Pages

Monday, September 7, 2009

MONOLOG 17 RAMADHAN: Ku Jejak Diri-Mu

“Cinta-Mu padaku
Tunjukkanlah jalan pulang
Lebarkan lembayung
rahmat-Mu
Dengan cahaya imanmu oh Tuhan..”

Bait-bait lagu tersebut menerbitkan sebuah perasaan sayu dan kagum di hati. Aku bertanya sendiri tentang apa yang aku cari selama ini? Cinta apa yang singgah di hati, dan bagaimana patut aku membalas cinta dari yang benar-benar memberi dan sudi menerima juga cintaku. Pastinya tidak ada yang benar-benar memberi selain daripada-Nya, Pencipta hatiku sendiri. Allahu Rabbi.

Seikhlas hati, aku tiada jawapan atas jawapan, kerana aku masih mencarinya. Sebuah keagungan cinta yang terlukis melalui biasan kenikmatan sepanjang kehidupanku di dunia ini selalu benar memalingkan aku dari cinta-Nya. Aku tidak mengikhlaskan cintaku kepada ilahi, sedangkan Dia selalu sahaja memberinya kepadaku.

Saatku jatuh, Dia memujukku dengan kalam suci-Nya.
Saatku bersedih, Dia menggembirakanku dengan janji-janji-Nya.
Saat ku rasa disakiti, Dia mengubati hatiku dengan sepenuh kasih-sayang dan kelembutan.

Adakah diri masih dangkal mengenali kasih sayang Allah s.w.t.

Allahu akbar.
Hari ini sudah menjejak 17Ramadhan, dan ia memperingatkan kepada hari turunnya al-Quran, sebuah hadiah teristimewa dari-Nya buat hamba-hamba-Nya yang beriman. Bertuah sungguh bagi yang punya nikmat iman. Sebuah nikmat yang terlalu membahagiakan diri apabila berada di bawah lembayung cahaya keimanan. Dan alhamdulillah aku adalah di antaranya.

Bahagiakah aku memperolehi hadiah teristimewa ini? Semoga aku menjadi orang yang selalu bersyukur atas nikmat Iman dan Islam. Amin...

Di fasa kedua yang hanya tinggal beberapa hari ini, berjayakah aku melepaskan diri dari penjara hati dan perasaan yang bercerakin bersama pelbagai andaian serta kerisauan, masih terasa berseliratnya nafsu dalam diri, dosa yang entah ke berapa kalinya aku lakukan sehingga sepatutnya aku sudah merasa terlalu malu kepada-Nya. Setelahpun aku percaya Dia sanggup memaafkanku dan memadam dosa-dosa silamku, perasaan malu itu memang sudah sepatutnya selalu menyelubungi.

Bagaimana setelah dimaafkan boleh kembali menyakiti-Nya dengan dosa-dosa yang sering diperbaharui. Ya Rabb, peliharalah segala tindakanku. Thabatkan hatiku dalam agama-Mu. Biar redho-Mu sahaja yang kucari. Andai aku terpaksa mengorbankan sebuah perasaan demi tidak memalingkan diriku darimu, aku pasti akan lakukan. Namun aku tidak kuat berjalan sendiri tanpa inayah dari-Mu ya Allah. Kurniakanku tiang seri agar dapatku bertapak teguh. Aku meminta lagi walau aku malu lagi. Namun diri-Mu amat menyukai sesiapa yang banyak meminta. Mahu sekali aku termasuk dari kalangan orang yang Engkau sukai. Istajibli ya Allah.

Ramadhan yang ke-17: aku masih mencari jejak cinta-Nya sedang dia selalu memberi cinta-Nya buatku, seorang hamba-Nya yang kerdil dan terlalu faqir kepada-Nya.

__________________

KEMBALILAH kepada Pencipta yang menciptakan sebuah ciptaan yang selalu menciptakan pelbagai ciptaan untuk mengingkari Pencipta ciptaan.



KUJEJAK DIRI-MU


Kujejak dirimu
Dalam kata tanpa suara
Dalam suara tanpa bahasa
Dalam bahasa tanpa bicara

Kujejak dirimu
Disebalik potret keagungan
Yang terlukis di biasan alam
Yang terpamer di deruan angin
Yang tercoret di pantulan tamsilan
Semuanya memaknakan keindahan

Kujejak dirimu
Dalam mencari erti kehambaan
Dalam mengerti makna ketulusan
Dalam memaknakan maksud kecintaan
Kerna dalam menjejaki dirimu
Aku tenggelam dalam kesesalan
Kejahilan dalam mengerti bicara cinta-Mu
Yang Kau terjemahkan melalui biasan ujian

Kujejak dirimu
Semakin itu aku menangis
Semakin itu aku menatap
Apakah punya ruang diri
Untuk terus mengejar cinta-Mu

Di akhir jejak ini
Kudapati kau sentiasa dekat
Dalam diri beriman
Jiwa Mukmin bernafas hamba

Bingkisan: al-misk uiam


Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment