Pages

Friday, December 23, 2011

Belajar Menghargai




Ada sebuah kisah yang hendak saya kongsikan:
Pada suatu hari seorang anak bertengkar dengan ibunya mengenai satu perkara sehingga menyebabkan si anak keluar dari rumah sehelai sepinggang. Tanpa dia sedari, dia tidak membawa beg pakaian malahan beg duit sekalipun.

Ketika sedang berjalan tiba-tiba dia merasa lapar, dan sewaktu sampai bersebelahan dengan sebuah kedai makan, perutnya meminta untuk diisi. Tetapi dia berfikir bagaimana hendak makan kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

Peniaga kedai makan itu melihat anak muda tadi berdiri lama di situ, lalu dia bertanya: “Anak kenapa berdiri di situ? Nak makan ke?”.

Anak itu menjawab sambil tersipu-sipu malu:” ye pakcik, saya nak makan.tetapi saya tidak membawa wang”.
Lalu pakcik tersebut mempelawanya duduk dan dibawakannya nasi serta lauk-pauk yang menyelerakan.

Tiba-tiba anak muda tadi menangis, pakcik itu hairan dan bertanya. “kenapa menangis nak?”.
Dia menjawab: “Saya terharu, pakcik baik sangat dengan saya walaupun baru mengenali saya. Sebenarnya saya baru keluar dari rumah disebabkan berlaku pertengkaran dengan ibu saya. Walaupun pakcik baru mengenali saya, tetapi pakcik berkelakuan baik sahaja dengan saya malah memberikan saya hidangan untuk dimakan. Tetapi ibu saya walaupun sudah lama mengenali saya, tetapi sanggup kata pada saya: ‘jangan kamu balik lagi ke rumah ini”.

Pakcik tersebut menggeleng kepala lalu berkata: “anak, pakcik baru sekali ini sahaja memberikan sepinggan nasi. Tetapi ibu anak sejak dari kecil sudah memasakkan dan memberikan anak makan. Bukankah itu pengorbanan dan kasih sayang namanya. Pakcik yakin, ibu anak sudah tentu risau dan sedang menunggu kepulangan anak”.

Lantas si anak muda tadi bergegas pulang ke rumah dan melihat ibunya menangis dan sangat risau akan keadaan anaknya. Dipeluknya dan diajak makan nasi yang belum lagi dijamah dek kerisauan yang termat.

** Apa pengajaran dari kisah ini:
Sesungguhnya kita selalu lupa menghargai orang yang selalu berada bersama kita. Kita selalu menghargai orang yang baru datang dalam hidup kita. Oleh itu, belajarlah menghargai orang yang selalu bersama kita, bagi yang sudah berkahwin hargai suami atau isteri. Bagi yang belum berkahwin, hargailah ibu ayah.

Yang kedua, menghargai seseorang akan membuatkan orang itu mendapat sebuah semangat dan menjadi seorang yang hebat. Tidak sukakah kita merasa dihargai? Jika kita senang apabila dihargai orang lain, belajarlah pula untuk menghargai orang lain kerana hukum alam : kamu dapat apa yang kamu beri.

Yang ketiga, orang yang menghargai bermakna dia tahu asal usul atau sejarah kehidupannya. Lihat sahajalah contoh batu bersurat terengganu, dahulunya sebelum ditemui menjadi monumen sejarah yang berharga, batu tersebut menjadi tempat membasuh kaki kerana apa? Kerana manusia ketika dulu tidak tahu langsung bahawa ia ada nilai sejarah. Tetapi apabila sudah disingkap sejarahnya, maka diletakkan di tempat istimewa dinamakan sebagai ‘muzium’.

Oleh itu, belajarlah menghargai orang sekeliling kita terutama apabila seseorang sudah punya jawatan. Bertegur sapalah dengan makcik ‘cleaner’ di hadapan pejabat kita. Hulur senyuman dan sekali kala bertanya khabar.

Ustaz zahazan pernah menceritakan tentang seorang mursyid, kalau boleh disebutkan namanya (Dr Zulkifli al- Bakri), beliau selalu bertanya kabar apabila bertemu dengan ‘cleaner’ yang membersihkan ruang hadapan pejabatnya. Suatu hari, beliau tidak nampak kelibat ‘cleaner’ tersebut, lalu dia bertanya kepada pekerja lain. Rupa-rupanya dia sakit, lalu beliau terus melawat pekerja tersebut.

SubhanAllah, inilah juga akhlak yang Baginda SAW ajarkan kepada kita. Berbuat baik dengan sesiapa walaupun mereka pernah menyakiti hati dan jasad kita. Hargai orang lain, tentu kita akan dihargai.

Sekian.

p/s: penulisan ini bersumberkan kisah yang diceritakan pada slot motivasi pagi oleh Ustaz Badlishah di IKIM.fm. moga mendapat manfaat. Dan selamat beramal ^^,)

No comments:

Post a Comment