Pages

Showing posts with label pesanan. Show all posts
Showing posts with label pesanan. Show all posts

Tuesday, March 27, 2012

Maafkanlah Duhai Hati


Siapa yang hatinya tidak pernah disakiti, dilukai, dan seumpama dengannya? Saya kira tidak ada. Sedangkan kekasih Allah SWT iaitu Rasulullah SAW sendiri disakiti orang sekeliling tika mula menyebarkan dakwah, hatta sepanjang hidup Baginda SAW, ada sahaja yang cuba menyakiti Baginda.

Tika baginda dilempar najis, dan di sepanjang jalan yang Baginda SAW lalui ditaburi najis dan duri oleh seorang perempuan Yahudi, Baginda tidak marah-marahkan perempuan itu, Baginda ziarah dia. Dan akhirnya wanita itu masuk Islam.

Itu Nabi kita, kekasih Allah swt. Sedangkan kita ini, siapalah untuk terus-terusan menyimpan dendam dan amarah.

Saya tidak lepas dari merasai disakiti, berhari-hari menahan rasa itu. Natijah yang saya dapat dari itu hanyalah rasa tidak tenang.

Apabila kita tidak memaafkan orang yang berbuat salah dengan kita, umpama seperti kita cuba mengulang imbas kesilapan mereka dan cuba menoreh-noreh bekas luka yang masih terluka itu. Pedih bukan?

Namun itu yang kita pilih.
Memang bukan mudah untuk melupakan apa yang sudah orang lain lakukan pada kita, apatah lagi ia begitu mengguris hati kita. Tetapi fikirkanlah tentang dia, jika dia mati dalam keadaan kita tidak memaafkannya bagaimana? Kasihan dia bukan?

Dan sesungguhnya mereka itu hanya manusia biasa, terkadang khilaf dalam bicara, khilaf dalam perbuatan.. Mungkin sahaja dia tidak sengaja mahu menyakiti hati kita, ataupun dia jahil dalam soal itu. maka berlapanglah dada, Allah itu Maha Pengampun apatah lagi kita ini yang hanya hamba.

Marahlah, kerana kita manusia kadang-kadang ada amarah. Tetapi amarah itu menyemarakkan keseronokan syaitan dalam memporak perandakan saudara seislam. Lalu, maafkanlah. Mereka itu saudara kita. Doakan mereka jika mereka berterusan menyakiti kita. Mungkin mereka belum mendapat hidayah, moga dengan doa kita hati mereka terkena biasan hidayah untuk berubah.

Satu yang kita perlu ingat adalah tentang dunia ini.
Ia bukan syurga, yang hanya indah-indah, yang baik-baik. Tidak.

Dunia ini penuh dengan perkara yang menguji kita, perkara yang menyakitkan kita. Lantas kerana itu barangsiapa yang sabar Allah akan naikkan darjatnya.

Kita percaya janji Allah itu kan? Maka bersabarlah tika ada yang menyakiti kita. Maafkanlah, mudah-mudahan tika tanapa sedar kita menyakiti hati orang lain, orang itu pula akan memaafkan kita dengan sungguh-sungguh.

Moga sepanjang jalan di dunia ini, Allah kurniakan kita kekuatan dan kesabaran untuk terus mencari redha-Nya.

Moga tidak jatuh dalam rasa putus asa, juga tidak tergelincir dalam rasa tidak bersangka baik dengan Allah..

Ya Allah, lindungi kami
Cintai kami
Kasihi kami
Pelihara kami
di sepanjang usia ini..
Ameen Ya Rabb

Tuesday, January 31, 2012

Cinta yang Mencintai Allah

"Janganlah mencintai orang yang tidak mencintai Allah, kerana jika mereka meninggalkan Allah maka mereka juga akan meninggalkan kamu"

Kata2 ini saya petik dari laman FB Brotherhood arts,
"Do not love the ones who doesn't love Allah, if they can leave Allah they can leave you"

Terasa,
Sujud bersama airmata
Luluh dari hati yang dalam
Allah tak pernah tinggalkan
Hamba-Nya yang berusaha mencintai-Nya
Jiwa yang terhimpit dengan murka-Nya

Di sekian banyak nikmat
Kau tetap kekalkan nikmat itu
Untuk aku setia mengukir senyum
Walau aku selalu alpa
Untuk mengingat-Mu
Allah..
Tambahkan syukurku
Pada setiap yang diberi-Mu
Pada setiap hela nafasku

Kerana sekian kali diuji
Kau lepaskan aku dari ujian itu
Walaupun ia tidak terkecuali
Dari airmata
Dari kecewa
Dari luka
Kerana bekas-bekas rasa itu
Akan menambah syukurku

Kekalkanku dalam pandangan kasih-Mu
Ya Rabbi..



Monday, August 22, 2011

Saksi Kita di Sana


“Ada tengok link yang atun letak kat Facebook. SubhanAllah, Syeikh Misyari menangis, makmum pun ikut menangis”.

Sham Irzatul, sahabat yang sama-sama mengambil pengajian Master di UIAM menjadi teman sembang saya di alam maya tika itu.

Malam tadi sempat membuka dan masyaAllah, hati saya tersentuh dengan bacaan yang dibaca oleh syeikh Misyari. Ayat-ayat Allah swt ini begitu menjerat hati saya pada rasa yang tidak keruan. Entah bagaimanalah nasib saya di sana nanti, pada hari mulut terkunci. Yang membisu hari ini menjadi saksi untuk segala-galanya.


Menjadi Saksi

Selama ini, kaki kita, pendengaran kita, penglihatan kita, anggota kita mengikut rentak hati kita. Tanpa melawan kehendak kita, mereka mengikut sahaja. Ke mana kita hendak melangkah, kaki mengikut arahan tanpa banyak bicara walau sebenarnya ia hanya redha dirinya di bawa ke tempat yang baik-baik sahaja. Penglihatan juga menjerit-jerit tidak redha apabila diasak oleh nafsu untuk melihat perkara-perkara yang tidak senonoh. Dan juga anggota-anggota yang lain, kesemuanya membisu di pandangan mata manusia, namun di akhirat kelak mereka mula membuka bicara.

حَتَّى إِذَا مَا جَاءُوهَا شَهِدَ عَلَيْهِمْ سَمْعُهُمْ وَأَبْصَارُهُمْ وَجُلُودُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ (20) وَقَالُوا لِجُلُودِهِمْ لِمَ شَهِدْتُمْ عَلَيْنَا قَالُوا أَنْطَقَنَا اللَّهُ الَّذِي أَنْطَقَ كُلَّ شَيْءٍ وَهُوَ خَلَقَكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ (21) وَمَا كُنْتُمْ تَسْتَتِرُونَ أَنْ يَشْهَدَ عَلَيْكُمْ سَمْعُكُمْ وَلَا أَبْصَارُكُمْ وَلَا جُلُودُكُمْ وَلَكِنْ ظَنَنْتُمْ أَنَّ اللَّهَ لَا يَعْلَمُ كَثِيرًا مِمَّا تَعْمَلُونَ (22) وَذَلِكُمْ ظَنُّكُمُ الَّذِي ظَنَنْتُمْ بِرَبِّكُمْ أَرْدَاكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ مِنَ الْخَاسِرِينَ (23)

