Pages

Saturday, March 31, 2012

Kau Tercipta Untukku


Kau Tercipta untukku..

Bunyinya seperti 'jiwang' (istilah orang muda), tetapi ini tajuk forum yang saya lihat di youtube. Ahli panel adalah pasangan penceramah dan penulis novel ustazah Fatimah Syarha dan Dr. Farhan Hadi. Alhamdulillah, pencerahan dari panel sangat membantu memahami apa makna 'Kau Tercipta Untukku'.

Saat ditanya, 'bila akak nak kahwin?', 'lepas ni adiknya pula', 'tak lama dah tu'... Tak salah hendak bertanya tapi lihat-lihat juga sensitif orang yang dimaksud. Mungkin dia sedang ada masalah dalam soal yang disentuh, mungkin dia ada kisah lampau yang mengguris hatinya. Yang pastinya, doakanlah apa yang terbaik. Jangan terlalu diasak dengan soalan tentang jodoh. Kasihan mereka. Namun itulah lumrah manusia, hendak tahu dan ambil tahu.

Siapa untuk kita
Kita tahu atau tidak jodoh kita? Siapa yang diciptakan untuk kita.
Ustazah Fatimah Syarha memberitahu:
' Saat Dr Farhan Hadi melafazkan akad nikah, dia adalah orang yang tercipta untuk akak. tetapi jika akak mati, mungkin dia tercipta untuk orang lain'

kerana apa yang kita miliki adalah sekarang dan masa lalu, sedangkan masa akan datang kita tidak tahu kita masih milikinya atau tidak.

Tugas kita
Berbicara tentang jodoh, ia bersangkut paut dengan takdir. Dan takdir ada yang boleh berubah bergantung kepada syarat (qada' mu'allaq). Jadi apakah tugas kita bersangkutan soal jodoh? adakah kita perlu terlalu pening fikir yang negatif-negatif berkenaan jodoh kita mendatang?

Ustazah Fatimah Syarha menggariskan beberapa tugas untuk kita lakukan:
1- Berusaha yang terbaik untuk hadapi waktu sekarang dan bersedia mendepani masa depan sama ada ia perkara yang baik atau perkara buruk. Jika perkara baik maka bersyukur, jika musibah maka kita bersabar.

2- Kita perlu bersangka baik dengan Allah kerana Allah itu akan beri menurut sangkaan hamba-Nya. Jadi bersangka baiklah dengan Allah. Minta agar Allah kurniakan kita jodoh yang soleh/solehah yang boleh membawa kita sama-sama ke syurga-Nya.

3- Usaha buat apa yang kita suka dan dapatkan apa yang kita suka. Kita suka kah kalau suami atau isteri kita bila dah kahwin nanti chatting kat FB dengan lelaki/perempuan lain?

tak suka kan? Jadi sekarang ini, elakkan chatting dengan orang bukan mahram tanpa urusan. insyaAllah suami/isteri kita kelak akan jaga hati kita, hanya chatting atas dasar urusan sahaja. Sebab Allah itu Maha Adil kan.

4- Yang termampu kita lakukan, doa, berusaha mencari jodoh kita dan bertawakkal kepada-Nya. Justeru kita tidak tahu apa yang terbaik untuk kita maka serahkan kepada pemilik diri kita.

Cinta High Class
Dan untuk dapatkan cinta yang 'High Class' seorang lelaki/wanita yang cintakan kita itu:
1- Letakkan Allah SWT nombor 1 dalam hidupnya.
2- Dia cintakan kita kerana Allah swt.
3- Dia mujahadah lawan nafsunya.
4- Jaga hubungan dengan Allah juga sesama manusia.

Akhirnya, cintailah yang Mencintai kita, dapatkan cinta-Nya kerana apabila kita cinta kepada Allah, pasti Allah akan gerakkan orang yang mencintai-Nya agar mencintai kita.
ِAllahumma ameen

Puisi: Tercipta

Wahai penyejuk jiwaku
Aku tidak tahu engkau di mana
Satu yang pasti
Aku tahu engkau ada
Jika tidak di sini
InsyaAllah di syurga nanti

Dan yang pasti
Akan kutitipkan doa
Moga Allah menjaga dirimu dan cintamu
Dari pautan nafsu melulu

Jika satu saat Allah izinkan
Ia berlabuh di hati ini
Moga ia bersandar hanya kerana-Nya
Moga jika aku tidak kau miliki
Kau masih memiliki cinta-Nya
Yang lebih Agung
Yang lebih kekal
InsyaAllah

