Pages

Wednesday, May 30, 2012

Kita Berbeza

"Berjalanlah di atas takdir-Nya 
dan percayalah bahawa Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita.."




Kadang-kadang hati dirundung resah. Bukanlah kerana tidak percaya kepada ketentuan-Nya, apatah lagi ingin memberontak dengan takdir-Nya, tetapi lumrah manusia itu kesedihan selalu meraja tatkala apa yang kita harapkan tidak kita perolehi.

Apatah lagi jika hati itu dimiliki oleh seorang wanita. Wanita yang dikurniakan dengan emosi yang kuat, jiwa yang mudah pecah. Apabil seorang lelaki ingin menyentuh hati seorang wanita, ingatlah selalu tujuan sebenar menyentuh hatinya. Adakah ia hanya bertujuan mengisi kesunyian, mengisi lompong masa dan jiwa, atau hanya untuk suka-suka?

Sebelum bergerak untuk menyentuh hatinya, ingatlah baik-baik apa yang Rasulullah SAW pesan kepada seorang lelaki yang tergesa-gesa membawa unta tunggangan wanita:

رفقا بالقوارير
Berlemah-lembutlah dengan kaca

SubhanAllah.. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW begitu menghargai wanita, berhati-hati dengan 'kaca'. Kaca itu bukannya boleh dihentak, diketuk, malah jika tersalah memasukkan air panas juga terkadang ia boleh pecah dan retak.

Hati wanita begitu. Jangan sesekali sentuh hatinya jika nantinya ia hanya akan melukakannya. Jangan beri dia harapan jika belum bersedia memuliakan walinya.

Saya tidaklah menyalahkan lelaki, tetapi seharusnya lelaki perlu belajar untuk memahami sifat wanita. Tegakah melihat kakak, adik perempuan dan ibu kalian diperlakukan dan disakiti oleh lelaki lain? Tidak kan? Sebab mereka itu adalah ahli keluargamu, belahan jiwamu. Kamu perlu melindungi mereka, menjaga hati mereka dari disakiti. Lalu mengapa kamu mahu perlakukan wanita lain sebegitu apabila kamu sendiri tidak rela ahli keluargamu diperlakukan sebegitu.

Ya, semua kata wanita lembik. Janganlah terlalu lembik. Sikit-sikit hendak menangis. Kecewa sedikit nak kurung diri, bunuh diri, makan ubat tidur. Ya, betul mereka salah. Cara mereka salah untuk keluar dari masalah. Tetapi adakah anda selaku lelaki bertanggungjawab menjaga jiwa mereka sebelum anda berani menyentuh jiwanya?

Jika tidak sudi memikirkannya tidak mengapa. Saya yakin Allah ada bersama jiwa-jiwa yang lemah ini. Jiwa yang yakin Allah itu selalu dekat pasti akan dikuatkan Allah swt.

Lelaki
Dan lelaki, haruslah belajar. Belajar untuk tidak cepat memberi harapan. Kerana wanita itu tidak sama dengan lelaki. Kamu bertanya tentang dirinya sahaja sudah membuat dia memikirkannya dua tiga hari, apatah lagi jika kamu mula luahkan rasa hati kamu, lalu kamu nantinya hanya katakan kamu tidak mahu ada apa-apa dengannya.

Itu sangat melukakannya dan membuat airmatanya jatuh.

Wanita
Dan wanita, kuatkanlah jiwamu. Maafkan mereka. Mungkin mereka tidak tahu dan masih belajar tentang sifat kalian. InsyaAllah mereka akan belajar menghargai yang lain pula nanti. Doakan orang yang pernah menyakitimu. Moga Allah ganjari kamu dengan sebuah ketenangan.

Untuk Kita
:: Hanya sebuah nota. Nota untuk kita saling tahu, untuk kita saling mengingat. Kerana soal hati ini bukan soal luaran. Sakit dan luka di luar itu mudah dibalut, mudah diubati. Tetapi yang di hati itu, tidak akan mudah hilang begitu sahaja. kerana itu, tika pernah menyakiti manusia lain, maafkanlah dan meminta maaflah. Belajar untuk itu kerana kita ternyata berbeza.


Saturday, May 26, 2012

Puisi: Mampukan aku senyum


Ya Allah
Jadikan aku hamba-Mu
Yang mampu mengukir senyum
Kala ditimpa duka
Kala dirundung kesedihan
Kala ditegur ujian

Mampukan aku senyum
Tatkala aku kehilangan
Tatkala aku kesepian
Tatkala aku kesakitan

Mampukan aku senyum
Jika ada yang mengirim duka
Jika ada yang meminta kata dua
Jika ada yang menagih nasihat

Mampukan aku senyum
Walaupun jiwa aku luka
Walaupun jiwa aku sakit

Aku minta kuatkan jiwaku
Untuk mengukir senyum
Dan terus menyulam doa
Agar Kau jagai kami semula
Dari jatuh ke tempat yang sama

Aku tiada apa-apa
Aku hanya berhajat kepada-Mu
Ya Rabbi

wardah almisk
26.06.2012
Teratak Kampung

Saturday, May 19, 2012

Bergeraklah

Kita selalu merungut dengan permasalahan kita
Tapi kita tidak bergerak untuk menyelesaikannya
Sekurang-kurangnya kita minta Allah bantu
Doa dengan sesungguhnya
Bukan mengadu itu ini dengan manusia
Dan berterusan dengan keluhan demi keluhan

Jangan sampai aura negatif kita
Justeru mempengaruhi manusia lain
Manusia juga ada had batasannya
Sebaik manapun dia mendengar
Atau mengaku menjadi pendengar yang baik
Dia juga punyai fikiran dan hati yang tak mampu ditambah dengan beban kita

Oleh itu
Belajarlah meminimumkan rungutan
Kerana itu kita ni tersangatlah berbeza dari Allah
Allah itu Maha Besar
Maha Mendengar
Maha Memberi
Kerana Allah itu
Semakin banyak manusia mengadu pada-Nya
Semakin itu Dia suka

Mungkin itu hikmah
Kita mula merasa bosan mendengar keluhan manusia
Yang tidak mahu bergerak menyelesaikan masalahnya
Supaya kita sedar
Bahawa sebaik manapun manusia itu
Allah lagi Maha Baik
Dan seberapa setianya manusia itu mendengar rungutan kita
Allah lagi setia mendengar rintihan kita

Lalu pintalah pada Allah
Mengadu pada-NYa
Jangan mengadu pada manusia
Kita tak dapat apa-apa
Hatta kadang-kadang menambah kekusutan sahaja
Tetapi bila kita mengadu dengan Allah
Allah akan beri kita rasa tenang
Malah akan bantu kita keluar dari masalah itu..

~ Moga jelas dan cerah

Thursday, May 17, 2012

Perjalanan Thesis


"Assalamualaikum ustazah"

Saya menyapa supervisor apabila beliau sampai di hadapan pejabatnya.

"Wa'alaikumussalam.. Haaa.. wardah, lama tak nampak. apakhabar? Baru semalam teringat manalah wardah pergi".

Saya ketawa dengan gelagat ustazah.

"Baru siap tashih lughah ustazah." Saya memberi respon.

Dr. Sofiah Samsudin. Beliau seorang murabbiah yang sangat baik, sangat membantu saya dalam perjalanan menulis thesis. Selama sebulan saya tidak bertemu dengan beliau untuk berbincang berkenaan thesis kerana perjalanan thesis saya tergantung di bahagian tashih lughah.

Hampir sebulan lalu, saya perlu mencari orang yang sanggup mentashih thesis saya yang berbahasa arab. Minggu pertama saya berusaha tanya orang itu dan ini. Ada yang tak merespon, ada yang kata takde kenal sesiapa, dan saya ketika itu mengharap seorang ustazah(arab) pelajar phd untuk membantu saya.

