Pages

Sunday, September 13, 2009

NASIHAT ITU INDAH


“Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan. Itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia”.

Sungguh indah kata-kata ini. Ia bukan hasil coretan saya, tetapi saya mengambil kata-kata yang indah ini dari sebuah wallpaper iLuv Islam. Pertama kali saya membacanya, saya terkelu dan terkedu. Benar sungguh dan ia memang terkena batang hidung saya sendiri.

Semudah kita menuturkan kata-kata, semudah itu juga kita menyampaikan sesuatu yang dirasakan bermanfaat kepada orang lain. Kadang-kadang mata hanya melihat kesilapan dan kesalahan orang lain, tetapi tidak mampu melihat kesalahan dan kesilapan diri sendiri.

Itulah hikmahnya sebuah ujian. Apabila kita sering menegur orang lain tentang itu dan ini, lalu kita lupa untuk menegur diri sendiri tentang itu dan ini. Kerana itu, Allah menghadirkan sebuah ujian berupa kesusahan,kesenangan, penderitaan, kegembiraan, kekecewaan dan juga kebahagiaan.

Bersyukurlah jika diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan dalam usaha kita mengingatkan manusia kerana dengannya kita mahu untuk melapangkan hati menerima nasihat dan teguran dari teman-teman. Saya selalu berfikir, mengapa saya boleh memberi nasihat jika diminta seseorang, tetapi apabila saya menghadapi masalah, saya tidak mampu menyelesaikan sendiri. saya perlukan nasihat dari orang lain.

Seorang teman mengatakan,

“ Mata yang masuk habuk pun orang lain kena tolong tiupkan”

Saya tersenyum. Ada benarnya apa yang dikatakan. Dulu ketika di sekolah, selalu minta teman meniupkan mata jika dimasuki habuk, ataupun jika terasa pedih akan meminta teman memeriksa kalau-kalau ada bulu mata yang gugur menyinggah mata.

Di sinilah konsep ta’awun. Saya teringat sebuah hadith tentang nasihat:


Rasulullah s.a.w bersabda: “Agama itu nasihat”. Kami bertanya: “untuk siapa?” Baginda menjawab: “untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk
pemimpin-pemimpin Islam dan masyarakat keseluruhannya”- Riwayat Muslim

Subhanallah.. cantik sungguh hadith ini.


Apabila Rasulullah s.a.w mengaitkan agama dengan nasihat sudah tentu ianya sesuatu yang penting. Dengan nasihat terbinanya agama. Dengannya kukuhlah kedudukan umat Islam dan semakin erat persaudaraan.


Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
“Hak seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain ada enam”. seseorang bertanya: “Apa dia wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Apabila kamu bertemu seorang muslin, maka berilah salam, apabila dijemput maka penuhilah, apabila diminta nasihat maka nasihatilah, apabila bersin dan mengucapkan alhamdulillah maka doakanlah, apabila sakit maka ziarahilah dan apabila dia meninggal dunia, maka iringilah mayatnya ke kubur”- Riwayat Muslim (dalam riwayat lain disebut lima)

Di antara hak seorang muslim terhadap saudaranya yang perlu dipenuhi adalah apabila diminta nasihat maka berilah nasihat. Dan nasihat itu adalah dengan asas kebaikan.

Bolehkah anda bayangkan bagaimana keadaan seseorang yang ditimpa masalah dan kecelaruan, kemudian dia datang kepada teman yang dipercayai serta meluahkan isi hatinya dan meminta nasihat, lalu teman tadi dengan penuh sedia dan setia mendengar serta memberi nasihat dan kata-kata semangat. Apa yang akan berlaku terhadap dua orang saudara tadi?

Boleh anda tolong jawab bagi pihak saya? Baiklah, saya hanya memberikan pandangan saya di sini.

Pada saya, tautan ukhuwwah antara dua saudara ini akan terbina. Hati teman yang berkecamuk mula reda dan lega. Masalah yang dirasakan beban yang berat mula ringan. Teman yang diminta nasihat pula dengan senang hati memberi nasihat dengan pandangan yang ikhlas. Bukankah ia menzahirkan sebuah kesetiaan dan mahabbah dalam sebuah persaudaraan.

Sepertimana dua saudara ini yang mengikat hati mereka kerana Allah s.w.t, bertemu dan berpisah dengan tujuan kebaikan, maka dengan itu semoga dua saudara ini di antara 7 golongan yang dijamin mendapat perlindungan dan naungan Allah s.w.t di hari ketika tiada naungan melainkan naungan-Nya.


Rasulullah s.a.w bersabda: Tujuh golongan yang dilindungi Allah di bawah
naungannya pada hari ketika tiada naungan melainkan naungan-Nya ialah pemerintah yang adil, pemuda yang beribadah kepada Tuhannya, lelaki yang hatinya terikat dengan masjid, dua orang lelaki yang saling mengasihi bertemu dan berpisah kerana Allah, seorang lelaki yang digoda oleh wanita yang kaya dan cantik lalu berkata: sesungguhnya aku takutkan Allah, lelaki yang bersedeqah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, dan seorang lelaki yang bersendirian mengingati Allah lalu mengalir airmatanya”- (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

MasyaAllah.
Dari sebuah ujian, dikurniakan teman untuk diminta nasihat, apabila bertemu dan terbina ukhuwwah dan mahabbah kerana Allah s.w.t, Allah menjanjikan pula janji yang tiada taranya. Allahu Akbar.

Lihatlah hikmah sebuah ujian. Apakah kita masih akan selalu mengatakan, “mengapakah aku diuji dengan yang sedemikian rupa?”.

Semoga saya akan sentiasa bersyukur terhadap ujian-ujian yang datang. Dan semoga anda juga begitu. Ujian itu untuk mengingatkan kita tentang apa yang sering kita dakwahkan, tentang apa yang kita peringatkan, menyedarkan kita tentang kesilapan, membuang sifat takabbur dalam diri dan membuktikan lemahnya diri kita sebagai manusia. Ucapkanlah alhamdulillah terhadap kurniaan ini.

Dan sesuatu yang lebih indah daripada sebuah ujian itu adalah apabila ia menandakan bahawa Allah sentiasa mengingati kita. Terima kasih ya Allah kerana masih sudi mengingatiku sedang aku selalu melupakan-Mu.


Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“ Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku akan ingat kepada-Mu, bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku”.(al-Baqarah:152)

Wahai saudara sekalian, andai kita diuji dengan apa yang sering kita katakan dan dakwahkan, bersyukurlah selalu kepada Allah s.w.t kerana Dia masih sudi mengingatkan kita tentang keterlanjuran perbuatan dan kesalahan kita sendiri. Sepertimana mata yang dimasuki habuk memerlukan bantuan orang lain untuk meniupnya, begitulah hidup kita. Kita tidak boleh hidup sendiri tanpa nasihat dan pandangan orang lain. Kerana agama itu dibina juga atas dasar nasihat, maka saling nasihat menasihatilah kita atas dasar taqwa.

Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment