Pages

Tuesday, March 27, 2012

Maafkanlah Duhai Hati


Siapa yang hatinya tidak pernah disakiti, dilukai, dan seumpama dengannya? Saya kira tidak ada. Sedangkan kekasih Allah SWT iaitu Rasulullah SAW sendiri disakiti orang sekeliling tika mula menyebarkan dakwah, hatta sepanjang hidup Baginda SAW, ada sahaja yang cuba menyakiti Baginda.

Tika baginda dilempar najis, dan di sepanjang jalan yang Baginda SAW lalui ditaburi najis dan duri oleh seorang perempuan Yahudi, Baginda tidak marah-marahkan perempuan itu, Baginda ziarah dia. Dan akhirnya wanita itu masuk Islam.

Itu Nabi kita, kekasih Allah swt. Sedangkan kita ini, siapalah untuk terus-terusan menyimpan dendam dan amarah.

Saya tidak lepas dari merasai disakiti, berhari-hari menahan rasa itu. Natijah yang saya dapat dari itu hanyalah rasa tidak tenang.

Apabila kita tidak memaafkan orang yang berbuat salah dengan kita, umpama seperti kita cuba mengulang imbas kesilapan mereka dan cuba menoreh-noreh bekas luka yang masih terluka itu. Pedih bukan?

Namun itu yang kita pilih.
Memang bukan mudah untuk melupakan apa yang sudah orang lain lakukan pada kita, apatah lagi ia begitu mengguris hati kita. Tetapi fikirkanlah tentang dia, jika dia mati dalam keadaan kita tidak memaafkannya bagaimana? Kasihan dia bukan?

Dan sesungguhnya mereka itu hanya manusia biasa, terkadang khilaf dalam bicara, khilaf dalam perbuatan.. Mungkin sahaja dia tidak sengaja mahu menyakiti hati kita, ataupun dia jahil dalam soal itu. maka berlapanglah dada, Allah itu Maha Pengampun apatah lagi kita ini yang hanya hamba.

Marahlah, kerana kita manusia kadang-kadang ada amarah. Tetapi amarah itu menyemarakkan keseronokan syaitan dalam memporak perandakan saudara seislam. Lalu, maafkanlah. Mereka itu saudara kita. Doakan mereka jika mereka berterusan menyakiti kita. Mungkin mereka belum mendapat hidayah, moga dengan doa kita hati mereka terkena biasan hidayah untuk berubah.

Satu yang kita perlu ingat adalah tentang dunia ini.
Ia bukan syurga, yang hanya indah-indah, yang baik-baik. Tidak.

Dunia ini penuh dengan perkara yang menguji kita, perkara yang menyakitkan kita. Lantas kerana itu barangsiapa yang sabar Allah akan naikkan darjatnya.

Kita percaya janji Allah itu kan? Maka bersabarlah tika ada yang menyakiti kita. Maafkanlah, mudah-mudahan tika tanapa sedar kita menyakiti hati orang lain, orang itu pula akan memaafkan kita dengan sungguh-sungguh.

Moga sepanjang jalan di dunia ini, Allah kurniakan kita kekuatan dan kesabaran untuk terus mencari redha-Nya.

Moga tidak jatuh dalam rasa putus asa, juga tidak tergelincir dalam rasa tidak bersangka baik dengan Allah..

Ya Allah, lindungi kami
Cintai kami
Kasihi kami
Pelihara kami
di sepanjang usia ini..
Ameen Ya Rabb

No comments:

Post a Comment