Minggu kedua saya merasa dukacita, kerana beliau ternyata tidak sanggup untuk membaca kesemua thesis saya disebabkan kekangan masanya. Tak mengapa saya memahami. Saya tidak putus asa, walaupun sebenarnya kegagalan mencari orang yang sanggup membantu saya itu membuatkan saya tak lena tidur dan tidak lalu makan. Saya berdoa dengan sesungguhnya mohon Allah bantu saya.

Alhamdulillah, sahabat saya, Suraya, membantu saya dengan bertanya kepada ustaznya yang berbangsa arab, juga alhamdulillah sahabat sekelas saya yang sudi membantu juga. Saya membagi-bagi thesis kepada beberapa bahagia supaya tidak memberatkan mereka untuk mentashih.

Hampir 3minggu, alhamdulillah kesemuanya sudah siap ditashih walau hanya tinggal baki beberapa muka surat. Untuk ini semua, tidak lain yang saya rasa melainkan saya sangat-sangat bersyukur. Memang pertolongan itu sebenarnya dari Allah, Allah-lah yang menggerakkan insan-insan yang baik ini untuk sanggup membantu saya.

Kerana itu, tiadalah apa yang mampu saya balas kebaikan mereka melainkan bingkisan-bingkisan doa moga Allah berkati insan-insan yang membantu saya ini, dan semoga selamat kehidupan mereka dunia dan akhirat..

Dan alhamdulillah, ustazah sudah meluluskan thesis untuk dihantar ke department untuk proses seterusnya iaitu 'second reader'. Moga perjalanan selepas ini dipermudahkan Allah hendaknya.. insyaAllah ameen

Penat
Letih
Hendak menangis
Kadang-kadang putus asa...
Memang menyiapkan thesis suatu pengalaman yang banyak kisahnya untuk dikenang.
Yang pasti setiap orang ada kisah yang dilalui sepanjang menyiapkan thesis ini.
Apapun, semuanya tidaklah mampu kita tangani melainkan dengan adanya bantuan dari Allah SWT.

Alhamdulillah 'ala kulli hal..

Ku sentuh cinta-Mu



Ku sentuh cinta-Mu
Yang terbias dalam nikmat
Yang tertanam dalam ujian

Dalam mengerti cinta-Mu
Aku terus berjalan mencari-Mu
Walau dalam mata tertutup
Walau dengan airmata meluruh
Walau dengan jiwa yang meruntuh

Pun jiwa ini
Terkadang rapuh diuji
Hingga menutup pintu nurani
Untuk disinggahi
Namun terkadang aku sedar
Bukanlah Allah sengaja menumpahkan derita
Buatku hamba yang biasa
Melainkan tanda Dia cinta
Untuk aku bertatih membina sabar

Setelah kesakitan demi kesakitan
Sesungguhnya aku merasakan
Sentuhan cinta dan kasih sayang Tuhan
Yang selalu membelai saat aku kesepian
Yang membalut jiwaku tika aku kelukaan
Adalah cinta yang tiada tandingan

Ya Allah
Aku pinta cinta-Mu
Dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu

~ Almisk
16 Mei 2012


اللهم اجعل حبك أحب إلي من نفسي وأهلي ومن الماء البارد
"Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku sukai daripada diriku sendiri, dan ahli keluargaku dan dari air yang dingin"
Allahumma ameen


Sunday, May 13, 2012

Ukhuwwah

Ketika masih 'kecil-kecil' di uia dahulu, saya selalu duduk di tepian dinding masjid uia usai solat asar. Saya suka lihat bulatan-bulatan kecil, ada suatu rasa yang menarik saya untuk suka padanya. Saya terlalu ingin duduk di dalam bulatan itu, cuma mungkin saya ini yang penyegan untuk bertanya dan tidak tahu bagaimana mahu bersama mereka.

Alhamdulillah, di tahun ketiga pengajian ijazah saya, ada seorang kakak kerap bersama saya, mendengarkan cerita saya. Saya memberanikan diri bertanya tentang bulatan kecil. dan sejak itu saya masuk bersama sahabat2 yang dikenali dengan panggilan 'akhawat'.

