Pages

Sunday, August 9, 2009

Marah dan Sabar

Saya mahu berkongsi sebuah kisah. Beberapa minggu lalu, saya menerima satu berita yang sangat menyedihkan hati saya. Mungkin boleh dikatakan menyakitkan hati saya sebagai seorang manusia yang masih punyai hati. Apabila saya mengetahui perkara itu, saya rasakan bahawa ada sesuatu yang berjaya menguasai diri saya, iaitu ‘marah’. Saya tidak tahu mengapa saya jadi begitu. Hati saya mula berderau. Perasaan mahu membenci terhadap si fulan mula hadir.

Lalu saya pulang ke bilik mencapai ‘handphone’ yang menyimpan banyak kenangan sejak 4tahun lalu. Saya menaip dan menyusun kata-kata mengadu pada seorang teman, juga penasihat tika saya selalu dirundung sedih dan masalah. Apa yang beliau katakan:



“ Bersabarlah, elok lupakan sahaja. Takut menjadi beban dalam hati”.

Ya, saya kini sudah melupakan apa yang berlaku. Alhamdulillah. Sememangnya kemarahan saya pernah hadir, diselang-selikan dengan perasaan mahu ‘membenci’, tetapi saya cepat-cepat tersedar bahawa saya tidak boleh membenci saudara seiman dan juga sekiblat. Walau apa yang telah berlaku pada diri saya, saya perlu berlapang dada menerima apa juga yang datang. Saya perlu memaafkannya. Saya tidak boleh memberi peluang kepada syaitan untuk memenangi pertandingan ini. Ya, pertandingan mengekang nafsu marah. Jika saya terus-terusan marah, maka syaitan pastinya akan menang. Saya tidak akan membiarkannya terjadi. Saya perlu bersabar.

Saya terfikir, pernahkah saya menyakitkan hati insan lain? Melukakan hati insan-insan yang terdekat dengan kata-kata yang tidak saya sedari mengandungi kata-kata yang kasar ataupun isi bicara yang boleh menghiris hati yang mendengar.

Memang pernah sama ada saya sedar ataupun tidak. Tetapi saya hanya manusia biasa, tidak tahu siapa yang pernah saya sakiti.Adakah insan tersebut memaafkan saya? Jika saya mahu dimaafkan, seharusnya saya juga harus memaafkan kesalahan insan tersebut.


Analogi kehidupan sebegini selalu berputar dalam kehidupan kita. Anda juga mungkin pernah merasa disakiti, mahu marah dan terkadang mula mahu membenci. Apabila perasaan-perasaan tersebut datang... Nanti dulu!! beristighfar dan bermuhasabah diri tentang erti ‘memaafkan’. Sesungguhnya Allah s.w.t itu lebih ramai yang menyakiti-Nya dan menderhakai-Nya, malah hamba-hamba-Nya yang telah diberikan banyak kenikmatan sanggup menduakan-Nya dan memalingkan-Nya. Namun Allah s.w.t masih membuka ruang keampunan terhadap hamba-hamba-Nya.

Subhana-Allah.
Siapalah diri kita jika mahu dibandingkan dengan Allah s.w.t. Oleh itu, Maafkanlah jika disakiti. Sayangilah jika dilukai. Berlapanglah jika dihirisi. Sesungguhnya darjat yang tertinggi bagi orang yang beriman adalah apabila dia bersabar ketika diberikan ujian.
Semoga saya akan selalu ingat tentang erti ‘sabar’ insyaAllah.

“ Maka ingatlah kepadaku, nescaya Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah
kepada-Ku, dan janganlah kamu ingkar kepada-Ku. Wahai orang-orang yang
beriman, Mohonlah pertolongan dengan jalan sabar dan solat. Sungguh, Allah
beserta orang-orang yang sabar”- (surah al-Baqarah: ayat 152-153)

Saya mahu selalu bersama-sama Allah, oleh itu saya mesti selalu bersabar. Anda mahu selalu bersama-sama Allah juga? Marilah kita melatih untuk bersabar. Tentu indah bukan?

Wallahu a’lam

No comments:

Post a Comment