Pages

Showing posts with label al-Quran. Show all posts
Showing posts with label al-Quran. Show all posts

Wednesday, January 27, 2010

Hanya Berkongsi: Semanis Krim, Surat Cinta & Menjadi Pilihan

Kering sudah fikiran dari memancarkan idea. Kesibukan bukan alasan yang bagus untuk melarikan diri daripada kekurangan dan kelemahan diri dalam mengatur masa. Setiap orang punyai waktu 24jam, tidak ada yang terkurang satu jam, tiada yang lebih satu jam. Namun, cabaran setiap manusia berbeza. Dan itu kekurangan yang saya akui sendiri. Mudah-mudahan berubah.

Semanis Krim


Berbuka puasa bersama sahabat-sahabat dalam satu talam cukup sekali mengimbau kehebatan ukhuwwah. Manisnya ibarat merasa kemanisan ‘krim coklat’. Seorang kakak pernah beritahu, rasalah ukhuwwah itu sampai kita rasakan manisnya semanis krim.

Lucu bila manis ukhuwwah itu disamakan dengan krim coklat, tapi itulah hakikatnya. Kemanisan itu tidak dapat digambarkan, melainkan apabila seseorang itu merasainya sendiri. Moga dapat terus merasai dan mengecapi kemanisan ini sehingga akhir hayat. Biiznillah..

Sebelum berkumandangnya azan, seorang adik memberikan tazkirah berkenaan sepuluh amalan Rasulullah s.a.w. Disebabkan masa yang singkat, beliau hanya sempat menyentuh 2 amalan sahaja. Yang pertama tahajjud, dan kedua sentiasa membaca al-Quran. Dari petah bicaranya, saya menangkap banyak perkara baru. Mungkin selama ini buta sendiri, mata hakiki dan mata hati. Gelap entah kenapa.

Beliau menceritakan pengalaman bertanya seorang pensyarah yang menghafaz al-Quran sejak berumur 12 tahun. Mereka bertanya, bagaimana beliau boleh merasai pentingnya membaca al-Quran serta boleh mendalami ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran.

Menarik untuk dikongsi. Katanya, ibaratkan membaca al-Quran itu seperti makanan. Setiap hari kita perlu makan, bila lapar pasti secara automatik kita akan mencari makanan. Oleh itu, saya disiplinkan diri saya untuk membaca al-Quran satu hari satu juzuk. Selagi belum habis saya tidak akan makan. Selepas daripada itu, saya cuba fikirkan perkara yang lain pula. Jadi, saya ingin cuba mengkaji dan memahami isi kandungan al-Quran. Rupa-rupanya terlalu banyak ilmu dalam al-Quran yang selama ini saya tidak tahu. Dengan membaca, memahami dan mengkaji al-Quran saya dapat belajar banyak perkara, bukan hanya hukum-hakam, tetapi kejadian alam semesta, langit ,bumi dan sebagainya.

Begitu lebih kurang bunyi kisah mengenai seorang pensyarah mengenai kehebatan al-Quran. Bila dibandingkan dengan diri sendiri, terasa benar kekurangan dan kelemahan ini. Benar kata adik tersebut, kita sekarang membaca hanya mengharap pahala sahaja tanpa mahu mengkaji dan memahami kandungannya. Allahul musta’an. Moga sedikit-sedikit mahu berusaha ke arah itu.


Surat Cinta dari Allah



Saya teringat Dr Radwan Jamal pernah beritahu, “Al-Quran ni ibarat seperti surat cinta dari Allah s.w.t untuk hamba-Nya. Allah beri al-Quran ini untuk membuktikan yang Dia cintakan kita. Apa perasaan kamu bila dapat surat dari ibuayah? Mesti gembira kan? Kamu mesti akan baca dan menghayatinya. Begitulah juga al-Quran. Ia merupakan surat cinta yang Allah sampaikan untuk hamba-Nya sebagai panduan dan peraturan dalam kita menjalani kehidupan”.

Mari kita bertanya sendiri, tidak gembirakah kita menerima surat cinta. Ini bukan surat dari calang-calang orang, surat cinta ini daripada Pencipta kita, Yang amat mengasihi kita. Surat cinta ini daripada Allah s.w.t buat kita. Buat yang mahu menjadi hamba-Nya sahaja.

Saya dapat bayangkan, jika saya dalam perjalanan menuju ke suatu tempat tanpa diberitahu bagaimana untuk pergi dan ke mana arah yang sepatutnya saya pergi. Tentu saya buntu sendiri. Namun jika ada yang kasihankan saya, tentu dia akan memberitahu dan menunjukkan jalan ke sana supaya saya tidak sesat lalu nantinya berputus asa sendiri.

Ya, itu manusia. Kerana kasihan dan rasa ambil berat, dia akan membantu menunjukkan jalan. Tapi bila Allah yang memiliki jiwa dan jasad kita, lebih-lebih lagilah Dia sayangkan kita. Kerana itu Dia tidak biarkan kita keseorangan, melalui kehidupan dunia bersendirian tanpa menunjukkan jalan menuju ke akhirat-Nya. Kerana tanda sayang-Nya itu, Dia berikan kita panduan yang terkandung dalam surat cinta-Nya (al-Quran).

Menjadi Pilihan


Sepatutnya kita perlu merasa bertuah kerana dipilih oleh Allah untuk dipimpin. Saya teringat satu taujih dari seseorang, kalamnya cukup indah.

“ Bukanlah suatu yang pelik jika seorang bos disayangi oleh semua anak buahnya. Bukan suatu yang pelik jika seorang pemimpin disayangi rakyatnya. Dan bukan suatu yang pelik jika seorang wanita digilai ramai lelaki..

Tetapi suatu yang pelik jika seorang bos hanya menyukai seorang anak buahnya. Suatu yang pelik jika seorang pemimpin hanya menyukai seorang daripada rakyatnya. Dan suatu yang pelik apabila seorang wanita hanya menyintai seorang lelaki..

Dan suatu yang pelikkah bila Allah hanya mencintai beberapa orangdi kalangan hamba-Nya yang terpilih. Jadi, tidak mahukah kita menjadi orang yang terpilih di kalangan hamba-Nya itu?”

Subhanallah. Buta lagi mata hati sendiri.

Bagaimanakah agaknya bila hati mula menilai kelebihan dan kecintaan pada manusia lebih daripada cinta Allah. Memang begitu sukar menafsirkan cinta-Nya kerana hanya yang menginginkannya akan cuba mencari dan memahaminya. Walaupun dengan kesusahan dan kepayahan, dia akan mencari juga walau kadang-kadang tersungkur di pertengahan jalan. Ketika itu, Allah akan pimpinnya perlahan-lahan sehingga hati mula merasai bahawa itulah kasih dan cinta Allah. Dia yang menyembuhkan luka, Dia yang membungakan harapan dalam kehidupan dan menghilangkan keresahan akibat luputnya sesuatu dalam kehidupan dunia.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu” (surah al-Hadid: 20)

“Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhan-mu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar” (surah al-Hadidi:21)

Wallahu a’lam

@ wardah al-misk ~

Tuesday, December 1, 2009

Bercinta Dengan al-Quran

“ Novel tu saya dah baca kak. Pinjam dengan kawan. Akak ada novel lain?”

Saya mencadangkan beberapa buah novel islami dan meminjamkan kepadanya. Saya bukanlah seorang peminat novel, teramat memilih jika berkesempatan untuk membelek.

Mengumpul buku satu hobi yang memuaskan hati saya. Melihat susunan buku yang tidaklah berapa banyak sungguh menyedapkan mata saya sendiri. setiap kali habis membaca, saya akan letak dan susun semula di rak buku meja belajar.



Untuk membacanya kali kedua, saya hanya membuka bahagian-bahagian yang menarik sahaja. Entah kenapa 'mood' untuk kembali mengulang bacaan menghilang dan tiada rasa teruja seperti ketika buku masih berbalut kemas dengan plastik. Mengapa begitu ye?

Pernahkah anda lalui sebagaimana yang saya rasakan. Berbeza sungguh apabila kita membaca al-Quran al Karim. Sejak umur mengenal muqaddam, saya kemudian mula belajar al-Quran ketika umur 7tahun dan khatam ketika umur 12 tahun. Dan sehingga kini entah berapa kali sudah diulang-ulang bacaan al-Quran itu, saya tidak pernah kenal satu perasaan bernama bosan.

Anda pula bagaimana? Bolehkah berkongsi dengan saya.

Sungguh saya katakan ini. Bukan pandai-pandai, tetapi itulah hakikat dan istimewanya al-Quran. Apabila saya merasa sedih, kemudian saya membaca al-Quran kerap kali saya bertemu dengan ayat yang seakan memujuk saya.

