Pages

Thursday, August 9, 2012

Hati Sudah Terbang

Hari ini sudah 19 Ramadhan, sudah 2 minggu berpuasa di kampung, teman emak. Emak yang saya sangat sayang. Hanya ada emak manusia yang saya cinta, kerana ayah sudah kembali kepada Allah, yang tinggal untuk diri sendiri lakukan adalah doa yang berterusan.

Emak pesan: "Tumpukan niat asal".

Ya emak, saya mengangguk faham bahawa tujuan asal saya menyambung pengajian adalah untuk mencari ilmu. Saya tak mahu berat memikir soal jodoh dan masalah berkaitan dengannya lagi. Kadang-kadang datang rasa serik menakung airmata dan berperang dengan perasaan dan janji manusia yang sifatnya lemah dan tidak kuat dilambung ujian.

InsyaAllah jiwa sudah redha. Yang di fikiran kini adalah thesis yang masih berada di LAB. Moga Allah permudahkan.

Entah kenapa jiwa ini sudah terbang jauh. Ingin meninggalkan tempat ini, tempat yang menyimpan seribu macam kenangan. Perkara itu adalah perkara yang semakin mahu dilupa semakin mencengkam kesedihan di jiwa.
Allah...
Memang di sini dekat dengan yang dicinta, dekat untuk pulang selalu tetapi hati sendiri sudah tidak kuat untuk berdiri sendiri.

Untuk apa ke sana, walaupun memang untuk 'lari' dari perkara lalu, tetapi ada tujuan sebenar iaitu mencari suasana mencari ilmu di tempat baru, mengasah bahasa arab dan menjadi manusia yang kuat keyakinan dirinya tanpa rasa sombong terhadap manusia lainnya.

Jordan, saya ingin sekali ke sana. Tetapi saya selalu ingat bahawa manusia itu hanya merancang, sedang Allah itu menentukan dan Dialah yang sebaik-baik merancang.

Astaghfirullah
Jiwa kacau, mahu sahaja dijirus pergi semua masa lampau tapi diri ini hanya manusia...
Manusia biasa yang tidak kering dari rasa sedih

T_T

Moga Allah tenangkan hati ini dan hilangkan kegusaran yang selalu melanda
Hanya puisi ini mampu merakam rasa di jiwa:

Hati Sudah Terbang

Terasa hati terbang 
Bersama impian yang tercipta 
Ke mana biarlah menjadi izin-Nya

Bukan tidak indah di sini
Sudah tentu di sini lebih segalanya
Dekat dengan yang dicinta
Cuma keberadaan yang berterusan
Membuat kolam mata terus bertakung
Menanti limpah membasahi dasarnya
Mengalir bersama sejuta rasa
Dan selagi di sini
Selagi itulah mimpi semalam terus mengikat
Kuat dan semakin sakit

Jikalah masa lalu mampu dipadam
Hanya dengan sejirus air salju
Pasti tekad itu tidakkan wujud
Untuk terbang ke daerah baru
Daerah yang lebih baik
Yang lebih menenangkan

Bingkisan: Wardah almisk

Wednesday, August 1, 2012

Bingkisan Hati

Mahu menulis puisi
Serasanya seperti dahulu-dahulu
Tangan ini ligat menulis di keyboard komputer
Melagu-lagukan dalam hati
Puisi itu
Menjadi suara hati
Pada hanya diri yang memahami
Makna disebaliknya
Terkadang dengan puisi sahaja
Boleh menimbulkan salah faham orang
Terhadap kita

Mungkin sudah tua
Dihujani rasa yang pelbagai
Puisi itu tetap indah
Hanya hati yang sudi memikirkannya
Akan faham
Mengapa puisi tercipta


Suka dengan lakaran kata-kata seorang murabbi:
"Barangkali sebingkai lukisan yang indah
Dari pelukis yang gundah"

Hati gundah..
Dunia mengapa kamu duduk dalam hati ini
Keluarlah
Aku tidak mahu sibuk memikirkan apa yang bukan milikku
Aku tidak mahu penat memikir apa yang belum aku miliki
Bila sampai masanya pasti

Cuma terkadang aku jadi hairan
Kepada manusia yang kurang bersyukur
Nasibnya lebih baik dibanding aku
Ya, mungkin kerana aku merasa aku lebih sakit dibanding dengannya
Airmata berbekas-bekas jika boleh ditadah
Tetapi
Ah.. manusia itu memang apabila belum dapat dia akan meminta
Bila sudah dapat dia merungut dan minta yang lain
Astaghfirullah
ampunkan aku jika bersangka-sangka
Syukur aku tidak perlu tertipu dengan janji palsu
Cinta yang manusia jaja
Dan berpisah atas alasan tiadanya dalam jiwa
Sedang cinta itu milik Allah
Kita minta ia dan pupuk ia
Jika mithaqon ghalizo telah termeterai
Cinta akan subur dengan tanggungjawab

Tak mengapalah
Lepaskan segalanya
Hanya percayakan Dia
Allah yang memiliki Cinta
Cintailah Dia
Mudah-mudahn cinta kepada-Nya akan menggerakkan manusia-manusia yang cinta kepada-Nya mencintai kita
Biiznillah

Tuesday, July 31, 2012

Kenangan

Sedang menunggu kuih masak untuk berbuka, saya duduk di kerusi meja makan. Emak juga duduk di kerusi kecil. Entah petang selasa ini hati saya dirundung rindu. Rindu pada susuk tubuh seorang lelaki yang bernama ayah.

Allahu Allah.. Emak kata:
"Teringat-ingat arwah sebelum-sebelum ini. Beli makanan kesukaan kamu dengan zaidi. Murtabak sebulan itu sebulanlah dia belikan".

Sungguh airmata saya bergenang. Itulah almarhum ayah tika masih hidup dahulu. Tidak tersangka tahun ini hanya berpuasa berdua dengan emak. Jika saya tiada, hari-hari biasa emak hanya berbuka sendiri. Kasihan emak. Sunyi. Jika saya rindu pada almarhum ayah, emak sudah tentu lebih rindu.

Walaupun gaduh, tersalah kata, tersalah faham... Tetapi begitulah suami isteri. Hidup sebagai suami isteri yang perlu banyak bersabar terhadap pasangan. Perlu banyak meminta maaf dan memberi maaf.

Sebagai anak bongsu, saya membesar di rumah ini sendiri tika kakak dan abang-abang sudah berhijrah ke bandar dan negeri lain. Melihat hari-hari kehidupan almarhum ayah dan emak. Hidup tidak mewah, tetapi almarhum ayah seorang yang sangat bertanggungjawab.

Walau pergi kerja hanya berbasikal, alhamdulillah rezeki cukup. Tiap hari selasa pasti akan ke pasar untuk beli buah, kuih-kuih dan apa-apa sahaja. Sebab itu bila hari ini datang, hati ini sebak. Terbayang-bayang susuk tubuh itu pulang dari pasar di petang hari dengan 'jajan-jajan' yang diletak atas meja makan.

"Mudah-mudahan Allah membalas dengan pahala kepadanya disebabkan dia menyediakan makanan untuk berbuka sebelum-sebelum ini". Emak berkata, saya lihat seperti hendak berkaca-kaca mata emak. Saya tidak tahu hendak berkata apa, hanya diam dan senyum. Di dalam hati saya mengaminkan.

Hanya kini yang tinggal banyak kenangan. Sungguh benarlah apabila sesuatu itu telah pergi, pasti kita akan sangat teringat padanya, teringat kebaikan-kebaikannya.

Satu yang terlalu membekas di jiwa saya adalah tentang putaran hidup kita sebagai hamba.
Dari sendiri kepada berpasangan
Dari berpasangan kepada sendiri

Dan selama mana kita tidak mahukan perpisahan dengan orang yang kita sayang terjadi, ia pasti akan terjadi kerana yang kekal itu hanyalah milik Allah. Hanya Dia yang kekal.

Untuk almarhum ayah, insyaAllah doa untukmu akan selalu ku titipkan. Buat emak juga. Moga kesejahteraan buat kalian di dunia dan akhirat. Allahumma ameen.

:: Jiwa ini, kuatkanlah ya Allah...

