Pages

Friday, September 28, 2012

Ya Ilahi..

Hendak mengukir
Hendak mengadu

Ya Ilahi
Aku sedih
Ampuni aku..
Ampuni aku..
Tika ada manusia yang terpaksa aku helahi
Kerna memaksa untuk melupakannya
Hanya ini pilihan yang aku ada
Untuk aku beri sebagai jawaban

Ampuniku ya Allah
Engkau Maha Tahu
Pilihan apa yang ada untukku
Dan aku cuba meminta pilihan-Mu
Tenangkan aku
Dengan hilangnya

Ya Ilahi
Tuntun hatiku mencintai-Mu
Tuntun hatiku mengenal-Mu
Pujuk aku dengan janji-Mu
Hatiku sedang lemah
Airmata sedang menanti luruh
Dan aku takut mengadu dengan manusia
Sedang aku malu mengadap-Mu
Meminta apa-apa
Setelah aku berpaling dari-Mu

Ya Ilahi
Ampunkanlah aku...

Thursday, September 27, 2012

Kejarlah

Banyak yang ada di hati ini, hendak diluahkan biarlah cukup pada yang perlu. Hakikatnya memang wanita itu hendak didengari, difahami, diambil peduli. Tetapi fahamlah saya bahawa saya dan wanita lain tidak boleh terlalu mahu dengan apa yang dimahu. Kelak mengundang kecewa. 

Baik. Siapa yang tidak mahu yang baik-baik, walaupun diri sendiri tidaklah sebaik mana. Hanya sedang berusaha bangkit mencari segugus cahaya.

Ya Ilahi.. Bantu aku dan sahabat-sahabat cintaku untuk menjadi hamba-Mu yang solehah. 

Saya percaya setiap manusia pernah merasai kekecewaan. Dia itu lelaki atau perempuan, pasti. Sama ada dia itu lelaki yang dikhianati wanita, ataupun wanita yang dikhianati lelaki. Untuk semua itu, percayalah akan hikmah yang mendatang. 

Saya tidak fokus pada sesiapa. Mungkin ada yang terbaca dan kemudian terasa kepedasan mata tulisan saya. Maafkan saya wahai hati, saya tidak niat mengundang sakit hati kamu tetapi saya hanya mengirim bicara untuk umum. Ingin menyentuh dan cuba mengubat sedikit luka di hati yang sedang terluka. 

Pada hati kamu yang terluka, kamu lelaki atau kamu perempuan. Tidak bermakna tika ada yang menyakitimu, maka kamu labelkan semua golongan itu sama. Tidak semua lelaki itu jahat, tidak semua wanita itu jahat. Bukan semuanya tidak ikhlas, bukan semuanya tidak bertanggungjawab. 

Anggap sahajalah mereka itu ujian untuk kamu, menguji sabarmu hidup di dunia ini. Sungguh, ujian itulah yang menguatkan kamu. Jangan lemahkan jiwa kamu lagi dengan perkara lalu. Carilah bahagia dalam setiap inci hidupmu. Bahagia dengan cinta Tuhan. Dia tidakkan pernah mengecewakanmu. 

Percayalah, manusia yang baik itu akan diberikan yang baik juga. Itu janji Allah. rendahkan hatimu, tundukkan jiwamu pada Pencipta. Serahkan hatimu dan cintamu sepenuh kepada Allah. InsyaAllah bila Allah sudah cinta pada kamu, Allah akan gerakkan hati manusia-manusia yang cintakan-Nya untuk cinta kepadamu. Yang penting, cintailah Allah terlebih dahulu. Jadi hamba yang soleh, solehah. Buat apa yang Allah suka. 

Satu perkara yang selalu kita perlu tanamkan dalam diri, hidup ini tidak panjang. Satu masa nanti kita akan pergi. Isilah masa dengan perkara bermanfaat. Tika kamu perlu lalui jalan hidup ini sendirian, tak mengapa. Penuhi dengan apa yang Allah suka. Ingat selalu, Syurga Allah itu ada segalanya. Ia milik Allah dan Allah akan beri kepada siapa yang bersusah-susah untuk mendapatkannya. 

Kerana itu, bersusah-susahlah dari sekarang. Jangan diburu cinta manusia yang tidak pasti itu. Biarkan ia pergi jika ia memang tidak ikhlas untuk membawa kamu kepada Tuhan. Kejarlah redha Allah. 


Friday, September 21, 2012

Bingkisan Buat Kamu

Sesungguhnya setiap manusia itu Allah beri seulas jiwa. Seulas jiwa yang memutikkan beberapa rasa. Rasa kasih, rasa cinta, rasa sayang, rasa benci, rasa marah, rasa tidak suka dan pelbagai lagi. Bukanlah dia manusia yang cukup akalnya jika tiada rasa-rasa di jiwanya.

Sejak seminggu ini, saya menerima dua ke tiga teguran. Teguran tentang 'rasa'. Ada yang begitu peduli dengan perasaan saya hanya dengan bingkisan di 'status' facebook. Sungguh saya menghargainya, apatah lagi 'dia' itu seorang yang dekat di hati saya. Seorang adik yang saya sayang kerana Allah.

Ada yang ingin bercakap dengan saya lantaran punyai masalah yang terlalu berat. Namun, 'dia' memilih untuk menyelesaikan dahulu dengan caranya. Hanya ada doa, moga ada jalan keluar dari Allah swt.

Dan tiba-tiba jiwa saya meruntun sayu, menerima sebuah pesanan ringkas dari seorang sahabat. Sahabat yang tiba-tiba teringat akan diri yang tiada apa-apa ini. Sahabat yang meminta maaf kerana tidak menjadi sahabat yang baik buat saya.

Ya Allah.. Saya hampir hendak menangis. Tetapi kerana ketika itu sedang membelek-belek jualan di baazar ruangan di tepi masjid UIA bersama seorang sahabat lagi, saya hanya menahan sahaja. Sepanjang jalan saya memikir apakah saya tersilap bicara.

Sungguh saya hanya mampu menulis, saya tidak mampu berbicara hebat. Kerana itu saya minta maaf pada jiwa yang berasa hati dengan saya. Kerana terkadang, kita hanya meluahkan kerana kita tiada tempat untuk membuka bicara selain pengaduan kepada Allah. Kesedihan, kesusahan, kesukaran jiwa mahu sahaja disimpan rapat di jiwa ini tetapi itulah kelemahan saya. Kelemahan saya yang apabila melalui kesedihan, saya mudah meluahkannya melalui tulisan.

Sahabat,
Walau siapapun kamu, tika kamu pernah dan masih ada di hati ini, saya tidak akan menyisih kamu sampai bila-bila. Saya juga ada lemahnya, saya juga ada kurangnya. Terkadang saya tidak mampu memberikan hak kamu sebagai saudara, hak untuk memberi apabila diminta, hak untuk menjadi pendengar, hak untuk didengari masalahnya. Kerana terkadang hati saya juga berat, hati saya juga terkadang mendung. Saya takut menangis di hadapan kamu walaupun pernah dan selalu juga ia menitis di hadapan kamu.

Sahabat,
Jika kamu lihat saya jauh dari Allah, tariklah tangan saya. Bawa kembali pada-Nya. Saya belum dipetik dan belum ada yang sudi menjaga saya menjadi suri. Seperti kamu juga. Tapi saya percaya Allah ada perancangan untuk kita. Didahulukan perkara lain untuk kita dapat, dan dipisahkan dari perkara lain untuk membuat kita tenang.

Sahabat,
Saya tidak ada apa-apa. Ya, saya miskin harta. Kerana itu saya mengaku saya hanya ada doa. Doa moga Allah jaga kamu. Kamu yang sedang berada di mana-mana. Kerana saya sebenarnya mengharap kebaikan dari doa itu juga kembali buat diri ini.