Apabila saya tidak memperolehi apa yang saya rasakan baik untuk saya, dan hati seperti mahu menolak hakikat, Allah datangkan pujukan dan nasihat dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”. (al-Baqarah: ayat 216)


Apabila saya ditimpa musibah, Allah memujuk lagi dengan janji-janji-Nya:

"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: ayat 155)

(yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun" (al-Baqarah: ayat 156)


Subhanallah.. hati saya menjadi tenang. Airmata mula mengalir kerana terharu dengan hakikat yang Allah berikan kepada saya. Inilah al-Quran, sebuah kitab yang diturunkan untuk kita sebagai hidayah dan petunjuk.

Apabila diamati mengenai kesan bacaan al-Quran terhadap jiwa manusia, rupa-rupanya ia merupakan salah satu bentuk mukjizat al-Quran. Mukjizat yang tiada pada kitab-kitab dan buku-buku lain.

Dua Golongan
Memetik dari tamhid di bawah tajuk "al'i'jaz at-ta'thiri wa annafsi fi al-Quran" di dalam kitab Risalah fi i’jaz al-Quran oleh Dr Radwan Jamal (pensyarah di jabatan al-Quran dan as-sunnah uiam), di antara bentuk mukjizat al-Quran adalah kesan yang sampai ke dalam jiwa manusia sama ada kepada orang yang kafir ataupun mukmin. Terdapat dua golongan manusia apabila dibacakan kepadanya al-Quran:

1- orang mukmin yang khusyu’ maka bertambahlah iman dan keyakinan kepada Tuhan mereka, lalu melaksanakan perintah Tuhannya.

2- Golongan yang hatinya berkocak, bertambah kedegilan mereka dan enggan tunduk dan patuh kepada kebenaran, dan mereka kekal dengan keadaan sebegitu sehingga mati.


Lalu kita dari golongan yang mana? mudah-mudahan kita di golongan yang apabila membaca dan mendengar al-Quran lalu bertambahlah iman, keyakina dan kepatuhan kepada perintah Allah s.w.t.


Peringkat at-Ta'thir bil Quran (Merasai kesan bacaan al-Quran)
Apabila kita membaca al-Quran, bagaimana untuk kita sampai kepada kesan yang disebut sebagai mukjizat al-Quran ini, kesan kepada jiwa manusia. Digariskan di dalam kitab yang sama (Risalah fi i’jaz al-Quran) beberapa tahap untuk sampai kepada at’ta’thir bil Quran:

1- Menghadirkan iman untuk memahami dan mentadabbur al-Quran dengan mengambil kira adab-adab membaca al-Quran.

2- Membaca al-Quran dengan khusyu’, kemudian mentadabbur setiap kali berhenti dari setiap ayat.

3- Saling menghubungkaitkan antara bacaan dan juga makna ayat.

4- Sekiranya ada perkataan yang gharibah (pelik atau jarang digunakan), maka hendaklah merujuk kepada tafsir ringkas yang menjelaskan maknanya.

5- Cuba mempraktikkan setiap ayat yang dibaca dalam kehidupan serta mengeluarkan pengajaran dari kisah-kisah umat terdahulu, menulisnya dan merujuk kepadanya selepas merujuk kitab tafsir salaf.

6- Menghafaz ayat-ayat al-Quran sebagaimana yang dilakukan oleh salafuna soleh seperti Abdullah Ibn mas’ud Radhiyallahu anhu yang menghafaz 10 ayat al-Quran dan dia tidak berpindah kepada ayat berikutnya sehinggalah beliau mengamalkannya di dalam kehidupan.

7- Mendalami tafsir ayat-ayat tersebut melalui kitab-kitab tafsir mu’tabar seperti tafsir attabari, tafsir Ibn Kathir, tafsir Fi Zilal al-Quran dan sebagainya.

Sungguh hairan jika al-Quran dibiarkan suci dalam debu. Bagaimanakah hatinya boleh tenang apabila tidak dilalukan bibirnya dengan bacaan al-Quran setiap hari. Pastikah dia tenang?


Subhanallah... Marilah berdamping dengan al-Quran. Jika boleh kita bercinta dengannya, bercintalah. Tiada yang kurang padanya. Kalam suci Allah s.w.t menjanjikan pelbagai nikmat kepada kita. Ia bukan hanya kitab ilmu yang khusus, ia bukan hanya buku cerita, ia bukan hanya buku undang-undang, Ia adalah segala-galanya.


Kisah al-Fudhail bin Iyyad
Mari kita lihat apa yang pernah berlaku terhadap al-Fudhail bin Iyyad, (lahir 107H dan wafat 187H). Beliau hidup sezaman dengan Sufiyan bin Uyainah, seorang muhaddis.

