Pages

Wednesday, January 27, 2010

Hanya Berkongsi: Semanis Krim, Surat Cinta & Menjadi Pilihan

Kering sudah fikiran dari memancarkan idea. Kesibukan bukan alasan yang bagus untuk melarikan diri daripada kekurangan dan kelemahan diri dalam mengatur masa. Setiap orang punyai waktu 24jam, tidak ada yang terkurang satu jam, tiada yang lebih satu jam. Namun, cabaran setiap manusia berbeza. Dan itu kekurangan yang saya akui sendiri. Mudah-mudahan berubah.

Semanis Krim


Berbuka puasa bersama sahabat-sahabat dalam satu talam cukup sekali mengimbau kehebatan ukhuwwah. Manisnya ibarat merasa kemanisan ‘krim coklat’. Seorang kakak pernah beritahu, rasalah ukhuwwah itu sampai kita rasakan manisnya semanis krim.

Lucu bila manis ukhuwwah itu disamakan dengan krim coklat, tapi itulah hakikatnya. Kemanisan itu tidak dapat digambarkan, melainkan apabila seseorang itu merasainya sendiri. Moga dapat terus merasai dan mengecapi kemanisan ini sehingga akhir hayat. Biiznillah..

Sebelum berkumandangnya azan, seorang adik memberikan tazkirah berkenaan sepuluh amalan Rasulullah s.a.w. Disebabkan masa yang singkat, beliau hanya sempat menyentuh 2 amalan sahaja. Yang pertama tahajjud, dan kedua sentiasa membaca al-Quran. Dari petah bicaranya, saya menangkap banyak perkara baru. Mungkin selama ini buta sendiri, mata hakiki dan mata hati. Gelap entah kenapa.

Beliau menceritakan pengalaman bertanya seorang pensyarah yang menghafaz al-Quran sejak berumur 12 tahun. Mereka bertanya, bagaimana beliau boleh merasai pentingnya membaca al-Quran serta boleh mendalami ilmu-ilmu yang terkandung dalam al-Quran.

Menarik untuk dikongsi. Katanya, ibaratkan membaca al-Quran itu seperti makanan. Setiap hari kita perlu makan, bila lapar pasti secara automatik kita akan mencari makanan. Oleh itu, saya disiplinkan diri saya untuk membaca al-Quran satu hari satu juzuk. Selagi belum habis saya tidak akan makan. Selepas daripada itu, saya cuba fikirkan perkara yang lain pula. Jadi, saya ingin cuba mengkaji dan memahami isi kandungan al-Quran. Rupa-rupanya terlalu banyak ilmu dalam al-Quran yang selama ini saya tidak tahu. Dengan membaca, memahami dan mengkaji al-Quran saya dapat belajar banyak perkara, bukan hanya hukum-hakam, tetapi kejadian alam semesta, langit ,bumi dan sebagainya.

Begitu lebih kurang bunyi kisah mengenai seorang pensyarah mengenai kehebatan al-Quran. Bila dibandingkan dengan diri sendiri, terasa benar kekurangan dan kelemahan ini. Benar kata adik tersebut, kita sekarang membaca hanya mengharap pahala sahaja tanpa mahu mengkaji dan memahami kandungannya. Allahul musta’an. Moga sedikit-sedikit mahu berusaha ke arah itu.


Surat Cinta dari Allah



Saya teringat Dr Radwan Jamal pernah beritahu, “Al-Quran ni ibarat seperti surat cinta dari Allah s.w.t untuk hamba-Nya. Allah beri al-Quran ini untuk membuktikan yang Dia cintakan kita. Apa perasaan kamu bila dapat surat dari ibuayah? Mesti gembira kan? Kamu mesti akan baca dan menghayatinya. Begitulah juga al-Quran. Ia merupakan surat cinta yang Allah sampaikan untuk hamba-Nya sebagai panduan dan peraturan dalam kita menjalani kehidupan”.

Mari kita bertanya sendiri, tidak gembirakah kita menerima surat cinta. Ini bukan surat dari calang-calang orang, surat cinta ini daripada Pencipta kita, Yang amat mengasihi kita. Surat cinta ini daripada Allah s.w.t buat kita. Buat yang mahu menjadi hamba-Nya sahaja.

Saya dapat bayangkan, jika saya dalam perjalanan menuju ke suatu tempat tanpa diberitahu bagaimana untuk pergi dan ke mana arah yang sepatutnya saya pergi. Tentu saya buntu sendiri. Namun jika ada yang kasihankan saya, tentu dia akan memberitahu dan menunjukkan jalan ke sana supaya saya tidak sesat lalu nantinya berputus asa sendiri.

Ya, itu manusia. Kerana kasihan dan rasa ambil berat, dia akan membantu menunjukkan jalan. Tapi bila Allah yang memiliki jiwa dan jasad kita, lebih-lebih lagilah Dia sayangkan kita. Kerana itu Dia tidak biarkan kita keseorangan, melalui kehidupan dunia bersendirian tanpa menunjukkan jalan menuju ke akhirat-Nya. Kerana tanda sayang-Nya itu, Dia berikan kita panduan yang terkandung dalam surat cinta-Nya (al-Quran).

