Pages

Wednesday, September 16, 2009

Letak Jari Di Atas Api


“ Cubalah letakkan jari di atas api”

apabila merasai diri hebat
apabila merasai diri takabbur
apabila menzalimi orang lain
apabila cuba menghancurkan mahligai bahagia dua insan
apabila mahu memutuskan persaudaraan
apabila sengaja menyakiti hati insan
apabila merampas hak sesama muslim
apabila menderhakai ibubapa
apabila, apabila dan apabila

Semuanya apabila kita mahu melakukan sesuatu
yang menyakitkan hati insan lain
yang menzalimi diri dan perasaan insan lain
yang juga menghancurkan kebahagiaan insan lain
cubalah letakkan jari di atas api
lihatlah berapa lama boleh bertahan
tetap masih cantik menawankah
atau mula hitam membakar
tetap masih rasa nyamankah
atau mula merasa azab kepanasan

Semua itu hanya api dunia
panasnya yang melecurkan
azabnya yang tidak tertahankan
hanya sekali sahaja terkena sudah serik dan takut
itu hanya satu jari
yang baru dilalukan di atas nyalaan api
belum lagi satu badan
yang memungkinkan terpisahnya kulit dari badan

Ya
Baru sedikit merasa api dunia
tidak lagi merasa api neraka
yang bahangnya menjulang-julang
beribu-ribu tahun disimpan
bencinya neraka kepada yang mengingkari Pencipta
dendamnya dia kepada penderhaka
yang merosak agama
yang menyakiti dan merampas hak insan
yang merosak perhubungan
yang mengikut nafsu semata dan jejak syaitan

Sekali lagi..
Jika ingin melakukan dosa

lalukanlah jari di atas api
jika ingin menyakiti hati insan
lakukan lagi

jika ingin menzalimi

lakukan lagi

jika tahan kepanasan dan suka dengan keadaan sebegitu
teruskanlah dengan perlakuan dosa itu

teruskan, teruskan dan teruskan

"Sesungguhnya neraka Jahannam sedang membilang hari untuk membalas kemarahan terhadap penderhaka yang menyakiti dan menderhakai Allah s.w.t"

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Apabila ia (neraka) melihat mereka dari tempat jauh, mereka mendengar suaranya yang gemuruh kerana marahnya. Dan apabila mereka dilemparkan ke tempat yang sempit di neraka dengan dibelenggu, mereka di sana berteriak mengharapkan kebinasaan.

(Akan dikatakan kepada mereka), “Janganlah kamu mengharapkan pada hari ini satu kebinasaan, melainkan harapkanlah kebinasaan yang berulang-ulang”. (al-Furqan: 12-14)

___________

Ramadhan 26:
Marilah sama-sama kita berdoa semoga diri kita tidak menzalimi diri kita sendiri. Semoga kita dilindungi dari azab api neraka yang dahsyat..

“Ya Allah,berkatilah hidup kami dan lindungilah kami dari azab api neraka Jahannam”


No comments:

Post a Comment