Pages

Monday, February 27, 2012

Kuatkanlah

Ya Allah
Kuatkanlah jiwa hamba-Mu ini
Untuk tetap redha pada takdir
Untuk tetap senyum dalam derita
Untuk tetap teguh pada jalan ini

kerna di akhirnya nanti
Bukan aku yang menentukan
Bukan juga insan lain yang menentukan
takdir diri yang telah Kau susun

Tidak kuat
Tapi Engkau kuatkanlah
Langkah lemah
Berikan semangat luarbiasa
Untuk terus laju menuju-Mu

Gantikan duka ini dengan janji pasti-Mu
Lunturkan dari jiwa ini rasa kecewa
Kuatkanlah ya Allah
Kuatkanlah
Kerana aku sedang lemah
Lemah tanpa-Mu
~al-Misk

"Untuk melewati badai kita harus terus berjalan, bukannya berhenti. Dan untuk itu ada 2hal yang harus kita bawa: keyakinan dan cinta.."~Di bawah lindungan ka'abah
:: ya Allah, airmata itu tidak kenal tempat jatuhnya..
untuk redha aku perlukan tempat berpaut pada-Mu..
tenangkan jiwa ini
hati ini...

Tuesday, February 14, 2012

Membina Harapan


Kerap kali kita terlalu berharap kepada manusia. Tika hati mula jatuh suka dan kagum, jiwa mula membina harap. Harap yang terlalu besar untuk menawan hatinya. Dipendam-pendam harap pada yang disuka sehingga akhirnya kecewa menerjah. Diri tidak diterima sang bunga atau kumbang.

Kerap kali juga pelajar sarjana muda yang baru selesai ijazahnya, meminta kerja di sana sini. Mengharap dari empunya syarikat untuk diterima bekerja dengan harapan yang sungguh besar.

Kerap juga orang kampung yang miskin menagih simpati dari wakil rakyat agar diberi sedikit bantuan meringankan beban, sanggup dicerca, dimaki asalkan yang diharapkan itu diperolehi.

Itu semua menatijahkan satu perkara yang boleh diterjemahkan dengan banyak rasa: sedih, kecewa, sakit hati.

Mengapa rasa ini wujud? Salahkah berharap?

Jawapannya tidak salah, tetapi kepada siapa sepatutnya harapan itu ditujukan dengan sepenuh hati.

Jika salah seorang dari kita mengharapkan sesuatu, sepatutnya kita tahu bahawa dunia ini penuh dengan perkara yang mengecewakan. Manusia banyak yang tidak suka orang meminta-minta tanpa ada timbal-balik.

Namun, yang paling utama sebenarnya kita terlupa akan Pemilik orang yang kita meletak harap itu, sesungguhnya Pemilik itu lebih suka manusia berharap dan meminta pada-Nya. Dialah Allah. Tuhan kita.

Kita selalu lupa akan hakikat ini kan? Kita sepatutnya menyerahkan segala harapan kita kepada-Nya, membina harapan dengan keyakinan sepenuhnya pada-Nya kerana Allah Tahu harapan kita yang mana satukah yang terbaik untuk diberikan pada kita.

Justeru, mulai sekarang jika kita masih terlalu berharap pada manusia maka bersegeralah membina semula harapan itu dengan menyerahkan segalanya kepada Allah. Sepenuh hati. Kerna jika kita tidak dapat apa yang kita harap, kita akan tahu bahawa Allah akan berikan yang lebih baik lagi dari yang kita harapkan.

wallahu a'lam :)

Friday, February 10, 2012

Bicara Istikharah

"Ada satu itu kelabu
adanya satu itu pasti bertemu
mahu aku bertanya Kau kirimkanlah
mahu aku pada siapa Kau jelaskanlah.."

Bait-bait mestica tentang istikharah selalu menarik jiwa saya, bukan untuk terus-terusan berangan tetapi begitu kuatnya kita sebagai manusia perlu bergantung pada-NYa.

Hatta, sebenarnya dalam soal jodoh, bukan kita yang menentukan baik buruk seseorang untuk kehidupan kita tetapi Dia Yang Maha Tahu..