Sungguh usrah itu seakan makanan hati bagi saya. 
Saya rindukan mereka, akhawat yang selalu duduk-duduk bersama saya, datang ke bilik walaupun asrama mereka jauh, tak lelah mengajak saya ke program2.. saya sangat rindukan mereka. 

Benarlah, ukhuwwah itu memang untuk selama-lamanya.
Dan satu yang saya ingat pada hari pertama saya megikuti usrah, naqibah saya kata:
" Manisnya ukhuwwah itu adalah seperti manisnya krim"

Sungguh itu yang saya rasakan.. 

Ya Allah, jangan biarkan aku kehilangan sahabat2 yang baik.. 
Sahabat yang selalu ada tika aku sunyi, 
Yang selalu menghibur tika aku sedih, 
dan yang selalu menasihati tika aku lalai..
Kekalkanlah ukhuwwah ini
Dan izinkanlah kami bertemu kembali di syurga-Mu.. 
Allahumma ameen.. 


Akhawat yang 'OSEM' (2010)
Mereka ini akhawat yang sebaya dan sehati dengan saya.. Ada di antara mereka ini yang berdiri bersama saya ketika saya merasa sendiri dan menarik tangan saya untuk bersama merasai ukhuwwah yang manis itu.. Moga Allah temukan kita lagi walaupun sekarang kita semua sudah terpisah dengan jarak tempat dan waktu  :)

Wednesday, May 9, 2012

Syifa'

Dua raut wajah insan yang saya kasihi, yang mencintai sejak saya dilahirkan, yang membekalkan saya dengan ilmu agama, didikan, dan yang selalu memberikan saya senyuman.. Wajah ibuayah yang selalu hadir dalam ingatan.

Hati dilanda kerisauan lantaran ayah yang tidak berkurang sakitnya. Usai bersembang dengan emak lewat telefon, ada rasa hiba di hati.

 "Ya Allah.. kasihanilah ayah. Kurangkan kesakitannya dan kurniakannya kesihatan" 

Ya Rabbi
Permudahkan urusanku untuk berbakti kepada ibuayahku.
Tiada lain hanya itu.. 

اللهم رب الناس، مذهب الباس، اشف أنت الشافي، لا شافي إلا أنت، شفاء لا يغادر سقما


Monday, May 7, 2012

Seasons

"Your heart also has seasons. 
If it's winter, don't lose hope. 
Keep going. 
Spring always comes."
~Yasmin Mogahed


Saturday, May 5, 2012

'Nur'

Setiap kali tiba hari untuk tasmi' bacaan al-Quran, pasti hati berdebar-debar. Seminggu sekali diperuntukkan kelas tahfiz sebagai program yang ada jam kredit oleh CCAC uiam. Saya memilih mengambil kelas tahfiz berbanding kelas halaqah seperti pelajar-pelajar lain. Program ini memperuntukkan 6sem untuk 12 juzuk al-Quran. Syarat yang ketat dan payah kerana perlu melalui sesi temuduga yang memerlukan untuk hafal 1muka surat dalam masa 20 minit. 

Kenangan itu masih terimbau-imbau. Alhamdulillah, itu rezeki saya dan 5sahabat lain. Mungkin memandangkan hanya kami sahaja yang memohon program tahfiz, maka kesemua kami diterima usai temuduga. 

Menghafaz al-Quran tidak sama dengan menghafaz madah dan matapelajaran ketika sekolah. Ia memerlukan konsentrasi dan paling utama hati perlu disingkirkan dari maksiat-maksiat. Perlu istiqamah dan sabar. Yang penting perlu diulang-ulang. 

Setiap minggu, ustaz akan meminta kami tasmi' 4muka. Kelas CCAC memperuntukkan 10 minggu untuk menghabiskan silibus. Jadi, dalam tempoh 10 minggu, pelajar akan dapat menghabiskan 2juzuk untuk hafazan. 

Ternyata benar, al-Quran itu adalah nur dan sukar untuk orang yang hatinya tidak khusyuk dan fokus untuk mengabadikan di dalam jiwa. 

Bacaan saya tersekat-sekat. Banyak yang saya lupa. Ustaz Farid Samad nampak cepat menangkap kesilapan saya. Lantaran banyak keterlupaan saya, ustazpun menegur: "Bercinta ke?". ustaz bertanya dalam nada hendak ketawa. Saya terkejut. "Apa dia ustaz?". Bukan tidak mendengar tetapi agak terkejut dengan soalan itu. "Ana tanya, bercinta ke?".

Saya tersipu-sipu malu menidakkan. astaghfirullah. Tidaklah begitu penting benar atau tidak saya melaluinya, tapi saya begitu terkesan dengan petanyaan ustaz. Saya lalu muhasabah kembali mengapa terkadang terlalu sukar untuk menghafaz. Mungkin benar, hati yang tidak khusyuk dan tidak bersih mana mungkin 'cahaya' itu hendak masuk ke dalam hati. 

Walaupun sudah beberapa tahun peristiwa itu berlaku, setiap kali teringatkan pertanyaan ustaz itu saya geleng kepala sendiri. ada rasa gelihati dengan apa yang jadi. 

Sepertimana Imam Syafie mengadu kepada gurunya tentang buruknya tahap hafalannya, lalu gurunya berkata: Ilmu itu adalah cahaya, dan cahaya tidak akan masuk ke dalam hati orang yang melakukan maksiat. 

Muhasabah untuk diri sendiri, perbanyakkan istighfar kerana hidup kita sememangnya tidak lepas dari dosa. Lebih-lebih lagi dalam zaman fitnah ini terlalu mudah hati melakukan dosa dan maksiat. Moga Allah ampunkan dosa kita dan selalu menegur kita tika kita berbuat khilaf.. 


Friday, May 4, 2012

Menanti




Bunga itu
Bila hendak tunggu ia mekar
Kita rasa terseksa kerana lamanya

Tetapi bila ia cantik berkembang
Seakan-akan kita merasa bahawa 
kita tidak pernah menunggunya
kerana keindahannya

:)

Begitulah umpamanya harapan
Yang kita titipkan
dalam setiap doa kita
Kita merasa terlalu lama menunggu
Kadang2 apa yang kita harap tidak dapat
Tapi ternyata Allah berikan kita hikmah
Dan kita mula tersenyum syukur atas nikmatnya
Nikmat keimanan dan ketenangan
Dan kita terus yakin dalam jiwa
Bahawa Allah akan beri yang lebih baik kelak
Dan membuatkan kita merasai keindahan
Seperti melihat mekar indahnya sang bunga berkembang
InsyaAllah 

Thursday, May 3, 2012

Sebatas Hidup

Sangat mengkagumi tulisan Ukhti Fatimah Syarha.. Menerusi novel terbarunya "Cinta High Class", ia seperti menjawab persoalan2 yang tergantung di minda para pembaca siri novelnya 'Pemilik Cintaku Setelah Allah Dan Rasul'.

Beliau tidak mengatakan itu adalah kisah benar kehidupan beliau untuk menjaga hati dari rasa riak.. Tetapi mengikut pengamatan, kebiasaannya 80 peratus daripada kisah tertentu adalah berkisar tentang diri penulis sendiri.

MasyaAllah.. saya sangat teruja dengan liku2 perkenalan antara Ustazah Fatimah Syarha dan Dr Farhan Hadi. Benarlah, Allah janjikan yang solehah dengan yang soleh. Seorang Ustazah solehah dan seorang doktor yang soleh.

Perkenalan bukan semberono, malah dengan pantauan orang tengah. Dr Farhan Hadi menawa hati ibuayah bakal isterinya setelah istikharah dan tenang. Walaupun beliau masih di alam pengajian, beliau mempunyai perancangan jangka masa panjang. Pelajaran tidak terjejas, malah hubungan pertunangan yang terjaga antara kedua mereka sangat membantu membina rasa percaya selepas perkahwinan dibina.

sms, email dengan pemantauan ibubapa atau orang yang dipercaya, tidak melampaui batas. Tiada 'calling' sepanjang tempoh pertunangan. SubhanAllah, betapa mereka menjaga agama dan hati dari tusukan jarum syaitan.

