Khamis tengahari, menelefon emak. Bertanyakan khabar ayah. Emak beritahu, semalam (rabu) ayah tiba-tiba demam panas, tak nak makan hanya minum susu, tidak larat berjalan hingga perlu dipapah. Hati sudah tidak merasa enak. Dengar suara emak seperti sebak.
Petangnya, abang bawa ayah ke klinik. Doktor minta ayah dibawa ke hospital, tetapi ayah tidak mahu. Saya bertanyakan abang tentang ayah. Abang telefon dan meminta saya pulang. Rancang untuk pulang ke kampung pagi jumaat kerana abang2 yang lain sudah pulang terlebih dahulu. Hati sudah merasa seakan ayah akan pulang kepada Allah, tetapi saya segera tepis rasa itu.
Hampir hendak menitis airmata. Kebetulan berpuasa, dan dua orang sahabat datang ke bilik untuk berbuka bersama, alhamdulillah kurang sedikit kerisauan. Namun ia tidak hilang.
Jam hampir 11.20 malam, dan saya sudah hendak masuk tidur. Abang telefon beritahu minta saya siap-siap. Khabarnya ayah sudah teruk, mungkin tak sempat untuk balik esok. Saya bingkas mengemas pakaian. Hampir jam 12 malam abang sampai ke uia dan kami terus pulang.
Sepanjang jalan yang gelap, saya hanya termenung. Entah kenapa saya merasa ayah sudah pergi. Tetapi tiada siapa yang khabarkan begitu. Dilanda risau yang sangat. Allahu Allah..
Hampir jam 2.35 pagi, kami sampai ke rumah. Turun dari kereta, lihat rumah bawah tempat ayah berbaring, bilik dilimpahi cahaya lampu. Terdengar suara abang-abang membaca al-Quran. Dan yang saya temui adalah along saya. Along beritahu ayah sudah tiada.
Saya salah dengar kah? ketika itu mata saya belum mengalirkan tangis, belum percaya apa yang didengar. Kak long suruh masuk, tengok ayah. Saya, abang dan k long masuk, hanya ada sekujur tubuh ayah yang kurus. Ditutup dengan kain batik lepas.
Kak Long membuka kain yang menutupi muka almarhum ayah. Sejurus itu, saya terus menangis. Ya Allah, ayah yang selama ini saya nampak berjalan kini sudah diam kaku. Ayah sudah diambil pemiliknya kembali. Tangan dan muka ayah sudah kian sejuk.
3bulan lalu, ayah diserang demam panas. Hampir 2minggu. Saya pulang dan ketika itu ayah sudah hampir pulih. Cuma sahaja perut ayah semakin membesar. Tidak tahu kenapa, ayah kata angin tetapi tidak sakit. Bawa ke klinik, hanya diberi ubat angin.
Pertengahan bulan 5, ayah sudah semakin teruk, kaki membengkak, perut semakin membusung, makan sudah tidak boleh masuk. Lalu kami meminta abang yang menetap di kampung untuk bawa ayah ke klinik. Doktor nasihatkan untuk bawa kepada pakar di Ipoh. 2hari kemudian, dapat laporan doktor dan ayah dimasukkan ke hostpital teluk intan kerana disyaki menghidap Hepatitis B.
Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan, ayah semakin pulih. Perut yang membesar disebabkan air yang terkumpul dapat dikeluarkan. Makan sudah boleh. Alhamdulillah, 4hari kemudian ayah sudah dibenarkan pulang.
seminggu selepas itu, saya pulang semua ke rumah. Sengaja menemankan emak dan ayah. Membantu apa yang patut. Namun tuntutan pelajar memerlukan saya untuk pulang ke uia. 2minggu di kampung, lihat sayah begitu lagi. Banyak masanya terbaring. Kadang-kadang batuk.
Saya tidak pandai bertanya banyak pada ayah, mungkin kerana anak bongsu kurang sedikit bermanja dengan ayah. Namun saya tahu, ayah sebenarnya tahu saya sayangkannya. Walaupun sedih kehilangan, hidup ini perlu diteruskan, menambah bekal buat kehidupan selepas kematian kelak.
اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه
No comments:
Post a Comment