Pages

Friday, September 18, 2009

Salam EidulFitri


Salam Aidilfitri
Mohon Maaf Zahir dan Batin
تقبل الله منا ومنكم وكل عام وأنتم بخير

Sempena kehadiran Syawal yang akan hadir beberapa hari ini, walau serasanya diri ini masih tidak layak untuk mendapat ijazah dari sebuah Universiti Ramadhan, namun semoga Syawal menfitrahkan semula hati-hati yang meledak dengan kekotoran dan berseliratnya nafsu. Semoga Madrasah Ramadhan menjadi titik tolak untuk terus memperbaiki diri, taat sepenuh hati kepada Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Satu..

Disebalik tulisan ini, diri yang kerdil ingin mengirimkan kad ucapan ini buat ayahanda dan ibunda serta kekanda-kekanda yang akan pulang ke kampung halaman. Semoga selamat sampai..


Juga buat teman-teman Irshadiah, UIAM, sahabat se-QYC, pengunjung blog al-misk dan Jalan Sehala serta kenalan-kenalan baru di alam realiti ataupun maya. Salam ukhuwwah fillah buat semua.

Kad ini tidaklah secantik mana kerana orangnya tidaklah sekreatif mana, namun diharap sudilah menerimanya.



BAGAI TETAMU SENJA

Ramadhan yang bagai tetamu senja
Menempa diri
Mendidik nafsu
Agar mahu tunduk pada taat
Abdi dan ta’abbud sepenuh kepada Ilah
Menuras ledak kekotoran jiwa
Yang merajai di sebalik ruh

Kini senja semakin berakhir
Sebuah madrasah bernama Ramadhan akan pergi
Namun ia meninggalkan kesan
Meninggalkan bahagia
Juga menitipkan nuansa rindu
Untuk hadir lagi di tahun hadapan

Buktikan ta’abbud hamba
Di sebalik tabir nafsani
Di penghujung senja Ramadhan ini
Membuka lembaran fitrah di satu Syawal
Walau sedih menghuni jiwa
Walau hiba menghujam hati
Namun fitrahnya Syawal tanda kemenangan
Bagi kita yang beriman

Syawal yang hadir
Mengembalikan fitrah insani
Mulianya syawal seiring dengan mulianya Ramadhan
Hadiah dari Allah Yang Maha Mulia
Maha pengasihnya Ilahi
Tidak tertanding gantinya
Walaupun ditulis dengan selautan dakwat
Nikmat-Nya tidak terkira

Semoga syawal ini
Menfitrahkan hati
Melunaskan hati
Melunakkan jiwa
Menguatkan iman

Dan keikhlasan kita
Semoga menjadi mahar
Buat melamar kasih Allah...

Bingkisan: Wardah Razali
28 Ramadhan 2009
Teratak


________________

:: MOHON MAAF ZAHIR BATIN SEPENUH HARAP dari saya:
NorWardatun Mohamed Razali


No comments:

Post a Comment