Menjadi Pilihan


Sepatutnya kita perlu merasa bertuah kerana dipilih oleh Allah untuk dipimpin. Saya teringat satu taujih dari seseorang, kalamnya cukup indah.

“ Bukanlah suatu yang pelik jika seorang bos disayangi oleh semua anak buahnya. Bukan suatu yang pelik jika seorang pemimpin disayangi rakyatnya. Dan bukan suatu yang pelik jika seorang wanita digilai ramai lelaki..

Tetapi suatu yang pelik jika seorang bos hanya menyukai seorang anak buahnya. Suatu yang pelik jika seorang pemimpin hanya menyukai seorang daripada rakyatnya. Dan suatu yang pelik apabila seorang wanita hanya menyintai seorang lelaki..

Dan suatu yang pelikkah bila Allah hanya mencintai beberapa orangdi kalangan hamba-Nya yang terpilih. Jadi, tidak mahukah kita menjadi orang yang terpilih di kalangan hamba-Nya itu?”

Subhanallah. Buta lagi mata hati sendiri.

Bagaimanakah agaknya bila hati mula menilai kelebihan dan kecintaan pada manusia lebih daripada cinta Allah. Memang begitu sukar menafsirkan cinta-Nya kerana hanya yang menginginkannya akan cuba mencari dan memahaminya. Walaupun dengan kesusahan dan kepayahan, dia akan mencari juga walau kadang-kadang tersungkur di pertengahan jalan. Ketika itu, Allah akan pimpinnya perlahan-lahan sehingga hati mula merasai bahawa itulah kasih dan cinta Allah. Dia yang menyembuhkan luka, Dia yang membungakan harapan dalam kehidupan dan menghilangkan keresahan akibat luputnya sesuatu dalam kehidupan dunia.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu” (surah al-Hadid: 20)

“Berlumba-lumbalah kamu kepada (mendapatkan) ampunan dari Tuhan-mu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasul-Nya. Itulah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar” (surah al-Hadidi:21)

Wallahu a’lam

@ wardah al-misk ~

Monday, January 11, 2010

Wanita Menawarkan Diri



Mata meliar mencari-cari tajuk berkaitan ‘gadaian’. Seusai kepenatan mendongak ke rak buku, kaki laju melangkah menuju kaunter untuk meminjam buku. Sedang deras melangkah, mata sempat menangkap sebuah buku berkulit pink keunguan. Seolah menarik saya untuk mendekatinya, tangan ini dengan senang memegang, menarik dan menyelitnya diantara buku-buku yang sedia saya sisipkan di tangan.

“Mausu’ah ahkam al-mar’ah muslimah” (Ensiklopedia Hukum Berkaitan Wanita Islam), Jilid 2.

Menarik tajuknya kerana saya sendiri seorang wanita. Hampir seminggu buku ini setia di meja belajar. Hanya sempat untuk dijeling. Kelapangan selepas solat maghrib lalu mendetikkan hati memujuk buku yang sudah merajuk. Adakah buku merajuk dengan saya?? Ya, mungkin. Sengaja merasa begitu. Buku juga boleh merajuk…

Saya menyelak helaian-helaian muqaddimah. Tertancap mata pada tajuk yang ringkas.

“Wanita menawarkan diri kepada lelaki untuk menjadi isteri”

Subhanallah.
Tiba-tiba teringat seseorang berkisah tentang perkara ini tidak berapa lama dulu.

Salahkah?? Beliau mengakui merasa terlalu malu bila mengingatkan. Saya terfikir semula dan bertanya sekali lagi. Salahkah?? Bukankah wanita juga punyai perasaan. Fitrah yang merupakan hadiah tanda kasih sayang Allah s.w.t buat hamba-hamba-Nya. Cuma terkadang malu mengatasi segalanya. Benar itu. Suatu yang tidak dapat disangkal. Dan terkadang pula, ego lelaki yang tidak mudah menerima kerana kononnya ‘keterbalikan’ ini merendahkan martabat wanita, lalu mencantas hasrat murni tersebut. Syukur andai ada hati-hati lelaki yang melihat dan menilai dari sudut pandangan akal, ilmu dan hikmah. Andai menerima tentu menggembirakan hati. Namun jika menolak pula, ia tidak mengguriskan hati. Senang hati merasai.

Diri kemudian bertanya sendiri, apakah pandangan lelaki jika wanita yang menawarkan diri menjadi isteri untuk lelaki yang dikira soleh?? Soalan yang berputar ligat setelah mendengar kisah beberapa teman.


Saya tersenyum senang membaca tulisan Dr. Nasywah al-Ulwani ini. Bijak beliau mengulas perkara yang melibatkan fitrah dan perasaan wanita. Saya nukilkan sedikit apa yang beliau tuliskan di sini.

Menurutnya, terdapat sebuah hadith riwayat Anas r.hu, beliau menceritakan bahawa suatu hari telah datang seorang wanita kepada Rasulullah s.a.w menawarkan dirinya. Wanita itu berkata: ( Wahai Rasulullah, adakah kamu berhajat kepadaku?). Lalu anak perempuan Anas pun menyampuk ketika Anas sedang menceritakan hadith ini : (Sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya). Lalu dijawab oleh Anas r.a: (Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik daripadamu kerana dia mencintai Nabi s.a.w dan menawar dirinya demi kebaikan). (Sahih Bukhari, kitab nikah, hadith no. 4828).


Sepertimana dikira sunnah perbuatan seorang wanita menawarkan diri kepada lelaki soleh untuk kebaikan, menawarkan anak perempuan atau saudara perempuan sendiri kepada seseorang yang baik pekertinya juga dianggap sunnah. Sebagaimana Saidina Umar r.hu yang pernah menawarkan Hafsah (anaknya) untuk dikahwinkan dengan dua orang sahabatnya iaitu Abu Bakar as-siddiq dan Uthman r.huma.

Ibn Hajar berkata: Hadith tersebut menunjukkan pengharusan menawarkan diri kepada seorang lelaki yang dikenalinya dan disenanginya. Dan lelaki mempunyai pilihan sama ada menerima ataupun menolak. Tetapi, lelaki tersebut sebaiknya janganlah memberitahu secara berterus-terang jika dia menolak, bahkan cukup hanya diam kerana perbuatan diam itu lebih halus untuk mengalihkan pandangan wanita serta lebih beradab daripada menolak dengan kata-kata. Dan perbuatan ini bukanlah sesuatu yang mengaibkan bahkan ia merupakan tanda kelebihan yang ada pada wanita kerana perbuatan menawarkan dirinya adalah untuk lelaki yang soleh dan dia kenali serta senangi disebabkan kelebihannya (lelaki tersebut), ilmunya dan kemuliannya. Adapun jika kerana tujuan keduniaan maka perbuatan inilah yang dipandang buruk. (Syarah Sahih Bukhari, 8/44)

Dan asas kepada perbuatan menawarkan diri adalah hanya dengan tujuan menginginkan kebaikan. Ibn A’bidin mengatakan: Wanita hendaklah memilih suami yang punyai agama, baik akhlaknya, dan janganlah mengahwini lelaki fasik.



Subhanallah..
Bungkamkanlah rasa ‘junun’ bagi yang pernah menawarkan diri untuk lelaki yang dikenali soleh serta baik pekertinya kerana Islam tiada pernah memandang anda begitu. Percayalah, Islam itu indah. Ia tidakkan sekali-kali mencerca dan merendahkan suatu perbuatan yang menginginkan kebaikan.

Pandanglah dengan ilmu dan akal serta hikmah. Sungguh diri mengerti, malu wanita mengatasi segala-galanya kerana malu itu sebahagian emosi yang kuat bagi wanita. Bukankah dengan emosi itu wanita mampu menjadi wanita yang berjiwa kuat? Menjadi ibu yang hebat? Menjadi isteri yang tabah? Lihatlah teladan Rasulullah s.a.w dan para sahabiyyat.

Sungguh, bila mengenangkan semula kata-kata Anas r.hu hati ini menjadi begitu terharu. Pandangan Anas r.hu terhadap wanita tersebut cukup membuatkan diri merasai mulia benar wanita itu. Menawar diri untuk yang dirindu. Buat insan yang agung, bukan semua punyai peluang bertemu.

Indahnya jika diri kita semua boleh mencintai Baginda Sallallahu a’laihi wa sallam sebegitu . Namun, syukur kerana diri masih berpeluang untuk menjadi ikhwan yang Baginda Sallallahu a’laihi wa sallam rindui dan kasihi. Menyimpul harap yang berpanjangan agar diri menjadi salah seorang ikhwannya. Selawat dan salam buat Baginda Sallallahu a’laihi wa sallam..

Wallahu a’lam

“Haza min Fadli Rabbi”
wardah al-misk

Monday, January 4, 2010

Menangis di Atas Tulisan


Dia menangis lagi di atas tulisannya. Mata yang membaca turut merasai. Hati sesaat bertukar menjadi hiba. Sekilas teringat bahawa diri belum sempat lagi bertemu dengannya.

“Maaf adik, belum sempat bertemu. Jangan bungkam di hati masalah tu.”

“ Takpe kak, akak sudi reply pun saya dah bersyukur”.

Entah kenapa saya rasakan beban yang dia lalui begitu besar. Sementelah dia seorang wanita, hati diuji seseorang. Mungkin pertama kali.

Ya, Alhamdulillah hatinya mengaku akhirnya tentang hikmah dan pengajaran. Hakikatnya apa yang kita mahukan, kadang-kadang tidak sama dengan apa yang Allah mahukan. Apa yang Allah mahukan adalah yang terbaik untuk kita. Tetapi apa yang kita mahukan, tidak semestinya terbaik untuk kita.

Saya titipkan untuknya pujukan Allah melalui firman-Nya agar hati dapat melihat ujian dengan pandangan hati, supaya emosi dapat berjalan seiring dengannya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:



“Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku nescaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan
bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku. Hai
Orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu,
sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar”. (al-Baqarah: 152-156)

Subhanallah.. Ingatlah Allah selalu yang terlalu dekat dengan kita. Janganlah rasa diri keseorangan. Apabila diuji, bersyukurlah kerana Allah mahu kembali mengambil hati kita, mengambil diri kita dari dunia. Kerana itu solat dan sabar itu jalan-Nya. Jalan yang terlalu tinggi mujahadahnya. Bukankah sukar untuk khusyuk dalam solat ketika kesedihan melanda, ketika kesakitan menerpa dan ketika kesusahan berselimut kehidupan? Kerana kesusahan-kesusahan inilah yang akan membuahkan kesabaran, dan kesabaran tersebut merupakan darjat yang sangat tinggi.