Sahabat,
Jangan lupa kita ada Allah yang sayang kita. Kita jaga diri kita, jaga hak Dia, pasti nanti Allah akan jaga hak kita sebaiknya. Tak mengapa hati kamu pernah disakiti, mungkin manusia itu tidak sedar dia berbuat khilaf. Saya memahami kamu kerana saya juga pernah merasainya. Hanya sedang berusaha melupakan dan memafkan dengan sesungguhnya, kerana kita sama-sama tahu manusia itu tidak sempurna. Kita doakan mereka itu sedar dan tidak berbuat perkara yang sama.

Sahabat,
Jika kita sudah jauh, jangan putuskan ikatan hati kita. Satukan dengan doa. Kerana saya juga sedang cuba untuk selalu membantu kamu di dalam doa.

Moga Allah jaga kamu.
Buat kamu yang bernama 'sahabat'

Tuesday, September 18, 2012

Terima Kasih Untuk Kenangan :)

Alhamdulillah, Allah beri izin untuk hadir ke walimah sahabat baik yang sangat baik :) Norzatu Amni dengan cinta hatinya, ustaz Nazrul Affendi. Merenangi lautan jalan raya ke kuantan menaiki bas seawal jam 8pagi, kami sampai di sana dan dijemput oleh ayah amni untuk ke dewan.

Tiada rezeki untuk lihat sahabat ini bernikah, apapun alhamdulillah. Yang penting semuanya sudah selamat.
Alhamdulillah Allah permudahkan perjalanan pergi dan pulang.

Sesuatu yang saya perasan, ada riak bahagia yang tersangat di wajah sahabat ini. Keluar sahaja dari kereta, kami berempat bertemu dengannya yang juga baru keluar dari kereta setelah usai akad nikah. Tak disangka-sangka selepas bersalam dengannya, dipeluknya saya erat. Terkejut sedikit :) Dan sahabat-sahabat lain juga begitu. MasyaAllah, bahagia sangat amni. (Rasa macam nak menangis, terharu.. ) :)

Bukan mudah untuk melewati tempoh diuji dengan ikatan yang masih belum dihalalkan. Tetapi dengan kesabaran menjaga hak Allah dalam tempoh itu, Allah ganti dengan sebuah rasa bahagia dan keberkatan yang bertambah-tambah.

Saya percaya itu.
Jika kita jaga hak Allah, Allah akan jaga hak kita.

Kita kena percaya ^^

..........................

Hanya ada beberapa gambar untuk diabadikan di sini. Sekadarnya. Harap tuannya mengizinkan :)

Pengantin Baru 
بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير

^______^


Kami dengan pengantin :)



Sahabat...
Terima kasih untuk kenangan
Mungkin juga ini yang terakhir 
Sebelum ada yang diikat dengan sebuah komitmen lain
Yang pasti
InsyaAllah ukhuwwah kita sampai ke syurga
biiznillah :)



Wednesday, September 12, 2012

Teruji

Untuk memaafkan dan melupakan seseorang yang sudah berbuat salah dan mempermainkan perasaan kita sangat payah. Barulah diri ini faham, ketika mendengar luahan isteri atau suami di radio, bagaimana susahnya untuk melupakan apa yang suami/isteri mereka pernah lakukan di belakang mereka. Rasa dikhianati, rasa tidak dihargai rasa dipergunakan.

Allah.. sesungguhnya saya juga manusia biasa. Bersabar itu memang sangat dituntut. Mungkin diri ini belum cukup ditarbiyyah, hati ini belum cukup bersih, kerana itulah sakit di hati itu masih bersisa hingga kini. 

Ya Allah.. jadikan hati yang pernah disakiti itu sembuh, redha, berlapang dan gantikan apa yang luput itu dengan yang lebih baik. Jadikan kami hamba-Mu yang pemaaf, redha dan selalu bersabar dengan tekanan-tekanan yang datang. 


Thursday, September 6, 2012

Nekad

Pernah saya merasa sendiri, merasa tidak mahu meneruskan hajat saya, hanya kerana apabila seorang demi seorang yang saya tanya memberikan jawapan yang ternyata membuat saya sendiri.

Lalu dengan istikharah dan meminta apa yang terbaik dari Allah, saya teruskan nekad untuk memulakan langkah. Langkah ke bumi Syam. Walaupun saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang ditakdirkan mendatang, hanya usaha yang mampu saya lakukan.

