Yang kita suka
Yang kita cinta
Itu petanda
Dia mahu mengingatkan kita
Bahwa
Kita tidak memiliki apa-apapun sebenarnya
Semuanya milik-Nya
Tika kamu kehilangan sesuatu
Ingatlah kamu masih ada Allah
Yang tidak pernah tinggalkan kamu
Bahkan Allah itu lebih dari cukup
Berhabislah untuk kehidupan selepas kematian
Biar mujahadah kamu
Kepenatan kamu melawan keinginan
pada apa yang Allah tidak redha itu
Allah akan ganti dengan nikmat
di syurga-Nya
Maka
berpenat-penatlah
Jangan pernah putus asa
Walaupun kamu selalu jatuh
Di tempat sama
Jangan putus asa
Untuk bangun dan kembali taat
Allah tahu kamu susah
Kamu penat
Kamu letih dengan semua ini
Tapi kerana Allah kasih
Maka kamu diuji dan diuji
Sehingga akhir hayatmu
Dan akhirnya
Percayalah
Allah itu mahukan yang baik-baik sahaja buat kamu
Maka bersegeralah mencari kebaikan itu
Berdoa, berusaha dan berserah
Dia sedang menunggu rintihanmu..
Allah..
Tanpa-Mu aku lemah..
~almisk
03 April 2012
Mahallah Safiyyah
Puisi di atas terlakar sendiri.. Dan ketika sampai di Taman ilmu dan Budi tadi saya teringat wajah ibuayah.. Mereka kecintaan saya. Ayah sudah kian uzur, demam hampir 3minggu. Salam dengan ayah, tanya sudah sihat? Ayah kata: 'Belum lagi, nak sihat sikit lagi'.
Ada rasa risau. Di hati emak. Emak fikir banyak, dari soal anak-anak, soal diri sendiri. Lalu di dapur ketika masak, itulah waktu emak bercerita-cerita.
Pernah emak kata: "Dari umur 12tahun asyik masak je". Lalu saya katakan: "Tak mengapalah emak. Kat syurga nanti tak payah masak dah".
Emak ketawa sahaja. Harap emak lega. Emak perempuan, saya juga perempuan. Bezanya hanya saya belum punya keluarga. Emak, sudah semakin hampir 40tahun berumahtangga. Setiap kali bercerita, imbas kisah dulu-dulu.
Sewaktu anyam ketupat sebelum hari raya, saya dekat dengan emak, minta emak ajar. Mula-mula terkulat-kulat. Emak tunjuk begini begini dan akhirnya alhamdulillah saya boleh menganyam satu jenis ketupat. Sambil mengayam emak cerita-cerita macam mana dulu boleh tekad nak belajar anyam ketupat. Setiap kali tiba hariraya, emak mesti akan cerita kisah yang sama.
Dan di dapur itulah, biasanya cerita-cerita emak akan datang. walaupun berulang kali, saya dengar. Saya tahu emak hanya mahu bercerita. Bukan mahu apa-apa.
Emak tidak kisah tidak mewah-mewah, asalkan bila anak susah emak dapat bantu. Tapi apakah kita yang anak-anak ini akan ingat semua susah payah emak ayah kita.
Dahulu, bila balik sekolah, saya selalu intai ayah dari jendela. Ayah baru balik kebun dengan berbasikal. Ada raut penat. Dari muda, ayah tak pernah tidak bertanggungjawab membiarkan anak-anak pergi sekolah tak berbelanja.
Mudah-mudahan saya menjadi saksi bahwa ibuayah saya adalah ibuayah yang bertanggungjawab. Ajar saya mengaji, ajar solat, ajar puasa, ajar tutup aurat dan macam-macam lagi. Walau mereka hanya orang kampung, tidak faham bahasa Inggeris, tapi mereka berdua permata saya yang paling berharga.
Kerana itu, tika apa yang saya mahu tapi ibuayah tidak menyetujui.. Dalam nangis-nangis saya akur sahaja dengan pandangan mereka. Saya tidak lari rumah. Sya hairan mengapa ramai gadis-gadis semakin berani melawan ibuayah dan merajuk lalu lari dari rumah. Kasihan ibuayah. kasihan mereka. Mereka risau. Tapi anak-anak itu apa yang mereka rasa?
Moga Allah pelihara kedua ibubapa saya dan anda yang membaca. Selagi ada hayat mereka, kautlah pahala.
Jagalah kecintaan kita dan tiket ke syurga itu. Moga kita bersama orang yang kita cintai, dan yang kita cintai itu mudah-mudahan tempatnya di syurga kelak. Allahumma ameen
No comments:
Post a Comment