Baik. Siapa yang tidak mahu yang baik-baik, walaupun diri sendiri tidaklah sebaik mana. Hanya sedang berusaha bangkit mencari segugus cahaya.
Ya Ilahi.. Bantu aku dan sahabat-sahabat cintaku untuk menjadi hamba-Mu yang solehah.
Saya percaya setiap manusia pernah merasai kekecewaan. Dia itu lelaki atau perempuan, pasti. Sama ada dia itu lelaki yang dikhianati wanita, ataupun wanita yang dikhianati lelaki. Untuk semua itu, percayalah akan hikmah yang mendatang.
Saya tidak fokus pada sesiapa. Mungkin ada yang terbaca dan kemudian terasa kepedasan mata tulisan saya. Maafkan saya wahai hati, saya tidak niat mengundang sakit hati kamu tetapi saya hanya mengirim bicara untuk umum. Ingin menyentuh dan cuba mengubat sedikit luka di hati yang sedang terluka.
Pada hati kamu yang terluka, kamu lelaki atau kamu perempuan. Tidak bermakna tika ada yang menyakitimu, maka kamu labelkan semua golongan itu sama. Tidak semua lelaki itu jahat, tidak semua wanita itu jahat. Bukan semuanya tidak ikhlas, bukan semuanya tidak bertanggungjawab.
Anggap sahajalah mereka itu ujian untuk kamu, menguji sabarmu hidup di dunia ini. Sungguh, ujian itulah yang menguatkan kamu. Jangan lemahkan jiwa kamu lagi dengan perkara lalu. Carilah bahagia dalam setiap inci hidupmu. Bahagia dengan cinta Tuhan. Dia tidakkan pernah mengecewakanmu.
Percayalah, manusia yang baik itu akan diberikan yang baik juga. Itu janji Allah. rendahkan hatimu, tundukkan jiwamu pada Pencipta. Serahkan hatimu dan cintamu sepenuh kepada Allah. InsyaAllah bila Allah sudah cinta pada kamu, Allah akan gerakkan hati manusia-manusia yang cintakan-Nya untuk cinta kepadamu. Yang penting, cintailah Allah terlebih dahulu. Jadi hamba yang soleh, solehah. Buat apa yang Allah suka.
Satu perkara yang selalu kita perlu tanamkan dalam diri, hidup ini tidak panjang. Satu masa nanti kita akan pergi. Isilah masa dengan perkara bermanfaat. Tika kamu perlu lalui jalan hidup ini sendirian, tak mengapa. Penuhi dengan apa yang Allah suka. Ingat selalu, Syurga Allah itu ada segalanya. Ia milik Allah dan Allah akan beri kepada siapa yang bersusah-susah untuk mendapatkannya.
Kerana itu, bersusah-susahlah dari sekarang. Jangan diburu cinta manusia yang tidak pasti itu. Biarkan ia pergi jika ia memang tidak ikhlas untuk membawa kamu kepada Tuhan. Kejarlah redha Allah.
No comments:
Post a Comment