~almisk

Thursday, March 29, 2012

Walimah dan Kisah Sahabat

Kronologi musafir ke Kulim:

Jam 2.30
Kami berempat (amni, saya, atun, hawa) bertolak dari UIA dan solat jamak taqdim di musolla LRT. Lagi 5minit ke jam4.30petang, kami terpaksa berlari mengejar bas di Puduraya. Yang pastinya, dua sahabat yang punyai sifat 'J' berlari laju dari kami berdua.huhu.
Hamdan Lillah, sudah sms kepada suraya untuk minta pakcik bas tunggu sebentar. Dan Allah permudahkan urusan kami, sampai tepat pada masanya dan bas berjalan jam 4.40petang.

Jam 4.40petang
Dari KL ke Kulim, hampir 5jam di dalam bas. Saya suka naik bas malam, sejuk, tak pening-pening. Hujan renyai-renyai. Hampir jam 9.45 malam kami sampai di stesen bas Kulim.

9.50 malam
Kami berlimah dijemput ayah shida menaiki van, alhamdulillah. Makan malam di rumah pengantin. Sangat menghargai layanan mereka kerana kami memang 'lapar'..huhu
usai makan, pakcik dan shida hantar ke homestay. Alhamdulillah, homestay sangat selesa dan besar. Macam rumah sendiri. Dan ada iron, tak perlulah susah-susah pengantin nak hantar iron untuk kami pagi-pagi.

8.30 Pagi
Kami ke rumah pengantin. Ayah pengantin menjemput kami. sarapan di sana, sedap. Alhamdulillah. Dan pengantin keluar dengan pakaian serba putih. MasyaAllah cantik sangat. Tak bertabarruj jahiliyyah, tutup aurat, sederhana tapi saya sangat suka.. :)

Lihat dia tak pakai 'crown' kami pakaikan dia :) buat-buat pandai je sampai tercucuk telinga pengantin. Aduh, maaf sangat2 ya.. :(



Siap-siap :)




9.40pagi
Bertolak ke Masjid bersama pengantin untuk akad nikah.

Kenangan dengan pengantin sebelum akad nikah :)



10.30 pagi
Selamat diijabkabulkan. Alhamdulillah.

Alhamdulillah sudah jadi isteri :)

kemudian kami pulang ke rumah pengantin semula dan makan kenduri, lepas tu tunggu pengantin bersiap2 dengan pakaian pengantin warna 'turqois'nya.

Usai majlis kami pulang ke homestay dihantar oleh ayah pengantin juga. Baiknya pakcik ni, sampai ulang-ulang kali ambil dan hantar kami.

tiket bas 4.30petang. Jadi kami bersiap-siap dan bertolak dari kulim ke KL berempat kerana Suraya pulang ke kampungnya di kulim juga..

Jam 11.30 malam kami sampai ke Mahallah. Alhamdulillah. Perjalanan yang selamat dan gembira. Penat tapi suka jalan dengan kawan2.

____________

Dan..

Alhamdulillah 'ala kulli hal, selamat sahabat kami bernikah beberapa minggu lalu. Tarikh hari bahagianya adalah 10 Mac 2012 (Sabtu). Mabruk sahabat ^^

Saya sangat sayangkan sahabat saya yang seorang ini, kami makan bersama, jalan bersama, kelas bersama walaupun bukan semua kelas bersama dengannya, dia tempat saya bercerita masalah saya dan dia seorang yang sangat peramah mengisi hari saya. Entah bagaimana saya boleh seperti rapat dengannya, mungkin secara tidak sengaja ketika masih di peringkat ijazah dahulu selalu sekelas dan buat asignment bersama.

Bila dia sudah tidak lagi tinggal di mahallah untuk beberapa waktu, saya merasa sedikit kehilangan. Tetapi itu lumrah hidup, yang sendiri akan berpasangan, yang datang akan pergi. Hakikat hidup ini bukanlah apa yang kita mahukan, tetapi apa yang Allah mahu.

untuk semua ini, tidak lain yang saya rasakan bahawa ia adalah ikatan iman. Kami berenam dan seorang lagi sahabat yang tolong mengambilkan gambar kami antara sahabat yang sedang berjuang di medan ilmu. Susah payah kami saling berkongsi.

