Pages

Wednesday, December 26, 2012

UJIAN HIDUP




Kadangkala kita merasakan hidup kita ini susah. Susah hingga menyempitkan jiwa sendiri. Siapa yang tidak pernah dihimpit derita? Tidak pernah sesiapa berjalan di atas jalan kehidupan ini tidak disapa ujian.

Hanya bila ujian itu datang, bagaimana kita melihat dan menghadapinya. Adakah kita lari dari ujian itu atau pun kita hadapinya dengan penuh kekuatan dan ketabahan.

Seringkali kita dengar, apabila diuji, janganlah minta untuk dikecilkan ujian, tetapi mintalah untuk mempunyai hati yang tabah.

Ya, hati yang tabah itu mampu diraih. Bagaimana untuk meraihnya, kita perlukan kekuatan. Dan kekuatan itu tidak akan datang kecuali dengan ujian. Kerana itulah mengapa ujian itu Allah datangkan kepada kita silih berganti.

Jika kita amati, kita sebenarnya diuji dengan perkara yang sama. Sejak kita kecil mungkin sehingga kita besar, kita akan lalui perkara yang sama. Selagi kita belum lepas dari ujian itu dengan rasa redha dan lapang hati, selagi itulah Allah akan uji kita dengan perkara yang sama.

Selalunya, ujian yang berat itulah yang akan membuatkan kita dekat dengan Allah. Semakin kuat ujian, semakin kuat pergantungan kita kepada Allah.

Pernahkah anda mendengar kisah seekor monyet yang duduk di atas puncak pohon kelapa. Apabila angin taufan datang, semakin kuat cengkaman tangannya di pohon tersebut.
Kemudian datang pula angin yang sepoi-sepoi bahasa, monyet tersebut terliuk lentok dengan kedamaian angin tersebut hingga tidak tersedar tangannya yang mencengkam mula melonggar dan matanya hampir tertutup kerana dihantui rasa mengantuk. Tiba-tiba. Bumm.. monyet tadi jatuh di atas tanah.

Begitulah kita dengan ujian hidup. Apabila kita berada di zon selesa, tiada rasa susah, tiada kesulitan, kita semakin dilalaikan dengan kesenangan hidup hingga akhirnya kesenangan itu membuatkan kita semakin jatuh ke lembah kebinasaan.

Tetapi syukurlah tatkala Allah beri kita ujian. Ujian itu ibarat seperti angin taufan, sesekali mengejutkan kita dari kelalaian dan keasyikan hidup di dunia. Semakin kuat ujian, semakain kuat pegangan tangan kita pada janji Allah, semakin kuat kita menangis dan meminta pertolongan daripada Allah.

Sungguh, dalam ujian itu nyata ada nilai kasih dan sayang Allah. Hanya kita yang tidak memahami bagaimana bentuk cinta dan sayang Allah pada kita melalui ujian iitu.

Suka untuk saya ambil sebuah ayat yang mengisahkan, bagaimana kita ini selaku manusia diuji dengan manusia lain. Iaitu surah al-Furqan: ayat 20 yang bermaksud:

“Dan kami jadikan sebahagian kamu ujian bagi sebahagian yang lain, (untuk melihat) adakah kamu mahu bersabar”.

Ya, adakah kita mahu bersabar apabila diuji dengan manusia lain. Manusia yang menyakiti kita, yang berjanji kemudian memungkiri, manusia yang menghamburkan kata kesat, manusia yang menuduh kita dengan penuh kedustaan, manusia yang tidak pernah puas hati dengan kita dan berbagai-bagai lagi jenis manusia.

Dan tanpa kita sedar, kita juga merupakan ujian buat manusia lain. Mungkin kita ada melakukan kesilapan kepada orang lain, kerana itu kita dianjurkan untuk selalu meminta maaf terlebih dahulu walaupun kesalahan itu bukan dari kita.

Sungguh, dalam ujian itu, Allah sedang membuka ruang pahala untuk kita.ruang untuk kita mendapat pahala melalui ‘sabar’. Sungguh, untuk menjadi sabar itu tidak mudah. Perlukan mujahadah yang tinggi. Kerana itu tidak hairan mengapa orang yang bersabar itu Allah naikkan darjatnya dan balasannya adalah syurga yang sangat indah.

SubhanAllah. Maha baiknya Allah itu.

Maka saudara saudariku, tika ujian datang dalam hidup kita, mujahadahlah untuk bersabar. Jangan lari dari ujian itu, jangan minta dikecilkan ujian tetapi mintalah hati yang tabah untuk melaluinya. Temani ujian itu dengan sabar dan solat, adulah kepada Allah. Dia Maha Mendengar dan tidak pernah jemu untuk mendengar rintihan kita.

Hakikatnya, ujian itu untuk mendekatkan kita dengan Allah. Sumber segala rasa cinta. 

No comments:

Post a Comment