Pages

Saturday, April 21, 2012

Refleksi Diri: Mengapa Mahu Berkahwin?


Hari ini makan tengah hari bersama seorang sahabat, dan dia memilih untuk makan di bilik saya. Banyak cerita mahu dikongsikan  kerana sudah agak lama tidak bertukar kisah memandangankan masing-masing sibuk dengan thesis dan kerja.

Lalu sahabat saya membuka kisah berkenaan rakan sekolahnya  yang bertanyakan pendapatnya tentang sesuatu.

Rakan sahabat saya menghantar mesej yang agak memeranjatkan, mana tidaknya kerana ketika itu sahabat seorang ini sedang tekun memikirkan dan menulis thesisnya. Rakannya meminta nasihat berkenaan sesuatu lewat sms:
“Boleh tak nasihatkan saya sedikit, saya rasa nak kahwin sangat”

Ada rasa gelihati dengan soalan itu, tapi saya tidak terkejut kerana sudah beberapa kalli saya mendengar orang mengadu begitu. Wajar sahaja usia sudah menjangkau 26, sudah sepatutnya mungkin dia merasa tertekan. Lalu, sahabat saya memusatkan perhatian untuk membalas mesejnya.

“Pertama sekali kita kena fikir kenapa kita kahwin? Adakah kita berkahwin sebab kita lihat orang lain kahwin maka kita pun hendak kahwin. Ataupun adakah kita berkahwin sebab nak bawa suami dan anak-anak kita ke syurga?
Yang kedua, Ingatlah bukanlah kita seorang yang belum berkahwin. Ada orang lain lagi seperti itu, ada yang sudah umur 40 masih juga belum jumpa jodoh. Jadi, yakinlah bahawa Allah itu Tahu bila jodoh kita akan sampai dan Allah Maha Tahu apa dan bila masa yang terbaik untuk kita.”

Dan itu yang saya ingat sehingga sekarang. masyaAllah, saya suka dengan sahabat saya ini. Dia seorang wanita yang kuat, walaupun perwatakan dia bukanlah seperti 'wanita melayu terakhir' tetapi bagi saya dia punyai hati yang sangat lembut dan mudah tersentuh. Dia selalu merendah diri dengan keadaannya, hati sahabat mana yang tidak sedih jika sahabat sendiri merasa bahawa manusia hanya memandang rupa, tidak kepada akhlak dan hati.

Sesungguhnya bila kita kenal manusia itu ada akhlak, maka automatik segalanya cantik. Cantik itu tidak bersifat objektif. Kerana itu saya selalu ingatkan dia bahawa ‘insyaAllah ada yang terbaik sedang menunggu dirimu’. Hati saya selalu berbisik: 'Pasti yang memilih kamu nanti orang yang benar-benar ikhlas kerana akhlak dan agamamu, bukan kerana yang lain.'

Berbalik kepada persoalan tadi, saya sangat membenarkan kata-katanya bahawa kita harus merefleksi diri kita. Adakah kita mahu berkahwin kerana melihat kawan-kawan kita seorang demi seorang berkahwin, ataukah kita berkahwin hanya untuk lari dari masalah atau melupakan kesakitan hati, ataukah kita berkahwin semata-mata untuk cari redha Allah.

Dan apa yang kita dapat adalah bergantung kepada niat kita dipermulaan. Kerana itu saya semakin belajar bahawa hidup ini bukan hanya untuk berkahwin walaupun terkadang merasa kesedihan, kesunyian, kesusahan bermujahadah.. kerana perkahwinan itu hanya salah satu daripada pintu-pintu kebahagiaan. Sedang sebenarnya pintu kebahagiaan itu tersangat luas.

Maka luaskan dan lapangkanlah hati kita. Cari redha Allah. Jika ditakdirkan kita ini perlu melalui jalan hidup ini bersendirian, maka penuhilah dengan kebaikan-kebaikan dan amal soleh sepanjang hidup kita.

Kerana, jodoh itu pasti. Jika tidak di sini, insyaAllah di syurga nanti. biiznillah

No comments:

Post a Comment