Pages

Friday, September 21, 2012

Bingkisan Buat Kamu

Sesungguhnya setiap manusia itu Allah beri seulas jiwa. Seulas jiwa yang memutikkan beberapa rasa. Rasa kasih, rasa cinta, rasa sayang, rasa benci, rasa marah, rasa tidak suka dan pelbagai lagi. Bukanlah dia manusia yang cukup akalnya jika tiada rasa-rasa di jiwanya.

Sejak seminggu ini, saya menerima dua ke tiga teguran. Teguran tentang 'rasa'. Ada yang begitu peduli dengan perasaan saya hanya dengan bingkisan di 'status' facebook. Sungguh saya menghargainya, apatah lagi 'dia' itu seorang yang dekat di hati saya. Seorang adik yang saya sayang kerana Allah.

Ada yang ingin bercakap dengan saya lantaran punyai masalah yang terlalu berat. Namun, 'dia' memilih untuk menyelesaikan dahulu dengan caranya. Hanya ada doa, moga ada jalan keluar dari Allah swt.

Dan tiba-tiba jiwa saya meruntun sayu, menerima sebuah pesanan ringkas dari seorang sahabat. Sahabat yang tiba-tiba teringat akan diri yang tiada apa-apa ini. Sahabat yang meminta maaf kerana tidak menjadi sahabat yang baik buat saya.

Ya Allah.. Saya hampir hendak menangis. Tetapi kerana ketika itu sedang membelek-belek jualan di baazar ruangan di tepi masjid UIA bersama seorang sahabat lagi, saya hanya menahan sahaja. Sepanjang jalan saya memikir apakah saya tersilap bicara.

Sungguh saya hanya mampu menulis, saya tidak mampu berbicara hebat. Kerana itu saya minta maaf pada jiwa yang berasa hati dengan saya. Kerana terkadang, kita hanya meluahkan kerana kita tiada tempat untuk membuka bicara selain pengaduan kepada Allah. Kesedihan, kesusahan, kesukaran jiwa mahu sahaja disimpan rapat di jiwa ini tetapi itulah kelemahan saya. Kelemahan saya yang apabila melalui kesedihan, saya mudah meluahkannya melalui tulisan.

Sahabat,
Walau siapapun kamu, tika kamu pernah dan masih ada di hati ini, saya tidak akan menyisih kamu sampai bila-bila. Saya juga ada lemahnya, saya juga ada kurangnya. Terkadang saya tidak mampu memberikan hak kamu sebagai saudara, hak untuk memberi apabila diminta, hak untuk menjadi pendengar, hak untuk didengari masalahnya. Kerana terkadang hati saya juga berat, hati saya juga terkadang mendung. Saya takut menangis di hadapan kamu walaupun pernah dan selalu juga ia menitis di hadapan kamu.

Sahabat,
Jika kamu lihat saya jauh dari Allah, tariklah tangan saya. Bawa kembali pada-Nya. Saya belum dipetik dan belum ada yang sudi menjaga saya menjadi suri. Seperti kamu juga. Tapi saya percaya Allah ada perancangan untuk kita. Didahulukan perkara lain untuk kita dapat, dan dipisahkan dari perkara lain untuk membuat kita tenang.

Sahabat,
Saya tidak ada apa-apa. Ya, saya miskin harta. Kerana itu saya mengaku saya hanya ada doa. Doa moga Allah jaga kamu. Kamu yang sedang berada di mana-mana. Kerana saya sebenarnya mengharap kebaikan dari doa itu juga kembali buat diri ini.

Sahabat,
Jangan lupa kita ada Allah yang sayang kita. Kita jaga diri kita, jaga hak Dia, pasti nanti Allah akan jaga hak kita sebaiknya. Tak mengapa hati kamu pernah disakiti, mungkin manusia itu tidak sedar dia berbuat khilaf. Saya memahami kamu kerana saya juga pernah merasainya. Hanya sedang berusaha melupakan dan memafkan dengan sesungguhnya, kerana kita sama-sama tahu manusia itu tidak sempurna. Kita doakan mereka itu sedar dan tidak berbuat perkara yang sama.

Sahabat,
Jika kita sudah jauh, jangan putuskan ikatan hati kita. Satukan dengan doa. Kerana saya juga sedang cuba untuk selalu membantu kamu di dalam doa.

Moga Allah jaga kamu.
Buat kamu yang bernama 'sahabat'

No comments:

Post a Comment