Pages

Wednesday, August 29, 2012

Izinkan Hati Bahagia



Manusia itu tidak pernah hilang dari rasa berdosa, tak pernah terang dari salah. Dan setiap masa, sememangnya manusia berhajat kepada ampunan dan maghfirah Allah swt. 

Kita semua tidak pernah sunyi dari melakukan silap, maksiat dan kesalahan kepada Allah swt, Tuhan yang sepatutnya kita meletak cinta dan harap lebih daripada manusia. Saya juga seperti kalian, pernah melalui masa silam yang pasti mengganggu jiwa dan sesal dalam hidup sampai bila-bila. Hanya apabila saya teringat sebaris ayat yang Allah swt kirimkan untuk memujuk jiwa-jiwa yang hampir berputus harap kepada-Nya, jiwa sendiri seakan terbina harapan baru. Harapan moga masa mendatang akan dibuka dengan pengharapan baru, mengharapkan hidup kosong dari dosa dan salah kepada-Nya. 

Firman Allah swt 

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ 

Maksudnya: Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (surah az-Zumar:ayat 53)

Ayat ini mengingatkan kepada kita bahawa Allah swt mengampuni dosa-dosa hamba-Nya yang telah jauh dari-Nya, yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri lalu merasa lemah dan merasakan bahawa Allah tidak akan mengampunkan dosa-dosa mereka setelah itu. 




Inilah pujukan Allah swt. Mana ada makhluk di dunia ini sebaik Allah swt. Tika kita berbuat salah di depan Allah, malah pernah mengenepikan hukum dan cinta-Nya, kita letak cinta Allah di tempat ketiga dan ke empat, lalu kita memuja-muja dunia dan keinginan nafsu kita semata, tetapi Allah masih membuka ruang kemaafan selagi nyawa kita belum bertemu akhirnya. 

Dia-lah Allah, Tuhan kita yang penuh rasa cinta. Dan cinta itu apabila hamba-Nya membalasi maka Allah akan memerintahkan seluruh ahli yang berada di langit mencintai hamba-Nya itu. Inilah yang disebut seperti dalam sebuah hadith Riwayat Muslim: 

عن أبى هريرة قال قال رسول الله -صلى الله عليه وسلم- « إن الله إذا أحب عبدا دعا جبريل فقال إنى أحب فلانا فأحبه - قال - فيحبه جبريل ثم ينادى فى السماء فيقول إن الله يحب فلانا فأحبوه. فيحبه أهل السماء ».

~رواية مسلم


Maksudnya: Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu  alaihi wa sallam bersabda: Sesungguhnya apabila Allah menyintai seorang hamba,Dia memanggil Jibril lalu berkata: "Sesungguhnya aku menyintai si fulan maka cintailah dia..". Lalu Jibril pun menyintai hamba tersebut. Kemudian Jibril menyeru di langit: Sesungguhnya Allah menyintai si Fulan, maka cintailah dia". Lalu seluruh ahli langit menyintainya


Oleh itu, tika kita jatuh ke lembah yang hina, dan cahaya hidayah itu mula mengetuk jiwa kita, sambutlah ia kerana kita tidak tahu bila lagi ia akan menyapa kita. Mungkin sekali, mungkin beberapa kali dan setelah itu ia tidak lagi menyapa kita dan kita hilang rasa untuk mencarinya lagi. 

Dan apabila kita cuba untuk bangun dari masa silam yang penuh dengan karat jahiliyyah, ingatlah akan harapan-harapan yang Allah sudah berikan kepada kita. Sepertimana disebut di dalam hadith Qudsi, Daripada Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman:


يَا ابْنَ آدَمَ، إِنَّكَ مَا دَعَوْتَني وَرَجَوْتَنِي: غَفَرْتُ لَكَ عَلَى مَا كَانَ مِنكَ، وَلا أُبالِي، يَا ابْنَ آدمَ، لَوْ بَلَغَتْ ذُنُوبُكَ عَنَانَ السماءِ، ثُمَّ استَغْفَرتَني: غَ
فَرْتُ لَكَ، وَلا أُبَالِي، يَا ابْنَ آدَم إِنَّكَ لَوْ أَتَيْتَنِي بِقُرابِ الأَرْضِ خَطَايا، ثم لَقِيتَني لا تُشْرِكُ بِي شَيْئاً: لأَتَيْتُكَ بِقُرابِها مَغْفِرَةً




Maksudnya: “Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang telah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau minta ampun kepada-Ku nescaya Kuampuni. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku datang padamu dengan ampunan seluas bumi pula.” 




(Riwayat al-Tirmizi no: 3534 dan al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah). 



SubhanAllah.. Maha Baiknya Allah itu. Untuk kesempatan yang ada, sementara masih bersisa usia dan waktu. Marilah kembali kepada Allah. Kembali kepada fitrah jiwa kita yang sebenarnya sukakan kebaikan, ketaatan dan keampunan Allah swt. 

Allah swt tahu, manusia itu akan jatuh. Malah terjatuh di tempat yang sama berulang kali. Kerana itulah Allah memberi harapan untuk kita semua ini yang selalu berbuat dosa, untuk kembali kepada-Nya dengan sepenuh jiwa dan tunduk. 

Di akhirnya, izinkanlah hati kita untuk bahagia. Bahagia dengan merasai tenang di bawah lindungan rahmat dan keberkatan serta keampunan Tuhan. Kerana mana mungkin seseorang yang tidak bahagia mampu membahagiakan manusia lain, kerana hatinya sendiri kosong dari rasa cinta kepada Tuhan. 

No comments:

Post a Comment