Pages

Thursday, September 3, 2009

Kucari: SATU Yang Kekal

“ Mengapa sepi kurasa
Kucari Satu yang kekal...”

Bait-bait ini entah mengapa senang meniti di bibir saya.Saya tertarik dengan lirik lagu ini yang dikumandangkan oleh seorang pendatang baru. Kalimah “SATU” itu menyelinap di dalam diri. Mungkinkah ia menyedarkan fitrah saya?

Merintih, Mengadu
Dalam apa juga keadaan pastinya saya akan mencari dan mengadu kepada Pendengar rintihan, Pemakbul permintaan dan juga Penyimpan rahsia saya. Saya akan merasa tenang dan puas setelah mengadu kepada-Nya. Alangkah saya merasa berbezanya mengadu dengan-Nya berbanding dengan manusia.

Benarkah jika saya katakan dalam setiap pergerakan, Allah sentiasa bersama kita? Dia memujuk kita dengan kalam-kalam suci-Nya apabila kita merasa jatuh, sedih dan kecewa. Melatih kita dengan ujian dan tarbiyyah kehidupan agar kita semakin kuat menghadapi cabaran kehidupan ini. Menjadikan kita seorang yang sentiasa dihargai dan disayangi sentiasa di atas segala nikmat yang tidak terhitung.


“.... tak terhitung kurniaan biar dakwat selautan sesungguhnya Kau Maha
Penyayang” (HIJJAZ)

Subhanallah


Tidak membosankan
Izinkan saya berkongsi mengenai hadiah teristimewa ini (al-Quran al-Karim). Seorang pensyarah mengatakan “Dalam masa sedih, bacalah al-Quran. Ketika gembira juga, bacalah al-Quran”.

Sungguh ia adalah hadiah yang terbaik dari Allah s.w.t buat kita. Al-Quran adalah syifa’ juga pengubat hati. Pernahkah anda merasa bosan setelah beberapa kali khatam membaca al-Quran? Tentu tidak pernah sekali-kali bosan kan? Tidak kiralah sama ada saya dan anda memahami bahasa arab atau tidak, kalimah-kalimah suci al-Quran al-Karim terlalu menyenangkan hati kita membacanya. Allahu Akbar.

Jika ada yang menafikan, saya kira bolehlah cuba berterusan membaca sepanjang bulan Ramadhan ini. Bukan sahaja menyenangkan hati kita, malah diberi ganjaran pahala pula. Siapakah yang boleh memberi kita ‘hadiah atas hadiah’ yang sebegini hebatnya. Subhanallah.


Mengapa jika kita sedih kita perlu membaca al-Quran?
Kerana di sana kita dapati banyak kisah-kisah yang memaparkan tentang kesedihan kesusahan yang lebih berat daripada apa yang kita alami. Bagaimana kesedihan ibu Nabi Musa a.s ketika terpaksa melepaskan anaknya ke sungai Nil lalu Allah s.w.t memujuknya dengan firman-Nya yang bermaksud:


“ Dan Kami ilhamkan kepada ibunya Musa, “Susuilah dia (Musa), dan apabila
engkau khawatir terhadapnya maka hanytkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah engkau takut dan jangan pula bersedih hati, sesungguhnya Kami akan
mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya salah seorang rasul”-
al-Qasas:7.

Subhanallah

Lihatlah, Allah memujuk hamba-Nya dengan penuh kasih-sayang dan lemah-lembut.
Sepertimana kesedihan Nabi Ibrahim a.s yang berhadapan dengan ayah yang tidak beriman kepada Allah. Bagaimana pula dengan Nabi Adam dan Hawa yang dikeluarkan dari syurga-Nya. Bagaimana juga keadaannya nabi Yusuf a.s yang dipenjarakan tanpa sebab yang munasabah. Asiah yang punyai seorang suami yang mengaku dirinya tuhan. Dan pelbagai lagi kisah-kisah teladan di dalam al-Quran al-Karim.

Apabila kita merenungi dan mengahayati kisah-kisah anbiya’ dan juga wanita suri teladan yang dirakamkan di dalam al-Quran, sesungguhnya kita akan merasai bahawasanya ujian yang ditanggung oleh kita tidaklah terlalu berat dan Allah masih menyayangi kita dengan membisikkan pujukan-Nya berupa tarbiyyah ruhaniyyah. Oleh itu, janganlah bersedih kerana kita masih ada al-Quran yang selalu memberi kesembuhan.