Monday, July 30, 2012

Kamu yang Bernama Sahabat

Terima kasih
Sudah menjadi sahabat saya bertahun-tahun
Kamu yang bernama sahabat
Selalu menguatkan saya
Selalu menemankan saya
Tika saya sedih
Kamu minta saya sabar
Kamu menjadi pendengar saya
Dan kamu selalu sabar melihat airmata saya
Yang kadang-kadang tak mampu untuk tertahan

Kamu yang bernama sahabat
Saya tahu semakin hari kita semakin dewasa
Kamu ada fitrah
Dan kamu tentu akan disunting lelaki soleh
Suatu masa nanti
Pasti dan insyaAllah
Saya hanya mampu berdoa
Moga kamu bahagia
Dan sabar menempuh bahtera hidup rumahtangga

Kamu yang bernama sahabat
Jika belum menjadi isteri
Kamu selalu menjadi pendengar saya
Kita ke mana-mana bersama
Namun bila kamu sudah menjadi isteri
Keutamaanmu adalah suamimu

Mendengar pernikahanmu
Adalah saat membuat jiwa ini hiba
Juga terharu
Kerana kamu sudah bertemu pelengkap hidupmu
Orang yang akan menjaga kamu
Dengan sepenuh amanah
Aku menangis mengingatmu
Bukan kerana cemburu
Apatah lagi iri
Tetapi hanya menumpang bahagia
Melihat kamu bahagia

Kamu yang bernama sahabat
Tika ini saya masih sendiri
Masih terus berdoa dikurnia kekuatan
Untuk melewati ujian kehiudpan
Jalan kita tentunya tidak sama
Tetapi kita sama-sama menuju kepada Yang Satu
Jangan lupa doakan saya sahabat
Saya masih mencari pelengkap hidup saya
Jika Allah izinkan
Tetapi jika takdir hidup saya
Perlu melalui jalan sendiri
Doakan saya kuat menjaga diri
Juga kesucian diri
Dan mudah-mudahan
Saya akan bertemu dengannya di syurga nanti
Tempat yang kita semua impikan dan idamkan

Aminkan doa saya ya sahabat
Saya mahu berjiran dengan kamu di syurga nanti
Mudah2an Allah perkenankan

Ameen Ya Rabb

Cinta-Mu Tak Pernah Surut

Cemburu
Dengan hati-hati yang baik
Muslimah yang teguh menjaga diri
Mukminah yang tabah bila diuji

Cemburu dengan mereka
Kerana mereka itu dekat dengan Allah
Mereka cinta kepada Allah
Pencipta segala cinta

Sedang diri ini
Kadang-kadang datang rasa yang sama
Rasa begitu kotor diri
Sangat jauh dibanding mereka-mereka
Yang baik-baik dan solehah
Yang suci dirinya
Yang menjaga dirinya

Sesungguhnya
Hanya hati yang pernah merasai
Gelapnya jahiliyyah ini
Tahu betapa rasa hinanya diri
Di hadapan Ilahi
Betapa hidup ini
Telah dibazirkan dengan perkara sia-sia
Bertahun-tahun lamanya

Ya Allah
Aku tahu Engkau Maha Pengampun
Kasih-sayang-Mu tak pernah luntur
Cinta-Mu tak pernah surut
Rahmat-Mu selalu basah
Dalam jiwa yang mahu kembali pada-Mu
Tetapi bayang-bayang dosa itu selalu menyelimut ingatan ini
Membuat diri ini merasa
Tidak layak menghuni syurga-Mu
Tidak layak meminta teman hidup yang baik
Kerana aku
Adalah aku yang hina
Di depan-Mu

Ya Allah
Tika ini aku tidak meminta dia
Tetapi aku meminta yang lebih baik dari-Mu
Untuk itu
Kuatkanlah hati ini
Dan sulamkan dengan sangkaan baik
Untukku meyakini rahmat-Mu
Lebih luas dari dosa yang pernah kulakukan

Ya Ilahi
Bersihkan diri ini
Sucikan jiwa ini
Tanggalkan karat-karat dosa hati
Dan buangkan ia sejauh-jauhnya
Sejauh ufuk timur dan barat
Kerna jiwa ini terlalu terseksa
Bila ia jauh dari-Mu

Ya Allah
Ampuniku
Ampuniku
Jadikan aku redha dengan yang telah pergi
Gantikan dengan yang lebih baik lagi
Yang lebih menambah cintaku pada agama-Mu

Allahumma ameen ya Rabb

Monday, July 23, 2012

Puisi: Tak Mengapa Hati




Tak mengapa hati
Jika kamu dilukai
Ubatlah dengan janji ilahi
Bacalah kalam ilahi
Pasti kamu akan kembali meyakini
Kesakitan ini hanya kerana kau mampu diuji

Tak mengapa hati
Yang pergi itu biarkan pergi
Yang jauh itu biarkan jauh
Kerana itu membuat kamu semakin dekat
Dengan Pencipta-mu

Tak mengapa hati
Hidup ini bukan untuk dipenuhi
Dengan perkara yang tidak bererti
Ada lagi yang lebih berat untuk difikiri
Iaitu kehidupan di sana nanti

Tak mengapa hati
Lapangkanlah diri
Dengan memaafkan tangan-tangan yang menyentuhi
Yang kemudian membuat kamu terpaksa ditampali
Hanya untuk membalut retak diri

Tak mengapa hati
Teruslah mengharap pada Ilahi
Dia akan beri apa yang terbaik
Dan memberi harapan yang pasti…

Tak mengapa hati
Kerana aku masih tetap ingin kamu kuat
Aku masih tetap ingin kamu sabar
Untuk melewati hidup ini
Sehingga ke akhir perjalanan nanti..

~ wardah al-misk

Sunday, July 22, 2012

Ukhti ini

Terima kasih sudah membiarkan airmata ukhti ini jatuh
Untuk jiwa yang diluka
Untuk hati yang dihiris
Terima kasih
Sebab semua itu buat ukhti ini tahu
Bahawa manusia itu akan diuji dengan manusia
Supaya ukhti ini bertambah sabar
Bertambah kuat
dan bertambah tabah

Sesungguhnya mengaku diri lemah
Tidak akan beri ukhti ini apa-apa
Sebab kamu yang membuat ukhti ini bagai ikan
Setelah terkena tajam mata kailmu itu 
Lalu dilepaskan di air untuk bebas begitu sahaja 
Ya ukhti ini bebas, tetapi sakitnya bersisa

Jikalah tidak mengingatkan bahawa
Rasulullah tidak mengajar ummatnya
Mendoakan yang buruk-buruk buat saudaranya
Pastinya ukhti ini sudah lakukan itu
Tetapi ukhti ini mahu jadi hamba-Nya
Ukhti ini mahu ikut apa Rasulullah kata
Ukhti ini doakan apa yang baik untuk kamu
Dunia kamu dan akhirat kamu

Kerana ukhti ini tahu
Manusia itu tidak lepas dari melakukan silap
Tetapi belajarlah untuk tidak melakukan perkara yang sama 
Terutama sekali menoreh di tempat yang pernah kamu membuat ia terluka

Ukhti yang sedang lemah jiwa akan tinggalkan kamu dengan Allah
Biar Allah yang menguruskan kamu dan menjaga kamu

Thursday, July 19, 2012

Betapa kita ini...

Seminggu lalu ke USIM, menyelesaikan urusan lapor diri dari cuti belajar. Dan harini ke USIM lagi untuk meminta dekan mengisi borang tamat pengajian. Walaupun sebenarnya pengajian master belum selesai, disebabkan tempoh asal tajaan sehingga awal bulan 7, saya perlu melapor diri kerana tidak memohon perlanjutan.

Alhamdulillah sahabat menemani, dengan hujan lebat dia memandu. Kami sama-sama menyelesaikan urusan bersama. Untuk semua ini alhamdulillah Allah kurniakan saya sahabat yang baik, yang selalu memberi semangat dan selalu positif dalam hidup.



Usai solat maghrib,
Air mata saya mencurah-curah dengan tiba-tiba
Tidak tahu mengapa dan dari mana punca
Mungkin kerana saya merasakan bahawa 
Perkara dunia itu masih duduk di hati saya
Dan saya masih mengharap akan ia lagi
Mengapa saya ini selaku hamba-Nya
Masih menyesali apa yang luput dari saya
Apa yang hilang dari saya
Juga terkadang mencemburui sesuatu
Yang bukan lagi terikat dengan saya
Saya menangis kerana tidak tahu kenapa dengan hati saya ini
Sebulan mujahadah untuk benar-benar meninggalkan
Dan melupakan semuanya
Hati saya kembali diusik tentang hal dunia itu

Sungguh saya tidak mahu lagi hanyut dalam rasa begitu
Kerana itu terlalu membuatkan jiwa saya kacau
Menjauhkan saya dari rasa cinta pada Dia yang lebih utama
Saya mahu pergi darinya
Jauh sejauh-jauhnya
Walaupun jiwa lemah apabila berbicara soal hati
Saya tidak mahu lemah bertambah lemah
Moga Allah tidak serahkan diri ini
Kepada diri saya sendiri walaupun hanya sekelip mata



Kadang-kadang saya dan kita rasa sedih
Kerana apa yang orang lain dapat dan perolehi
adalah seperti apa yang mereka harapkan
Tetapi kita ini tidak

Ya Allah betapa tidak bersyukurnya kita ini
Dan terutamanya saya
Sekian banyak nikmat yang Allah bagi
Mengapalah kita ini tidak memandang fokus nikmat itu

Astaghfirullahal azhim

Bukan mahu menunjuk diri baik
Dengan menghujankan apa yang tersimpan di hati
Moga dijauhkan dari itu semua
Hanya berkongsi sebuah rasa
Yang saya rasa tidak baik untuk yang membaca ikuti
Iaitu merasa tidak cukup dengan apa yang Allah beri
Dan merasa orang lain Allah beri sedang kita tidak diberi

Banyak Engkau sudah beri Ya Allah
Aku sahaja tidak lihat
Dan tidak syukur
Ampuni aku
Ampuni aku....

Sungguh apa yang Engkau beri untukku adalah untukku
Sedang apa yang Engkau beri untuk orang lain adalah untuk orang lain....

.........................
Maafkanlah
Bila hati tak sempurna mencintai-Mu
Dalam dada kuharap hanya
Diri-Mu yang Bertakhta...
.....................................

Sungguh2  :'(

Wednesday, July 18, 2012

Sebuah Coretan

Jujur saya ingin meminta maaf
Meminta maaf kepada jiwa yang pernah saya kasari
Yang pernah saya sakiti
Yang pernah terasa akibat riak wajah saya

Kerana saya ini
Hanyalah wanita biasa
Yang ada kelemahan 
Yang ada kekurangan
Yang ada tabiat buruk
Yang ada karat-karat yang masih susah untuk dibuang

Saya tidak mampu memuaskan hati semua orang
Menerima kekurangan orang
Menerima pemberian orang
Menerima penolakan orang
Saya tahu semua orang ada hak
Yang membutuhkan saya untuk memenuhinya
Tetapi saya hanya manusia
Saya boleh berlagak senyum
Saya boleh berlagak ceria
Saya boleh berlagak sebagai pendengar
Tetapi keterbatasan saya sebagai manusia
Akan sampai pada satu tahap yang membuatkan saya menangis

Ya
Menangis semahu-mahunya
Kerana saya tidak mahu orang tertekan dengan aduan saya
Saya tidak mahu orang bosan dengan rungutan saya
Saya tidak mahu orang serik dengan saya
Saya mahu menjaga hati orang juga

Semakin saya cuba berbaik sangka
Semakin kuat Allah uji
Jika ia berkait dengan apa yang kita dakwahkan
Maka saya juga akan diuji dengan perkara yang sama
Jika ia berkait dengan apa yang saya tidak mahu
Maka saya akan diuji dengan apa yang saya tidak mahu
Semua itu membutuhkan saya untuk bersangka baik
Dengan manusia
Dan tentu dengan Allah lebih-lebih lagi

Tika ini saya syukur
Allah beri ujian untuk mengajar saya sabar
Untuk ingatkan saya 
Apa yang saya pernah beritahu orang
Apa yang saya tak suka
Melalui kehilangan
Kegagalan
Perpisahan
Pemergian
Kelukaan 
Kekecewaan

Allah..
Bila satu saat saya fikir semula
Duduk dan tenang
Sesungguhnya tika saya tidak punya siapa-siapa selain Allah
Sebenarnya Allah itu sudah lebih dari cukup

Ya, cukup hanya Allah
Untuk kita harapkan

Ketika ini
Tentang jodoh
Walaupun terkadang ada rasa risau
Saya serahkan kepada Allah
Kerana Dia tahu apa yang baik untuk saya

Tentang bila master saya hendak selesai
Saya serahkan kepada-Nya
Disamping tak lupa berusaha

Tentang sambung Ph.D dimana
Walau hati sangat berhajat ke bumi Jordan
Saya masih serahkan kepada-Nya
Kerana saya terlalu percaya
Allah akan beri apa yang terbaik buat saya

Untuk tulisan ini
Saya percaya bukan saya sendiri yang melaluinya...

:: Rasa mahu menangis.. Saya takut bila emosi, saya takut menyakiti, saya takut mengganggu orang, saya takut membuat orang berubah hati, saya takut macam-macam lagi.. Ya Allah, tohhir qalbi minad danas.. 