“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan,
kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”. (al-Baqarah: 155-157)

Ya, Allah sudah memberitahu kita bahawa setiap kita akan diberi ujian berupa ‘sedikit’ ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan sebagainya. Jika kita rasakan ujian kita besar, ingatlah ada yang lebih berat lagi ujiannya. Kita hanya lalui ‘sedikit’ sahaja. Bukankah ini merupakan nikmat dan bukti kasih sayang Allah. Allah mahu berikan rahmat dan petunjuknya buat hamba-hambanya yang diuji.

Tidak tergambar dalam hati sendiri betapa mendalamnya kasih Allah s.w.t. Apabila kita bebas dari masalah, selalu sahaja lupa mengingat Allah. Lupa bersyukur dengan nikmat-Nya. Selalu jauh dari-Nya. Ya, kita berubah menjadi seorang yang lupa diri.

Kerana itu, Allah berikan kita sebuah ujian untuk kita merasai nikmatNya, kembali mengadu kepada Allah. Merasai manisnya meminta dan mengharap hanya kepada Allah. Di bawah teduhan rahmatnya, saya meminta Allah tenangkan hati sesiapa yang resah, membantu saya meredakan hati sesiapa yang mahu saya menjadi pendengar hati dengan bantuan dan pujukan kalam Allah.

“ Sudah tenang sedikit, saya bersyukur sebab perkara yang tidak baik luput dari hidup saya. Cuma saya sedih sebab saya nakkan benda yang baik.”

“kebaikan perlu dicari. InsyaAllah akan dating nantinya. Kuatkan semangat.”

Hanya itu yang terakhir. Mungkin diam memujuk hati sendiri. Semoga dia tenang.

__________

Nota hati:

“ Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik hati kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia”~ Nota Hati ustaz Pahrol Mohd Juoi


Ya Muqollibal Qulub, Thabbit Qulubana ‘ala Deenik..
Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati manusia, tetapkanlah (teguhkanlah) hati kami dalam agama-Mu.

Wallahu a’lam
wardah al-misk


Thursday, December 31, 2009

Mencari

Hati terus bertanya, kenapa dan mengapa?
Sungguh dan teramat mencari jawapan
Ke sana ke sini sudah kutanyakan
Pada dia, pada mereka
Namun semua kelu tidak menjawab

Ke satu-satu tempat aku berkelana
Mengembara mencari jawapan
Gerak kaki sudah terpisah dengan hala tujuan
Gerak nadi sudah berpisah dengan perasaan
Kerana aku tercari-cari di mana lagi perlu aku temui

Lantas aku bertanya pada diri sendiri
Apa yang menggerakkan kakiku
Mengapa tergetus rasa hatiku
Rupanya aku sedang mencari ketenangan
Yang tersimpan dalam dan teramat sekali
Dan jawapannya ada dalam hati sendiri

almisk

Saturday, December 26, 2009

Suara Hati : Pendengar Hati


Sugul benar bunyi bicaranya.

“ Akak, tolong doakan saya tenang dan Allah kuatkan hati ni dengan segala ujian ye...”

Tidak tahu apa yang membungkam di jiwanya. Hanya ayat ini yang terlakar di atas skrin telefon bimbit. Kecamuk hatinya, gusar hati saya juga. Entah apa agaknya yang difikirkan adik ini. Berusaha saya meredakan hatinya melalui luahan di hujung jari. Semoga...

Sementelah saya sendiri sebenarnya bukanlah kuat mana, ditimpa ujian bukan sekali dua. Bertimpa-timpa datang. Malah setelah kita lepas dengan satu ujian, semakin datang lagi ujian yang lain.

Itulah jalan kehidupan. Jalan kehiupan yang perlu kita lalui. Bukan sehari, bukan dua hari. Tapi tidak tahu berapa lama.

Di dalam kehidupan ini tentunya akan datang masanya kita suka, tiba masa lain akan datang duka. Bahagia juga begitu. Terkadang diselang-selikan dengan kepedihan dan kesedihan. Orang kata, yang manis janganlah terus ditelan, yang pahit juga jangan terus dibuang. Bersederhana sahaja.

Mudahkah mahu rasa sederhana? Bersederhana dalam menyukai seseorang. Jangan terlalu memuji dan jangan terlalu membenci. Jika dipuji berlebihan, kelak bencinya teramat. Lalu yang pernah menjadi orang yang dibenci pula dipuji. Yang pernah disayangi pula dibenci.

MasyaAllah. Sebab mencari yang sederhana itu susah, maka dengannya kita perlukan mujahadah. Menguatkan benteng hati dari anasir-anasir nafsu yang selalu cuba memporak-perandakan hati.

Aduhai hati.. terkadang terlalu mudah..

