Pages

Wednesday, May 1, 2013

Yang Pertama: Manuskrip Novel


Manuskrip Novel Tarbiyyah: 'Melakar Pelangi'

Bismillah.. Hamdan lillah

Sejak tahun 2009, saya sudah mula berangan-angan ingin menyiapkan sebuah novel garapan sendiri. Novel yang saya kira dapat menyebarkan sedikit sebanyak manfaat untuk diri sendiri dan ummat. 

Tahun 2012, alhamdulillah penulisan novel 'Melakar Pelangi' telah sampai ke akhirnya. Kini setelah terperap di dalam timbunan fail laptop selama beberapa waktu, saya berusaha mencetaknya dengan niat untuk diusulkan kepada penerbit yang sudi menerima karya berupa novel tarbiyah untuk diterbitkan. 

Mohon doa yang membaca agar usaha ini Allah redha. 

Sunday, April 21, 2013

Allah Sayangkan Hamba-Nya



Bismillah.. Hamdan Lillah
Allah masih beri umur untuk hari ini. Walaupun tidak berapa sihat, atas musibah kecil yang berulang, namun inilah kifarah dosa.

Kadangkala, bila sakit itu menggigit-gigit rasa, hati tidak mampu bersabar. Rasa hendak menangis dan selalu bertanya sendiri, 'adakah dosa-dosaku masih belum terlunas dengan kifarah-kifarah yang diberikan padaku.'

astaghfirullah.. Ampunkanlah aku ini ya Allah. Hati ini lemah, tetapi Engkau sahaja yang menguatkannya. Hati ini rapuh tatkala dirempuh ujian, tetapi Engkau sahaja yang mengukuhkannya

Allah menguatkan hati hamba-Nya yang lemah dengan ujian, Allah dekatkan hamba-Nya dengan ujian, Allah sembuhkan hati hamba-Nya dengan ujian.

Allah sayang dan cinta sangat pada hamba-Nya melalui ujian. Dan betapa sihat itu merupakan nikmat yang tak terperi. Kini setiap kali sakit datang, barulah rasa nikmatnya sihat untuk beribadah, untuk baca al-Quran, untuk menulis sesuatu dan untuk buat kerja seharian yang mengundang redha Allah

Allahu Syafii.. Anta Syafi syifa'an la yughadiru saqaman.. ameen

Friday, April 19, 2013

Allah Merancang Untuk Kita





بسم الله الرحمن الرحيم

Meniti hari-hari baru dengan penuh kesyukuran, sesungguhnya kita ini sepatutnya malu. Malu kepada Allah lantaran nikmat demi nikmat kita dapat tetapi terus-terusan dengan kelalaian dan tidak taat pada-Nya. 

Dikatakan berkenaan perancangan hidup, sungguh ketika ini tiada perancangan berkaitan pasangan hidup. Apatah lagi hendak mencari pengganti buat yang telah hilang pergi mencari bahagia hidupnya. Yang pasti di hadapan ketika ini ialah soal pendidikan. 

Berkira-kira sejak september 2012 yang lalu, saya mengharap untuk terbang ke bumi Syam dalam masa terdekat. Lantaran hati dirundung kesedihan dan pelbagai ancaman perasaan, saya terlalu mahu Allah izinkan saya pergi ke sana secepat mungkin. Tetapi perancangan Allah itu adalah yang terbaik. 

Masa berlalu, saya tidak sempat menghabiskan thesis Master saya sebelum bulan Jun, dan ia berlarutan hingga ke bulan oktober. Dan kemudian tidak sempat untuk mengejar kemasukan untuk ke universiti bagi bulan Feb 2013.

Ala kulli hal, kini sudah menginjak ke bulan April. Dan diri masih menanti surat tawaran dari sana. Sungguh ketika ini, hati semakin faham bahawa ada sebab mengapa Allah tidak izinkan saya untuk terbang jauh di bulan-bulan lalu. Ia tidak lain adalah untuk saya yang lemah hati ini membetulkan niat. 

Pergi ke sana bukan untuk larikan diri, bukan kerana frust, tetapi untuk mencari diri yang hilang, untuk kembalikan kesucian diri yang telah dicemar dosa, dan untuk apa-apa yang Allah redha berkaitan hidup ini. 

Allah Merancang Untuk Kita. Moga Allah izinkan. 

Sesungguhnya mintalah pada Allah dengan keyakinan bahawa Allah akan memakbulkan doa kita itu.
Wahai Allah, kabulkan permintaanku dan permintaan umat Islam seluruhnya. 

Saturday, April 13, 2013

Peristiwa Kertas Yang Terkoyak



Hamdan Lillah atas nikmat umur, atas nikmat iman dan Islam, dan juga atas nikmat kasih sayang Allah Subhaanahu wa taala yang menutup keaiban kita semua.

Hampir sebulan tidak menulis apa-apa di laman sendiri, atas sebab laptop yang minta diformat setelah hampir setahun setengah tidak dibaiki.

Tiada apa yang mahu dikisahkan, hanya sedikit kisah mengenai pengalaman mendidik. Jujur dari hati yang dalam, jiwa saya rapat untuk menjadi guru, tetapi saya juga manusia biasa. Yang kadangkala diuji dengan kerenah pelajar yang buat tidak tahu dengan guru yang mengajar di hadapan.

Ketika kelas dimulakan dan pelajar-pelajar lain sudah sedia dengan buku teks bahasa arab, seorang pelajar perempuan masih tidak bergerak mengambil buku. Leka dan buat tidak tahu sahaja sambil menulis sesuatu di atas kertas berwarna merah. Hati saya dihurung emosi, tidak berniat hendak marah, apatah lagi merampas kertasnya lalu membuang ke dalam tong sampah seperti yang selalu saya lihat di televisyen.

Saya datang kepada dia, lalu menarik kertasnya dengan niat agar dia segera simpan dan menumpukan perhatian pada pelajaran. Tiba-tiba dia juga menarik kertas tersebut dan kertas itu terkoyak di bahagian tangan saya yang menariknya.

Hati saya terpempan. Bercampur baur. Marah, sedih, serba salah. Lalu saya kembali ke depan dan mengingatkan kembali pelajar agar tumpukan perhatian.

Tidak lama kemudian, ketika saya meminta pelajar-pelajar buat latihan, saya dekati pelajar tadi dan berkata: "Maaf ye, ustazah terkoyakkan kertas kamu".

Alhamdulillah dia masih sudi nak senyum dengan saya.

Dia ambil masa buat latihan itu untuk menulis kembali kertas berwarna tersebut. Dan berkata kepada saya dengan nada berseloroh:

"Habis cacat kertas saya".

Ada sedikit rasa tersinggung dan geram. Tapi saya cuba memahami keadaan dan umur pelajar tingkatan satu itu. Dia memberikan alasan pada saya: "Saya nak beri pada kakak tersebut, kalau buat waktu prep nanti takut dia nampak".

Barulah saya faham. Namun, saya masih belajar untuk memberitahu apa dan bagaimana sepatutnya pelajar menghormati dan memberi perhatian kepada guru ketika di dalam kelas.

Sungguh, menjadi guru bukan sesuatu yang mudah. Berhadapan dengan pelajar kelas terakhir, dan masih dalam usia perpindahan dari kanak-kanak kepada dewasa memang sangat menguji kesabaran. Lalu saya belajar bahawa, tidak perlu terlalu fokus pada pelajar yang tidak mahu diajar, sedang pelajar lain mahu mengambil ilmu dari guru-guru pula kita kesampingkan.

Saya pulang dalam keadaan hendak menangis, betapa kadang-kadang rasa tidak kuat untuk menahan sabar. Betapa kadang-kadang juga saya rasa bahawa saya ini tidak bersyukur dengan pintaan yang pernah saya minta. Dan saat Allah berikan kesempatan itu, maka saya banyak mengeluh.

Allahu Rabbi. Kuatkan hati ini. Jangan biarkan ia lemah. Jangan biarkan diri ini menyakiti anak didik sendiri.

Dan semalam ketika masuk kelas, saya kembali bertanya pelajar tersebut:
"Nak ustazah ganti ke kertas semalam?"

