Pages

Saturday, March 31, 2012

Kau Tercipta Untukku


Kau Tercipta untukku..

Bunyinya seperti 'jiwang' (istilah orang muda), tetapi ini tajuk forum yang saya lihat di youtube. Ahli panel adalah pasangan penceramah dan penulis novel ustazah Fatimah Syarha dan Dr. Farhan Hadi. Alhamdulillah, pencerahan dari panel sangat membantu memahami apa makna 'Kau Tercipta Untukku'.

Saat ditanya, 'bila akak nak kahwin?', 'lepas ni adiknya pula', 'tak lama dah tu'... Tak salah hendak bertanya tapi lihat-lihat juga sensitif orang yang dimaksud. Mungkin dia sedang ada masalah dalam soal yang disentuh, mungkin dia ada kisah lampau yang mengguris hatinya. Yang pastinya, doakanlah apa yang terbaik. Jangan terlalu diasak dengan soalan tentang jodoh. Kasihan mereka. Namun itulah lumrah manusia, hendak tahu dan ambil tahu.

Siapa untuk kita
Kita tahu atau tidak jodoh kita? Siapa yang diciptakan untuk kita.
Ustazah Fatimah Syarha memberitahu:
' Saat Dr Farhan Hadi melafazkan akad nikah, dia adalah orang yang tercipta untuk akak. tetapi jika akak mati, mungkin dia tercipta untuk orang lain'

kerana apa yang kita miliki adalah sekarang dan masa lalu, sedangkan masa akan datang kita tidak tahu kita masih milikinya atau tidak.

Tugas kita
Berbicara tentang jodoh, ia bersangkut paut dengan takdir. Dan takdir ada yang boleh berubah bergantung kepada syarat (qada' mu'allaq). Jadi apakah tugas kita bersangkutan soal jodoh? adakah kita perlu terlalu pening fikir yang negatif-negatif berkenaan jodoh kita mendatang?

Ustazah Fatimah Syarha menggariskan beberapa tugas untuk kita lakukan:
1- Berusaha yang terbaik untuk hadapi waktu sekarang dan bersedia mendepani masa depan sama ada ia perkara yang baik atau perkara buruk. Jika perkara baik maka bersyukur, jika musibah maka kita bersabar.

2- Kita perlu bersangka baik dengan Allah kerana Allah itu akan beri menurut sangkaan hamba-Nya. Jadi bersangka baiklah dengan Allah. Minta agar Allah kurniakan kita jodoh yang soleh/solehah yang boleh membawa kita sama-sama ke syurga-Nya.

3- Usaha buat apa yang kita suka dan dapatkan apa yang kita suka. Kita suka kah kalau suami atau isteri kita bila dah kahwin nanti chatting kat FB dengan lelaki/perempuan lain?

tak suka kan? Jadi sekarang ini, elakkan chatting dengan orang bukan mahram tanpa urusan. insyaAllah suami/isteri kita kelak akan jaga hati kita, hanya chatting atas dasar urusan sahaja. Sebab Allah itu Maha Adil kan.

4- Yang termampu kita lakukan, doa, berusaha mencari jodoh kita dan bertawakkal kepada-Nya. Justeru kita tidak tahu apa yang terbaik untuk kita maka serahkan kepada pemilik diri kita.

Cinta High Class
Dan untuk dapatkan cinta yang 'High Class' seorang lelaki/wanita yang cintakan kita itu:
1- Letakkan Allah SWT nombor 1 dalam hidupnya.
2- Dia cintakan kita kerana Allah swt.
3- Dia mujahadah lawan nafsunya.
4- Jaga hubungan dengan Allah juga sesama manusia.

Akhirnya, cintailah yang Mencintai kita, dapatkan cinta-Nya kerana apabila kita cinta kepada Allah, pasti Allah akan gerakkan orang yang mencintai-Nya agar mencintai kita.
ِAllahumma ameen

Puisi: Tercipta

Wahai penyejuk jiwaku
Aku tidak tahu engkau di mana
Satu yang pasti
Aku tahu engkau ada
Jika tidak di sini
InsyaAllah di syurga nanti

Dan yang pasti
Akan kutitipkan doa
Moga Allah menjaga dirimu dan cintamu
Dari pautan nafsu melulu

Jika satu saat Allah izinkan
Ia berlabuh di hati ini
Moga ia bersandar hanya kerana-Nya
Moga jika aku tidak kau miliki
Kau masih memiliki cinta-Nya
Yang lebih Agung
Yang lebih kekal
InsyaAllah

~almisk

No comments:

Post a Comment