Sebab itu tidak hairan jika ada yang mengadu rasa hati. Apa-apa sahaja jenis rasa, asalkan terluah. Membungkamnya terasa beban sekali. Menjadi pendengar, andai hati itu ikhlas, maka nasihatlah yang ditutur. Namun jika beban menjadi punca, jadilah dia pendengar yang semakin sakit hati dan jiwanya.

Di sinilah terletaknya persefahaman. Bagaimana seorang teman kepada teman yang lain. Nilainya.... Allahu akbar, tidak dapat digambarkan perasaan apabila menjadi tempat luahan rasa, juga apabila rasa hati didengar lalu mendapat kata nasihat..

Begitulah nikmatnya Allah ciptakan manusia agar saling ta’awun, tafahum dan takaful. Hakikat satu sahaja yang manusia tiak boleh nafikan bahawa, kita tidak boleh hidup seorang diri. Kita perlukan orang lain dan orang lain perlukan kita.

Semoga kita menjadi orang yang bermanfaat kepada diri sendiri dan orang lain. insyaAllah...

Al-misk


Thursday, December 24, 2009

Dari "Nota Hati Seorang Lelaki"


Saya tidak mahu melukainya
Saya tidak mahu menyisihkannya
Saya tidak mahu terbeban dengannya
Saya tidak mahu mengguriskannya
Saya berharap saya akan dapat menyenangkannya
Saya berharap dapat menenangkannya
Saya berharap berharap dan terus berharap
Walau saya tak pasti
Adakah saya boleh menjadi sebaiknya
Yang selalu menggembirakannya
Yang selalu membahagiakannya
Walau sedikit cuma
Walau sebentar cuma

Tidak tahu dan tidak tahu
Itu jawapan berulang kali berlalu di hati
Singgah menanti jawapan lagi
Dan pastinya
Sebanyak manapun saya cuba membalas
Ia pasti takkan sebanding
Tulus pengorbanan kasih seorang ayah...


~Nota hati seorang lelaki, sebuah bingkisan yang mengukir suatu makna di hati saya.. Paling tidakpun, saya cuba mengerti apa kata hati seorang ayah~


Ya Allah, kasihilah ibu bapaku sepertimana mereka mengasihiku sejak dari kecilku...Amin
@al-misk

Wednesday, December 23, 2009

Hanya Muhasabah

Mengapa jika diri suka mendengar kalam yang indah
Diri pula yang menghambur kata-kata nista

Mengapa jika diri sukakan keindahan akhlak
Lantas diri sendiri berperangai buruk

Mengapa jika diri tidak mahu disakiti
Diri sendiri pula sesuka hati menyakiti

Mengapa jika diri sukakan kebaikan
Lantas keburukan pula yang kita pilih

Mengapa jika hati tenang dengan kemaafan
Lalu sukar benar memaafi

Mengapa..Mengapa dan Mengapa
Jawapan ada dalam diri sendiri
Tanya dan jawablah semurni hati
lalu nanti jangan menyalahkan yang lain
Jika orang lain tidak memenuhi citarasa hati sendiri...

'Hakikat hamba tunduk lemah pada Rabbnya'

al-misk

Saturday, December 19, 2009

Perkongsian: Pesanan

Sahabat-sahabat yang dilindungi Allah s.w.t, saya ingin berkongsi sebuah pesanan yang diberikan oleh tetamu dari Madinah di dalam rancangan ‘usrah’ di radio IKIM. Rancangan usrah ini disiarkan setiap hari Rabu, saya kurang pasti bermula jam berapa, mungkin sekitar 6.15 atau 6.30. perjalanan usrah seperti yang kita pernah jalani, dan ia seperti bukan sebuah rancangan. Dan minggu ini, saya berkesempatan lagi untuk mengikutinya. Agak terlambat mendengar, namun saya sempat menangkap buah nasihat syeikh Mahmud yang dijemput dari Madinah. Saya naqalkan kalam beliau di sini, semoga dapat berkongsi buah nasihat beliau bersama semua.

Syeikh Mahmud berpesan,

Allah minta kita jadi hamba-Nya, kalau kita ini jadi hamba-Nya, maka Dia akan jadi Tuhan kita. Tapi kalau kita tak mahu jadi hamba Dia, Dia pun tak mahu jadi Tuhan kita.

Apa erti Tuhan?
Ertinya Dia Yang Menjaga kita, Dia Yang Memberi rezeki kepada kita, Yang Menolong kita, Yang Memberi ruh kepada kita, Yang Memberi taufiq kepada kita, Yang Memuliakan kita, Yang akan Memberi pada kita segala-galanya. Jadi kewajipan kita adalah untuk mengiktiraf diri kita sebagai hamba-Nya.

Sebab itulah, ketika Allah mahu memuliakan junjungan besar kita nabi Muhammad Sallallahu a’laihi wa sallam, lalu Allah membawa Baginda isra’ dan mi’raj, Allah berfirman padanya:

“Maha suci Tuhan yang telah mengisra’kan hamba-Nya”

Allah tak kata Muhammad aku, Allah tak kata Rasul aku. Kenapa? Kerana Allah mahu memberi isyarat kepada kita:
“Kalau engkau pun mahu isra’ dan mi’raj bersama junjungan Nabi Sallallahu a’laihi wa sallam, dan jalannya terbuka kepadamu wahai ummat, engkau kena jadi hamba.” Kerna perjalanan ini tidak akan dapat ditempuh, rihlah perjalanan isra’ dan mi’raj itu, tidak akan ditempuh melainkan oleh seorang yang menjadi hambaNya. Kalau betul-betul dia hamba, dia akan diisra’kan dan dimi’rajkan.

Saya tak kata isra’ dengan jasad kita, saya katakan dengan ruh (jiwa kita). Maknanya, bila seseorang itu solat, dia telah diisra’ dan dimi’rajkan.

Solat sepertimana kata Saidina Umar bin Abdul Aziz,
“Jika engkau suka untuk mendengar Allah berbicara denganmu, bacalah al-Quran. Dan jika engkau suka untuk berbicara dengan Allah, solatlah kamu”.


Pesanan terakhir yang saya ingin pesankan untuk diri sendiri dan para pendengar sekalian, supaya kita tergolong dalam golongan yang selamat untuk kita memperbanyakkan dan berdoa kepada Allah menjadikan kita di kalangan orang yang banyak mengucapkan selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi kita Muhammad Sallallahu a’laihi wa sallam.

Tuan puan sekalian,
Cubalah amalkan selawat ke atas junjungan Rasulullah saw, lihatlah sendiri nanti apa yang berlaku dan apa yang datang padamu dari segala kebaikan dan keberkatannya.

Saya memohon kepada semua, janganlah kita memutuskan hubungan dengan pemimpin teragung kita junjungan besar nabi Muhammad Sallallahu a’laihi wa sallam, kerana nama Baginda adalah Pesuruh Allah, nama baginda adalah Kekasih Allah.

Ketika baginda diisra’ dan dimi’rajkan, dan ketika baginda bertemu dengan Tuhan kita, baginda berkata:
“Wahai Tuhan, aku ada soalan. Nabi Musa berbicara dengan-Mu, nabi Isa ruh-Mu, Ibrahim teman rapat-Mu, aku siapa Tuhan?”.
Allah berfirman:
“Wahai Muhammad, Engkau kekasihKu, dan kekasih adalah di atas mereka semua”.

______________________

Itulah sebahagian yang sempat saya kongsikan. Subahanallah..Di kalam terakhir bicara beliau, ada dua perkara yang perlu kita bertanya kepada diri sendiri:

“Mahukah aku mengiktiraf diri sendiri menjadi hamba Allah? Mahukah aku sentiasa menghubungkan diriku dengan kekasih Allah?”.

Jika kita mahu jadi hamba Allah, Allah pun akan menjadi Tuhan kita. Jika kita selalu menghubungkan diri kita dengan Rasulullah Sallallahu a’laihi wa sallam, maka hidup kita akan dilimpahi dengan kebaikan dan keberkatannya. InsyaAllah...

“Ya Allah, jadikanlah kami hamba-Mu yang bersyukur dan hanya taat hanya kepada-Mu”. Amin ya Rabbal a’lamin..

Wallahu a’lam.

@ al-misk

Tuesday, December 15, 2009

Belajar Dari "Sang Murabbi"

Kematian hati
Banyak orang tertawa sedang maut mengintainya
Banyak org yang cepat datang ke sof solat
Tapi ternyata cepat pula dia pergi
Dingin tanpa penghayatan

Banyak orang yang sedikit beramal
Tapi disebut-sebutnya banyak sekali

Merendahlah
Engkau kan seperti bintang gemintang
Berkilau dipandang orang di atas riak air
Dan sang bintangpun jauh tinggi

Janganlah seperti asap
Yang mengangkat diri tinggi di langit
Padahal dirinya rendah hina ~ Ustaz Rahmat (Filem Sang Murabbi)

Mutiara
Sungguh, pertama kali saya menonton filem Sang Murabbi, saya sukakan pengisiannya. Pengisian dan mutiara nasihat dari Ustaz Rahmat yang saya kira cukup memberikan semangat buat aktivis dakwah.

Monolog hati Ustaz Rahmat di atas ini saya tuliskan kembali. Tersentuh saya membacanya. Adakah saya seperti bintang ataupun saya seperti asap? Adakah saya di kalangan orang yang masih tertawa dan lupa akan kematian? Adakah saya di kalangan orang yang dingin penghayatan solatnya?
Nauzhubillahi min zalik.. Ya muqollibal qulub thabbit qalbi a’la deenik..

Di mana satu tempat kita, itulah yang seharusnya kita muhasabah kembali.



Dengan Hikmah
Saya pernah mendengar, menasihati ahli keluarga lebih sukar berbanding rakan sendiri. Di dalam filem ini, ustaz Rahmat juga menghadapi situasi yang sama, punyai seorang adik yang dirisaukan oleh ibunya. Adik ustaz Rahmat bergelut dan memukul teman-teman sabungan ayamnya. Lalu kata-kata inilah yang keluar darinya,

“ Luka tamparan kau semalam mungkin esok boleh hilang, tapi luka di hati tidak boleh hilang. Dia kata engkau sudah minta maaf, mungkin di depan dia maafkan kerana dia takut. Dua orang yang kau tampar semalam akan sakit hati selama-lamanya. Itu yang diminta amalan kau di akhirat. Ya, kalau amalanmu banyak”

“Ini kandang ayammu, jangan ayam sahaja yang kau kandangi, kandangi juga nafsumu”.

Luka luar boleh sembuh, tapi luka di hati susah untuk sembuh. Atau juga ia akan membekas sehingga bila-bila. Sebab itu kita perlu menjaga kata-kata. Orang kata, lidah lebih tajam dari mata pedang. Disebabkan lidah itu lebih tajam dan kuatnya orang merasai sakit hati, kita perlu menjaga kata-kata dari kata nista dan tohmahan keji. Begitu juga jangan terlalu bermudah-mudah menyakiti hati manusia lain kerana luka yang digilis oleh mata lidah terlalu sukar untuk dibuang parutnya. Subhanallah, semoga kita menjadi orang yang sabar dan saling memaafi.

Ingati dua, lupakan dua
“ Ada dua hal yang harus kau ingat; kebaikan orang lain kepadamu dan keburukan kamu kepada orang lain. Dan dua hal yang harus kau lupakan; kebaikanmu kepada orang lain dan keburukan orang lain kepadamu”.

Begitulah hikmahnya nasihat seorang abang buat adiknya. Kesabaran dan kelembutan dalam memberi nasihat, jangan sehingga boleh memutuskan silaturrahim antara ahli keluarga. Sungguh kita perlu belajar lagi.

Antara tanggungjawab dan kesenangan
“Sakit memang sakit. Siapa yang tidak sakit bila perlu berkongsi dengan orang lain. Saya yakin setiap perempuan pasti ada yang dia rasa”.

“ Ummahat tidak mampu jika tiada bantuan dari para ayah. Jika abi berdakwah dari pagi sampai ke pagi insyaAllah, para ummi redha. Tapi bukankah syeikh al-Banna juga menyiapkan makanan pagi untuk anak-anaknya, waktu dan memperhatikan keperluan anak-anaknya. Bukankah harusnya seperti itu. Sekarang bagaimana para abi hari ini?”.

Saya dua kali memikirkan dialog ini, dialog seorang ummi yang datang ke rumah bertemu isteri dan ustaz Rahmat. Seusai dialog ini, Ustaz rahmat bermonolog:
“ Kalau hanya berdakwah kita memang boleh, tapi adakah kita boleh cinta kepada dakwah? Cinta itu perlukan pengorbanan waktu, tenaga dan harta. Allah telah menggiring kita pada keimanan dan dakwah itu adalah suatu kebahagiaan yang besar. Apakah perlu kita mengharap balasan yang lebih dari itu, apalagi bila berupa jabatan, kesenangan dan kemewahan."

Masya Allah.. Dakwah memang memerlukan pengorbanan. Pengorbanan diri sendiri dan ahlul bait. Kesefahaman dalam menggalas tanggungjawab bersama. Bagaimana pula jika dalam keadaan seseorang diuji dengan kesemua situasi serentak.

Seorang ummi bertanya, “ Bagaimana keadaan isteri yang diuji dalam keadaan satu sisi dia perlu berkorban dan satu sisi pula dia perlu bersabar”.

“Kita diuji Allah dengan hal yang sama. Jika kita belum terlepas dari ujian itu, Allah akan uji lagi. Bagaimana kita perlu selesaikan perkara ini?
Ya, kita perlukan kesabaran, pengorbanan dan keikhlasan”.

Analogi monyet
“Ada seekor monyet naik ke puncak pokok kelapa. Lalu datang 3jenis angin yang kencang. Semakin kencang semakin kuat tangan monyet tersebut mencengkam.
Lalu datang satu jenis angin yang sepoi-sepoi datang menyelinap ubun-ubun, monyetpun menggeliat dan mata mengantuk kemudian jatuh dari pokok”.

Ibaratnya begitulah lapangan dakwah. Jika kita diuji dengan kesempitan, kesedihan dan kemiskinan, maka kita akan jadi kuat. Tapi jika kita diuji dengan kesenangan, dalam sekelip mata jatuh kita”.

Subhanallah.. analogi yang saya kira cukup untuk kita teladani dalam setiap jejak kehidupan kita. Kehidupan yang perjalanannya sangat panjang. Kesempitan, kesedihan dan kemiskinan menjadikan kita kuat. Alhamdulillah.

______________

Jika dikumpulkan, banyak benar yang diri sendiri terlepas pandang. Filem sang Murabbi cukup buat diri sendiri belajar bahawa masih kurang sumbangan diri sendiri terhadap Islam.

Banyak perkara yang menggugurkan kita dari jalan ini. Kesenanganlah yang paling mudah menjatuhkan kita seperti analogi monyet tadi. Jika kita berada di lapangan dakwah, adakah kita sanggup mencintai dakwah itu. Jika kita menjadi murabbi kepada anak-anak, adakah kita boleh menjadi murabbi yang sanggup berkorban dan bersabar dengan segala kerenah dan ujian yang diberikan Allah s.w.t buat kita. Subhanallah, diri sendiri lemah, kerana itu kita perlu sentiasa memohon kekuatan dari Allah s.w.t dalam setiap langkahan kaki kita.

