utara.

Moga Allah redha..

wardah almisk

No comments:

Post a Comment