Al-Fudhail dahulunya seorang perompak jalanan, lalu membunuh orang yang musafir dan merampas harta mereka. Kemudian Allah mengurniakan hidayah kepadanya lalu dia bertaubat. Sebab taubatnya bermula apabila beliau merasa ingin bertemu dengan kekasihnya. Ketika mana dia sedang memanjat tembok untuk menemui kekasihnya, dia mendengar seseorang membaca sepotong ayat al-Quran:

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ آمَنُوا أَن تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ فَاسِقُونَ (الحديد:16)

Maksudnya: Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik" (al-Hadid:16)


Selepas mendengar ayat tersebut, diapun berkata “sekaranglah masanya”, maka jadilah dia orang yang bertaubat disebabkan ayat tersebut. (Rujuk tafsir al Jami' li Ahkam al-Quran: Imam al-Qurthubi)


Kita Bagaimana
Subhanallah.. Sehingga begitu sekali kesan ayat al-Quran terhadap hati seorang al-Fudhail bin Iyyad yang awal hidupnya sering melakukan maksiat. Lalu kita bagaimana? Saya sendiri bagaimana? Alangkah tidak tahunya saya, sementelah setiap hari membuka dan membaca al-Quran, terkadang masih ternoda juga hati sendiri.


Di hari-hari yang berlalu dan akan berlalu, andai bercinta dengan al-Quran boleh membahagiakan kita, apalah salahnya kita luangkan masa kita dalam sehari untuk membaca dan mentadabburnya.Semoga kita akan menjadi salah seorang yang disebut di dalam Firman Allah s.w.t:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal” (al-Anfal: 2)

Wallahu a’lam


Al-misk IIUM
“Haza min Fadli Rabbi”

Friday, June 5, 2009

H.I.D.A.Y.A.H dari al-Quran

Al-Quran adalah sumber hidayah sepertimana disebut di dalam al-Quran

ذَلِكَ الْكِتَابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِلْمُتَّقِينَ

‘ Kitab (al-Quran) ini, tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa’

Surah al-Baqarah:ayat2

Dengan hidayah itu membawa manusia beriman kepada Allah. Tetapi terdapat sedikit kemusykilan yang ditimbulkan, sekiranya al-Quran itu hidayah kepada seluruh umat manusia, mengapakan setelah dibacakan al-Quran ataupun setelah membacanya sendiri masih ada segelintir manusia yang tidak beriman dengan Allah s.w.t dan mengingkari perintahnya? Adakah semua ini menyangkal bahawa al-Quran itu adalah petunjuk buat sekalian umat manusia? Adakah al-Quran bukanlah sumber hidayah?


Untuk merungkai persoalan ini, saya kongsikan apa yang Muhammad Abdullah Darraz tuliskan di dalam kitabnya- an Naba’ul azhim.

Sebagaimana yang Muhammad Abdullah Darraz utarakan kemusykilan di atas, beliau juga menjawab sendiri kemusykilan yang diajukan. Apa yang boleh dipetik dari kitab beliau, sememangnya benar bahawa al-Quran adalah sumber hidayah sebagaimana telah diberitakan di dalam al-Quran sendiri. Namun, setelah diperdengarkan al-Quran ataupun membacanya, mengapa masih ramai yang tidak mendapat petunjuk? Perlukah disalahkan al-Quran itu?

Sekali-kali kita tidak boleh menyalahkan malah jangan sekali-kali menyangkal bahawa al-Quran itu merupakan petunjuk dan hidayah kepada seluruh umat manusia.

Sesungguhnya kekurangan ini bukan datang dari al-Quran itu sendiri tetapi dari orang yang berhadapan dengannya (manusia).

Analoginya begini:

1- Adakah doktor pakar perlu disangkal kepakarannya disebabkan kematian seseorang yang tersalah makan ubat yang diberi tanpa pengetahuannya?

2- Orang buta yang tidak dapat melihat cahaya matahari.Adakah matahari yang memberi manfaat kepada manusia perlu dipersalahkan sekiranya orang buta tadi tidak dapat melihat cerahnya siang hari? Adakah kekurangan itu dari matahari? Tentunya tidak.


Begitulah analoginya dapat disimpulkan bahawa ramai yang tidak mendapat petunjuk di atas sesuatu perkara bukan disebabkan kekurangan al-Quran yang membawa petunjuk itu sendiri, tetapi disebabkan diri sendiri yang tidak mahu mencarinya.

Wallahu a’lam.