Moga Allah kuatkan ikatan ukhuwwah ini dan moga kami berjiran kembali di syurga-Nya. Untuk sahabat kami, moga kalian bahagia dan bercinta hingga ke syurga-Nya. Allahumma ameen.

Mudah2an dalam waktu terdekat, yang lain akan menyusul menyempurnakan separuh dari agama. Jika ia baik untuk dunia dan akhirat kita, moga Allah permudahkan semuanya.. Ameen

:)



Tuesday, March 27, 2012

Maafkanlah Duhai Hati


Siapa yang hatinya tidak pernah disakiti, dilukai, dan seumpama dengannya? Saya kira tidak ada. Sedangkan kekasih Allah SWT iaitu Rasulullah SAW sendiri disakiti orang sekeliling tika mula menyebarkan dakwah, hatta sepanjang hidup Baginda SAW, ada sahaja yang cuba menyakiti Baginda.

Tika baginda dilempar najis, dan di sepanjang jalan yang Baginda SAW lalui ditaburi najis dan duri oleh seorang perempuan Yahudi, Baginda tidak marah-marahkan perempuan itu, Baginda ziarah dia. Dan akhirnya wanita itu masuk Islam.

Itu Nabi kita, kekasih Allah swt. Sedangkan kita ini, siapalah untuk terus-terusan menyimpan dendam dan amarah.

Saya tidak lepas dari merasai disakiti, berhari-hari menahan rasa itu. Natijah yang saya dapat dari itu hanyalah rasa tidak tenang.

Apabila kita tidak memaafkan orang yang berbuat salah dengan kita, umpama seperti kita cuba mengulang imbas kesilapan mereka dan cuba menoreh-noreh bekas luka yang masih terluka itu. Pedih bukan?

Namun itu yang kita pilih.
Memang bukan mudah untuk melupakan apa yang sudah orang lain lakukan pada kita, apatah lagi ia begitu mengguris hati kita. Tetapi fikirkanlah tentang dia, jika dia mati dalam keadaan kita tidak memaafkannya bagaimana? Kasihan dia bukan?

Dan sesungguhnya mereka itu hanya manusia biasa, terkadang khilaf dalam bicara, khilaf dalam perbuatan.. Mungkin sahaja dia tidak sengaja mahu menyakiti hati kita, ataupun dia jahil dalam soal itu. maka berlapanglah dada, Allah itu Maha Pengampun apatah lagi kita ini yang hanya hamba.

Marahlah, kerana kita manusia kadang-kadang ada amarah. Tetapi amarah itu menyemarakkan keseronokan syaitan dalam memporak perandakan saudara seislam. Lalu, maafkanlah. Mereka itu saudara kita. Doakan mereka jika mereka berterusan menyakiti kita. Mungkin mereka belum mendapat hidayah, moga dengan doa kita hati mereka terkena biasan hidayah untuk berubah.

Satu yang kita perlu ingat adalah tentang dunia ini.
Ia bukan syurga, yang hanya indah-indah, yang baik-baik. Tidak.

Dunia ini penuh dengan perkara yang menguji kita, perkara yang menyakitkan kita. Lantas kerana itu barangsiapa yang sabar Allah akan naikkan darjatnya.

Kita percaya janji Allah itu kan? Maka bersabarlah tika ada yang menyakiti kita. Maafkanlah, mudah-mudahan tika tanapa sedar kita menyakiti hati orang lain, orang itu pula akan memaafkan kita dengan sungguh-sungguh.

Moga sepanjang jalan di dunia ini, Allah kurniakan kita kekuatan dan kesabaran untuk terus mencari redha-Nya.

Moga tidak jatuh dalam rasa putus asa, juga tidak tergelincir dalam rasa tidak bersangka baik dengan Allah..

Ya Allah, lindungi kami
Cintai kami
Kasihi kami
Pelihara kami
di sepanjang usia ini..
Ameen Ya Rabb

Saturday, March 24, 2012

Tika Hujan Ujian


Tika hujan ujian
Inginku lukis pelangi
Di langit kehidupan
Dan jejak-jejak
Sepanjang jalan ini
Akan terus ku akur
Mengikuti bening takdir-Nya

Ya Allah..
Berikan aku rasa
Untuk tidak putus asa
Dari keampunan-Mu
Untuk terus berharap
Sepenuh hati pada-Mu

~almisk
Tika Kau mentakdirkan ia bukan untukku,
Bukan kerana Kau tidak mendengarkan pintaku
Apatah lagi membenciku
Tetapi dengannya Kau semakin memanggilku
Untuk terus dekat pada-Mu
Untuk terus meminta pada-Mu
Tika cinta itu hilang
Gantikan dengan yang lebih baik
Kurniakan untukku cinta-Mu
Dan cinta yang kekal hingga ke syurga-Mu
Allahumma ameen


Friday, March 23, 2012

Dasari Jiwa Dengan Pohon Akidah


Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit.

(Pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan seizin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka selalu beringat"~ (Surah Ibrahim: ayat 24-25)

Jam 10.15pagi radio IKIM akan menyiarkan segmen usrati dan pengisian disampaikan oleh Ustazah Hafizah Musa.

Ketika menyentuh ayat di atas, bagaimana Allah SWT memberikan perumpamaan supaya manusia dapat mengambil pelajaran daripadanya.

Kalimah yang baik di dalam ayat tersebut bermaksud kalimah tauhid, atau kalimah yang mengajak kepada perbuatan baik. Dengan menjadikannya sebagai akar dalam rumahtangga dan diri ahli keluarga, ia akan mendasari jiwa walau apapun yang ditimpakan Allah SWT kepadanya.

Kita kerap berkeluh kesah, tiada anak, tidak berkahwin, tiada pekerjaan atau sebagainya sehingga ada yang sampai menyalahkan Tuhan dan takdir.

Allah.. kita ini tidak tahu apa yang baik untuk kita. Berhati-hatilah tika kita mengeluh, jangan sampai bersangka buruk dengan Allah.

Lihat apa kata Zainab al-Ghazali, beliau tidak mempunyai anak tetapi dadanya lapang. Dia berkata: "Seluruh umat ini adalah anak-anakku"

SubhanAllah, inilah akidah yang sepatutnya kita tanam dan mendasari jiwa kita dan anak-anak..

Moga kalimah toyyibah akan terus subur dalam jiwa kita..


Friday, March 2, 2012

Fall in Love


Hari ini sayyidul ayyam (penghulu segala hari), sejak emosi tidak stabil Allah hadirkan saya sahabat2 yang baik, dan di halaqah kecil hati ini Allah sentuh dengan kata dan nasihat dari naqibah. Alhamdulillah.

Berlian itu terdapat dalam setiap diri manusia. Berlian secara semulajadinya ia terjadi di lapisan tanah yang mempunyai tekanan yang tinggi. Dan dengan tekanan yang tinggi itu, terhasil berlian yang amat mahal dan berharga.

Oleh itu, apabila kita mahu mencari berlian di dalam diri ini, ia memang memerlukan tekanan yang banyak. Kerana itulah mungkin mengapa Allah swt mengurniakan kita ujian demi ujian? Ya, supaya kita dapat membina atau mencari berlian di dalam diri. Supaya kita menjadi manusia yang berharga bila kita mampu bersabar dengan ujian yang Allah berikan.

Pagi ini terbaca tulisan penulis Yasmin Mogahed bertajuk: "Fall in Love with the Real Thing".

Sungguh benar, untuk meninggalkan apa yang kita cinta sesuatu yang sukar. Kadang-kadang kita cintakan sesuatu yang bukan untuk kita, kadang-kadang apa yang kita cinta itu sesuatu yang tidak baik untuk kita, dan kadang-kadang apa yang kita cintai itu bukan apa yang Allah cinta.

Untuk meninggalkan atau membiarkan semua yang di atas ini pergi adalah susah. Kerana untuk meninggalkan atau membiarkan sesuatu yang kita cinta dan sukai itu pergi merupakan peperangan atau mujahadah terhebat yang perlu kita lalui.

Satu cara untuk melakukannya adalah dengan:

" Carilah yang lebih baik. Jatuh cintalah pada sesuatu yang lebih baik dan sesuatu yang lebih bersifat realiti.."

Alhamdulillah, ia benar-benar merawat hati sendiri.

Moga Allah kurniakan sabar dan tabah buat hati yang kehilangan. Biarkan apa yang bukan milik kita pergi kerana mungkin ia tidak baik untuk kita atau mungkin apa yang kita suka itu bukan apa yang Allah suka. Maka belajarlah membiarkan apa yang kita pernah cintai itu pergi dan carilah sesuatu yang lebih baik untuk akhirat kita..

Mudah-mudahn itu baik insyaAllah