Dan mengapa pula jika gembira perlu membaca al-Quran juga?
Kerana dengannya menjadikan kita seorang hamba yang sentiasa bersyukur kepada pencipta-Nya. Bukankah terlalu banyak nikmat yang dirakamkan di dalam al-Quran?


“ Dan Dialah yang menjadikan tanam-tanaman yang menjalar dan tidak menjalar,
pohon kurma, tanaman yang beraneka ragam rasanya, zaitun dan delima yang serupa (bentuk dan warnanya) dan tidak serupa (rasanya)...”( al-An’am: 141)

“Dan diantara haiwan-haiwan ternak itu ada yang dijadikan pengangkut beban
dan ada (pula) yang disembelih. Makanlah rezeki yang diberikan Allah kepadamu
dan jangnalah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu”.( Al-An’am: 142)

Ini hanya tentang buah-buahan dan haiwan-haiwan yang diciptakan untuk kesenangan kita sebagai manusia. Bukankah ia satu nikmat? Terdapat lagi nikmat-nikmat lain yang tidak dapat kita menghitungnya. Alhamdulillah jika kita merasainya kerana dengan merasainya membawa kita mengenali kasih-sayang Allah yang bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim..


Maghfirah
Dalam meniti bulan Ramadhan yang sudah sampai kepada fasa kedua (pertengahannya adalah keampunan), lebih-lebih lagilah patut kita merasai kasih-sayang Allah. Allah memujuk kita sekali lagi dengan kedatangan bulan Ramadhan ini sebagai satu terminal untuk kita ‘delete’ segala fail-fail dosa yang telah kita lakukan saban hari selagimana tidak mensyirikkan Allah s.w.t. Bayangkanlah setelah terlalu banyak manusia itu berpaling dari-Nya, Dia sanggup memafkan dan membuang semua dosa-dosa dan kesalahan yang sengaja dilakukan oleh manusia.

Allahu Akbar.

Sungguh Maha Pengampun Allah s.w.t itu. Di tambah pula dengan nikmat-nikmat tersebut membuktikan kasih sayang Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Saya berdoa semoga saya dan anda semua boleh selalu membaca al-Quran sama ada dalam keadaan gembira ataupun sedih agar kita selalu merasa bahawa betapa bertuahnya kita dipelihara dan disayangi Allah s.w.t. sentiasa.

Menjadi hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa adalah satu peluang yang tidak boleh disia-siakan kerana ia adalah sebuah kurniaan yang membahagiakan.

Sebelum saya mengakhiri tulisan saya, izinkan saya menulis semula maksud Firman Allah s.w.t sebagai renungan dan tatapan kita bersama:

“ Dialah Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, (dan
berlayar) di lautan, dan meluncurlah (kapal) itu membawa mereka (orang-orang
yang ada di dalamnya) dengan tiupan angin yang baik dan mereka bergembira
kerana-Nya; tiba-tiba datanglah badai dan gelombang menimpanya dari segenap
penjuru, dan mereka mengira telah terkepung (bahaya), maka mereka beroda
dengan tulus ikhlas kerana Allah semata. (Seraya berkata), :Sekiranya Engkau
menyelamatkan kami dari (bahaya) ini, pasti kami termasuk orang-orang yang
bersyukur”.

Tetapi ketika Allah menyelamatkan mereka, malah mereka
berbuat kezaliman di bumi tanpa (alasan) yang benar. Wahai manusia, sesungguhnya kezalimanmu bahayanya akan menimpa dirimu sendiri; itu hanya kenikmatan hidup duniawi, selanjutnya kepada Kamilah kembalimu, kelak akan kami khabarkan apa yang telah kamu kerjakan”. (Yunus: 22-23).


Mohonlah perlindungan dari sifat zalim dan kufur nikmat. Semoga Allah s.w.t memelihara dan mengakhiri nafas kita dalam keadaan iman hanya kepada-Nya. Ameen.

“Adakah kita sudah menemui SATU yang kekal itu?”

Wallahu a’lam
Al-misk




No comments:

Post a Comment