Manusia itu selagi namanya manusia
Tidakkan lepas dari berbuat salah
Terkadang tanpa niat untuk melukakan
Malah berusaha menjaga rasa
Namun terkadang usiknya jiwa
Membuakkan emosi yang berlahar
Lalu jiwa sakit dan kesedihan meraja
Hanya setelah rasa itu mula mereda
Tiada apa yang diri mampu berkata
Melainkan hanya kata maaf
Jauh di sudut jiwa
Bukan tidak cuba memahami
Rupanya tanpa sedar
Kita juga berbuat silap yang serupa
Dan hati memujuk
Mungkin Allah beri ujian kepada sesuatu hubungan itu
supaya manusia itu dapat membersihkan dirinya
Dari dosa-dosa lalu
Tika pernah lalai dan jauh dari-Nya
Untuk kehidupan yang lebih baik di masa depan..
اللهم ارزقنا الجنة في الفردوس الأعلى .. آمين
Ya Allah kurniakanlah kami syurga di syurga firdaus yang tertinggi.. ameen
Untuk melewati badai kita harus terus berjalan, bukannya berhenti.. Dan untuk terus berjalan hanya ada dua hal yang harus kita terus bawa: Keyakinan dan Cinta..
Sunday, April 29, 2012
Sebaris Ayat
"Sebuah lukisan yang indah
Kadang-kadang dari pelukis yang gundah"
MasyaAllah.. bait2 ini menyentuh hati sendiri
lakaran dari seorang murabbi yang tak lepas dari diuji
Dan saya banyak belajar dari beliau
Bermula dari sebuah ujian
Dan diuji dengan beberapa ujian selepas itu
Saya selalu ingat akan sebaris ayat dari surah al-Furqan: ayat 20
وَجَعَلْنَا بَعْضَكُمْ لِبَعْضٍ فِتْنَةً أَتَصْبِرُونَ
Maksudnya: "Dan kami jadikan sebahagian kamu ujian bagi sebahagian yang lain, untuk melihat adakah kamu bersabar"
Dan saya akan selalu teringat ayat ini tika diuji oleh manusia sendiri.
Mudah2n ujian itu mengajar kita untuk menjadi orang yang sabar
Melatih kita untuk menjadi hamba-Nya yang redha
Dan bersyukur dengan setiap teguran yang Maha Pencipta
Alhamdulillah 'ala kulli hal..
Kadang-kadang dari pelukis yang gundah"
MasyaAllah.. bait2 ini menyentuh hati sendiri
lakaran dari seorang murabbi yang tak lepas dari diuji
Dan saya banyak belajar dari beliau
Bermula dari sebuah ujian
Dan diuji dengan beberapa ujian selepas itu
Saya selalu ingat akan sebaris ayat dari surah al-Furqan: ayat 20
وَجَعَلْنَا بَعْضَكُمْ لِبَعْضٍ فِتْنَةً أَتَصْبِرُونَ
Maksudnya: "Dan kami jadikan sebahagian kamu ujian bagi sebahagian yang lain, untuk melihat adakah kamu bersabar"
Dan saya akan selalu teringat ayat ini tika diuji oleh manusia sendiri.
Mudah2n ujian itu mengajar kita untuk menjadi orang yang sabar
Melatih kita untuk menjadi hamba-Nya yang redha
Dan bersyukur dengan setiap teguran yang Maha Pencipta
Alhamdulillah 'ala kulli hal..
Thursday, April 26, 2012
Puisi: Jejak
Aku
masih menjejak
Di
atas garisan takdir yang tersedia
Jalan
itu masih ada retak-retak
Menghantarkan
aku pada sebuah kekeringan
Kering
rasa cinta
Kering
rasa bahagia
Jalan
di hadapan
Ada
awan bergerak
Lalu
renyai hujan
Mula
membasahi jalan yang bakal ku jejak
Lantas
alam tersenyum bahagia
Dan
setelah itu pelangi malu-malu menjelma
Pun
begitu
Setelah
kegembiraan itu
Ia
berselang seli dengan kesedihan
kekecewaan
kedukaan
Terkadang
meminta belas harap
Agar
hati yang berputik
Sudi
dipetik yang dipinta
Namun
siapalah kita
Andai
apa yang Tuhan kehendaki nantinya
Bukan
apa yang kita pinta
Tetapi
sudah pasti
Apa
yang Allah cipta
Terbaik
untuk jiwa yang ada
Untuk kuntum yang satu
Teruskan
perjalananmu
Jagalah harumanmu
Pasti
Tuhan kan pertemukannya denganmu
Biiznillah
almisk
22/04/2012
Saturday, April 21, 2012
Refleksi Diri: Mengapa Mahu Berkahwin?
Hari ini makan tengah hari bersama seorang sahabat, dan dia
memilih untuk makan di bilik saya. Banyak cerita mahu dikongsikan kerana
sudah agak lama tidak bertukar kisah memandangankan masing-masing sibuk dengan
thesis dan kerja.
Lalu sahabat saya membuka kisah berkenaan rakan
sekolahnya yang bertanyakan pendapatnya
tentang sesuatu.
Rakan sahabat saya menghantar mesej yang agak memeranjatkan, mana
tidaknya kerana ketika itu sahabat seorang ini sedang tekun memikirkan dan
menulis thesisnya. Rakannya meminta nasihat berkenaan sesuatu lewat sms:
“Boleh tak nasihatkan saya sedikit, saya rasa nak kahwin sangat”
Ada rasa gelihati dengan soalan itu, tapi saya tidak terkejut kerana sudah beberapa kalli saya mendengar orang mengadu begitu. Wajar sahaja usia sudah
menjangkau 26, sudah sepatutnya mungkin dia merasa tertekan. Lalu, sahabat saya
memusatkan perhatian untuk membalas mesejnya.
“Pertama sekali kita kena fikir kenapa kita kahwin? Adakah
kita berkahwin sebab kita lihat orang lain kahwin maka kita pun hendak kahwin. Ataupun
adakah kita berkahwin sebab nak bawa suami dan anak-anak kita ke syurga?
Yang kedua, Ingatlah bukanlah kita seorang yang belum berkahwin. Ada orang lain lagi seperti itu, ada yang sudah umur 40 masih juga belum jumpa jodoh. Jadi, yakinlah bahawa Allah itu Tahu bila jodoh kita akan
sampai dan Allah Maha Tahu apa dan bila masa yang terbaik untuk kita.”
Dan itu yang saya ingat sehingga sekarang. masyaAllah, saya
suka dengan sahabat saya ini. Dia seorang wanita yang kuat, walaupun perwatakan
dia bukanlah seperti 'wanita melayu terakhir' tetapi bagi saya dia punyai hati yang sangat lembut dan mudah
tersentuh. Dia selalu merendah diri dengan keadaannya, hati sahabat mana yang
tidak sedih jika sahabat sendiri merasa bahawa manusia hanya memandang rupa,
tidak kepada akhlak dan hati.
Sesungguhnya bila kita kenal manusia itu ada akhlak, maka automatik
segalanya cantik. Cantik itu tidak bersifat objektif. Kerana itu saya selalu
ingatkan dia bahawa ‘insyaAllah ada yang terbaik sedang menunggu dirimu’. Hati saya selalu berbisik: 'Pasti yang memilih kamu nanti orang yang benar-benar ikhlas kerana akhlak dan agamamu, bukan kerana yang lain.'
Berbalik kepada persoalan tadi, saya sangat membenarkan
kata-katanya bahawa kita harus merefleksi diri kita. Adakah kita mahu berkahwin
kerana melihat kawan-kawan kita seorang demi seorang berkahwin, ataukah kita
berkahwin hanya untuk lari dari masalah atau melupakan kesakitan hati, ataukah
kita berkahwin semata-mata untuk cari redha Allah.
Dan apa yang kita dapat adalah bergantung kepada niat kita
dipermulaan. Kerana itu saya semakin belajar bahawa hidup ini bukan hanya untuk
berkahwin walaupun terkadang merasa kesedihan, kesunyian, kesusahan bermujahadah.. kerana perkahwinan itu hanya salah satu daripada pintu-pintu
kebahagiaan. Sedang sebenarnya pintu kebahagiaan itu tersangat luas.
Maka luaskan dan lapangkanlah hati kita. Cari redha
Allah. Jika ditakdirkan kita ini perlu melalui jalan hidup ini bersendirian, maka
penuhilah dengan kebaikan-kebaikan dan amal soleh sepanjang hidup kita.
Thursday, April 19, 2012
Sepatutnya kita...
