Pages

Wednesday, May 30, 2012

Kita Berbeza

"Berjalanlah di atas takdir-Nya 
dan percayalah bahawa Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita.."




Kadang-kadang hati dirundung resah. Bukanlah kerana tidak percaya kepada ketentuan-Nya, apatah lagi ingin memberontak dengan takdir-Nya, tetapi lumrah manusia itu kesedihan selalu meraja tatkala apa yang kita harapkan tidak kita perolehi.

Apatah lagi jika hati itu dimiliki oleh seorang wanita. Wanita yang dikurniakan dengan emosi yang kuat, jiwa yang mudah pecah. Apabil seorang lelaki ingin menyentuh hati seorang wanita, ingatlah selalu tujuan sebenar menyentuh hatinya. Adakah ia hanya bertujuan mengisi kesunyian, mengisi lompong masa dan jiwa, atau hanya untuk suka-suka?

Sebelum bergerak untuk menyentuh hatinya, ingatlah baik-baik apa yang Rasulullah SAW pesan kepada seorang lelaki yang tergesa-gesa membawa unta tunggangan wanita:

رفقا بالقوارير
Berlemah-lembutlah dengan kaca

SubhanAllah.. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW begitu menghargai wanita, berhati-hati dengan 'kaca'. Kaca itu bukannya boleh dihentak, diketuk, malah jika tersalah memasukkan air panas juga terkadang ia boleh pecah dan retak.

Hati wanita begitu. Jangan sesekali sentuh hatinya jika nantinya ia hanya akan melukakannya. Jangan beri dia harapan jika belum bersedia memuliakan walinya.

Saya tidaklah menyalahkan lelaki, tetapi seharusnya lelaki perlu belajar untuk memahami sifat wanita. Tegakah melihat kakak, adik perempuan dan ibu kalian diperlakukan dan disakiti oleh lelaki lain? Tidak kan? Sebab mereka itu adalah ahli keluargamu, belahan jiwamu. Kamu perlu melindungi mereka, menjaga hati mereka dari disakiti. Lalu mengapa kamu mahu perlakukan wanita lain sebegitu apabila kamu sendiri tidak rela ahli keluargamu diperlakukan sebegitu.

Ya, semua kata wanita lembik. Janganlah terlalu lembik. Sikit-sikit hendak menangis. Kecewa sedikit nak kurung diri, bunuh diri, makan ubat tidur. Ya, betul mereka salah. Cara mereka salah untuk keluar dari masalah. Tetapi adakah anda selaku lelaki bertanggungjawab menjaga jiwa mereka sebelum anda berani menyentuh jiwanya?

Jika tidak sudi memikirkannya tidak mengapa. Saya yakin Allah ada bersama jiwa-jiwa yang lemah ini. Jiwa yang yakin Allah itu selalu dekat pasti akan dikuatkan Allah swt.

Lelaki
Dan lelaki, haruslah belajar. Belajar untuk tidak cepat memberi harapan. Kerana wanita itu tidak sama dengan lelaki. Kamu bertanya tentang dirinya sahaja sudah membuat dia memikirkannya dua tiga hari, apatah lagi jika kamu mula luahkan rasa hati kamu, lalu kamu nantinya hanya katakan kamu tidak mahu ada apa-apa dengannya.

Itu sangat melukakannya dan membuat airmatanya jatuh.

Wanita
Dan wanita, kuatkanlah jiwamu. Maafkan mereka. Mungkin mereka tidak tahu dan masih belajar tentang sifat kalian. InsyaAllah mereka akan belajar menghargai yang lain pula nanti. Doakan orang yang pernah menyakitimu. Moga Allah ganjari kamu dengan sebuah ketenangan.

Untuk Kita
:: Hanya sebuah nota. Nota untuk kita saling tahu, untuk kita saling mengingat. Kerana soal hati ini bukan soal luaran. Sakit dan luka di luar itu mudah dibalut, mudah diubati. Tetapi yang di hati itu, tidak akan mudah hilang begitu sahaja. kerana itu, tika pernah menyakiti manusia lain, maafkanlah dan meminta maaflah. Belajar untuk itu kerana kita ternyata berbeza.


No comments:

Post a Comment