Dia menjawab: "Takpelah ustazah, dah bagi pun kertas itu"

Dan dia masih sudi senyum dan tiba-tiba perasaan saya jadi luar biasa apabila tiba-tiba pelajar perempuan di belakang kelas ramai yang mengadu itu ini dengan saya.

Ya Allah, aku minta jangan jadikan aku murid yang tidak mengenang jasa guru, juga guru yang tidak menyayangi anak didiknya. Jadikan aku hamba yang ikhlas dalam membenih amal di dunia ini.

Saturday, March 2, 2013

Soal itu Lagi



"Ustazah, Darwisy tanya. Ustazah dah kahwin ke?"

Satu kelas pecah ketawa.
Dan saya yang sedang berdiri di depan kelas menunggu pelajar-pelajar siap menyalin memandang budak yang bertanya.

"Ish, mana ada ustazah."
Pelajar yang cuba mengusik saya mengelak.

Dan saya yang tidak berapa sihat lagi terpecah sedikit ketawa.

"Kamu ni sibuk je kan? Penting sangat ke?"

Seorang pelajar lagi menjawab, "Penting ustazah, nanti dia nak pergi kenduri kahwin ustazah".

Malas saya nak melayan. Saya diam dan senyum sahaja.

"Ustazah dah ada pakwe?"

"Kamu ni...."

"Ustazah dan ada tunang? Bakal.."

Huhu.. Berhentilah. Mahu sahaja saya jerit. Tapi mereka budak-budak yang masih mahu teransit ke alam dewasa. Tidak tahu bertanya sambil meraikan emosi kita.

Walaupun soalan yang sama bertubi-tubi datang, dari yang kecik ke yang besar, dari yang tua ke muda, kita masih di sini. Dengan status kita yang belum bertukar.

Harus saya ingatkan semula. Jika jodoh itu di tangan kita, mengikut apa yang kita rasa baik dan okay untuk kita, maka tak kisah jika soalan seperti 'Bila nak kahwin' itu selalu ditanya.

Tetapi jodoh itu dari Allah. Kita usaha dan doa. Tapi kalau Allah kata belum sampai masanya, atau memang kita tak jumpa jodoh kita kat dunia. Maka apa lagi yang perlu kita jawab.

Memang hidup bukan semata-mata nak ada pasangan. Sebab saya kira, berapa ramai suami yang nak membuang isterinya, dan berapa ramai isteri nak membuang suaminya. Dan kalaulah manusia itu boleh gembira, bahagia, tenang dan aman hanya dengan berkahwin, maka mengapa masih ada lagi rumahtangga yang tidak bahagia, tidak aman dan tidak gembira.

Nyata, sesungguhnya iman itu yang menjamin segalanya. Hidup bersendirian kalau ada iman, akan menambat bahagia. Asal sahaja tidak menafikan tuntutan berkahwin. Tetapi kita kena hormati sebab mengapa orang tertentu tidak berkahwin. Kita semua hidup tidak sama, jalan berbeza. Dan kita tidak boleh samakan sebab kita dan sebab mereka.

Moga Allah sabarkan hati kita dalam melewati hidup dengan manusia-manusia yang bermacam-macam ragam.



Monday, February 25, 2013

Forgive Me Ya Allah

"We often wonder why those we love most also cause us the most pain. The reason is that anything other than God (our children, our spouses, our money, our jobs, our desires) that we place at the center of our existence *will* be the cause of our greatest pain."~ Yasmin Mogahed

Allahu Allah
Forgive me Ya Allah :(


Meluah Tidak Selalunya Mengeluh



Kadangkala hati dapat menebak
Kerana firasat wanita itu sangat kuat
Mungkin kerana wanita itu diberi emosi yang lebih kuat

Kerapkali dalam rahsianya niat seseorang
Lalu mengutus salam dan kata nasihat
Kita dapat membaca siapa yang mengirimkannya
Mungkin kerana seseorang itu pernah menjadi orang yang sangat dekat dengan kita
Apatah lagi pernah menjadi insan yang kerap berutus bicara
Maka lenggok kata dan maksudnya dapat kita baca

Maaf dari hati ini yang dalam
Terkadang tak mampu untuk mengadu pada manusia
Hanya mampu mengadu pada Tuhan
Dalam nangis dan retak hati
Itulah yang meredakan kesedihan ini