Kita ini selalu meletak harap bukan pada yang sepatutnya
Lalu bila kita dikecewakan kita mula menyalahkan Tuhan
Sepatutnya kita meletak harap kepada Allah
Kerana apabila kita dikecewakan kita akan selalu merasa bahawa Allah itu mahu beri yang lebih baik lagi untuk kita
Bukanlah apa yang baik itu menurut penilaian kita, tetapi apa yang baik itu adalah menurut neraca Allah swt.
Kerana itu apabila ujian demi ujian datang, cubalah merasai bahawa Allah itu sedang melatih kita untuk bersabar.. Bila Allah kasihkan hamba-Nya maka diujinya hamba itu sehingga dia itu benar-benar apabila mengharapkan sesuatu, dia meletak harapnya kepada Allah sahaja. Juga menyerahkan segala-galanya kepada Allah.
Allah mahu kita ini hanya berserah pada-Nya, bukan hanya semata usaha kita maka kita dapat sesuatu itu..
Allah mahu ajarkan kita tentang erti pergantungan sepenuhnya hanya kepada-Nya, bukan kepada makhluk-Nya..
~Moga Allah redha dan kita pula redha dengan ketentuan-Nya
Sunday, April 15, 2012
Ubat Hati
Di koperasi saya mencapai beberapa biji panadol di hadapan kaunter disebabkan badan tidak sihat. Mahu demam mungkin. Hidung sudah rasa tidak selesa sejak beberapa waktu.
Tiba di meja study, saya membelek mengapa panadol ini lain. Rupanya saya tersalah ambil, ubat itu untuk melegakan gastrik bukan untuk demam. Allah... Saya duduk dan ambil alternatif lain mengurangkan sakit kepala dan panas badan.
Begitulah kita, apabila kita sakit kita memerlukan ubat. Jika fizikal yang sakit mudah untuk dicari. Jumpa doktor, doktor akan beritahu ini dan ini, kena makan berapa dos. tapi bagaimana pula jika melibatkan penyakit rohani?
jika tersalah mengambil ubat, tentu sahaja ia tidak menyembuhkan malah menambah kesakitan dengan ubat yang tidak sesuai.
Apabila saya melalui pengalaman tersalah membeli ubat, saya memikirkan bagaimana tika kita ini sebagai manusia melalu penyakit hati lalu kita salah mengambil ubatnya. Contohnya apabila kita merasa tidak tenang kerana berbuat maksiat kepada Allah, kita teruskan sahaja maksiat itu untuk menenangkan hati kita. Contohnya jika stress seseorang itu ambil dadah, arak. Jika rindu pada kekasih berjumpa dan buat perkara tidak senonoh. Bagi mereka ia ubat untuk meredakan rasa, menenangkan jiwa tetapi hakikatnya ia tidak menenangkan dan meredakan penyakit itu bahkan ia menambah kesakitan-kesakitan dalam jiwa dan rohani.
Kerana itu kita perlu tahu, apa yang harus kita lakukan tika menghadapi masalah. Bukan bunuh diri, bukan ambil dadah, bukan minum arak tetapi dekatkan diri kepada Allah, solat, doa, merintih, dekat dengan orang alim.
Saya tidak pasti kata-kata siapa, tetapi ia selalu dilagukan oleh sebuah kumpulan nasyid dari indonesia tentang ubat hati yang lima:
1- Baca al-Quran dan maknanya
2- Berpuasa
3- Solat malam
4- Zikir dan ibadah malam
5- Berkumpullah dengan orang soleh
Tika kita merasakan kesakitan-kesakitan lain, makan ubatlah hati dengan pengaduan kepada-Nya. Minta Allah sembuhkan hati kita dari mazmumah, dari dosa tercela dan dari apa-apa yang membawa kepada ketidaktenangan dalam hidup kita.
Moga Allah beri kesembuhan kembali.. Moga sakit itu menghapuskan dosa-dosa lalu.. Allahumma ameen
Thursday, April 12, 2012
Membaja Taqwa
Hari Rabu, hari yang saya tunggu. Hari untuk membasahkan jiwa dengan iman, dengan Islam, dengan ukhuwwah. Walaupun latar belakang pendidikan saya adalah agama tetapi saya tidak lepas dari jatuh kepada jahiliyyah.