IELTS, ujian bahasa Inggeris yang menjadi syarat untuk ke universiti luar negara membutuhkan saya untuk memikir panjang. Dalam keadaan sendiri, saya perlu memikir bagaimana hendak ke British Council, hendak mencari tempatnya dan lebih menakutkan apabila tiba waktu ujian kelak.

Dengan keyakinan yang Allah bekalkan, saya nekad memulakan langkah. Borang pendaftaran saya isi, dan sejumlah wang saya keluarkan untuk membayar yuran peperiksaan. Alhamdulillah Allah berikan teman untuk mencari tempat yang sangat asing bagi saya.

Walaupun sudah hampir 7 tahun menjadi pelajar di Gombak,saya masih tidak tahu tempat-tempat di sekitar KLCC. Lrt menurunkan kami di KLCC, dan dari KLCC kami berdua berjalan keluar. Pagi-pagi begitu, alhamdulillah hujan tidak mengalirkan tangis. Cuaca agak sederhana membantu pencarian kami. Bertanya orang itu ini, tersalah pilih jalan, turun dan naik tangga berjumpa tempat yang sama, orang salah beri tunjuk arah dan banyak lagi cabaran beberapa jam siang tadi.

Ketawa saya pecah kerana beberapa perkara. Saya yang susah hendak berhenti ketawa cuba menahan, takut-takut sahabat berasa hati. Tetapi saya tahu dia seorang yang agak kelakar dan tidak kisah. Moga Allah ampuni kami kerana banyak ketawa.

Untuk semua ini, saya merasa sedikit lega. Walaupun banyak lagi urusan yang perlu saya selesaikan, saya tetap akan ingat apa yang sahabat saya katakan tadi: "Takpe, susah sekarang insyaAllah manis akhirnya". Lebih kurang begitu.

Thesis, BTN, Offer Letter, Cuti Belajar dan banyak lagi perkara perlu difikirkan selepas ini. Dan dalam masa yang sama, ada sesuatu yang penting juga perlu saya fikirkan walaupun saya tahu saya tidak mampu berbuat keputusan sendiri kerana saya juga punya ibu yang perlu dijaga hatinya. Redhanya adalah keberkatan buat hidup saya.

Maafkan saya buat yang berkait jika saya ini terlalu sukar untuk diduga. Kerana saya ini tidak sempurna, berhajat kepada yang menyempurnakan. Terima kasih atas pengertian. Moga Allah redha di atas kebaikan serta menghormati saya sebagai muslimah.

Akhirnya, moga Allah redha. InsyaAllah

Cukuplah Sederhana

Tidak selalu berjubah putih
Tidak selalu berserban
Walaupun terkadang itu cerminan soleh
Tetapi bukan ukuran yang tepat
Kerana soleh itu yang di dalam
Terpancar dengan perlakuan dan akhlak luaran

Cukup yang sederhana
Biarpun bukan seorang hafiz
Tetapi dia cukup cinta pada Tuhan
Apabila solat dia menjaga waktu
Apabila bersama yang tua dia merendah
Apabila bertutur dia berhikmah
Apabila bersama jantina berbeza dia menjaga jarak

Cukuplah yang sederhana
Kerana sepertimana seorang 'alim
Bukan pada ukuran banyaknya dia membaca kitab
Bukan pada gelaran ustaz dan ustazahnya
Bukan pada tinggi sijil agamanya
Tetapi 'alim itu adalah orang yang takut kepada Allah
Dan hatinya bergetar bila disebut nama Allah

Cukuplah yang sederhana
Jika kamu yang sederhana itu
Kerna aku mengharap dirimu menyempurnakan aku
Yang masih banyak kurangnya

Cukuplah sederhana itu
Jika itu yang engkau ada
Kerana aku juga apa adanya

:: Alhamdulillah atas ketenangan ini. Allah kurniakan kekuatan untuk membuang rasa yang pernah bersisa. Kerana aku percaya, yang sederhana itu ada, hanya masa dan ketikanya akan menjawab segalanya

:)





Wednesday, September 5, 2012

Dudukkan Diri di Tempat Yang Sama




Ujian itu tidakkan ada hentinya. Tidak dalam soal keluarga, ia dalam soal pelajaran. Tidak dalam soal pelajaran, ia dalam soal jodoh. Ia berputar-putar seakan menarik manusia itu untuk tetap kekal dalam zon rasa bertuhan.

Apabila kita melihat manusia lain melalui permasalahan, kita tidak boleh menghukumnya dengan apa yang kita sangka dan fikir. Ya, manusia itu hanya mampu bersangka-sangka. Tetapi berhati-hatilah dengan sangkaan kita. 

Apabila menyentuh soal jodoh misalnya, kita tidak boleh menghukum atau menganggap seseorang yang melewatkan umurnya untuk bernikah dengan mengatakan bahawa dia itu terlalu memilih. Ataupun dia itu punya masa lalu sehingga tidak mahu lagi mencari ganti lagi.

Tidak boleh kita hendak meletakkan ukuran itu di tahap yang sama kepada semua manusia kerana setiap manusia ada pendirian, ada pilihan dan ada situasi sendiri. Kita perlu hormati orang lain, terutama apa yang dia rasa dan sedang lalui. 

Mungkin sahaja permasalahan bukan darinya, mungkin sahaja dirinya bersedia dan tiada permasalahan bersangkutan dengan pelajarannya, tetapi kemusykilan datang dari restu ibubapa. Ada juga yang permasalahan dari dirinya, mungkin sahaja dia belum benar-benar yakin untuk memegang tanggungjawab dan mahu menyediakan diri dahulu sebelum masuk ke alam rumahtangga. 

Dan sekian banyak situasi lain yang mungkin sahaja berlaku sedangkan hakikatnya hanya dia serta Allah sahaja tahu mengapa dia memilih untuk melalui kehidupan yang sebegitu. Seperti halnya kita tidak boleh menyalahkan seorang wanita yang meminta cerai tika suaminya berkahwin lagi dengan mengatakan wanita itu pentingkan diri sendiri, tamakkan suami dan tuduhan-tuduhan lain. Kita tidak berada di tempatnya, kerana itu jangan mudah-mudah melempar kata. 

Saya hanya mengemukakan contoh, kerana saya melihat manusia ini terlalu cepat menghukum dan mempersalahkan orang lain. Muhasabahlah kembali diri kita. Kita tidak diuji dengan apa yang orang tersebut lalui, tetapi kita perlu ingat, mungkin sahaja satu hari nanti kita akan lalui sebagaimana yang dia rasa dan ketika itu baru kita tahu bagaimana kesakitan mendengar tuduhan yang tidak berasas. 

Sebagai manusia yang menerima tohmahan, pertanyaan, tuduhan atau yang tidak langsung menyandarkan kata-kata pada situasi duduk sebenar, bersabarlah. Jangan jadikan diri kita ini hamba kepada manusia, semata-mata untuk menyenangkan dan memuaskan hati manusia lain. Tenanglah dengan pilihan kita. Cukup kita menjadi hamba Allah, biar Allah sahaja yang menilai kita dan memandang kita. 


Kerana saya percaya, ujian itu tidak akan ada hentinya, saya juga lemah. Hanya memohon Allah kuatkan jiwa yang sedia lemah ini. Kerana kadangkala kita mahukan sesuatu, kita sukakan sesuatu, kita berhajatkan sesuatu, tetapi Allah uji dengan halangan yang memerlukan kita untuk mendahulukan perkara lain. Terutama sekali mendahulukan redha ibu dan bapa. 

Wallahu a'lam

Monday, September 3, 2012

Yang Lebih Baik



Alhamdulillah.. usai fasa menulis proposal, defend di peringkat department dan kuliyyah, menulis dan correction, fasa pembetulan bahasa, dan ketika ini sedang dalam fasa menghantar untuk 'thesis review binding' insyaAllah.

Apabila melalui semua fasa ini saya merasakan bahawa apa yang saya buat sesungguhnya bukanlah dari usaha saya sendiri. Tanpa pertolongan dan bantuan dari Allah yang Maha Pengasih, bagaimanalah saya yang tidak upaya apa-apa ini menulis, memahami dan menyusun ayat-ayat berbahasa arab yang belum boleh saya kuasai sepenuhnya.

Syukur kerana Allah permudahkan perjalanan menulis walaupun ternyata apabila melaluinya sendiri barulah kita rasa bahawa menulis sebuah penulisan ilmiah itu ternyata memerlukan juhud dan usaha yang tinggi.

Sahabat saya terkadang mengadu letih, putus asa kerana sukar untuk menulis thesis dalam bahasa arab. Sementelah dia seorang isteri, bakal ibu muda. ditambah pula sedang sarat mengandung. memahami keadaannya begitu, saya katakan padanya: "Minta Allah bantu dan beri kekuatan selalu."

Kasihan dia, tetapi hanya doa mampu saya titipkan. Dia mengadu terkadang menangis kerana merasa kesusahan itu. Tak mengapalah, mungkin Allah nak bagitahu pada kita bahawa apa yang kita buat dan hasilkan bukan semata-mata usaha kita tapi Allah yang membantu dan memberi ilham itu.

Begitulah hidup, perjalanan yang sangat panjang. Tetapi hidup ini tidaklah terlalu panjang sebenarnya. Ada yang mengumpamakan kehidupan di dunia ini seperti tempoh antara azan dan iqamat.

Antara dua waktu yang sekejap


Kadang-kadang bila kita ditimpa masalah atau ujian, kita kerap memikirkannya dan terlalu memikirkannya. Saya juga tidak terlepas dari merasai rasa yang begitu. Tetapi kita harus ingat dunia ini bukan tempat yang kekal. Jika ada yang mengkhianati diri kita, menyakiti kita, tidak menghargai kita, tidak mengapa. Semua itu di dunia sahaja.

Satu saat nanti kita akan tinggalkan dunia dan saat itulah perjalanan sebenar kita bermula. Lalu, carilah keredhaan Allah di dunia ini.

Apabila kita dikecewakan, tentu untuk melupakan dan meninggalkan apa yang pernah menghuni hati kita itu sesuatu yang susah. Apatah lagi ia pernah melukakan hati kita lalu meninggalkan parut-parut luka. Dan parut di tempat yang terluka itu kembali ditoreh dan bertambah-tambahlah kesakitan dan penderitaan itu. Lalu kita seakan jatuh terduduk tidak tahu mengapa manusia memperlakukan kita sebegitu rupa.

Melupakan dan meninggalkan ia pergi sesuatu yang susah


Dan untuk melupakan semua yang pernah datang dalam hidup kita itu sangat susah. Mudah untuk kita meminta orang lain melupakan semua itu, hakikatnya apabila diri sendiri melaluinya, barulah kita mengerti bagaimana bentuk kesusahan itu. Untuk semua ini, saya teringat sebuah artikel yang ditulis oleh Yasmin Mogahed, beliau mengatakan:

" Untuk membiarkan sesuatu itu pergi, carilah sesuatu yang lebih baik, yang lebih kekal dan bersifat realiti"

Ya, tinggalkan dengan mencari yang lebih baik. Sesungguhnya ia susah, tetapi itulah mujahadah. Mujahadah yang harus kita bayar untuk membeli syurga. Syurga itu mahal, ia bukan boleh kita dapati dengan senang lenang, tanpa tangis, tanpa lelah. Syurga itu menagih pengorbanan, kesabaran, kepenatan sepanjang hidup di dunia ini.

Lalu, apa lagi yang membuat kita terikat dengan dunia ini tika kita mengetahui bahawa ujian yang Allah beri itu untuk menjadikan kita penghuni syurga jika kita sabar dan redha dengan ketentuan-Nya.

Untuk akhirnya, mari kita cari sesuatu yang lebih kekal dan yang kekal itu adalah apa yang membawa kepada apa yang Allah cinta, bukan apa yang Allah murka.

Moga Allah redha dengan kita, dan kita redha dengan semua ketentuan-Nya.. Biiznillah