Tetapi sebagai manusia
Tidak dapat tidak hati berhajat untuk meluah
Mungkin bukan dengan kata-kata
Mungkin bukan dengan jeritan dan tangisan yang kuat
Tetapi diri ini meluah dengan tulisan yang bisu
Dalam bisunya itu bisa ditafsir dengan apa-apa makna sekalipun
Dan meluah itu tidak selalu membawa makna mengeluh

Andailah diri ini sudah berputus asa dari hidup
Maka tulisan di sini tidak akan menari lagi
Tetapi kerana perjalanan ini memerlukan mujahadah
Dan keyakinan dengan sungguh pada-Nya
Maka digagahkan juga walaupun ia sarat dengan mendung yang muram

Apa yang berlaku sekalipun
Terima kasih buat insan yang memberi nasihat
Walau siapapun kamu
Dan detik hati kuat mengenali itu adalah kamu
Moga Allah berikan kebaikan untuk kita semua
Kita semua
Ya, dunia ini sekejap
Dan dalam sekejap itu
Ku rasa tidak salah perasaan ini
Hanya sedang berusaha mencantumkan hati yang retak
Agar menjadi indah semula



Sunday, February 24, 2013

Hati Yang Merajuk


Merasa sudah lama tidak menulis dengan serius, dengan penuh dari hati. Mungkin ada yang mengikuti blog ini (walaupun saya tidak tahu adakah ada ataupun tidak) untuk mencari sedikit kelegaan pada bait-bait tulisan yang tidak seberapa di laman ini. 

Namun saya akui, kelemahan saya mengurus hidup dan mengurus hati membuatkan saya sendiri terpaksa mencari ketenangan dari laman orang lain. Tulisan-tulisan dari beberapa bulan lalu hanya berbau kesedihan, yang entah kenapa begitu sukar untuk saya terbangkan dari hidup ini. 

Maafkan saya, mungkin kerana rajuk hati ini membuat saya tidak tahu untuk memujuk hati orang lain lagi. Maaf andai ada hak seorang sahabat yang memerlukan nasihat dan menjadi kolam hati buatnya tidak dapat saya penuhi. 

Nyata, ketika ini saya bukanlah pendengar yang baik. Kerana setiap kali luahan itu datang berupa masalah cinta dan kehidupan alam perkahwinan, nyata ia membuatkan airmata saya sendiri mengalir. Saya tidak mampu untuk membantu, apatah lagi untuk terus mendengar kerana hati sendiri masih terluka dan hancur. 

Dan ketika ini, hati yang kerdil ini sedang cuba membinanya semula. Membina dari hancur dan mencantumkannya kembali menjadi sebuah hati yang indah semula. Hati yang penuh harapannya hanya kepada Allah, bukan kepada manusia. 

Saya teringat sebuah status yang pernah saya kongsikan dari hati saya:
Jika hati kita luka dan kecewa
Kembalikan kepada Pencipta-nya
Hanya pemiliknya yang mampu ubati dan baikinya semula
Dialah Tuhan kita
Allah yang Maha Pencipta

Dan saya nyata sedang mencari kekuatan untuk menyerahkan hati ini semula kepada Tuhan. Rupanya tidak mudah melepaskan apa yang ada di hati. Lebih-lebih lagi apabila yang kita letak itu adalah dunia. Saya lupa bahawa dunia itu perlu kita letak di tangan, bukan di hati. Dan itu adalah silap saya yang saya cuba untuk tidak mengulanginya lagi. 

Dan setelah pernah jauh dari Allah, saya rasakan masa bersendiri yang Allah pinjamkan ini adalah ruang untuk perbaiki diri. Perbaiki diri dan mengisi masa untuk menggantikan masa-masa lalu yang penuh dengan segunung derhaka. 

Wahai Allah. Biarkan aku hidup sendiri jika itu baik untuk dunia dan akhiratku. Matikan aku dalam redha-Mu dan aku redha dengan segala ketentuan-Mu. 