Usrah kali ini, naqibah beri penjelasan berkenan hadith ke-18 dari koleksi Hadith 40 Imam Nawawi. Salah satu intipatinya adalah berkenaan taqwa.
SubhanAllah.. begitu hebat orang yang bertaqwa. Sepertimana Abu Hurairah ditanya oleh sahabat dia menjawab:
Taqwa itu apabila kamu berjalan di lorong yang gelap dan penuh duri, kamu berhati-hati melaluinya.
Allah.. tercucuk duri ikan sudah sakit, apatah lagi duri-duri dosa. Bersyukurlah tika kita masih boleh merasa tidak tenang apabila melakukan dosa.
Saya juga manusia biasa. Tika mendegar perkongsian dari kakak naqibah apa yang ulama salaf katakan, ia benar-benar menyentuh hati saya.
Kita menyembunyikan dosa kita dari manusia, tetapi kita tidak sembunyikannya dari Allah. bagaimana kita ini tega meletakkan Allah di tempat kehinaan dengan memperlihatkan dosa kita kepada Allah ~ Begitu sedikit mafhum dari kata ulama salaf
Saya benar-benar terkesan. ada manik jernih yang mahu mengalir dari bening mata tapi ditahan. Saya merasa terlalu hebat orang bertaqwa sehingga saya merasa saya tidak sampai ke tahap itu.
Untuk mendapatkan taqwa, seharusnya kita berwaspada dari melakukan apa yang Allah larang, hatta perkara yang makruh juga kita cuba elakkan.
Untuk kita sebagai manusia, memang kadang-kadang kita jatuh di lembah jahiliyyah. Tetapi setelah sakit, jangan mengaduh di situ dan terus berlama-lamaan di dalamnya. Bangkitlah, mujahadah keluar dari lembah itu. Tika kamu sudah keluar, jangan menoleh dan ingat walau sedikitpun akan tempat jatuh kamu itu.
Beberapa tahun lalu, saya duduk di tepi masjid mendengar kuliah seorang ustaz. Dr Radwan Jamal, seorang pensyarah yang sangat saya hormati, kalamnya selalu menyentuh hati saya. Kalamnya dimulakan dengan permulaan yang ringkas tetapi begitu menyentap jiwa saya:
" Nikmat terbesar selepas nikmat Islam dan Iman adalah apabila Allah menyembunyikan keaiban kita"
SubhanAllah, maha Baiknya Allah itu pada kita. Kita ini selalu menyakiti Allah, membuat Dia murka, membuat maksiat di hadapan-Nya. Tetapi Allah masih beri kita peluang untuk kita perbaiki diri, bertaubat dan kembali kepada-Nya.
Lalu kita adakah kita menyahut panggilan-Nya, cinta-Nya?
Boleh sahaja Allah mencabut nyawa kita tatkala kita sedang buat maksiat. Tetapi Allah tidak buat begitu kepada kita, Allah itu ternyata Amat Pengasih dan Penyayang.
Lalu di sepanjang usia kita ini, muhasabahlah kembali berapa banyak sudah nikmat yang Allah beri, dan berapa banyak sudah ketaatan kita kepada-Nya.
Kalau kita sedang jauh dari-Nya, kembalilah kepada-Nya. Tika kita sedih kerana diuji, ingatlah semula bahawa dahulu kita pernah meminta untuk dikeluarkan dari ujian itu. Mungkin ini cara Allah mengabulkan doa kita.
MasyaAllah, kita ini tidak tahu sedang Allah itu Maha Tahu.
Mari perbaiki diri, berazam dan berusaha untuk menjadi hamba yang bertaqwa. Taqwa itu tidak mudah, tetapi ia tidak mustahil dengan mujahadah dengan 'membaja taqwa' dalam diri kita.
Mari bergerak menjadi hamba yang 'Muttaqin'.
Wallahu a'lam
Tuesday, April 10, 2012
Bila Sendu
Bila kusendu
Aku hanya ada Kamu
Tempat ku bergantung
Tempat ku mengadu
Dan bila hati cuba diutuh
Ia makin terus runtuh
Sungguh airmata itu
Memang tidak kenal tempat jatuh
Dan kerana itu
Pabila ku menyeru asma'-Mu
Hingga serpihan jiwa luluh
Bukanlah aku tidak redha dengan ketentuan-Mu
Apatah lagi melawan kehendak-Mu
Tetapi hanya kerna aku hamba-Mu
Hanya tangis penemanku
Penenang jiwaku
Saat aku tiada siapa melainkan-Mu
Dalam sendiri-sendiri aku mencari-Mu
Dan aku berbisik pada-Mu
Aku amat perlukan-Mu
Aku hanya mahu dekat dengan-Mu
Ujian itu
Mengembalikanku pada-Mu
Setelah langkahanku pernah lemah menuju-Mu
Kuatkan jiwaku
Dalam lelah hidup mencari redha-Mu..
~almisk
10.04.2012
Friday, April 6, 2012
Besarkan Jiwa
Pandangan saya menghantar dia pergi. sahabat yang selalu menziarahi saya di bilik, menemani saya dengan sembang-sembangnya. Tidak lepas juga dari berkongsi rasa tentang masalah-masalah kehidupan yang tidak berkesudahan. Moga kamu tenang sahabat.
Hati sendiri sedang kecamuk, tidak tenang. Mungkin apakah benar diri masih belum redha dengan ujian Allah.
Alhamdulillah usrah setiap minggu merupakan penguat jiwa saya, bertemu naqibah dan ahli usrah yang lain sungguh menapakkan saya pada bumi nyata. Selama ini saya hanya merasa pedihnya rasa hati, tapi rupanya insan lain lebih kuat diuji malah diuji dengan ujian penyakit dan pemergian orang yang disayangi untuk selamanya.
Hakikat kehidupan, memang kita bukan milik sesiapa. Yang kita miliki pula hanya pinjaman. Semuanya milik Allah. Dia berhak memberi lalu ambil kembali semuanya dari kita.
Begitu juga dengan rasa hati, kadang-kadang Allah izinkan untuk kita mendapat perasaan itu. Namun hakikat cinta, jika cinta pasti diuji. Begitulah cinta yang kita tuturkan kepada Allah. Kita kata cinta, tapi Allah mahu lihat kekuatan cinta kita itu sekuat mana. Maka diujinya kita.
Kadang-kadang manusia itu datang memberikan hati, tetapi tidak lama kemudian berubah rasa hatinya. Dari mahu kepada tidak mahu, dari tidak mahu kepada mahu.
Apabila kita melalui kehilangan orang yang kita meletakkan harap, ingatlah bahwa Allah ingin menguji kekuatan cinta kita pada-Nya. Allah mahu lihat kita cinta siapa lebih. Adakah kita sayangkan suami, isteri, anak-anak lebih dari sayang dan cinta kepada Allah.
Ia benar-benar menghantar saya kepada hentakan yang kuat menganai hakikat redha. Naqibah saya beritahu, apabila kita diuji dan kita terus bertanya mengapa dan mengapa ia berlaku, dan selepas semua itu baru kita bersabar, kita masih belum mencapai tahap redha.
Kerana itulah mungkin untuk mencapai kesabaran kita perlu belajar bersabar. Dan untuk mencapainya Allah uji kita lagi sehingga apabila kita diuji lagi kita akan belajar untuk redha dan sabar. subhanAllah, indahnya tarbiyyah Pencipta. Tika diri sendiri diuji, ingatlah kita masih punya Allah. Tika kita ditinggalkan, kita punya Allah dan itu sudah lebih dari cukup untuk kita.
Jangan sempitkan hidup dan jiwa kita dengan masalah-masalah dunia yang memang hakikatnya dunia ini diciptakan dengan penuh kesakitan, kepedihan dan kesusahan. Tika masalah hadir, besarkan jiwa, besarkan hati kerana kamu ada Allah yang tidak pernah meninggalkan kamu sendiri.
Moga kita terus belajar untuk sabar melalui ujian. Kerana hidup itu kembarnya ujian, maka jangan lari dari ujian tetapi hadapi ia dengan sabar dan solat.
Moga Allah redha
Tuesday, April 3, 2012
Puisi: Tika Kamu Kehilangan
Bila Allah tarik sesuatu
Yang kita suka
Yang kita cinta
Itu petanda
Dia mahu mengingatkan kita
Bahwa
Kita tidak memiliki apa-apapun sebenarnya
Semuanya milik-Nya
Tika kamu kehilangan sesuatu
Ingatlah kamu masih ada Allah
Yang tidak pernah tinggalkan kamu
Bahkan Allah itu lebih dari cukup
Berhabislah untuk kehidupan selepas kematian
Biar mujahadah kamu
Kepenatan kamu melawan keinginan
pada apa yang Allah tidak redha itu
Allah akan ganti dengan nikmat
di syurga-Nya
Maka
berpenat-penatlah
Jangan pernah putus asa
Walaupun kamu selalu jatuh
Di tempat sama
Jangan putus asa
Untuk bangun dan kembali taat
Allah tahu kamu susah
Kamu penat
Kamu letih dengan semua ini
Tapi kerana Allah kasih
Maka kamu diuji dan diuji
Sehingga akhir hayatmu
Dan akhirnya
Percayalah
Allah itu mahukan yang baik-baik sahaja buat kamu
Maka bersegeralah mencari kebaikan itu
Berdoa, berusaha dan berserah
Dia sedang menunggu rintihanmu..
Allah..
Tanpa-Mu aku lemah..
~almisk
03 April 2012
Mahallah Safiyyah
Puisi di atas terlakar sendiri.. Dan ketika sampai di Taman ilmu dan Budi tadi saya teringat wajah ibuayah.. Mereka kecintaan saya. Ayah sudah kian uzur, demam hampir 3minggu. Salam dengan ayah, tanya sudah sihat? Ayah kata: 'Belum lagi, nak sihat sikit lagi'.
Ada rasa risau. Di hati emak. Emak fikir banyak, dari soal anak-anak, soal diri sendiri. Lalu di dapur ketika masak, itulah waktu emak bercerita-cerita.
Pernah emak kata: "Dari umur 12tahun asyik masak je". Lalu saya katakan: "Tak mengapalah emak. Kat syurga nanti tak payah masak dah".
Emak ketawa sahaja. Harap emak lega. Emak perempuan, saya juga perempuan. Bezanya hanya saya belum punya keluarga. Emak, sudah semakin hampir 40tahun berumahtangga. Setiap kali bercerita, imbas kisah dulu-dulu.
Sewaktu anyam ketupat sebelum hari raya, saya dekat dengan emak, minta emak ajar. Mula-mula terkulat-kulat. Emak tunjuk begini begini dan akhirnya alhamdulillah saya boleh menganyam satu jenis ketupat. Sambil mengayam emak cerita-cerita macam mana dulu boleh tekad nak belajar anyam ketupat. Setiap kali tiba hariraya, emak mesti akan cerita kisah yang sama.
Dan di dapur itulah, biasanya cerita-cerita emak akan datang. walaupun berulang kali, saya dengar. Saya tahu emak hanya mahu bercerita. Bukan mahu apa-apa.
Emak tidak kisah tidak mewah-mewah, asalkan bila anak susah emak dapat bantu. Tapi apakah kita yang anak-anak ini akan ingat semua susah payah emak ayah kita.
Dahulu, bila balik sekolah, saya selalu intai ayah dari jendela. Ayah baru balik kebun dengan berbasikal. Ada raut penat. Dari muda, ayah tak pernah tidak bertanggungjawab membiarkan anak-anak pergi sekolah tak berbelanja.
Mudah-mudahan saya menjadi saksi bahwa ibuayah saya adalah ibuayah yang bertanggungjawab. Ajar saya mengaji, ajar solat, ajar puasa, ajar tutup aurat dan macam-macam lagi. Walau mereka hanya orang kampung, tidak faham bahasa Inggeris, tapi mereka berdua permata saya yang paling berharga.
Kerana itu, tika apa yang saya mahu tapi ibuayah tidak menyetujui.. Dalam nangis-nangis saya akur sahaja dengan pandangan mereka. Saya tidak lari rumah. Sya hairan mengapa ramai gadis-gadis semakin berani melawan ibuayah dan merajuk lalu lari dari rumah. Kasihan ibuayah. kasihan mereka. Mereka risau. Tapi anak-anak itu apa yang mereka rasa?
Moga Allah pelihara kedua ibubapa saya dan anda yang membaca. Selagi ada hayat mereka, kautlah pahala.
Jagalah kecintaan kita dan tiket ke syurga itu. Moga kita bersama orang yang kita cintai, dan yang kita cintai itu mudah-mudahan tempatnya di syurga kelak. Allahumma ameen
Subscribe to:
Posts (Atom)