Daripada Abdurrahman bin Abi Bakar daripada Bapanya r.hu: telah bersabda Rasulullah s.aw: mahukah kamu aku khabarkan tentang sebesar-besar dosa?. Kami menjawab: Bahkan ya wahai Rasulullah s.aw. baginda s.a.w lalu bersabda: “ Menyekutukan Allah s.w.t, menderhakai kedua ibubapa…(sepertimana dalam hadith nabi s.a.w)”- (al-Bukhari: bab menderhakai kedua ibubapa adalah dosa besar)
Allahu Akbar
Alhamdulillah kerana saya punya nikmat Iman dan Islam sejak dilahirkan. Dan saya berdoa semoga saya meninggalkan dunia ini juga dalam keadaan iman. Marilah kita bersyukur bersama-sama.
Mengapa saya katakan Iman dan Islam merupakan nikmat? Kerana saya tidak perlu berhadapan dengan dosa ‘mensyirikkan Allah’ yang Maha Suci-Nya dari apa-apa yang menyamai-Nya. Dan orang yang mati dalam keadaan ‘menyekutukan Allah’ tidak akan dimasukkan ke syurga untuk selama-lamanya (Wal’iyazubillah). Bukankah apabila terlepas dari cengkaman kesempitan dan kesusahan itu satu kenikmatan? Alhamdulillah.
Saya tersentuh apabila seorang pensyarah mengulas tentang dosa ‘menderhaka kedua ibubapa’. Saya boleh lega apabila punya nikmat iman, dan itu sudah tentu dengan izin Allah s.w.t menyelamatkan saya daripada mensyirikkan Allah (wal’iyazubillah). Tetapi adakah saya sudah semestinya bebas daripada dosa ‘menderhakai kedua ibubapa’?.
Saya terdiam mendengarkan pertanyaan itu. Apabila beliau menceritakan kisah beliau yang pernah mengucup kaki ibu beliau walaupun ibu beliau menolaknya. Saya terlalu kagum dengan. Kata beliau, ‘syurga di telapak kaki ibu’. Kerana itu beliau mengucupnya. Subhanallah. Setiap kali mahu keluar dari rumah untuk ke pasar, beliau pasti akan mencium tangan ibunya dan mengatakan “Ibu, saya mahu dengar dari mulut ibu bahawa ibu redha dengan saya”. Bukankah seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan ibubapanya redho kepadanya akan dimasukkan ke dalam syurga?
Subhanallah.
Dan tahukah anda beliau adalah seorang lelaki yang berasal dari Palestin. Lelaki yang dikurniakan Allah sifat rasional yang tinggi, dan ego yang lebih dari seorang wanita. Bagi saya, lelaki sebegini adalah seorang yang lembut hati.
Saya terfikir tentang diri saya. Saya adalah dari kalangan wanita, wanita itu masyhur dengan sifat lembut dan kurang egonya. Tetapi saya tidak pernah melakukan itu (mencium kaki ibu saya).
Ketika beliau membuka kisah tersebut di dalam suasana pembelajaran, tentu sahaja saya dan rakan-rakan saya yang lain terpaksa menahan hiba. Saya terfikir bahawa saya masih punyai ibu ayah, tetapi beliau sudah tidak punya ibuayah lagi. Beliau jauh dari tempat kelahiran (Palestin). Saya pula masih berada di bumi kelahiran saya.
“ Kamu semua masih punya ibuayah, telefonlah setiap hari. Katakan pada ibu, “Ibu, saya mahu dengar bahwa ibu redho kepada saya”. Selepas kelas ini, telefonlah ibuayah”.
Saya tersenyum sahaja di hadapannya memandangkan saya duduk di hadapan sekali di sebabkan jumlah pelajar di kelas yang tidak ramai. Bolehkah saya begitu? Allahu Akbar.
Saya tahu bagaimana hati ibuayah. Saya belum menjadi ibu tetapi perasaan rindu seorang ibu itu sebenarnya mengatasi segala-galanya. Hati mereka terlalu mudah terguris lebih-lebih lagi yang sudah berusia. Tentu ibuayah saya rindu kepada anak-anaknya. Anda rasakan perasaan seperti saya juga? Baguslah, kerana kita punya fahaman yang sama.
Semoga Ramadhan ini menjadi medan kita memuhasabah diri yang selalu sahaja leka dengan kehidupan dunia sehingga melupakan hak-hak orang yang sepatutnya diberikan. Ya, sudah tentu antaranya hak ibu ayah untuk diingati dan dihubungi. Mudah-mudahan kita bukan di kalangan orang yang melakukan sebesar-besar dosa-‘menderhakai ibuayah’.
“ Ya Allah, ampunilah dosaku serta dosa kedua ibu bapaku dan kasihilah mereka
sepertimana mereka mengasihiku sejak dari kecilku”.
CINTA TANPA SYARAT
Kurenung mentari pagi
Sinarannya lembut
Berselendang embun salju
Membias kuntum senyum
Menghadirkan diri pada lestari rindu
Yang mendakap sepi sendu
Sekian kali kucari
Di sebalik senandung sebuah lagu
Padanya terselit simfoni cinta
Yang membiaskan halwa
Ianya bukan cinta biasa
Tetapi dalam biasanya ada luar biasa
Itulah cinta tanpa syarat
Dari seorang ibu juga ayah
Yang redhonya kudambakan
Amat sekali
Sebelum ku pergi dan setelahnya
Andai ibu sudi
Kuingin memetik kuntum cintamu itu
Dan menyimpannya di lubuk hatiku
Andai ayah sudi
Kuingin mencantumkan cereka kasihmu
Untuk diabadikan dalam lipatan memoriku
Ingin juga kuselalu dengari
Kata sakti cinta kalian
Berterusan mengalir dalam relung-relung hatiku
Kuingin menyimpan segala kenangan
Dalam kanvas kehidupanku
Biar segalanya menjadi bukti
Cintamu yang tidak bersyarat
Terlalu menjanjikan kasih bahgia buatku
Dan janji syurga-Nya untukku
Andai pernah kusakiti hatimu
Ampunilah
Andaiku melukakan hatimu
Ampunilah
Andai kataku menghiris lembut nubarimu
Ampunilah
Andai tingkahku mengalirkan tangismu
Ampunilah
Dengan tulus hatiku
Izinkanku mengungkap kata rindu
Izinkanku mengukir makna sayang
Izinkan juga ku melakar serangkap doa
Hanya buatmu
Ibu dan ayah
Nukilan: Al-misk uiamwallahu a'lam
No comments:
Post a Comment