Pages

Wednesday, August 19, 2009

Hati Yang Dijajah (Repost)

Dari Sebuah Novel

Kali ini saya tertarik untuk mengulas tentang sebuah novel, namun bukan mengulas keseluruhannya tetapi satu pelajaran yang mungkin dapat kita sebagai manusia sedar dan cuba mengerti dan menghayatinya. Saya baru selesai membaca novel bertajuk “Ketika Cinta Bertasbih” tulisan Habiburrahman as-Syeirazi. Saya tertarik pada satu babak di mana ianya berkisar tentang apa yang dihadapi oleh mahasiswa di Universiti al-Azhar.
Dijajah perasaan Cinta

Apa yang dihadapi oleh Tiara dan Fadhil mungkin pernah sekian ramai hadapi. Tiara yang dilamar seorang ustaz menunggu saat untuk memberi jawapan terhadap lamaran itu. Hatinya sebenarnya sudah terpikat pada orang lain yang merupakan bekas ustaz di sekolah lamanya dan selaku orang yang banyak membantu menguruskan urusannya di Mesir iaitu mahasiswa al-Azhar juga, Fadhil. Fadhil merupakan abang kepada Cut Mala, rakan serumah Tiara. Oleh kerana malu untuk berterus-terang, Tiara meminta Cut Mala bertanyakan Fadhil tentang masalah yang Tiara hadapi dan meminta pandangan tentang keputusan yang harus diambil sama ada menerima atau menolak lamaran ustaz Zulkifli itu. Dalam masa yang sama, Fadhil juga menyimpan hasrat untuk melamar Tiara seusai tamat ujian universiti. Namun Fadhil tidak tahu tentang isi hati Tiara, lantas dia menyarankan untuk menerima lamaran Ustaz Zulkifli kerana Fadhil kenal baik dengan Zulkifli dan dia memberitahu apa yang dia tahu mengenai Zulkifli. Tiara kecewa dengan jawapan Fadhil kerana dia mengharapkan agar Fadhil cemburu dan berterus-terang tentang perasaannya.

Setelah mengetahui bahawa Tiara menyimpan perasaan yang sama padanya, dia cemburu dan menyesal dengan semua yang pernah dia sarankan. Tiara juga telah menerima lamaran ustaz Zulkifli dengan berat hati. Fadhil yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan majlis pernikahan Zulkifli dan Tiara merasa terlalu sedih.

Fadhil merasakan terlalu tertekan dengan perasaanya bercampur menyesal dan cemburu kerana perasaan cinta yang membara kepada Tiara. Lalu dia menceritakan apa yang dia hadapi kepada rakan serumahnya Khairul Azzam.Melihatkan itu, kita lihat apa yang Azzam katakan kepada Fadhil:

“Cinta sejati itu menyembuhkan tidak menyakitkan.”

Seterusnya Azzam mengatakan:

“ Dengar baik-baik ya perkataan Ibnu Athaillah, saya bacakan langsung dari
kitab aslinya. Beliau mengatakan:

لا يُخْرِجُ الشَّهْوَةَ إِلاَّ خَوْفٌ مُزْعِجٌ أو شَوْقٌ مُقْلِقٌ

“ tidak ada yang boleh mengusir syahwat atau kecintaan pada kesenangnn
duniawi selain rasa takut kepada Allah yang menggetarkan hati, atau rasa rindu kepada Allah yang membuat hati merana..”


“Cuba resapi baik-baik kata-kata ulama besar dari Iskandariah ini. Kecintaanmu pada Tiara itu syahwat. Hampir semua orang yang jatuh cinta itu merasakan apa yang kau rasakan. Dan perasaan seperti itu tidak akan bisa kau keluarkan, kau usir dari hatimu kecuali jika kau memiliki dua hal:
Pertama, rasa cinta kepada Allah yang luar biasa yangmenggetarkan hatimu. Sehingga ketika yang ada di hatimu adalah Allah, yang lain dengan sendirinya menjadi kecil danterusir.


Kedua, rasa rindu kepada Allah yang dahsyat sampai hatimu merasa merana. Jika kau merasa merana karena rindu kepada Allah, kau tidak mungkin merana karena rindu pada yang lain.Jika kau sudah sibuk memikirkan Allah, kau tidak akan sibuk memikirkan yang lain”.


Apa yang saya cuba petik dari isi novel ini bukanlah tentang memendam cinta, ianya fitrah. Namun akibat dari terlalu merana dan kecewa dengan cinta manusia hampir-hampir membinasakan diri dengan kesedihan sehingga banyak berlaku perkara-perkara yang menyalahi yang sepatutnya dan menghabiskan masa dengan airmata. Kesedihan dan kekecewaan pasti berlaku, bila-bila dan di mana lebih-lebih lagi bagi yang kehilangan cinta.

Cuba Fikir sejenak

Apa yang Imam ibn Ata’illah as-Sakandari katakan di dalam kitabnya al-Hikam[1] merupakan resepi bagi mereka yang punyai penyakit hati yang sukar diubati ini. Perasaan cinta yang memenuhi kehendak agama tidak sekali-kali dicemari jika sandarannya keredhoan Allah, maka apa-apa yang menyalahinya akan menimbulkan rasa bersalah, berdosa, sakit apabila ditolak dan berbagai-bagai perasaan yang menghilangkan ketenangan sedangkan cinta itu sesuatu yang menyembuhkan bukan yang menyakitkan..

Sekiranya kekecewaan mengundang dan perasaan itu sukar untuk dikeluarkan, renungi 2 perkara ini, adakah sudah sematkan di dalam hati:
1- Rasa cinta kepada Allah yang luar biasa yang menggetarkan hatimu.
2- Rindu kepada Allah yang dahsyat sampai hatimu merasa merana.

Disebabkan miskinnya hati dengan 2 perkara ini, maka hati masih dijajah dengan rasa rindu dan kasih pada yang lain. Jika ia boleh diusir, maka hati akan menjadi selapang-lapangnya menerima apa yang Allah takdirkan.

Akhirnya, hayati sebenar-benarnya perbezaan mendamba cinta Allah dan mendamba cinta manusia:

“ Mencintai makhluk itu sangat berpeluang menemui kehilangan. Kebersamaan dengan makhluk juga berpeluang mengalami perpisahan. Hanya cinta kepada Allah yang tidak. Jika kau mencintai seseorang ada dua kemungkinan diterima dan ditolak. Jika ditolak pasti sakit rasanya. Namun jika kau mencintai Allah pasti diterima. Jika kau mencintai Allah, engkau tidak akan pernah merasa kehilangan. Tak akan ada yang merebut Allah yang kaucintai itu dari hatimu. Tak akan ada yang merampas Allah. Jika kau bermesraan dengan Allah, hidup bersama Allah, kau tidak akan pernah berpisah dengannya. Allah akan setia menyertaimu. Allah tidak akan berpisah darimu. Kecuali kamu sendiri yang berpisah dari- Nya. Cinta yang paling membahagiakan dan menyembuhkan adalah cinta kepada Allah ‘Azza wa Jalla.”- Habiburrahman as-Syeirazi (Ketika Cinta Bertasbih1).

Renungan

Tulisan ini bukan ulasan mengenai cinta semata-mata, namun sedikit perkongsian bagaimana merawat hati yang mula diselaputi penyakit cinta kepada manusia yang berlebihan tanpa disandarkan pada keredhoan Ilahi.. Kembalilah pada Pencipta cinta iaitu Allah s.w.t, mohonlah dari Allah s.w.t agar dikurniakan cinta dari manusia yang memberi cintanya kepada Allah, lalu jika dikurniakan maka syukurilah Pemberi hadiah (cinta) itu. Selalu sematkan di hati bahawa itu pinjaman dan ia milik Allah. Sesungguhnya hampir sahaja kekecewaan menjatuhkan seseorang pada keburuksangkaan kepada Allah s.w.t padahal Allah mahukan yang terbaik buat hamba-Nya. Percayalah, Allah tidak pernah mahukan yang buruk-buruk buat hamba-Nya.

Katakanlah:


حَسْبِيَ الله لاإله إلا هُو
“ Cukuplah Bagiku Allah yang Tidak Ada Tuhan Melainkan Dia..”

Wallahu a’lam.
:: al-misk uiam
__________________

[1] Kitab al-Hikam( الحِكَمْ) adalah karangan Imam ibn Ata’illah as-Sakandari (ابن عطاء الله السكندري) Sebuah kitab tasauf yang memuatkan kata-kata hikmah. Boleh rujuk pada sumber asli. Terima kasih kepada ustaz Mustafa yang sudi memberikan saya pdf. kitab al-Hikam ini.

No comments:

Post a Comment