“ Saya minta maaf, saya tak terniat untuk cipta kesedihan ini, bila saya teringat, saya menangis sendiri. Saya berjanji tidak akan lakukannya lagi” .
Mengucap maaf dan memberi maaf adalah dua situasi yang berbeza. Tetapi ia membuktikan kerendahan hati dan hilangnya takabbur dalam diri setiap yang melaluinya. Apabila saya berhadapan dengan situasi sebegini, saya tidak tahu bagaimana untuk mengawal dan menghadapi semua ini. Berhadapan dengan seseorang yang mengaku salah di hadapan saya dengan sendiri. MasyaAllah..
Setelah dari itu, saya berfikir mengapa Allah s.w.t takdirkan untuk saya berhadapan dengan seseorang yang menyakitkan hati saya tanpa saya sedari dan mula meminta maaf dengan bersungguh-sungguh sehingga menyebabkan airmata saya mula bergenang. Melihat kesedihannya saya mula kasihankannya, apakah yang anda fikirkan? Apa yang perlu dan patut saya lakukan?
Sudah sepatutnya saya memujuknya dan mengatakan bahawa saya sudah melupakan apa yang pernah dilakukan terhadap saya demi untuk meredakan hatinya yang berkecamuk dengan perasaan serba-salah yang pasti takkan dilupakannya oleh dirinya sampai bila-bila. Ya, saya memujuk hatinya.
Tetapi siapa pula yang mahu memujuk hati saya? Siapa pula yang mahu mententeramkan hati saya yang mula sedih dengan dugaan-dugaan yang datang.
Apabila saya berhadapan dengan keadaan ini, saya belajar sesuatu yang tersangat berharga, iaitu erti “MEMAAFKAN”. Saya teringat Dr Fadzillah Kamsah selalu mengatakan “sebelum tidur maafkan orang”.
Ya, saya belajar untuk menjadi seorang PEMAAF. Saya teringat bahawa saya hanya berhadapan dengan seorang insan yang mengaku melakukan kesalahan dan meminta maaf pada saya, sedangkan Allah s.w.t itu terlalu ramai yang menyakiti-Nya lalu ada dikalangan hamba-Nya yang memohon ampun lalu diampunkannya.
Subhanallah
Adakah saya yang tiada apa-apa ini mahu menjadi orang yang terlalu ego dan merasa diri hebat dari Allah s.w.t (Wal’iyazubillah ) sehingga memanjang-manjangkan kesilapan-kesilapan orang lain. Astaghfirullahal Azhim..
Apabila hati saya kembali mengingati apa yang menyakitkan hati saya, dan syaitan mula mencucuk-cucuk hati agar membenci, jiwa saya akan mula mengatakan “maafkanlah dia”. Setelah itu saya dapat merasakan hati saya mula tenang. Ketenangan itu agaknya dari siapa ya? Siapakah yang memujuk hati saya? Siapakah yang sudi selalu bersama saya setiap kali suka dan duka?
Allah s.w.t berfirman:
“ Maka ingatlah kepada-Ku maka Aku akan ingat kepada-Mu. Bersyukurlah kepada-Ku dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku.” (al-Baqarah:151)
Subhanallah.. apabila saya ditimpa masalah bukankah saya akan mula mengingati Allah dan selalu berdoa agar dibukakan lorong-lorong penyelesaian. Hati mula memuhasabah kesilapan dan kelemahan diri sendiri. Semua itu akan menjadikan saya dekat dengan Allah s.w.t. Lihatlah dengan ujian yang sedikit Allah menjadikan kita dekat dengan-Nya. Lagi sekali saya ulangi, Allah s.w.t dekat dengan kita..
Alhamdulillah atas ujian-ujian yang datang.
Dan Allah s.w.t berfirman lagi:
“ Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan,
kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah mereka berkata Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali). Mereka itulah yang memperoleh ampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk”: (al-Baqarah: 155-157)
Subhanallah, tidakkah saya mahu digelar orang yang sabar pada pandangan Allah s.w.t? lalu dengan kesabaran itu dijanjikan pula rahmat dan keampunan dari Allah s.w.t.
Lagi sekali saya ulangi, rahmat dan keampunan dari Allah.. bukan dari raja, bukan dari pemimpin, tetapi dari Allah- DIAlah Raja atas segala Raja.. AllahuAkbar..
Ya Allah, adakah setelah mengetahui ini semua saya masih tidak mahu memaafkan orang lain? Adakah setelah mengetahui balasan orang yang bersabar saya masih berputus asa dari rahmat Allah? Adakah saya perlu terus menuding kesalahan kepada takdir? Saya berharap saya tidak menjadi salah satu dari golongan ini, bukan berharap sahaja tetapi saya tidak mahu termasuk dalam semua golongan ini.
Anda pula bagaimana? Saya pasti jiwa anda mahukan ganjaran yang terbaik, dan inilah janji yang Allah s.w.t paterikan buat menggembirakan hati orang yang sabar apabila ditimpa ujian dan musibah.
Semoga saya boleh terus memafkan orang lain, agar orang lain juga mudah memafkan kesalahan saya yang tidak saya sedari mahupun yang saya sengajakan. Semoga anda yang mengenali diri saya memaafkan kesilapan dan keterlanjuran kata-kata saya juga.
Mari sama-sama kita jadi PEMAAF untuk merebut tempat orang yang sabar, memeperolehi rahmat, keampunan dan menjadi orang yang dekat dengan Allah s.w.t. InsyaAllah..
© Laman asal : jalan-sehala.blogspot.com