Usai bersembang dengan abang di kampung berbincang berkenaan sesuatu, saya tidur dalam keadaan kepala yang sakit. Sakit mungkin kerana terlalu banyak berfikir dan merisaukan kemungkinan-kemungkinan mendatang.
Dan perkara utama yang sedang saya fikirkan adalah tentang kerja.
Terikat dengan cakap-cakap orang itu sangat menyakitkan. Saya terasa ingin mengabaikan semua kata-kata orang kerana semua itu tidak penting untuk saya fikir. Tetapi bila suatu saat kita berhadapan dengan ibu kita, dan bagaimana kita hendak menjawab dengan ibu kita berkaitan cakap-cakap orang kelak, itu sangat membuat jiwa sendiri berat.
Master. Itu bukan jaminan untuk saya atau sesiapa cepat memperolehi kerja. Kerana situasi saya sendiri berbeza dengan orang lain, maka saya punya alasan saya sendiri mengapa saya terpaksa memilih pekerjaan yang tidak mensyaratkan kontrak walaupun kelayakan itu ada pada sijil yang telah saya perolehi.
Itulah kehidupan. Kadangkala kita akan merasai tempoh kesusahan.
Dahulu ketika menyambung pengajian sarjana, untuk membayar yuran pengajian sahaja begitu susah. Alhamdulillah ibu saya membayar separuh dan saya berjanji untuk menggantikannya apabila ada wang kelak. Apa ibu saya balas: "Jangan cakap macam itu, anggap ini rezeki. Mak sedeqah untuk anak yang nak belajar".
Saya hendak menangis dan memang saya menangis. Saya terharu dan serba salah kerana sejak kecil sudah merasa susah dan menyusahkan ibuayah. Dan ketika ini juga saya susahkan mereka. Allah.. Dalam hati hendak bekerja sahaja. Mahu sahaja menangguhkan impian. Tetapi ibu suruh saya sambung juga dengan syarat jangan berhenti pertengahan jalan.
Di tahun pertama pengajian, saya diuji dengan masalah peribadi, masalah kewangan dan juga masalah pelajaran. Perjalanan Master sangat menguji hati sendiri. Dengan keadaan persekitaran yang menekan, ada yang mahu berhenti di tengah jalan dan itu sedikit sebanyak mengganggu ketetapan dan keyakinan hati saya.
Dari masalah peribadi yang membuatkan jiwa saya sangat sakit, dibawa kepada masalah kewangan yang membuatkan saya terpaksa menahan muka meminjam wang dari abang sendiri. Saya yakin, Allah akan beri rezeki bagi orang yang menuntut ilmu. Saya bertawakkal.
PTPTN saya ditolak. Saya menangis tidak tahu kenapa. Permohonan biasiswa di UPSI juga ditolak.
Tetapi bekal tawakkal, Allah buka jalan untuk memperolehi rezeki. Saya cuba untuk memohon felosiswazah di USIM atas makluman seorang sahabat yang sudi membantu memberikan info dan membantu saya juga sahabat2 lain menghantarkan permohonan di sana.
Temuduga berjalan dan alhamdulillah saya dilantik sebagai felosiswazah dan perlu menyambung pengajian master hingga PHD selesai. Itulah kontrak yang sedang saya terima dan terikat.
Dan kerana kontrak inilah, usai master saya mula sibuk menguruskan beberapa perkara berkaitan pengajian PHD. Dan Dekan dengan hujahnya mendorong kami pihak felosiswazah untuk menyambung pengajian ke luar negara.
Dan negara pilihan saya setakat ini adalah Jordan.
Saya terima beberapa halangan daripada beberapa orang. Mungkin kata-kata tersebut hanyalah sebagai nasihat. Alhamdulillah saya terima dengan baik. walaupun kadangkala apa yang dikatakan itu berbau tuduhan yang membuatkan hati sendiri sakit.
Usai IELTS, saya perlu uruskan thesis master, kemudian hadir ke kursus BTN dan kini dalam proses terjemahan sijil-sijil ke bahasa arab. Saya cuba untuk mengejar sesi akademik untuk kemsukan bulan feb, tetapi memandangkan tidak sempat, maka saya berhajat untuk menangguhkan ke bulan september.
Dan saya menceritakan semua ini adalah untuk membayangkan situasi saya, mengapa saya tidak mahu memohon kerja yang ditawarkan secara kontrak atau tetap. Kondisi saya memerlukan saya untuk memilih, bukan kerana saya terlalu memilih kerja.
Apa yang mahu saya katakan adalah, setiap manusia itu kondisi hidupnya berbeza. Kita tidak boleh hendak samakan mengapa dia itu belum bekerja sedangkan sudah ada Master? Memilih mungkin, nak kerja gaji ribu-ribu.
Kenapa orang itu belum kahwin, sedangkan umur dah banyak? Agaknya memilih sangat kot. Nanti dah ada phd lagi orang takut nak dekat.
Silalah kata apa yang hendak dikata. Jawapan saya senang je untuk orang yang selalu label, 'ada phd orang takut nak dekat'.
'Kalau dia takut nak dekat, ada orang lain akan datang dekat'.
Jodoh itu bukan pada manusia. Sama juga rezeki berupa kerja, anak dan sebagainya.
senang cerita, kita ini jagalah diri kita dan mulut kita. Jangan sampai menyakiti orang lain.
Mohon maaf andai ada yang terbaca, terasa di hati. Saya juga punya khilaf. Doakan saya dan saya doakan kalian.
Moga Allah redha.
No comments:
Post a Comment