Pages

Saturday, September 5, 2009

Ramadhan 15: Kita Di Mana?

Hari ini sudah hari ke 15 berpuasa, seakan tidak terasa cepatnya masa berlalu. Saya membilang-bilang menggunakan jari tangan. Benar!! Sudah hari ke 15 saya berada di bulan Ramadhan.

Berada di dalam bulan Ramadhan untuk kali kelima sepanjang bergelar pelajar di UIAM Gombak membawa kepada tersematnya kenangan-kenangan sejak bertahun-tahun lalu. Sungguh indah pengalaman berpuasa di UIAM.








Ahlan wa sahlan
Itu ucapan yang selayaknya buat bulan yang kita rindui. Dan Alhamdulillah pula adalah ucapan selayaknya buat Allah s.w.t tanda bersyukurnya kita kerana diberikan keizinan untuk kita mengecapi dan melalui lagi bulan yang penuh dengan kerahmatan dan keampunan ini.

Bagai tetamu yang bakal datang di teratak kita, semestinya lantai disapu, habuk digilap dan segala macam persediaan dilakukan. Begitulah juga bulan Ramadhan, kehadirannya dialu-alukan bagai tetamu dan ianya memerlukan persediaan yang rapi. Dan kini...

Keberadaan kita bersamanya pula
Apa yang kita lakukan ketika tetamu mulia ini masih bersama kita. Kehadirannya tidak membawa tangan kosong, tetapi beserta hadiah buat yang benar-benar menghidupkan bulan Ramadhan dengan ibadah.
Sabda rasulullah s.a.w:





“ Sesiapa yang bangun (solat Terawikh) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ikhlas mengharapkan keredhoan Allah akan diampunkan dosanya yang telah lalu”.-Riwayat al-Bukhari


Namun, sedarkah kita tentang hadiah yang tetamu kita bakal berikan? Ataukah kita hanya duduk bersamanya tanpa merasa apa-apa yang istimewa pun tentangnya dan tanpa bertanya apapun mengenai istimewanya tetamu kita itu?

Rugi
Tetamu ini datang tidak lama, hanya 29 atau 30 hari sahaja. Ada 2jenis manusia apabila tetamu yang mulia ini datang:




Pertama: Golongan yang menyambut dengan gembira dan melepaskannya dengan kesedihan.
Kedua: Golongan yang menyambut dengan kelesuan serta kemurungan
dan melepaskannya dengan kegembiraan.


Alangkah indahnya jika saya menjadi golongan yang pertama. Golongan yang menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan disamping persediaan-persedian sebelum kedatangannya lagi. Dan apabila tiba jejak kakinya ke teratak saya, senyuman ceria menghiasi bibir dan mula teruja dan rindu. Kebersamaan dengan tetamu ini tidak disia-siakan. Lalu mengirai hari-hari terakhir dengan kesedihan dan mula membayangkan bahawa Ramadhan yang sedang bersama bakal meninggalkan kita. Alangkah beruntungnya golongan ini kerana apabila tetamu tersebut telah pergi, dia berjaya memperolehi hadiah-hadiah istimewa yang dibawa bersama tetamu mulia tersebut. Subhanallah.

Mohon dijauhkan dari menjadi golongan yang kedua. Golongan yang menanti tetamu ini dengan penuh gelisah kerana membayangkan bahawa diri terpaksa menahan lapar. Tidak langsung bersedia menerima tetamu yang teristimewa ini, malah tidak menganggap ia bulan yang istimewa. Keberadaan bersama tetamu tersebut diiringi dengan sambil lewa. Lalu cepat-cepat mengira-ngira hari dengan penuh gembira kerana bulan kelaparan bakal pergi. Yang ditunggu-tunggu adalah hari raya dan mula membeli baju raya dan sibuk menghias-hias rumah untuk dipertontonkan kepada tetamu yang datang. Tinggallah ia sebagai orang yang rugi. Tidak memperolehi hadiah yang dibawa bersama oleh tetamu istimewa tadi.

Subhanallah

Tahukah saya dan anda, hadiah yang di bawa tetamu tadi buka calang-calang hadiah. Ia adalah hadiah dari Raja yang Maha Tinggi, pemilik alam semesta dan juga pemilik diri kita ini.

Hadiah berupa keampunan dan pahala yang berganda-ganda. Masya-Allah. Andai pahala itu dapat dilihat dan dipertontonkan, sudah pasti semua berebut-rebut dan berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Malah hadiah ini tidak akan habis setelah diberikan, tetapi ianya sentiasa ada dan sentiasa diberikan kepada sesiapa sahaja yang layak.

Terasa sungguh bahawa Allah itu Maha Pengampun. Dosa-dosa yang lalu diampunkan begitu sahaja hanya dengan ibadah-ibadah yang ikhlas mengharapkan keredhoan Allah di bulan ramadhan sahaja. Dia juga Maha Penyayang dengan memberikan pula hamba-Nya yang ikhlas beribadah dengan pahala dan ganjaran yang berganda-ganda.

Kita dari golongan mana?
Saya bertanya sendiri bahawa saya dari golongan mana? Saya sendiri tidak tahu saya dari golongan mana. Takut-takut terjatuh bersama golongan kedua (wal’iyazubillah). Sesungguhnya iman ini terkadang turun dan terkadang pula naik. Terkadang kemalasan datang, mata ditewaskan dengan rasa mengantuk, disibukkan dengan kerja-kerja pengajian dan peperiksaan dan sebagainya.




Kesemuanya boleh sahaja membuatkan diri mensia-siakan tetamu yang sedang tinggal bersama saya. Namun, saya harus sedar bahawa tetamu ini hanya datang sekali. Menemani saya siang dan malam sambil menanti masa untuk memberi hadiah teristimewa. Sambil tetamu ini menilai terawikh, bacaan al-Quran, sedekah dan amal kebajikan lain. Adakah saya faham dan sedar semua itu. Saya sedang diperhatikan oleh tetamu yang minta diberi perhatian. Semuanya untuk diri saya sendiri. saya harus mendapatkannya sendiri jika saya mahukan hadiah istimewa itu.

Oleh itu, seharusnya saya perlu menghargainya dan melayaninya dengan sepenuh perasaan kehambaan kepada Allah s.w.t dengan menghidupkan hari-hari yang tinggal berbaki hanya 15hari lagi ini.


“ Kita memuliakan Ramadhan bukan kerana kita hamba Ramadhan, tetapi kerana kita hamba Allah s.w.t”.


Wallahu a’lam

al-misk uiam


No comments:

Post a Comment