Pages

Wednesday, September 5, 2012

Dudukkan Diri di Tempat Yang Sama




Ujian itu tidakkan ada hentinya. Tidak dalam soal keluarga, ia dalam soal pelajaran. Tidak dalam soal pelajaran, ia dalam soal jodoh. Ia berputar-putar seakan menarik manusia itu untuk tetap kekal dalam zon rasa bertuhan.

Apabila kita melihat manusia lain melalui permasalahan, kita tidak boleh menghukumnya dengan apa yang kita sangka dan fikir. Ya, manusia itu hanya mampu bersangka-sangka. Tetapi berhati-hatilah dengan sangkaan kita. 

Apabila menyentuh soal jodoh misalnya, kita tidak boleh menghukum atau menganggap seseorang yang melewatkan umurnya untuk bernikah dengan mengatakan bahawa dia itu terlalu memilih. Ataupun dia itu punya masa lalu sehingga tidak mahu lagi mencari ganti lagi.

Tidak boleh kita hendak meletakkan ukuran itu di tahap yang sama kepada semua manusia kerana setiap manusia ada pendirian, ada pilihan dan ada situasi sendiri. Kita perlu hormati orang lain, terutama apa yang dia rasa dan sedang lalui. 

Mungkin sahaja permasalahan bukan darinya, mungkin sahaja dirinya bersedia dan tiada permasalahan bersangkutan dengan pelajarannya, tetapi kemusykilan datang dari restu ibubapa. Ada juga yang permasalahan dari dirinya, mungkin sahaja dia belum benar-benar yakin untuk memegang tanggungjawab dan mahu menyediakan diri dahulu sebelum masuk ke alam rumahtangga. 

Dan sekian banyak situasi lain yang mungkin sahaja berlaku sedangkan hakikatnya hanya dia serta Allah sahaja tahu mengapa dia memilih untuk melalui kehidupan yang sebegitu. Seperti halnya kita tidak boleh menyalahkan seorang wanita yang meminta cerai tika suaminya berkahwin lagi dengan mengatakan wanita itu pentingkan diri sendiri, tamakkan suami dan tuduhan-tuduhan lain. Kita tidak berada di tempatnya, kerana itu jangan mudah-mudah melempar kata. 

Saya hanya mengemukakan contoh, kerana saya melihat manusia ini terlalu cepat menghukum dan mempersalahkan orang lain. Muhasabahlah kembali diri kita. Kita tidak diuji dengan apa yang orang tersebut lalui, tetapi kita perlu ingat, mungkin sahaja satu hari nanti kita akan lalui sebagaimana yang dia rasa dan ketika itu baru kita tahu bagaimana kesakitan mendengar tuduhan yang tidak berasas. 

Sebagai manusia yang menerima tohmahan, pertanyaan, tuduhan atau yang tidak langsung menyandarkan kata-kata pada situasi duduk sebenar, bersabarlah. Jangan jadikan diri kita ini hamba kepada manusia, semata-mata untuk menyenangkan dan memuaskan hati manusia lain. Tenanglah dengan pilihan kita. Cukup kita menjadi hamba Allah, biar Allah sahaja yang menilai kita dan memandang kita. 


Kerana saya percaya, ujian itu tidak akan ada hentinya, saya juga lemah. Hanya memohon Allah kuatkan jiwa yang sedia lemah ini. Kerana kadangkala kita mahukan sesuatu, kita sukakan sesuatu, kita berhajatkan sesuatu, tetapi Allah uji dengan halangan yang memerlukan kita untuk mendahulukan perkara lain. Terutama sekali mendahulukan redha ibu dan bapa. 

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment