Pages

Friday, December 30, 2011

Ku Ingin Seperti Itu

Orang kata jangan selalu tengok movie, sia-sia. Tapi jika movie itu adalah platform untuk kita mencari hikmah dan menambah kefahaman Islam serta menepati piawaian saya kira tidak salah.

Kerana "kita dapat apa yang kita lihat, apa yang kita baca dan apa yang kita dengar serta fikir”. Justeru yang penting kita hendaklah memilih bahan bacaan dan sesuatu yang kita mahu tonton supaya ia memberi manfaat serta membantu menambah amal kita.

Filem "Sang Murabbi"

Antara sekian banyak filem yang menambat hati saya adalah ‘Sang Murabbi’. Kisah perjuangan dan tarbiyyah ustaz Rahmat di Indonesia, masyaAllah banyak yang saya perolehi. Saya faham apa itu dakwah dan kepentingannya. Namun saya kira, saya tidaklah sekuat sepertimana aktivis lain. Saya hanya pegang pada satu perkara, dakwah itu bukan hanya bercakap tetapi akhlak, tutur bicara dan pergaulan kita dengan manusia juga dikira dakwah (dakwah bilhal). Kerana tidak semua orang diberi kelebihan bercakap, maka setiap sekecil2 amalpun insyaAllah dikira sebagai amal.biiznillah.

Filem "Ketika Cinta Bertasbih"

Filem kedua ada ‘Ketika Cinta Bertasbih’. Bukan kisah cintanya, tetapi saya cukup terkesan dengan penyusunan dan ketentuan takdir Allah. Sungguh manusia itu tidak tahu apa yang terbaik untuknya. Hanya jika namanya jodoh, apa sekalipun yang menghalang jika memang seseorang itu sudah tertulis jodohnya dengan kita, maka dia akan bertemu dengan kita juga.

Diteruskan dengan drama ketika cinta bertasbih Ramadhan, terlalu banyak hikmah yang dinukilkan oleh Habiburrahman as-syeirazi. Antara yang saya sangat sukai adalah, banyaknya pergantungan setiap watak kepada Allah swt.

Hatta dalam soal diuji dengan ujian diminta oleh ayah mertua untuk berkahwin dengan seorang ustazah di pesantren, sangat menguji jiwa seorang isteri. Hanya memikirkan soal dakwah dan keberterusan dakwah di pesantren, Anna sanggup dimadukan walaupun hatinya sedih dan disayat sembilu. Namun dia mengukir senyum malah dia sendiri mengumumkan pernikahan suaminya.

Walaupun Azzam punya peluang begitu, dia tidak menunjukkan kesenangan hatinya. Malah dia menerima apa jua keputusan isterinya kerana baginya anak itu bukanlah utama untuknya. Diuji dan diuji sehingga semua merasa redha, lalu Allah buka jalan dan hikmahnya apabila Anna hamil. subhanAllah, dan dengan itu perancangan perkahwinan dengan ustazah Qanitah dibatalkan dan diberi ganti yang lebih baik lagi buatnya iaitu ustaz Furqan.

Saya enggan mengulas lanjut bagaimana isi ceritanya, Cuma dalam sekian banyak kehidupan perlunya kita kuatkan hati pada ketentuan Tuhan. Banyakkan berdoa. Tidak putus-putus doa dilantunkan di dalam watak kisah ini.

Sesungguhnya benarlah, apabila kita mengingati Allah, Allahpun akan ingat pada kita.

Allah berfirman:

" Maka ingatlah kepada-Ku, Aku-pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku"~ surah al-Baqarah: ayat 152.

Saya ingin menjadi seperti itu, menjadi yang selalu ingat pada Yang Maha Mengasihi, ingin menjadi orang yang kuat bergantung pada-Nya kerana hanya itulah sumber kekuatan ketika semua makhluk dirasakan meninggalkan kita.

Dan sesungguhnya sekian banyak keperitan dan kesakitan di masa lalu saya belajar satu perkara bahawa Allah itu tidak pernah meninggalkan saya. Allah itu mahukan yang terbaik buat saya. Dan jika memang saya pernah melakukan dosa dan terjatuh ke lembah jahiliyyah, itu atas pilihan saya sendiri yang tersalah memilih arah. Allhamdulilah ‘ala kulli hal atas nikmat iman.

Dan atas kesedihan dan kepedihan itu, mudah-mudahan saya belajar erti menghargai orang yang hadir dalam hidup saya, terutama ibuayah saya. Moga saya dan kita semua dapat bersama orang yang kita kasihi, ibuayah, serta saudara seiman kita bersama di syurga kelak. Allahumma ameen.

wallahu a'lam

~almisk


No comments:

Post a Comment