Sungguh saya terinspirasi dengan jalan hidup mereka. Bukan bermakna tika mereka bahagia mereka tidak pernah diuji. Dan setiap orang akan diuji, sama ada dia itu menjaga agama-Nya ataupun tidak. Apatah lagi orang yang menjaga agaman-Nya lagi2 diuji oleh Allah.

Lumrah cinta, pastinya akan diuji. Mungkin Allah hendak lihat kita ini cinta siapa lebih. Cinta manusia atau cintakan Allah.. Syukurlah tika Allah memisahkan dari yang bukan untuk kita, mungkin untuk dipertemukan dengan yang lebih baik.

Saya teringat satu hari ibu saya bercerita tentang perbualannya dengan seorang kakak yang dalam berpantang. Kakak itu bertanya tentang saya dan ibu saya mengatakan bahawa saya sedang mangambil master dan merancang untuk menyambung di peringkat phd. Lalu spontan kakak itu berseloroh: "Mak cik kahwinkan dia dulu, nanti dah ada phd, orang laki takut nak dekat"

Saya ketawa sahaja dengar ibu bercerita, dan yang terpacul di bibir saya adalah: "Kalau dah jodoh tak kemana".  ibu saya mengiyakan. Mungkin kerana jalan hidup yang saya lalui tidak sama dengan jalan hidup kekanda2 saya sebelum ini. Saya berazam untuk menempuh jalan hidup ini dengan kekuatan dan ketabahan walaupun terkadang jatuh dalam rasa putus asa dan kesedihan.

Semua manusia berhajatkan kepada kesetiaan, kebaikan dan sebuah pengertian. Tidak kira lelaki dan perempuan, semuanya cenderung kepada mahukan kesetiaan. Kerana itu, tika kita mahu kesetiaan orang lain, maka kitalah dahulu yang setia. Dan tika orang lain sibuk mencari cinta dengan jalan2 yang tidak betul, berusahalah untuk mencari cinta dengan jalan yang betul.

Ya, mungkin kita pernah terjatuh ke jalan2 yang tidak lurus, jalan jahiliyyah. Kita terlalai dengan cinta manusia. namun, setelah sedar, perbaikilah diri. Mungkin Allah kenalkan kita kepada kekecewaan supaya kita dapat memperbaiki diri dan membersihkan diri untuk kehidupan mendatang.

Pada saya, biarlah orang mahu kata kita ini anak dara tua sekalipun, kerana ternyata hidup ini tidaklah lama untuk sekadar mengikut dan mendengar kata2 orang. Yang penting Allah redha dengan kita. Saya yakin, jika saya tak temuinya di dunia, saya akan menunggu cinta sejati saya di syurga, mudah2n itulah tempat yang diharapkan sebagai tempat kembali yang kekal. Dan untuk menghuni syurga-Nya, pastinya kita sendiri perlu persiapkan dengan amalan sebagai bekal di sana.

Moga Allah kekalkan jiwa ini untuk sentiasa merasa cinta kepada-Nya melebihi rasa cinta kepada manusia. Dan tika diuji dengan manusia, hanya Allah lah tempat untuk meminta pertolongan dan kekuatan.

Ya Allah..kuatkan jiwa dan langkahan ini. Biiznillah

Tuesday, May 1, 2012

IRKPG Conference 2012

Alhamdulillah.. usai conference untuk pelajar-pelajar irk postgraduate pada 24-25 April 2012..

Menyedari diri yang kerdil, niat menyertai seminar hanyalah untuk mengutip pengalaman dan butir hikmah dari komen ahli panel.. walaupun gementar, alhamdulillah semuanya berakhir. ada beberapa perkara saya belajar daripada beberapa siri seminar:
- Belajar untuk menerangkan dan memberi kefahaman kepada audiens, bukan hanya bercakap dan hanya kita yang faham.
- Apabila membentangkan power point, bentangkan apa yang penting sahaja.
- Bentangkan dalam tempoh masa yang diberi, jangan mengambil hak orang lain.

