Pages

Sunday, August 9, 2009

Muhasabah: Dari Sebuah Kehilangan


Rentetan daripada peristiwa yang berlaku semalam, saya pulang ke bilik dalam keadaan terfikir ke mana perginya blog saya yang lama. Tentu sahaja ia hilang dari alam siber, tetapi saya sendiri tidak tahu sebab apa kerana saya sendiri tidak pernah men’delete’ nya. Sungguh-sungguh saya tidak tahu sebab apa.

Adakah sesiapa yang tahu sebabnya? Jika anda tahu, tolonglah beritahu saya kerana kecewa, sedih dan segala perasaan lagi sudah bercampur baur. Saya baru sahaja baik dari demam walaupun masih merasa sedikit panas di badan. Niat untuk menyiarkan artikel terbaru di al-misk.blogspot tidak kesampaian. Semuanya memberi kejutan kepada saya.

Entah apa agaknya hikmahnya, namun saya percaya bahawa setiap yang terjadi pasti ada sebab dan punyai hikmah. Sebagaimana kehidupan kita memerlukan ujian dan cabaran supaya kita lebih kuat dan menghargai setiap detik hidup sebagai hamba Allah yang beriman. insyaAllah.

Saya beristighfar.. saya tahu mungkin ada yang akan pelik kerana saya boleh bersedih dengan hanya kehilangan ‘blog’ yang tidak ada apa-apa nilai pun. Tetapi bagi saya ianya terlalu bernilai. Saya amat menghargai keberadaan blog tersebut selama ini. Mungkin saya ada melakukan kesalahan dalam penulisan, ataupun saya ada menyakiti sesiapa menyebabkan ini terjadi. Ataupun mungkin selama ini saya hanya mengharapkan “sum’ah” sahaja-Astaghfirullahal azhim..

Peristiwa tersebut menjadikan saya mula memuhasabah diri. Saya mahu menangis dan hati mula luluh. Saya memang seorang yang terlalu sayangkan sesuatu yang dekat di hati. Bagi saya, blog tersebut menyimpan kenangan yang banyak, tempat saya berkongsi kisah dan ilmu. Saya tidak tahu adakah ia memberi manfaat kepada orang lain, tetapi sekurang-kurangnya saya sudah mencuba. Dan nah... sekarang ia sudah tiada lagi. Sememangnya saya pernah terfikir jika perkara ini berlaku, tetapi saya tidak menyangka kehilangan ini benar-benar terjadi.. Saya berharap jika ianya akibat perbuatan tangan-tangan yang tidak sepatutnya, semoga ianya tidak berlaku lagi kepada saya pada masa akan datang.

Allahu Akbar..

Ini hanya cerita kehilangan blog yang misteri bagi saya. Saya merasa sedih kerana ia punya kaitan dengan saya, tetapi tidak bagi anda. Terima kasih kepada teman-teman maya yang pernah melawati blog ‘al-misk’ saya. Biarlah ia tetap menjadi kenangan yang mungkin saya akan lupakan suatu hari nanti.

Saya tidak mahu sia-siakan peristiwa kehilangan blog saya begitu sahaja kerana saya perlu mencari i’brah dan pelajaran darinya.

Saya tiba-tiba teringat tentang kematian. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“ Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya”. (surah ali-Imran: 185)

Astaghfirullah..

Saya terlalu kerap lupa tentang kematian. Alhamdulillah, peristiwa kehilangan blog ini mengingatkan saya kembali kepada kematian. Lihatlah bagaimana Allah s.w.t mengingatkan kita bahawa “setiap yang bernyawa AKAN merasakan mati”.

Saya masih merasakan diri saya bernyawa. Anda pula bagaimana? Tentu kita sama kan? Dan tentu sahaja ayat di atas tertuju buat kita semua. Allahu Akbar.

Saya bersyukur kerana teringat akan ayat di atas. Di sebalik sekian banyak kehilangan yang saya alami sepanjang hidup di dunia ini, tentu sahaja semuanya berupa kesenangan dunia yang sementara. Saya selalu lupa tentang itu. Suatu masa nanti sama ada saya pergi meninggalkannya ataupun dia pergi meninggalkan saya. Tiada sesuatu yang kekal di dunia ini kan?

Setiap kehilangan kadang-kadang dizahirkan sebab-sebabnya. Kadang-kadang tidak begitu. Saya terfikir mengapa ia berlaku. Saya juga selalu berfikir mengapa kadang-kadang apa yang kita minta tidak diberi. Ataupun sekiranya diberi, pasti ianya sesuatu yang bertentangan dengan apa yang kita pinta. Astaghfirullahal Azhim, saya sepatutnya tidak boleh berfikir begitu. Tetapi saya terbaca sebuah buku yang di tulis oleh sis Zabrina (Hidup Bukan Rahsia) yang memetik kata-kata Rumi:

“ Tuhan mengubah perasaan anda dari satu perasaan ke perasaan yang lain dan mengajar anda dengan memahami sesuatu yang bertentangan, supaya anda mempunyai dua sayap untuk terbang, bukannya satu”.

Subhana-Allah

Sungguh mendalam kata-kata ini. Allah mengajar kita memahami sesuatu yang berlainan dengan memberikan kita apa yang menyalahi pintaan kita. Mengapa? Kerana Dia Maha Tahu apa yang terbaik buat kita. Serta dengannya kita akan bertambah kuat untuk mengharungi cabaran kehidupan sepanjang hidup di dunia ini. Dan bukan bermakna Allah tidak memakbulkan doa kita, tetapi Allah mahu menggantikan apa yang lebih baik lagi buat kita. Jawapan itu sudah cukup melegakan hati saya. saya yakin Allah s.w.t itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, juga Maha Pengampun. Kerana itu, keyakinan saya semakin menebal. Ya, keyakinan kita semua orang yang beriman kepada janji-janji Allah semakin utuh. insyaAllah.

Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment