Pages

Sunday, August 21, 2011

Airmata Ibu


"Setitis airmata ibu

Yang gugur kerana kesedihan

segaris luka di hati ibu kerna kederhakaan

Tertutup pintu syurga

Jika tiada keampunannya

Azimat ini kutanam di lubuk hati yang dalam.."


Bait-bait lirik Fareast ini tersangat indah sehingga mampu menyentuh relung hati. Andai seorang ibu tidak kasihkan anaknya, sudah tentu lahir-lahir sahaja sudah dibungkus dan ditinggal di merata tempat. Kalau si ibu tidak kasihkan anaknya, tentulah ucapan ‘anak derhaka’ serta ‘laknat’ menimpa si anak.


Si ibu tidak pernah mengatakan ‘jahannam’ buat si anak. Tetapi si anak derhaka zaman ini semudah-mudahnya mengeluarkan kalimah tersebut buat seorang ibu. Astaghfirullah.. Di mana letaknya rasa cinta dan sayang terhadap ibu??


Lihatlah dan kenanglah betapa suci dan murni kasih seorang ibu sehingga sedaya upaya tidak mengucapkan perkataan yang boleh mendoakan sesuatu yang buruk buat si anak. Ibu tidak minta banyak, hanya mahu merasai kasih anak. Bertemu dan menatap wajah anak. Sesaat cuma sudah cukup baginya.


Menangis hati Ibu



Sebuah kisah yang tidak pernah saya saksikan di hadapan mata sendiri apabila seorang ibu yang dari kejauhan memandu kereta dengan penuh lelah dan letih tidak dihiraukannya menuju ke sekolah semata-mata untuk bertemu anak. Dari kejauhan sudah terlambai-lambai dan terkenang senyuman si anak. Namun alangkah kecil hati apabila sampai sahaja di sekolah, si anak tidak mahu bertemu dengan si ibu.


“Kenapa kamu tak nak jumpa mak kamu tadi?”. Seorang ustazah bertanya.

“Saja”.


Seusai pelajar itu berlalu, seorang ustazah lain tiba-tiba memberi respon, “Menangis ibunya dalam hati. Kita orang perempuan ni...”


Terputus di situ sahaja kata-kata ustazah tadi yang merupakan seorang ibu dan juga seorang nenek. Beliau tahu bagaimana perasaan seorang ibu, kerana itu kata-kata itu terluncur laju dari bibirnya.


Saya cuba memahami keadaan si anak. Tidak patut si ayah yang sudah berpisah dengan si ibu memburuk-burukkannya di hadapan anak. Ia merupakan didikan yang tidak wajar. Hak seorang ibu terhadap kasih-sayang anaknya juga perlu diraikan.


Tiket ke Syurga



Seburuk-buruk manapun ibu itu, dia tetap seorang ibu. Ibu yang mengandungkan si anak bukan sehari dua, namun berbulan-bulan dibawa ke sana sini dengan penuh hati-hati. Kemudian pula tiba masa melahirkan, menanggung pula kesakitan berhadapan dengan maut lalu disusukan anak itu. Semakin hari diasuh dan didik dengan baik.


Masih burukkah ibu ketika ini??


Tidak layak sungguh kata ‘benci’ itu ditujukan buat seorang ibu yang menjaga seorang anak dengan penuh kasih-sayang dan didikan yang sempurna.


Kasihan ibu tersebut. Walaupun beliau bekerja sebagai pramugari, tidak sepatutnya ia menjadi alasan untuk si ayah memburuk-burukkan si ibu lantas si anak pula membenci si ibu. Dia masih punya perasaan yang perlu dijaga, dia masih punya hati untuk diperhati dan juga dia masih punya sayang untuk diberi kepada anak yang sekian tahun dijaga.


Hakikat hidup ini terlalu ramai yang mensia-siakan tiket berharga untuk ke syurga. Tiba usia tua pula, ibu dibiar di rumah orang tua. Dijenguk tidak, dilawat tidak. Dibiar seorang diri menanggung rindu bersama teman senasib. Allahu Allahu..


Alangkah mulianya andai seorang anak lelaki yang menjaga ibunya tika sakit, segala keperluan si ibu Cuma dipenuhi dan berbakti tika akhir hayat si ibu. Allah merahmati kehidupan si anak soleh ini berkat kasihnya terhadap si ibu. Ibulah tiket kita ke syurga.


Berusahalah membahagiakan hati ibu setiap detik, bukan hanya pada satu hari yang dinamakan hari ibu sahaja.


Moga suatu hari nanti si anak dalam kisah tadi akan sedar bahawa ibunyalah satu-satunya tiket untuk dia ke syurga. Dan semoga kita semua sentiasa dikurniakan rasa kasih terhadap ibu dan ayah kita sehingga ke akhir hayat kita insyaAllah..


“Ya Allah, ampuni dosa-dosa kami serta dosa kedua ibu bapa kami serta kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami sejak kami kecil.. Amin”


wallahu a'lam

al-misk

No comments:

Post a Comment