Kerap kali kita terlalu berharap kepada manusia. Tika hati mula jatuh suka dan kagum, jiwa mula membina harap. Harap yang terlalu besar untuk menawan hatinya. Dipendam-pendam harap pada yang disuka sehingga akhirnya kecewa menerjah. Diri tidak diterima sang bunga atau kumbang.
Kerap kali juga pelajar sarjana muda yang baru selesai ijazahnya, meminta kerja di sana sini. Mengharap dari empunya syarikat untuk diterima bekerja dengan harapan yang sungguh besar.
Kerap juga orang kampung yang miskin menagih simpati dari wakil rakyat agar diberi sedikit bantuan meringankan beban, sanggup dicerca, dimaki asalkan yang diharapkan itu diperolehi.
Itu semua menatijahkan satu perkara yang boleh diterjemahkan dengan banyak rasa: sedih, kecewa, sakit hati.
Mengapa rasa ini wujud? Salahkah berharap?
Jawapannya tidak salah, tetapi kepada siapa sepatutnya harapan itu ditujukan dengan sepenuh hati.
Jika salah seorang dari kita mengharapkan sesuatu, sepatutnya kita tahu bahawa dunia ini penuh dengan perkara yang mengecewakan. Manusia banyak yang tidak suka orang meminta-minta tanpa ada timbal-balik.
Namun, yang paling utama sebenarnya kita terlupa akan Pemilik orang yang kita meletak harap itu, sesungguhnya Pemilik itu lebih suka manusia berharap dan meminta pada-Nya. Dialah Allah. Tuhan kita.
Kita selalu lupa akan hakikat ini kan? Kita sepatutnya menyerahkan segala harapan kita kepada-Nya, membina harapan dengan keyakinan sepenuhnya pada-Nya kerana Allah Tahu harapan kita yang mana satukah yang terbaik untuk diberikan pada kita.
Justeru, mulai sekarang jika kita masih terlalu berharap pada manusia maka bersegeralah membina semula harapan itu dengan menyerahkan segalanya kepada Allah. Sepenuh hati. Kerna jika kita tidak dapat apa yang kita harap, kita akan tahu bahawa Allah akan berikan yang lebih baik lagi dari yang kita harapkan.
wallahu a'lam :)
No comments:
Post a Comment