Monday, July 16, 2012

Rasa Mahu....

Tidak mahu meluah di Facebook, saya tidak suka satu dunia tahu masalah saya, apa yang saya buat dan apa yang saya sedang rasa. Di blog ini kadang2 saya menulis untuk meluahkan sahaja, kadang2 sahaja ada yang ilmiah, yang penting pembacanya terhad. Jika ada yang terbaca itu hanyalah kebetulan bagi yang suka stalker saya (^^,)~perasan je~ ataupun secara tak sengaja sampai ke sini. 


Bacalah dengan tanpa perasaan okay :)


Sekarang...
Rasa mahu balik kampung, jumpa emak, duduk diam-diam di rumah dan tidak mahu fikir tentang thesis lagi.


Saya rindu dengan yang menghuni di sini dan yang telah meninggalkan tempat ini - emak dan bapak

Ya Allah.. 
betapa saya ini lemah sangat. Terlalu cepat merungut. Moga Allah ampunkan dosa-dosa saya ini. Menunggu thesis yang siap disemak oleh second reader sahaja sudah mengambil masa sebulan dan lebih jika dikira-kira dari tarikh saya hantar ke department tempohari. Saya memahami kesibukan pensyarah. Alhamdulillah Allah mudahkan. 5hb Julai, saya dapat kembali thesis saya dan bertemu dengan Dr Laith Su'ud untuk buat pembetulan.


Hari ini thesis yang sudah dibetulkan saya print semula, dan perlu untuk meneruskan proses seterusnya iaitu proofreading atau tashih lughah. Ke CERDAS kerana hajat saya mahu ia siap dalam masa 2minggu walaupun agak sedikit mahal, yang penting cepat dari Arabic Lab. Staff di sana kata booking sangatlah penuh. Dengan kecewa saya mencari juga Arabic Lab sebagai pilihan kedua. Tidak tahu di mana tempat itu, saya pun bertanya sahabat2 sehingga pusing satu Human Sciences mencari Arabic Lab. Rupanya saya sudah lalu beberapa kali, hanya tidak nampak sign bertulis 'Arabic Writing Lab'. 


Terserempak dengan Kak Badariah dan beliau yang tunjukkan tempat tersebut dan kata: "Tutup agaknya. biasa pintunya terbuka".


Saya membaca kertas yang tertampal di luar pintu. Waktu dibuka jam 11-1pm dan 2-4pm.
"Sekarang baru 11.20 tetapi tutup pula?". 


Hampa hati ini, tak fikir lain saya balik ke Mahallah dan makan sebab lapar serta penat. T_T


Kalaulah tidak kerana Firman Allah swt yang berbunyi: "فصبر جميل" (maka bersabar itu lebih indah), sudah tentu saya berhenti sahaja dan tidak mahu teruskan master ini.






Rasa hendak menangis sahaja.. 
Sama rasanya ketika saya mencari orang yang boleh tashihkan draft thesis saya beberapa bulan lalu, juga ketika menyiapkan proposal yang berkali-kali perlu dibetulkan.. Ya Allah.. Ini baru master, Phd tak tahu pula bagaimana kelak. 
Tapi perempuan memang macam itu, menangis je yang dia tahu kalau tengah datang angin nak emosi. Nak marah pun bukannya boleh ubah apa-apa pun. 


Itu cuma kata hati. Tapi hakikatnya saya tidak boleh begitu. Ada tanggungjawab dan amanah yang sedang saya pikul, untuk diri saya, untuk universiti yang menaja saya dan juga terutama sekali untuk ibuayah saya yang sedang berharap dan terus berdoa supaya pengajian saya selesai.


Ya Allah.. kurniakan aku kekuatan. Ujian ini hanya sedikit, dibandingkan sahabat-sahabat lain mungkin ada yang lebih teruk dari saya. Tetapi walaupun ujian ini seolah-olah membuatkan saya hampir putus asa, saya merasakan bahawa Allah banyak membantu saya, dan saya sepatutnya bersyukur lebih dan lebih lagi.


Alhamdulillah a'la kulli hal..


Mahu usaha lagi, ke Arabic Lab, tunggu sehingga mereka buka juga pintu untuk saya masuk ^^
Entah kenapa hari ini post saya macam..... tak tahu nak kata.


Moga Allah bantu dan permudahkan semuanya.. ameen