Wallahu a’lam

almisk IIUM

Monday, December 14, 2009

Gagahkan Diri


Sudah beberapa hari tidak menjenguk di sini, hanya lalu meninggal jejak sahaja sejak seminggu lalu. Sudah pulang ke uia lewat sehari dari biasa. Seusai sampai, terasa penat letih dan semuanya berbaur menjadi satu. Semester baru dan terakhir insyaAllah, mawad yang perlu diambil sedikit tetapi kepenatannya yang sama. Itu sahaja yang mampu saya katakan.

Beginilah apabila nikmat sihat ditarik. Gagahkan juga diri untuk melakukan kerja-kerja biasa. Nikmat yang sehari-harian, yang mungkin saya sendiri lupa mahu bersyukur dan menghargainya. Allah.. ingatkan diriku ini.

Sukar untuk melakar dalam keadaan tiada punya apa-apa di fikiran ini. Taraddud yang bermacam-macam jenis datang menyerbu. Entah yang mana satu perlu diutamakan. Hanya memohon inayah dan petunjuk Allah s.w.t hendaknya.

Seorang teman mengadu merasa sedih. Atas sebab apa saya tidak tahu. Teman menilai diri yang kerdil ini seorang yang kuat semangat. Entah.. saya sendiri gerutu. Kuat semangat bagaimana? Adakah kerana saya nampak biasa dan tidak bersedih-sedih. Sungguh saya juga manusia biasa, bersedih terkadang. Namun, janganlah jadikan kesedihan sebagai kunci untuk menutup pintu kebahagiaan.

Jika berseorangan itu mampu meraih kembali ketenangan rasa, bersendirilah. Daripada dikelilingi ramainya orang yang sibuk dengan ‘akhbar berjalan’ serta gosip-gosip yang tiada faedah.

Ya, kita harus belajar berjalan di atas kaki sendiri. Hingga kita yakin bahawa kita tidak berseorangan. Ingatkah satu kisah yang tersebut dalam firman-Nya yang bermaksud:


Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah
menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita." Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana (at-Taubah:40)

“Sesungguhnya Allah berserta kita..”

Saya amat suka kalimah ini. Ia boleh melunturkan rasa putus asa apabila kita rasa berseorangan. Berkali-kali diulang ia semakin meredakan kesedihan sendiri. Ingatlah selalu ayat ini apabila ditimpa kesedihan. Allah masih ada bersama kita.

Ketaatan dan kemaksiatan
Suatu pagi, saya mendengar kulliyyah tafsir ustaz Zahazan di radio IKIM. Saya menancap satu kata-kata yang saya kira begitu terkesan untuk diri saya sendiri yang selalu mengadu penat.

“ Ketaatan itu memang payah, tetapi kepayahan itu hanya sekejap sahaja. Tapi nantinya di akhirat ganjarannya lebih hebat dan kekal. Adapun, kemaksiatan pula seronok dilakukan. Tetapi keseronokan itupun hanya seketika, nanti di akhirat pembalasannya lebih dahsyat”.

Menyorot kembali hari-hari yang berlalu, sudah terlalu banyak lubang yang tidak terisi dengan kebaikan. Maksiat yang sentiasa memburu terlalu mudah diikuti. Saya teringat kata-kata ustaz Pahrol mengatakan bahawa:

“ Nafsu adalah hamba yang baik, tetapi tuan yang sangat buruk”.

Saya bertanya diri sendiri, adakah nafsu saya menjadi tuan atau adakah nafsu saya menjadi hamba kepada diri saya? Sebolehnya, setiap masa kita sendiri perlu bertanya dan menjawab. Menjawab dengan ketaatan yang amat payah untuk dilaksanakan.

Sukar bukan untuk bangun solat subuh sedang orang lain masih berdengkur, berselimut dan melayan tidur dan mimpi yang indah-indah. Kita pula perlu bangun dalam sejuk pagi menuju ke tempat wudu’, membersihkan diri dan mengambil wudhu’ lalu melaksanakan solat fardhu subuh dua raka’at. Memang payah... Namun ingatlah, kepayahan itu hanya seketika. Dunia ini bukanlah lama mana. Janganlah mengira bahawa sehari di sini sama dengan sehari di sana. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:


“Sesungguhnya sehari disisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut
perhitunganmu” (surah al-Hajj: 47)

Begitu pula dengan kemaksiatan. Seronok melakukan kemaksiatan, tetapi keseronokan itu hanya sekejap. Sejam dua jam. Selepas itu hilang. Tetapi pembalasan di akhirat nanti menanti dalam kiraan hari yang lebih lama. Allahu a’lam. Segala yang gha’ib kita imani bersandarkan kepada nas al-Quran dan as-sunnah as-sohihah, dengan keimanan bahawa semua ada dalam ilmu Allah.

Semoga dapat memuhasabah diri sendiri setiap hari. Agar tidak selalu mengeluh kepenatan dalam ketaatan serta bermujahadah dalam menahan diri dari melakukan kemaksiatan.

"Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau; kerana sesungguhnya Engkau-lah Maha Pemberi (kurnia)." (ali Imran:8)

"Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir."(ali Imran: 147)

Wallahu a’lam
almisk iium