Maksudnya: Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap mereka tentang apa yang telah mereka kerjakan. Dan mereka berkata kepada kulit mereka: "Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?" Kulit mereka menjawab: "Allah yang menjadikan segala sesuatu pandai berkata telah menjadikan kami pandai (pula) berkata, dan Dia-lah yang menciptakan kamu pada kali pertama dan hanya kepada-Nya lah kamu dikembalikan". Kamu sekali-sekali tidak dapat bersembunyi dari kesaksian pendengaran, penglihatan dan kulitmu kepadamu bahkan kamu mengira bahwa Allah tidak mengetahui kebanyakan dari apa yang kamu kerjakan. Dan yang demikian itu adalah prasangkamu yang telah kamu sangka kepada Tuhanmu, Dia telah membinasakan kamu, maka jadilah kamu termasuk orang-orang yang merugi. (surah Fussilat: ayat 20-23)


Ya, pada hari itu siapa lagi yang mampu menyembunyikan kesalahan-kesalahan yang kita pernah lakukan di dunia sekarang ini. Tanpa taubat, malah ada yang bertambah-tambah lagi kedengkelan sambil mengingkari hukum Allah swt, manusia terus takbur dan lupa untuk menjaga hukum Allah.

Hari ini, kita bangun dari tidur, memikir-mikir pakaian apa untuk dipakai ke tempat kerja. Adakah kita sudah meneliti bahawa pakaian yang akan kita pakai itu bebas menepati apa yang Allah gariskan dalam surat cinta-Nya, tidak berlebih-lebihan dan tiada unsur tabarruj atau menunjuk-nunjuk, tiada dedah sana-sini. Sudahkah kita memikirkannya jika kita seorang wanita.

Jika lelaki yang menjadi ketua keluarga pula, adakah kita sudah berfikir untuk menjadi pekerja yang amanah, tidak curi tulang, datang kerja awal dan pulang selepas waktu kerja demi menjamin rezeki itu halal dan anda sudah sepatutnya meraih gaji yang tersebut.

Tetapi, adakah layak kita memakan rezeki Allah swt itu andai sengaja lewat-lewat masuk kerja, ketika waktu kerja hanya berchatting atau ber’facebook’, atau curi tulang. Apabila waktu rehat kita ehat, apabila orang mahu kemas-kemas pulang kita juga kemas-kemas pulang. Kerja di pejabat tidak siap atau tertangguh. Bagaimana kita mahu menjawab di hadapan Allah swt nanti?


Jawablah dari hatimu dan perlakuanmu

Saya tidak menuding mana-mana orang sedangkan saya sendiri banyak salahnya. Saya hanya ingin ajak diri saya dan anda sama-sama muhasabah sejauh mana kita telah laksanakan tanggungan yang Allah swt amanahkan untuk dijawab di mahkamah Allah swt kelak.

Adakah kita sudah amanah? Adakah kita sudah menjadi muslimah yang benar-benar menjaga auratnya dan memelihara kesucian dirinya? Adakah kita sudah bernar-benar menjadi ibubapa yang mendidik anak-anak dengan bekalan ilmu Tauhid untuk mereka mengenal siapa Pencipta mereka? Sudahkah?

Kita boleh menjawab sendiri kerana saya yakin kita semua punyai jawapan itu. Jika kita malas untuk berfikir, saya tidak boleh berkata apa melainkan ingatlah, jika kita malas untuk menjawab dan memikirkannya sambil terus-terusan dengan kelalaian hati sendiri, di sana nanti pendengaran, penglihatan, kulit, kaki dan seluruh anggota akan tolong menjawab bagi pihak kita dengan sejujur-jujurnya.


Sebelum sampai di sana

Oleh itu, sebelum kita sampai di hari yang pasti itu, mari kita merubah diri kita, memuhasabah jiwa kita lantaran berapa banyak waktukah lagi yang masih kita ada untuk mengumpul bekal untuk ke sana kelak.

Saya akui sedang lemah dalam melalui ujian hidup ini, dan saya sedang cuba melaksanakan sebaik mungkin amanah yang Allah swt berikan. Dan antaraanya adalah dakwah, jom sampaikan walau sedikit. Biar nantinya anggota kita menjadi saksi terhadap apa yang kita telah lakukan.

Mari bergerak, berjalan dan berubah.