Pages

Friday, December 4, 2009

Apa Yang Dinilai

Gambar hiasan

Saya mengetap bibir. Bukan geram, bukan marah.

Saya melipat dan menyelitkan terus kertas ‘midterm’ yang baru saya perolehi ke dalam helaian-helaian buku berkulit hijau. Hanya tersenyum dan menggeleng sahaja.

Seusai habis menjawab kertas peperiksaan akhir semester, kami pergi ke meja Ustaz untuk mengambil kertas midterm kami. Semua seperti muram seusai melihat markah di kertas jawapan ‘midterm’. Entah kenapa?

‘Tak mengapalah. Dah berusaha sedaya upaya’.

Itu cabaran hidup di alam universiti. Bukan hanya segulung ijazah yang dikejar, tetapi yang penting ilmu. Saya teringat sebuah kata hikmah:

“Ilmu itu bukan apa yang kamu hafal tetapi apa yang bermanfaat”.


Antara usaha dan keputusan
Teringat suatu malam, saya tidur bertemankan siaran IKIM. Saya tidak pasti adakah itu merupakan malam ketika saya berperang dengan ‘ulangkaji’ pelajaran untuk peperiksaan akhir keesokan harinya. Yang pasti saya dapat mengutip satu buah bicara yang saya simpan sampai sekarang.

“ Apa yang kamu usahakan itulah yang Allah nilai. Adapun keputusan peperiksaan nanti adalah rezeki”.

Saya tidak terlepas daripada menghadapi keadaan kritikal sepertimana sebahagian teman-teman yang sudah di tahun akhir. Terlalu kuat sifat ‘berat’ membaca dan menelaah. Tidak tahu kenapa sehingga sampai satu saat saya berputus asa untuk mengulangkaji. Kerap mengaju dengan teman-teman yang sudah konvo. Rupanya memang begitu keadaannya.

Alhamdulillah Allah bantu untuk memulihkan kekuatan. Seusai saya mendengar kata-kata panel jemputan di siaran IKIM tersebut, saya tersenyum sendiri. Allahu Akbar, saya sudah nampak apa yang kabur selama ini.


Tersilap Format
Memang sungguh penat apabila perlu mengulangkaji pelajaran. Pernah suatu ketika saya mengulangkaji matapelajaran di dalam bahasa Inggeris. Sungguh-sungguh saya belajar kerana saya tahu saya amat lemah dalam perkara ini. Alhamdulillah, saya faham dan ingat formulanya.

‘ Alamak.. saya tersilap format. Langsung tidak teringat mahu meletakkan PO’.

Saya menyesal sendiri apabila menyedari keterlupaan saya.

'PO' adalah perkataan yang perlu diletakkan di hadapan setiap idea sebelum meneruskan penghasilan idea. Dalam matapelajaran ‘cretive thinking and problem solving’, kami diajar beberapa formula untuk menjadi seorang yang kreatif. Orang yang tidak kreatif juga boleh menghasilkan idea yang bernas-bernas. Itu kata Dr Jamal Badi.

Bayangkan dalam senggang waktu peperiksaan akhir yang berbaki, saya langsung tidak teringat akan kesilapan tersebut, sedangkan sudah berkali-kali saya memeriksa kembali jawapan. Seusai habis peperiksaan, saya membelek nota dan saya amat terkejut. Bila difikir-fikirkan ‘carry mark’ saya amat sedikit, lantas terfikir sendiri ‘Boleh lulus ke?’

Tak mengapalah, sudah berusaha sedaya mungkin.

Alhamdulillah, lulus walaupun hanya cukup makan. Sekurang-kurangnya saya tidak perlu mengulang kembali. ‘Mungkin itu namanya rezeki.’ Saya berbisik dalam diri.



Mengutip hikmah
Kini sudah hampir menjejak ke permulaan semester akhir. Setiap pengalaman dalam berkali-kali ‘exam’ saya kutip sebagai cabaran untuk hidup mendatang. Imtihan dunia tidaklah sebesar imtihan besar di akhirat.

Dr Iman pernah menitipkan kepada kami,

‘ Jangan risau, imtihan ini hanya kecil. Imtihan yang sebenar-benarnya nanti di akhirat’. Sambil tersenyum beliau mengukir kata-kata semangat.

Alhamdulillah untuk semua hikmah ini. Saya mahu belajar tentang kehidupan lagi. Semoga diizinkan Allah..


al-misk UIAM


No comments:

Post a Comment