Pages

Sunday, February 24, 2013

Hati Yang Merajuk


Merasa sudah lama tidak menulis dengan serius, dengan penuh dari hati. Mungkin ada yang mengikuti blog ini (walaupun saya tidak tahu adakah ada ataupun tidak) untuk mencari sedikit kelegaan pada bait-bait tulisan yang tidak seberapa di laman ini. 

Namun saya akui, kelemahan saya mengurus hidup dan mengurus hati membuatkan saya sendiri terpaksa mencari ketenangan dari laman orang lain. Tulisan-tulisan dari beberapa bulan lalu hanya berbau kesedihan, yang entah kenapa begitu sukar untuk saya terbangkan dari hidup ini. 

Maafkan saya, mungkin kerana rajuk hati ini membuat saya tidak tahu untuk memujuk hati orang lain lagi. Maaf andai ada hak seorang sahabat yang memerlukan nasihat dan menjadi kolam hati buatnya tidak dapat saya penuhi. 

Nyata, ketika ini saya bukanlah pendengar yang baik. Kerana setiap kali luahan itu datang berupa masalah cinta dan kehidupan alam perkahwinan, nyata ia membuatkan airmata saya sendiri mengalir. Saya tidak mampu untuk membantu, apatah lagi untuk terus mendengar kerana hati sendiri masih terluka dan hancur. 

Dan ketika ini, hati yang kerdil ini sedang cuba membinanya semula. Membina dari hancur dan mencantumkannya kembali menjadi sebuah hati yang indah semula. Hati yang penuh harapannya hanya kepada Allah, bukan kepada manusia. 

Saya teringat sebuah status yang pernah saya kongsikan dari hati saya:
Jika hati kita luka dan kecewa
Kembalikan kepada Pencipta-nya
Hanya pemiliknya yang mampu ubati dan baikinya semula
Dialah Tuhan kita
Allah yang Maha Pencipta

Dan saya nyata sedang mencari kekuatan untuk menyerahkan hati ini semula kepada Tuhan. Rupanya tidak mudah melepaskan apa yang ada di hati. Lebih-lebih lagi apabila yang kita letak itu adalah dunia. Saya lupa bahawa dunia itu perlu kita letak di tangan, bukan di hati. Dan itu adalah silap saya yang saya cuba untuk tidak mengulanginya lagi. 

Dan setelah pernah jauh dari Allah, saya rasakan masa bersendiri yang Allah pinjamkan ini adalah ruang untuk perbaiki diri. Perbaiki diri dan mengisi masa untuk menggantikan masa-masa lalu yang penuh dengan segunung derhaka. 

Wahai Allah. Biarkan aku hidup sendiri jika itu baik untuk dunia dan akhiratku. Matikan aku dalam redha-Mu dan aku redha dengan segala ketentuan-Mu. 

Wahai Allah, kurniakan aku syurga-Mu. Walau aku tidak layak untuk memintanya, namun aku sangat berharap agar aku menjadi hamba-Mu yang terpilih menghuninya. Berikan aku kekuatan untuk meneruskan perjalanan ini dan meraih syurga-Mu walaupun bukan dengan ikatan itu. 

Moga Engkau redha, dan Engkau Maha Tahu apa yang ada di dalam hatiku. 

2 comments:

  1. slm ukhti, sy kadang2 ada bc entry2 ukhti dlm blog ini.jgn byk mengeluh.klu dah betul2 serahkan hati pd Tuhan tak perlu gusar.teruskan hidup.hidup ini bkn nk ada pasangan semata2.mungkin ukhti prnh kecewa tapi sampai bila?usia kita tak panjang.maaf sekadar nasihat dari rakan seperjuangn.

    ReplyDelete
  2. Wsalam.. Terima kasih atas nasihat.. InsyaAllah semuanya akan baik bila tiba masanya..

    ReplyDelete