Wahai Allah, kurniakan aku syurga-Mu. Walau aku tidak layak untuk memintanya, namun aku sangat berharap agar aku menjadi hamba-Mu yang terpilih menghuninya. Berikan aku kekuatan untuk meneruskan perjalanan ini dan meraih syurga-Mu walaupun bukan dengan ikatan itu. 

Moga Engkau redha, dan Engkau Maha Tahu apa yang ada di dalam hatiku. 

Berhenti

Sebenarnya hati sedang berusaha untuk kuat
Kuat jasad tidak sama dengan kuat di hati

Menunggu masa-masa berlalu
Menunggu impian dan harapan
Kadangkala kita lupa nikmat yang telah ada
Nikmat yang seribu kali membuat kita senyum berbanding yang satu itu

Allah
Jangan jadikan aku ini kufur akan nikmat-Mu
Padaku kini
Cukuplah andai Kau tak beri apa yang tidak baik untukku
Agar aku mampu bahagia dengan apa yang baik buatku



Wahai Allah,
Mengapa jalan ini kurasakan sukar
Sukar untuk membuang rasa ini
Dan sukar untuk menghilangkan segunung dosa-dosa lalu.

Wahai Allah
Izinkan aku mengutip cinta
Cinta-Mu yang teragung
Dan cinta orang yang Kau cintai
Juga cinta orang yang mencintai-Mu

Izinkan aku untuk tabah dalam setiap hela nafas ini
Dan redhakanlah setiap langkah yang kujejak di dunia-Mu ini

Ampunkan aku dalam setiap keluhan
Hilangkan rasa penat dengan ujian-Mu
Ya Allah
Aku mohon thabatkan hatiku untuk terus bersangka baik dengan takdir-Mu
Jadikan akhirat itu tujuan tertinggi aku
Walau aku tidak dapat ia di dunia ini

Ameen ya Allah


Saturday, February 23, 2013

Kuatkanlah..



Beberapa waktu lalu, mendapat berita yang membuat hati lemah, sedih dan seakan hilang harapan. Airmata sendiri mengalir laju. Saya bertanya hati sendiri, 'Adakah ini kaffarah atas dosa-dosa lalu? Apakah aku seorang yang perlu menanggung ini sendirian?'

Entah kenapa, setelah hampir bertahun-tahun, hati masih tidak boleh membuang semua itu. Mungkin kerana diri yang meletakkannya di hati, tetapi tidak di tangan.

Teringat seorang ustaz berkata; Letakkanlah dunia itu di tangan. Bukan di hati. agar jika suatu hari kita terpaksa melepaskan ianya pergi, kita tidak akan terlalu bersedih hati.

Dan kesilapan lalu saya adalah, saya meletakkan ia di hati. Memberikan spenuh hati tanpa berfikir natijah di akhirnya. Allahu Allah..

Kadang-kadang, hati memberontak berkata: 'Kenapa aku yang perlu rasa begini? Dan mereka bahagia dengan pilihan yang mereka buat?'

Tetapi sebagai seorang hamba, kita sememangnya harus melihat semua itu sebagai ujian, dan selayaknya sebagai seorang hamba kita memang layak diuji. Dan ujian itu, kita harus lihat ia sebagai penghapus dosa, bukan sebagai pemberat dalam hidup kita. Ujian itu harus kita lihat sebagai tanda kasih sayang Allah, bukan sebagai tanda amarah dan murka-Nya pada kita.

Hingga kini, hati masih cuba untuk kuat dalam sangka baik pada Allah. Yakin, Allah pasti beri yang terbaik buat kita dunia dan akhirat. Dan andailah manusia itu telah menzalimi kita, Allah lebih mengetahuinya. Dan Allahlah sebaik-baik pemberi balasan. Kita tidak dibolehkan mendoakan keburukan buat manusia lain, kerana takut-takut doa itu kembali kepada kita juga. Sepertimana doa yang baik, yang kita tuturkan buat seseorang dalam keadaan dia tidak tahu, maka doa itu akan kembali untuk kita juga.

Hanya yakin dan sabarlah yang mengubat segalanya.

Ya Allah. Berikan aku bahagia walaupun aku perlu lalui jalan hidup ini sendirian. Tetapi jangan biarkan aku sendirian tanpa-Mu.. Allahumma ameen