Kenangan itu masih terimbau-imbau. Alhamdulillah, itu rezeki saya dan 5sahabat lain. Mungkin memandangkan hanya kami sahaja yang memohon program tahfiz, maka kesemua kami diterima usai temuduga.
Menghafaz al-Quran tidak sama dengan menghafaz madah dan matapelajaran ketika sekolah. Ia memerlukan konsentrasi dan paling utama hati perlu disingkirkan dari maksiat-maksiat. Perlu istiqamah dan sabar. Yang penting perlu diulang-ulang.
Setiap minggu, ustaz akan meminta kami tasmi' 4muka. Kelas CCAC memperuntukkan 10 minggu untuk menghabiskan silibus. Jadi, dalam tempoh 10 minggu, pelajar akan dapat menghabiskan 2juzuk untuk hafazan.
Ternyata benar, al-Quran itu adalah nur dan sukar untuk orang yang hatinya tidak khusyuk dan fokus untuk mengabadikan di dalam jiwa.
Bacaan saya tersekat-sekat. Banyak yang saya lupa. Ustaz Farid Samad nampak cepat menangkap kesilapan saya. Lantaran banyak keterlupaan saya, ustazpun menegur: "Bercinta ke?". ustaz bertanya dalam nada hendak ketawa. Saya terkejut. "Apa dia ustaz?". Bukan tidak mendengar tetapi agak terkejut dengan soalan itu. "Ana tanya, bercinta ke?".
Saya tersipu-sipu malu menidakkan. astaghfirullah. Tidaklah begitu penting benar atau tidak saya melaluinya, tapi saya begitu terkesan dengan petanyaan ustaz. Saya lalu muhasabah kembali mengapa terkadang terlalu sukar untuk menghafaz. Mungkin benar, hati yang tidak khusyuk dan tidak bersih mana mungkin 'cahaya' itu hendak masuk ke dalam hati.
Walaupun sudah beberapa tahun peristiwa itu berlaku, setiap kali teringatkan pertanyaan ustaz itu saya geleng kepala sendiri. ada rasa gelihati dengan apa yang jadi.
Sepertimana Imam Syafie mengadu kepada gurunya tentang buruknya tahap hafalannya, lalu gurunya berkata: Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya tidak akan masuk ke dalam hati orang yang melakukan maksiat.
Muhasabah untuk diri sendiri, perbanyakkan istighfar kerana hidup kita sememangnya tidak lepas dari dosa. Lebih-lebih lagi dalam zaman fitnah ini terlalu mudah hati melakukan dosa dan maksiat. Moga Allah ampunkan dosa kita dan selalu menegur kita tika kita berbuat khilaf..
No comments:
Post a Comment