... dan banyak lagi yang saya dapat, dan saya rasakan masih banyak yang saya kurang dan perlu diperbaiki. soal bahasa, kefahaman, kemahiran mendengar dan memahami lahjah arab dan pelbagai lagi. Allah.. banyaknya yang saya kena baiki..

Permulaan Yang Meruntuhkan
Saya tertarik kepada sebuah taqdim yang berkisar tentang ikhtilat yang dibentangkan oleh Ukht Salma Sokri. Usai pembentangan, Dr Radwan mengulas dan memberi kalam nasihat yang sangat membekas. beliau berkata:

"Sesiapa yang memulakan hubungan dengan sesuatu yang haram, ia akan berakhir dengan talak". wal 'iyazubillah..

Kata-kata ustaz begitu mengetuk jiwa kami audiens di dewan. Jika melihat kepada realiti masyarakat, apa yang ustaz katakan benar-benar berlaku. Kebanyakan hubungan yang dimulakan dengan zina, berkahwin di luar negara tanpa restu ibubapa, hidup bersama seperti suami isteri walaupun belum sah adalah jalan-jalan menuju sebuah keretakan rumahtangga mendatang.

Dari segi soal pendidikan, masyarakat sudah biasa dengan boyfriend dan girlfriend sehinggakan jika remaja atau anakmuda yang tiada 'couple' dianggap suatu yang pelik. Budaya ini semakin menular di bangku sekolah sehingga ke universiti disebabkan percampuran yang semakin membimbangkan.

Saya teringat saudari Fatimah Syarha dalam sebuah program mengatakan, secara rasionalnya, bagaimana kita inginkan sebuah hubungan yang kekal sedangkan kita bina dengan asas yang rapuh. Kita nak berlayar di samudera yang luas, dan kita hanya membina sebuah sampan untuk melayarinya.

Dating, sms atau telefon tanpa urusan, dan sebagainya sebelum berkahwin hanya mewujudkan penyakit psikologi selepas rumahtangga dibina. Saling tidak percaya, saling mencurigai. Kerana apa? Kerana jika sebelum berkahwin si lelaki atau perempuan senang-senang menyerahkan diri untuk yang tidak halal, tiada jaminan untuk dia tidak begitu selepas berkahwin.

Melainkan jika mereka itu bertaubat dan kembali kepada Allah, menyedari kesilapan-kesilapan lalu. Memang bukan kita yang menjamin keteguhan rumahtangga seseorang, tetapi secara logiknya dan jika dipukulrata, kebanyakan keretakan rumahtangga berpunca dari permulaan yang tidak berkat.

Bidadari yang tertutup
Kemudian saya tertarik dengan ulasan dan nasihat dari Dr Abul Laith, beliau berkata:
" Dalam al-Quran Allah sebut حور مقصورة (Bidadari yang tertutup/terpelihara).. Allah tidak sebut حور مكشوفة (Bidadari yang terbuka).. dan bidadari ini merupakan antara nikmat yang sangat bernilai di syurga. kerana itu, wanita jika ia bernilai maka dia akan menutup dan memelihara dirinya dari menjadi bahan pameran lelaki ajnabi. Malah dalam soal berpakaian ketika bersama dengan ahli keluarga yang mahram juga, wanita seharusnya memakai pakaian yang sopan supaya hati ahli keluarga lain lebih terjaga dan mengelakkan perkara-perkara yang tidak diduga.

Jazahumullahu khair al jaza'..

SubhanAllah.. mereka antara pensyarah saya yang akan saya ingat sampai bila2.. Moga Allah memelihara mereka dan pensyarah2 lain yang tidak jemu2 menebar haruman ilmu kepada pelajar-pelajar yang terlalu dahagakannya..

Moga bertitik mula dari ini, jiwa akan mula kuat melangkah dan sentiasa menperbaharui niat dalam lapangan ilmu..