Untuk melewati badai kita harus terus berjalan, bukannya berhenti.. Dan untuk terus berjalan hanya ada dua hal yang harus kita terus bawa: Keyakinan dan Cinta..
Saturday, April 13, 2013
Peristiwa Kertas Yang Terkoyak
Hamdan Lillah atas nikmat umur, atas nikmat iman dan Islam, dan juga atas nikmat kasih sayang Allah Subhaanahu wa taala yang menutup keaiban kita semua.
Hampir sebulan tidak menulis apa-apa di laman sendiri, atas sebab laptop yang minta diformat setelah hampir setahun setengah tidak dibaiki.
Tiada apa yang mahu dikisahkan, hanya sedikit kisah mengenai pengalaman mendidik. Jujur dari hati yang dalam, jiwa saya rapat untuk menjadi guru, tetapi saya juga manusia biasa. Yang kadangkala diuji dengan kerenah pelajar yang buat tidak tahu dengan guru yang mengajar di hadapan.
Ketika kelas dimulakan dan pelajar-pelajar lain sudah sedia dengan buku teks bahasa arab, seorang pelajar perempuan masih tidak bergerak mengambil buku. Leka dan buat tidak tahu sahaja sambil menulis sesuatu di atas kertas berwarna merah. Hati saya dihurung emosi, tidak berniat hendak marah, apatah lagi merampas kertasnya lalu membuang ke dalam tong sampah seperti yang selalu saya lihat di televisyen.
Saya datang kepada dia, lalu menarik kertasnya dengan niat agar dia segera simpan dan menumpukan perhatian pada pelajaran. Tiba-tiba dia juga menarik kertas tersebut dan kertas itu terkoyak di bahagian tangan saya yang menariknya.
Hati saya terpempan. Bercampur baur. Marah, sedih, serba salah. Lalu saya kembali ke depan dan mengingatkan kembali pelajar agar tumpukan perhatian.
Tidak lama kemudian, ketika saya meminta pelajar-pelajar buat latihan, saya dekati pelajar tadi dan berkata: "Maaf ye, ustazah terkoyakkan kertas kamu".
Alhamdulillah dia masih sudi nak senyum dengan saya.
Dia ambil masa buat latihan itu untuk menulis kembali kertas berwarna tersebut. Dan berkata kepada saya dengan nada berseloroh:
"Habis cacat kertas saya".
Ada sedikit rasa tersinggung dan geram. Tapi saya cuba memahami keadaan dan umur pelajar tingkatan satu itu. Dia memberikan alasan pada saya: "Saya nak beri pada kakak tersebut, kalau buat waktu prep nanti takut dia nampak".
Barulah saya faham. Namun, saya masih belajar untuk memberitahu apa dan bagaimana sepatutnya pelajar menghormati dan memberi perhatian kepada guru ketika di dalam kelas.
Sungguh, menjadi guru bukan sesuatu yang mudah. Berhadapan dengan pelajar kelas terakhir, dan masih dalam usia perpindahan dari kanak-kanak kepada dewasa memang sangat menguji kesabaran. Lalu saya belajar bahawa, tidak perlu terlalu fokus pada pelajar yang tidak mahu diajar, sedang pelajar lain mahu mengambil ilmu dari guru-guru pula kita kesampingkan.
Saya pulang dalam keadaan hendak menangis, betapa kadang-kadang rasa tidak kuat untuk menahan sabar. Betapa kadang-kadang juga saya rasa bahawa saya ini tidak bersyukur dengan pintaan yang pernah saya minta. Dan saat Allah berikan kesempatan itu, maka saya banyak mengeluh.
Allahu Rabbi. Kuatkan hati ini. Jangan biarkan ia lemah. Jangan biarkan diri ini menyakiti anak didik sendiri.
Dan semalam ketika masuk kelas, saya kembali bertanya pelajar tersebut:
"Nak ustazah ganti ke kertas semalam?"
Dia menjawab: "Takpelah ustazah, dah bagi pun kertas itu"
Dan dia masih sudi senyum dan tiba-tiba perasaan saya jadi luar biasa apabila tiba-tiba pelajar perempuan di belakang kelas ramai yang mengadu itu ini dengan saya.
Ya Allah, aku minta jangan jadikan aku murid yang tidak mengenang jasa guru, juga guru yang tidak menyayangi anak didiknya. Jadikan aku hamba yang ikhlas dalam membenih amal di dunia ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment