Pages

Monday, September 3, 2012

Yang Lebih Baik



Alhamdulillah.. usai fasa menulis proposal, defend di peringkat department dan kuliyyah, menulis dan correction, fasa pembetulan bahasa, dan ketika ini sedang dalam fasa menghantar untuk 'thesis review binding' insyaAllah.

Apabila melalui semua fasa ini saya merasakan bahawa apa yang saya buat sesungguhnya bukanlah dari usaha saya sendiri. Tanpa pertolongan dan bantuan dari Allah yang Maha Pengasih, bagaimanalah saya yang tidak upaya apa-apa ini menulis, memahami dan menyusun ayat-ayat berbahasa arab yang belum boleh saya kuasai sepenuhnya.

Syukur kerana Allah permudahkan perjalanan menulis walaupun ternyata apabila melaluinya sendiri barulah kita rasa bahawa menulis sebuah penulisan ilmiah itu ternyata memerlukan juhud dan usaha yang tinggi.

Sahabat saya terkadang mengadu letih, putus asa kerana sukar untuk menulis thesis dalam bahasa arab. Sementelah dia seorang isteri, bakal ibu muda. ditambah pula sedang sarat mengandung. memahami keadaannya begitu, saya katakan padanya: "Minta Allah bantu dan beri kekuatan selalu."

Kasihan dia, tetapi hanya doa mampu saya titipkan. Dia mengadu terkadang menangis kerana merasa kesusahan itu. Tak mengapalah, mungkin Allah nak bagitahu pada kita bahawa apa yang kita buat dan hasilkan bukan semata-mata usaha kita tapi Allah yang membantu dan memberi ilham itu.

Begitulah hidup, perjalanan yang sangat panjang. Tetapi hidup ini tidaklah terlalu panjang sebenarnya. Ada yang mengumpamakan kehidupan di dunia ini seperti tempoh antara azan dan iqamat.

Antara dua waktu yang sekejap


Kadang-kadang bila kita ditimpa masalah atau ujian, kita kerap memikirkannya dan terlalu memikirkannya. Saya juga tidak terlepas dari merasai rasa yang begitu. Tetapi kita harus ingat dunia ini bukan tempat yang kekal. Jika ada yang mengkhianati diri kita, menyakiti kita, tidak menghargai kita, tidak mengapa. Semua itu di dunia sahaja.

Satu saat nanti kita akan tinggalkan dunia dan saat itulah perjalanan sebenar kita bermula. Lalu, carilah keredhaan Allah di dunia ini.

Apabila kita dikecewakan, tentu untuk melupakan dan meninggalkan apa yang pernah menghuni hati kita itu sesuatu yang susah. Apatah lagi ia pernah melukakan hati kita lalu meninggalkan parut-parut luka. Dan parut di tempat yang terluka itu kembali ditoreh dan bertambah-tambahlah kesakitan dan penderitaan itu. Lalu kita seakan jatuh terduduk tidak tahu mengapa manusia memperlakukan kita sebegitu rupa.

Melupakan dan meninggalkan ia pergi sesuatu yang susah


Dan untuk melupakan semua yang pernah datang dalam hidup kita itu sangat susah. Mudah untuk kita meminta orang lain melupakan semua itu, hakikatnya apabila diri sendiri melaluinya, barulah kita mengerti bagaimana bentuk kesusahan itu. Untuk semua ini, saya teringat sebuah artikel yang ditulis oleh Yasmin Mogahed, beliau mengatakan:

" Untuk membiarkan sesuatu itu pergi, carilah sesuatu yang lebih baik, yang lebih kekal dan bersifat realiti"

Ya, tinggalkan dengan mencari yang lebih baik. Sesungguhnya ia susah, tetapi itulah mujahadah. Mujahadah yang harus kita bayar untuk membeli syurga. Syurga itu mahal, ia bukan boleh kita dapati dengan senang lenang, tanpa tangis, tanpa lelah. Syurga itu menagih pengorbanan, kesabaran, kepenatan sepanjang hidup di dunia ini.

Lalu, apa lagi yang membuat kita terikat dengan dunia ini tika kita mengetahui bahawa ujian yang Allah beri itu untuk menjadikan kita penghuni syurga jika kita sabar dan redha dengan ketentuan-Nya.

Untuk akhirnya, mari kita cari sesuatu yang lebih kekal dan yang kekal itu adalah apa yang membawa kepada apa yang Allah cinta, bukan apa yang Allah murka.

Moga Allah redha dengan kita, dan kita redha dengan semua ketentuan-Nya.. Biiznillah


No comments:

Post a Comment