Saya kerap bertanya, bagaimana seorang saudari yang ada rupa, yang ada kepandaian malah cantik akhlak dan sangat menjaga pergaulannya disia-siakan melalui perkahwinannya dan berpisah tanpa sebab yang patut kita anggap 'munasabah'.

Lantas bila ditanya tidak serik lagikah mahu berkahwin, beliau berkata: "tidak".

SubhanAllah, itulah kekaguman saya pada seorang manusia yang cekal. Mungkin beliau seorang yang sangat baik, sangat murni jiwanya diuji jiwanya dengan apa yang sering menjadi pegangannya. Mana mungkin ada wanita yang berkahwin untuk diceraikan atau bercerai. Tidak ada saya kira.

Tetapi itulah peraturan Allah. Semoga ada yang terbaik untuknya, lelaki yang lebih baik walaupun lelaki itu biasa-biasa tetapi soleh di pandangan Allah. ameen.

Saya selalu mengambil inspirasi dari kisah kehidupan beliau, saya kira sesungguhnya Allah Maha Tahu beliau sanggup mendepani beban itu. Dan dengan susah payah berusaha bangun dari kecewa.

Hikmah itu moga untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Bersyukur hingga waktu ini, nikmat Allah tidak putus-putus datang. Semoga bertambah syukur dan amal untuk mengejar redha-Nya.. Ameen

Teruskan istikharah, kerana tidak rugi sesiapa yang beristikharah kerana Allah tidak pernah bohong hamba-Nya..
Moga jika tidak ketemu di dunia, di syurga-Nya insyaAllah ^^

Tuesday, January 31, 2012

Cinta yang Mencintai Allah

"Janganlah mencintai orang yang tidak mencintai Allah, kerana jika mereka meninggalkan Allah maka mereka juga akan meninggalkan kamu"

Kata2 ini saya petik dari laman FB Brotherhood arts,
"Do not love the ones who doesn't love Allah, if they can leave Allah they can leave you"

Terasa,
Sujud bersama airmata
Luluh dari hati yang dalam
Allah tak pernah tinggalkan
Hamba-Nya yang berusaha mencintai-Nya
Jiwa yang terhimpit dengan murka-Nya

Di sekian banyak nikmat
Kau tetap kekalkan nikmat itu
Untuk aku setia mengukir senyum
Walau aku selalu alpa
Untuk mengingat-Mu
Allah..
Tambahkan syukurku
Pada setiap yang diberi-Mu
Pada setiap hela nafasku

Kerana sekian kali diuji
Kau lepaskan aku dari ujian itu
Walaupun ia tidak terkecuali
Dari airmata
Dari kecewa
Dari luka
Kerana bekas-bekas rasa itu
Akan menambah syukurku

Kekalkanku dalam pandangan kasih-Mu
Ya Rabbi..



Wednesday, January 25, 2012

CERPEN: KETENTUAN


“Kalau ada jodoh adalah ya. Buat masa ni ana nak tumpukan pada pelajaran.” Ikmal berbicara.

Ada manik jernih yang menemani pipi, juga ada hati yang sedang luluh.

Ada suara yang sambil tersedu-sedu cuba menjawab kepada panggilan telefon itu.

Sofiah, sesuci namanya, hati dan emosinya turut suci. Menerima apa takdir yang ditentukan.

“InsyaAllah”. Hanya itu yang mampu dijawab, sedunya semakin menjadi.

“Maafkan ana.”

“Tak mengapa. Anta sudah buat pilihan yang betul. Ana serahkan pada Dia.”

Janji antara mereka terputus, meski belum bertunangan secara adat, namun persetujuan dua keluarga sudah diminta. Mereka bersetuju mengikat janji. Tetapi entah kenapa Ikmal merasa berat, walaupun hatinya terlalu ingin memperisterikan Sofiah.

Di hujung sudut perpustakaan, saya berjalan. Terlihatkan sahabat baik sendiri, Sofiah. Bertudung labuh kuning air dan jubah hitam sedang tekun menghadap buku-buku di atas meja kecil. Sofian, matanya sentiasa nampak tenang, redup matanya memikat sesiapa sahaja. Ada sinar ikhlas yang selalu terpancar dari wajahnya.

Saya mendekati lalu menyapanya.

“Assalamualaikum Sofiah”.

Tampak dia terkejut.

“Wa’alaikumussalam..” bibirnya cepat menguntum senyum

“Boleh ana duduk sebelah anti?” bimbing mengganggu saya meminta izin

“Ahh, boleh sahaja lah Naurah”.

Saya melabuhkan duduk di sebelah kerusinya. Saya perasan harini dia tidak seperti selalu. Sepertinya dia sedang menanggung beban, tapi ditahan-tahan dari melimpah.

“Eh, kenapa pandang ana macam tu Naurah? Ada yang tak kena kat muka ana ke? Tudung ana senget ye?”

Sofiah cuba berlawak. Saya ketawa sendiri.

“Taklah, anti ni selalu kemas dan kiut je. Tapi kan...”

“Tapi apa...”

“Ana rasa seperti ada beban yang sedang anti tanggung. Wajah anti seperti ada mendung, tapi tak tertitis hujan dari diri anti. Anti baik-baik je kan?”

Saya cuba memujuk. Bukan untuk mengorek rahsia, tetapi hati sendiri gundah lihat sahabat sendiri punya beban. Apatah lagi Sofiah sahabat saya sejak dari sekolah rendah. Walaupun kami berbeza kursus pengajian, kami selalu ke mana-mana bersama. Dan ikatan ini dihubungkan dengan iman, rasa cinta saudaranya kerana Allah.

Sofiah tunduk, matanya mula berkaca-kaca. Disembamkan muka di tangan yang sudah disilangkan di atas meja belajar. Mujur sahaja sudut yang dipilih mejanya satu-satu dan dihadang di bahagian tengahnya menyebabkan orang lain tidak perasaan keadaan sofiah.

“ Sofiah, seindah dan sesuci namamu ukhti, janganlah bersedih. Jika ada beban ana sanggup jadi kolam hati anti.”

Saya cuba memujuknya.

Sofiah mengangkat wajahnya. Matanya berair dan aliran airmatanya laju membasahi tudung kuning airnya. Ada bunyi sendu.

“Ana tak kuat ukhti. Ana mahu redha Allah, jika ana suka kat seorang lelaki apakah salah ukhti? Ana tak tahu apa yang ana patut buat sekarang untuk terima semua ini.”

Sofiah mula berbicara.

Saya sungguh cuba untuk menenangkannya. Sofiah menyambung kisah.

“Ikmal memutuskan hubungan. Jika dalam Islam kami dikira sudah bertunangan memandangkan dia sudah bertemu ibuayah ana, dan ibuayahnya juga sudah bertemu keluarga ana. Tapi entahlah Naurah, ana tak faham semua ini. Ana rasa sakit. Ana rasa ada beban di hati ni, tapi ana tak tahu nak keluarkannya bagaimana”

Airmata mengalir semakin laju.

Saya memegang bahunya.

“Ukhti, sabar. Ana faham keadaan ukhti. Perasaan, pengharapan, keinginan kita kadang-kadang Allah tidak izinkan untuk kita dapat pada waktu ini. Ana tahu ukhti tabah, ukhti ditarbiyyah kan? Orang yang ditarbiyyah tak sama dengan orang yang tak ditarbiyyah.”

Kepalanya tunduk. Seketika Naurah memandang saya. Saya melihat ada kesusahan dalam dirinya untuk menerima kenyataan itu.

“Tapi dia seperti memberi ana harapan lagi. Jika ada jodoh ada lah nanti. Ana tak tahu mahu anggap itu apa dan bagaimana?”

Itulah silapnya lelaki, tidak faham hati wanita. Jika tidak mahu, tidak perlu kata begituk kerana ia seolah-olah memberi harapan kepada wanita. Wanita ternyata sakit menunggu sesuatu yang tidak pasti. Jika tidak mahu, katakan dengan benar dan jangan diberi harapan sebegitu. Hakikatnya ada hati yang sakit.

Saya cuba menenangkannya.

“Sofiah, anti percayakan Allah kan?”

Dia mengangguk.

“Lepaskan semua yang ada di fikiranmu dan hatimu. Hanya percayakan Dia, Dia sahaja.”

Dahi sofiah berkerut.

“maksud anti?”

“Bila kita letakkan cinta manusia itu di hati, apabila ia mahu pergi kita sukar mahu lepaskannya. Sepatutnya yang di hati itu hanya Allah sahaja kan? Mustahil ada dua cinta dalam satu hati. Mungkin ya, Ikmal ada sebab atas keputusannya, mungkin juga ada sebab lain. Sebelum anti menerimanya anti dah beristikharah kan? Anti sudah bermusyawarah dengan ibuayah anti dan juga ana antaranya kan? Anti tidak melanggar lebih batasan hubungan kan?”

Sofiah mengangguk lemah.

“Sesiapa yang beristikharah tidak akan sekali-kali rugi, sebab Allah itu takkan menipu hamba-Nya. Ini ujian untuk anti sebenarnya. Mungkin Allah nak lihat anti sebenarnya cinta siapa lebih. Mungkin ujian ni juga untuk bersihkan hati anti dari rasa yang tidak sepatutnya”

“Satu yang perlu anti tetapkan dalam hati adalah, manusia itu hatinya berbolak balik. Dan yang memegang hati manusia ini hanya Allah. Maka pintalah dari Allah apa yang terbaik. Jika Ikmal memang jodoh anti, insyaAllah anti dengan Ikmal akan dipertemukan dalam keadaan lebih baik kelak.”

Mendung di wajahnya kian reda. Sofiah memeluk bahu saya, “Terima kasih ukhti..”

Dia menangis semahu-mahunya.

“Sofiah, anti macam adik ana sendiri. Duka hati anti ana rasa, perit hati anti ana juga rasa. Ana sayang anti kerana Allah. Janganlah biarkan cinta manusia itu buat anti terlalu bersedihan dan bersangkan buruk dengan Allah. Dia sedang uji anti, sabarlah ya.”

* * *

3tahun berlalu, sofiah sudah bekerja sebagi tutor di salah sebuah IPT. Berita tentang pernikahan Ikmal sudah sampai ke pengetahuan Sofiah. Dan saya cuba menenangkan hatinya. Saya tahu Sofiah sedih kerana selama ini dia memilih untuk setia menunggu. Tetapi mungkin Allah ada perancangan yang lebih baik untuknya.

“Tahun depan insyaAllah ana nak sambung Phd di Timur Tengah. Anti nak ikut sama?”

Sofiah sedang belajar menabahkan hati sendiri.

Saya tersenyum.

“kenapa tiba-tiba nak ke sana? Kalau ana tak ikut dengan anti, tak mengapa kan?”

“Tak mengapa, ana cuma tanya anti, mana tau kita boleh sambung belajar tempat yang sama lagi. Ana sengaja hendak cari ilmu di sana, nak rasa kesusahan belajar di tempat orang pula.”

“Anti lupa ye, ana ni engineer, takkan nak pergi timur tengah”

Sofiah ketawa, dia tahu hakikat itu. Mungkin sengaja mahu membuka cerita sendiri sekilas memberitahu niat hatinya untuk menyambung pengajian.

“Tak mengapalah, Allah kan ada untuk jaga anti. Ana titipkan doa moga Allah permudahkan semua urusan anti.” Saya menitip pesan.

“Ana pun doakan anti bahagia, tengah darah manis ni. Macam mana persiapan walimah?”.

Saya tersenyum, mungkin Sofiah melihat saya sedang bahagia. Ya, Alhamdulillah itu yang saya rasa. InsyaAllah jika diizinkan awal bulan depan pernikahan saya dengan mujahid yang selama ini saya tunggu.

“Ameen. Alhamdulillah persiapan hampir selesai. Doakan ana selalu ya. Ana selalu doakan mudah-mudahn masa anti pula akan tiba. Allah akan berikan yang terbaik untuk dunia dan akhirat anti insyaAllah.”

Saya dan Sofiah sama-sama senyum mengakhiri hari-hari terakhir saya sebelum bergelar isteri.

Kini hampir tiga tahun Sofiah di bumi Urdun, terasa rindu dengan sahabat yang satu itu. Saya tahu dia masih dalam penantian. Saya percaya semakin manusia itu cuba untuk menjadi soleh dan solehah, semakin kuat Allah akan mengujinya.

Begitulah yang saya lihat pada diri Sofiah, dia muslimah yang sangat baik. Mungkin Allah ingin uji cinta Sofiah yang selalu mempertahankan cintanya kepada-Nya terlebih dahulu dari segalanya.

‘Sofiah, ana doakan anti selalu. Percayalah, jodohmu ada. Jika tidak di dunia ini pasti di syurga nanti pemuda-pemuda berebut-rebut meminangmu. Jadikan dirimu bidadari dunia sebelum menjadi bidadari syurga. ‘

Kerana yang menentukan hidup kita bukannya kita, tetapi Allah.. Maka pilihlah untuk bersangka baik dengan-Nya selalu..

Tulisan: wardah al-misk

24 Jan 2012 (Selasa)

Monday, January 23, 2012

Sangat Rindu



Ya Allah..
Aku sangat rindu pada mereka ini
Pada mereka yang sudah jauh
Tapi moga hati kami dekat
Dan ketemu kembali di syurga-Mu





Ya Allah
Sesungguhnya Engkau Tahu
Bahawa hati ini
telah berhimpun dalam naungan cinta-Mu
Bertemu dalam ketaatan
Bersatu dalam perjuangan
Menegakkan syariat dalam kehidupan

Rabitah hati kami
Moga istiqamah..

Sunday, January 22, 2012

Puisi: Cinta Yang Tertanam





Cinta itu
selalu mengujakan
Tak kurang juga
ia selalu meresahkan
takut kehilangan
takut tidak diterima
takut dikecewa
itulah cinta
bila ia tersandar
semata-mata pada manusia

Tapi
ada satu cinta
yang bila ia tertanam
kita takkan takut hilang
takkan takut dikecewa
takkan takut tidak diterima
itulah cinta Pemilik Cinta

Tika manusia tidak mahu
Allah sudi menerima kita
Meluaskan cinta-Nya pula
untuk kita terima
untuk kita semai
dan satu yang kita rasa
dari mencintai-Nya
adalah rasa tenang dan aman

Jika cinta pada-Nya
Maka ikutlah apa yang Allah suka
Cinta apa yang Allah cinta
Kasih apa yang Allah kasih
Kerana cinta itu
Membawa penentuan akhirat kita

~al-misk
22/01/2012 di teratak kampung

Friday, January 20, 2012

Langit itu tenang~


Usai semester ke 3 untuk kursus Master ini, saya pulang ke kampung seperti biasa menaiki bas dari Puduraya ke Teluk Intan. Sudah biasa bersendirian, alhamdulillah dilindungi Allah dari bahaya yang pelbagai.

Memilih duduk di tepi tingkap, dalam perjalanan awan-awan berkepul-kepul seakan berirama menyampaikan mesej ketenangan. SubhanAllah, tenang saat melihat langit yang cantik. Namun lama merenung, sungguh ada manik jernih yang hampir luruh dari kelopak mata sendiri. Tuhan Yang Maha Tahu apa yang bersisa di hati ini, seakan rasa dihempap gunung.

Teringat masa-masa lalu yang pernah jauh dari-Nya, penyesalan ini tiada sudahnya. kerana itu setiap kali melihat langit, saya akan selalu teringat Allah itu Sangat Baik, Sangat Penyayang. Umur ini Allah masih pinjamkan, untuk bertaubat, mencari-Nya, kembali pada-Nya.

Saya teringat ustaz Pahrol Mohd Juoi pernah mengatakan: Mengapa langit itu dan alam ini bila kita renung dan lihatnya, kita akan tenang?

"Kerana alam ini dekat dengan Allah"

SubhanAllah.. Benarlah, bila kita jauh dengan Allah, orang lain melihat kita dengan pandangan yang serabut. Hati kita kacau-bilau, hilang rasa tenang dan rasa tidak selamatnya hidup ini.

Allah.. Aku tidak mahu walaupun dunia ini terkadang terlalu menyeronokkan bagiku. Tapi sungguh ia tidak menenangkan tika terlalu jauh dari-Mu.

Ada bingkisan yang terlalu ingin diluahkan, namun hanya pada Allah tempat mengadu rasa. Terlalu menghimpit rasa hati seorang hamba yang pernah melanggar batas dosa.

Pagi ini, sungguh saya terbaca sebuah puisi karangan hilal asyraf, dan saya sampai kepada satu kesimpulan:

" Janganlah cinta kita terbatas hanya di dunia, lantas berbalahan di hadapan Allah SWT. kerana ia terlalu berharga untuk hanya sekadar dilempar ke neraka"

Allah.. Jangan jadikan manusia yang aku kasihi dan manusia yang mengasihi aku hanya terbatas kasihnya di dunia sahaja. Aku tidak mahu berbalahan di depan-Mu kelak. sepertimana firman-Mu yang bermaksud:

"Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain, kecuali orang-orang yang bertakwa"~surah az-Zukhruf: ayat67


Dan sandarannya ada taqwa. Buat apa yang Allah suka dan tinggalkan apa yang Allah larang. Jikalah dengan mengasihi manusia itu terkandung padanya murka Allah swt, maka berpisahlah darinya.

Jika perpisahan itu menjanjikan damai hati, menjemput redha ilahi, dan juga mengundang ke syurga ilahi, maka terimalah ia walaupun perit. Kerana takkan mungkin Tuhan yang kasihkan kita itu mahu mentakdirkan yang buruk buat kita. Hakikatnya, kita sendiri memilih sama ada mahu memilih yang baik ataupun buruk.

Sukar untuk memadam dosa lalu walaupun kita dipujuk dengan pengampunan dan penerimaan taubat oleh Allah SWT. Kerana hakikat orang beriman itu bila dia melakukan dosa seperti ibarat ada gunung yang akan menghempapnya. Lalu takutlah jika melakukan dosa tetapi merasa dosa itu seperti lalat yang hinggap di hidung, terasa kecil sahaja.

Maka syukurlah dengan nikmat iman dan Islam, dan nikmat ketiga adalah apabila Allah tutup aib kita daripada pengetahuan manusia.

Alhamdulillah..

Berusaha menambah rasa syukur, hati terus ingin bermujahadah walaupun payah.. Jangan jadikan kami orang yang rugi Ya Allah..

Tuesday, January 17, 2012

Sebatas Jahiliyyah

Sebatas Jahiliyyah
Yang telah kurempuh
Menghumban ke gaung kebinasaan

Dan aku yang terjatuh
Mengadu sakit yang teramat
Lantas iman yang senipis bawang kian melayang
Ketenangan pula dimamah kejahilan

Dan aku
Dalam sakit-sakit itu menangis lagi
Teringat selalu pada pemilik diriku
Lalu aku bertanya
Apakah setelah kurempuh sebatas jahiliyyah
Allah akan ambilku kembali
Menuntunku mencari daerah iman
Untuk kuubati hati yang dipenuhi zulmat

Apakah aku
Yang telah merempuh sebatas jahiliyyah
Layak untuk mendamba syurga-Mu
Dan memiliki cinta-Mu
Serta cinta orang yang mencintai-Mu

Dan setelah batas jahiliyyah ini
Jauh di benakku
Aku ingin jadi lebih dekat pada-Mu
Walau diriku hanya di tepian
Menanti ampun-Mu
Mengharap redha-Mu

~almisk


Monday, January 16, 2012

Siapa Kamu dan di Mana Kamu di Saat Ini..


Sebuah monolog di entry terbaru kak Fatimah Syarha:
‘Jodohku, aku tidak tahu dirimu siapa dan entah di mana. Aku cuma tahu engkau ada, di dunia atau di syurga. Akan kusimpan perasaan ajaib ini. Akan kuluapkan untukmu setelah akad menghalalkan kita.’~ Kata2 Qani'ah Syumaila (Petikan dari novel yang bakal muncul)

:: Allahu Allah..
Monolog itu seakan berbisik juga di hati sendiri..
Biar aku menunggumu walau siapa dirimu..
Aku ingin membantumu untuk memahami bahawa
Mujahadah itu sesuatu yang manis bila tiba saatnya..

“Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, dan amalan yang menyampaikan aku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikanlah cinta-Mu lebih aku cintai dari diriku, keluargaku dan daripada air yang sejuk (ketika panas terik).” (HR al-Tarmizi).

Allahumma ameen